Bagi saya Usayd adalah satu nama yang cantik walaupun ringkas. Saya ada menyatakan hajat kepada isteri ingin menamakan anak kedua kami dengan nama tersebut. Namun isteri saya lebih menggemari nama Nawfal. Usayd bin Hudhair ialah antara sahabat Rasulullah yang pada awalnya menentang dakwah yang dibawa baginda. Beliau memeluk Islam setelah mendengar bacaan Al Quran oleh Mus'ab bin Umayr. Setelah memeluk Islam, beliau terus jatuh cinta pada keindahan Al Quran. Buktinya, Usayd semasa hayatnya dilihat sama ada berjihad ataupun duduk membaca Al Quran. Ditambah dengan kelebihan yang Allah berikan kepada beliau, iaitu memiliki suara yang lunak, ramai sahabat yang berlumba-lumba ingin mendengar bacaan beliau.
Bahkan bukan sahaja penduduk bumi sahaja yang terpukau dengan bacaan beliau, penghuni langit juga turut gemar mendengar qiraat beliau. Pada suatu malam, Usayd duduk di halaman belakang rumahnya di samping anaknya, Yahya yang sedang tidur. Tidak jauh dari tempat duduk beliau terdapat kuda yang ditambat olehnya. Oleh kerana terlalu asyik mensyukuri nikmat keindahan malam, beliau pun lantas mengalunkan bacaan Al Quran dari Surah Al Baqarah bermula ayat pertama hingga ayat yang keempat. Setelah beliau menghabiskan ayat yang keempat, kedengaran kudanya meronta-ronta keras hingga ikatannya hampir putus. Beliau terdiam dan serta merta kuda tersebut juga terdiam.
Setelah keadaan kembali tenang, beliau menyambung bacaannya ke ayat yang kelima. Tiba-tiba kudanya meronta sekali lagi dan kali ini lebih keras lagi. Apabila beliau diam, kudanya turut terdiam. Ianya berlaku beberapa kali sehingga beliau berasa bimbang jika kuda tersebut akan memijak anaknya. Beliau segera mendapatkan anaknya dan terpandang ke langit. Kelihatan segumpal awan berbentuk payung. Padanya tergantung objek-objek seumpama lampu. Ufuk langit dipenuhi cahaya yang terang apabila awan tersebut terapung naik ke atas sehinggalah ianya hilang daripada pandangan.
Keesokannya beliau menemui Rasulullah dan menceritakan hal tersebut. Rasulullah menjawab,
"Wahai Usayd!!! Itu adalah malaikat yang mendengar bacaan kamu. Jika kamu meneruskan bacaan kamu, nescaya orang akan dapat melihatnya dan ia tidak berselindung daripada mereka"
Ada banyak lagi kisah berkenaan Usayd yang boleh kita ambil iktibar. Buat masa ini, cukup dahulu satu kisah sahaja yang pendek namun sarat dengan seribu pengajaran. Membaca Al Quran merupakan satu amalan yang mulia biarpun nampak remeh. Hakikatnya inilah amalan yang sudah lama diabaikan oleh umat Islam masa kini. Mereka lebih kerap membaca surat khabar dan majalah daripada membaca Al Quran. Mereka boleh menghabiskan hampir 30 helaian akhbar harian namun untuk membaca sehelai lembaran Al Quran dalam sehari amat berat sekali. Tidak hairanlah amat banyak hadis yang menyentuh tentang kelebihan membaca Al Quran kerana Islam sudah pun menyedari krisis ini akan berlaku pada akhir zaman nanti. Antara hadis yang popular ialah tentang pahala 10 kebaikan pada setiap huruf yang dibaca dan pahala yang lebih bagi mereka yang membaca Al Quran merangkak-rangkak atas usahanya yang tidak berputus asa.
Al Quran adalah nadi ummah. Jika tiada usaha untuk melajukan kembali nadi tersebut, lama-kelamaan tubuh akan menjadi lemah. Akhirnya tubuh tersebut akan mati dan diratah oleh ulat yang amat kecil saiznya. Itulah kesannya kepada kita jika kita mengabaikan Al Quran. Ummah ini akan menjadi lemah dan akhirnya mati izzahnya. Apabila mati izzah ummah tersebut, mudahlah ia ditewaskan musuh biarpun musuh tersebut sebenarnya hanyalah lebih lemah dan kecil daripada kita. Jika kita mendampingi Al Quran, pembantu Allah iaitu para malaikat akan turut bersama kita. Maka mudahlah kita memperoleh kejayaan di dunia ini
Semoga Allah memberi kekuatan untuk para du'at mengorbankan masa dan tenaga untuk menjadikan Al Quran sebahagian daripada jiwa serta intisari hidup mereka. Ameen.
p/s: Kisah Usayd bin Hudhair tadi dipetik daripada buku bertajuk Surun min Hayatis Sahabah (Gambaran Kehidupan Sahabat) karangan Dr. Abdul Rahman Ra'fat al Basha
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment