Siti Zaharah bt Abdul Malek atau lebih dikenali sebagai Cik Arah merupakan anak yang ketujuh daripada 10 orang adik beradik. Ibu saya pula merupakan anak yang keenam. Ini menjadikan hubungan antara ibu saya dan Cik Arah amat rapat dan istimewa. Antara 10 beradik tersebut, yang menetap lama di Seremban ialah kakak ibu saya, ibu saya sendiri dan Cik Arah. Yang lainnya pernah bermastautin di negeri lain dan hanya kebelakangan ini sahaja baru kembali menetap di Seremban. Ketika nenek pulang ke rahmatullah, Cik Arah adalah antara 5 orang beradik yang sedang bercuti di Australia ketika itu. Memang terserlah kesedihan di wajah Cik Arah kerana tidak sempat berada di sisi nenek ketika ia pulang ke rahmatullah. Beliau hanya sempat menatap wajah nenek yang sudah dikafankan dan sedang menunggu untuk disolatkan.
Cik Arah lahir pada 24 Mac 1961. Tempat lahirnya saya kurang pasti kerana datuk saya sering berpindah randah ketika bertugas sebagai anggota polis hutan. Contohnya, ibu saya lahir di Kuala Lumpur, adik lelakinya pula ada yang lahir di Changloon, Kedah. Adik yang bongsu pula lahir di Linggi, N.Sembilan. Cik Arah memulakan kerjaya sebagai seorang kerani di Kuala Lumpur. Kemudian beliau berpindah ke Seremban dan bertugas di Jabatan Pelajaran. Beberapa tahun kemudian beliau dipindahkan ke Sek. Keb Puteri, Seremban. Pada tahun 1999, beliau telah bercuti panjang untuk menjaga dua pupu saya yang sedang berpantang di UK. Di sana, beliau telah bertemu jodoh dengan seorang lelaki berbangsa Algeria. Beliau sempat pulang ke tanah air untuk menyerahkan surat perletakan jawatan dan mendapatkan restu daripada adik beradik dan nenek saya. Ketika beliau berkahwin, tiada seorang ahli keluarga melainkan dua pupu saya sahaja yang menghadiri walimah tersebut. Ini kerana, jarak ke UK terlalu jauh dan memerlukan sumber kewangan yang tinggi. Namun jodoh mereka hanya bertahan selama 3 tahun sahaja tanpa zuriat kerana suaminya pulang ke rahmatullah akibat penyakit pneumonia. Ringkasnya, tiada siapa antara saudara mara kami yang dapat berjumpa dengan arwah suami Cik Arah melainkan gambar foto sahaja. Sekitar tahun 2007, Cik Arah dan dua pupu saya pulang ke Malaysia
'for good'.
Sejak daripada itu, Cik Arah menetap bersama nenek dan sekali sekala menumpang di rumah adik beradiknya atas ajakan mereka. Cik Arah juga tidak bekerja. Saya sendiri tidak pasti mengapa beliau tidak berminat untuk bekerja. Pertengahan tahun ini, kesihatan Cik Arah mula merosot dan akhirnya beliau menghembuskan nafasnya tepat tiga minggu selepas pemergian bondanya. Cik Arah amat rapat dengan anak-anak buahnya yang sebaya dengan saya. Ini kerana ketika kami masih kecil, umurnya masih di awal 20an. Tambahan pula ketika itu beliau belum berkahwin (Cik Arah berkahwin ketika umur mencecah 38 tahun). Anak-anak buahnya yang lahir selepas beliau mendirikan rumah tangga tidak begitu rapat dengannya. Ketika saya masih sekolah, ibu saya tidak membenarkan kami menaiki bas untuk ke mana-mana. Alasannya kerana tidak mahu kami terdedah dengan budaya yang tidak sihat. Cik Arah amat memahami perasaan kami yang sangat menginginkan pengalaman menaiki bas. Kerap kali juga Cik Arah menawarkan diri untuk menemankan kami menaiki bas pulang ke kampung di Linggi. Cik Arah juga pernah menemankan kami menaiki bas ke Kuala Lumpur. Malah saya sempat merasa pengalaman menaiki bas mini yang sudah ditamatkan perkhidmatannya bersama Cik Arah. Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila ialah Cik Arah membawa kami melihat kehidupan penagih dadah di Jalan Chow Kit.
Ketika itu saya masih tadika lagi. Cik Arah dan adik lelakinya (Cik Adam) menemankan kami (saya dan adik perempuan) ke The Mall di Kuala Lumpur. Dari stesen bas menuju ke The Mall, jalan yang terdekat ialah melalui Jalan Chow Kit. Saya berkeras untuk melihat sendiri bagaimana rupa dan kehidupan penagih dadah di Chow Kit. Akhirnya Cik Arah dan Cik Adam mengalah. Setelah melihat sendiri kehidupan penagih dadah, saya merasa takut dan berazam tidak akan mendekati dadah langsung.
Pada 14 Disember, Cik Arah telah meminta ibu saya untuk dihantar ke Senawang Specialist Hospital untuk mendapatkan rawatan. Ketika itu keadaan Cik Arah sudah terlalu uzur. Beliau tidak larat untuk berjalan kerana semput. Malah bercakap pun beliau tersenggut-senggut kerana tidak cukup nafas. Pada awalnya, Cik Arah enggan pergi mendapatkan rawatan di hospital. Setelah dipujuk oleh adik perempuan saya yang mendapatkan rujukan daripada isteri saya terlebih dahulu, akhirnya beliau bersetuju untuk ke hospital.
Tepat jam 5.30 petang, 18 Disember 2011 bersamaan hari Ahad, saya telah menerima panggilan daripada ibu saya.
"Along, mak call Cik Arah 2-3 kali tapi dia tak angkat. Kamu boleh pegi tengok dia sekejap tak? Mak jauh ni"."Boleh, jap lagi along drop by. Dia kat wad mana?"Sejak Cik Arah dimasukkan ke wad, saya tidak dibenarkan oleh ibu saya menziarahinya kerana virus yang dihinggapi oleh Cik Arah amat kuat. Ibu saya khuatir jika virus tersebut akan dibawa ke rumah dan boleh membahayakan anak-anak saya.
"Wad 323. Sebelum masuk tu pakai mask tau"."Insya Allah".Selesai menunaikan solat Asar, saya terus menuju ke hospital yang jaraknya hanya 2 km sahaja dari rumah saya. Petang itu saya agak lewat menunaikan solat Asar kerana keletihan setelah pulang membawa anak-anak dan isteri melawat Pusat Sains Negara. Tepat jam 6 petang saya tiba di pintu bilik wad Cik Arah. Terdapat notis meminta setiap pelawat memakai
mask dan sarung tangan getah sebelum memasuki bilik tersebut ditampal di pintu. Selesai memakai
mask dan sarung tangan getah, saya mengetuk pintu dan memberi salam. Kelihatan Cik Arah sedang duduk di atas katil sambil bernafas menggunakan gas oksigen. Beliau kelihatan semakin pulih. Keadaan sebelum ini lebih teruk kerana beliau tidak mampu untuk bercakap. Kali ini, beliau dapat berbual dengan saya tanpa masalah.
"Takde orang jaga acik ke?""Hari ni takde sebab semua orang ada hal. Mak Lang kena jaga cucu sebab menantu dia pergi kursus. Cik Adam pergi kenduri sepupu isteri dia kat Penang".Sayu juga saya melihat Cik Arah di wad tanpa berteman. Saya memandang ke luar tingkap memerhati kenderaan yang lalu lalang. Diam membisu kerana tidak punya topik untuk berbincang. Saya juga faham keadaan orang yang sedang sakit. Mereka lebih suka berehat daripada menerima tetamu.
"Acik nak makan? Along boleh tolong.""Takpela, jap lagi acik makan.""Acik, dah 6.30 ni. Along balik dulu ye. Nak uruskan anak-anak kat umah. Along doakan acik cepat sembuh. Acik makan ubat ye.""Insya Allah.""Kalau ada pape, call along tau. Acik ada nombor along tak?""Ada rasanya"Untuk menyedapkan hati, saya membuat panggilan ke telefon bimbit Cik Arah. Terpampang nama saya di skrin telefon bimbit Cik Arah.
"Ok cik, assalamualaikum."Tanpa saya duga, itulah dialog terakhir saya bersama Cik Arah. Saya segera meninggalkan wad menuju ke kereta. Sejurus melabuhkan punggung di kerusi pemandu, saya terus menghantar sms kepada ibu menceritakan keadaan kesihatan Cik Arah yang semakin pulih. Setelah menguruskan anak-anak, saya mandi dan menunaikan solat Maghrib. Setelah itu saya menyidai pakaian yang baru dibasuh selepas Maghrib tadi. Sedang asyik menyidai pakaian, isteri saya memanggil saya.
"Ayang, mak call minta saya ke hospital tengok Cik Arah"."Ha??? Nape?""Mak kata keadaan dia makin teruk. Mak minta saya tengok-tengokkan keadaan Cik Arah. Mak on the way ke hospital.""Ok, pape nanti sms saya."Saya setia memegang BlackBerry saya menunggu sms daripada isteri. Anak-anak saya biarkan bermain dengan permainan. Ketika itu jam menunjukkan pukul 9.30 malam. Lebih kurang 30 minit kemudian, BlackBerry saya berbunyi menandakan sms masuk.
"Cik Arah tengah nazak. BP dia 80/20.""Dia sedar tak?.""Dah tak sedar.""Saya datang sekarang dengan anak-anak."Saya menjadi tidak keruan. Segera saya dokong Nawfal dan Nu'man berlari-lari mengejar saya di belakang.
"Kita nak pegi mana?" soal Nu'man.
"Jumpa ummi kat spital."Nu'man terkasima sebentar.
"Nawfal, cepat. Kita nak jumpa ummi kat spital." jerit Nu'man.
Nawfal dengan puting di mulut terkedek-kedek mendapatkan saya untuk ikut serta ke hospital. Keadaan saya ketika itu memang tidak terurus. Dengan Nawfal yang saya kendong dan Nu'man yang berlari anak-anak di belakang saya, seolah saya kelihatan seperti orang kehilangan isteri. Sampai di wad, saya terus menyerahkan kedua-dua hero saya kepada isteri.
"Macam mana keadaan acik?.""Takpelah, ayang masuk tengok"Setelah memakai
mask dan sarung tangan getah, saya menolak pintu wad untuk menjengok Cik Arah. Kelihatan Cik Adam sedang membaca surah yasin bersama isterinya. Mak Lang pula sedang mengusap-ngusap dahi dan rambut Cik Arah. Cik Arah kelihatan bertarung dengan sakaratul maut. Nafasnya mencungap-cungap dan matanya memandang tepat ke suatu arah tanpa mempedulikan saudara mara yang mengelilinginya. Mata saya terasa pedih dan tak tertahan untuk mengalirkan air mata. Ini kali kedua saya menyaksikan orang yang saya sayangi nazak di depan mata. Lebih menyedihkan saya tidak mampu berbuat apa-apa untuk menolong mereka. Hanya mampu menyaksikan azab mereka mengharungi sakaratul maut.
Hampir 4 jam bersabung nyawa, akhirnya Cik Arah menghembuskan nafas yang terakhir. Hati saya terasa bagai dicarik-carik. Saya menyaksikan mata Cik Arah perlahan-lahan mengecil dan tertutup. Nafasnya yang awalnya kencang akhirnya semakin perlahan dan berhenti terus. Saya gagal mengawal diri. Beberapa orang saudara lelaki terpaksa menenangkan saya. Saya mencangkung termenung. Semua kenangan bersama Cik Arah menghantui benak fikiran saya. Saya hanya mampu menundukkan pandangan menahan kesedihan. Saya terus menghantar sms kepada isteri tentang pemergian Cik Arah. Isteri saya telah pulang awal kerana anak-anak saya sudah mengamuk kerana mengantuk. Saya pulang lewat malam itu. Melayan perasaan dan cuba menerima ketentuan takdir Ilahi. Berat untuk saya menerima suratan ini. Saya sempat menemani ayah membuat laporan kematian di Balai Polis Paroi. Malam tersebut saya hanya dapat melelapkan mata sekitar jam 4 pagi.
Setelah selesai menunaikan solat subuh, saya segera keluar membeli sarapan. Selesai sarapan, saya menghantar Nawfal ke rumah
babysitter. Nu'man pula berkejar mengikut adik perempuan saya ke masjid untuk menemani jenazah Cik Arah. Setelah menghantar Nawfal yang masih mengantuk, saya segera ke kedai
seven eleven untuk membuat salinan fotokopi sijil kematian Cik Arah. Kemudian, saya terus ke masjid dan sanak saudara semakin ramai tiba untuk menziarahi jenazah. Adik lelaki saya sudah pun sampai dari Rawang. Beliau kelihatan termenung. Adik bongsu saya pula teresak-esak menangis kerana tidak sempat menziarahi Cik Arah sebelum dipanggil Ilahi. Sekitar jam 9 pagi, jenazah disolatkan dan dibawa ke perkuburan. Alhamdulillah saya diberi kesempatan untuk mengambus tanah kubur Cik Arah. Tika talkin dibacakan, air mata saya mengalir dengan begitu deras sekali. Terus saya tergambar wajah Cik Arah menghadapi sakaratul maut. Kematian adalah suatu perkara yang tidak boleh dibuat main-main. Ia pasti dan tiada ruang untuk kita berpatah semula. Selangkah ke alam barzakh, selamanya pintu dunia tertutup untuk kita. Biarpun ada yang mempertikaikan talkin adalah bid'ah, namun tak dinafikan ia adalah satu peringatan yang berguna buat kita yang masih hidup. Amat malang bagi mereka yang mendengar talkin tetapi tidak terasa insaf atau mengalirkan air mata.
Sebelum pulang ke rumah, saya sempat merenung ke arah kubur Cik Arah. Saya pernah menyimpan niat yang saya rahsiakan daripada sesiapa. Niat tersebut, jika ibu bapa saya dijemput Ilahi sebelum Cik Arah, saya akan menjaga Cik Arah sehingga nyawanya diambil. Selama ini pun, Cik Arah selalu menetap bersama ibu saya atas ajakan ibu saya sendiri. Mereka berdua amat rapat. Bila terkenangkan niat tersebut, air mata saya bergenang semula. Niat saya tak tercapai.
Esoknya saya ke pejabat seperti biasa. Bila bersendirian di dalam LRT, saya terkenangkan semula Cik Arah. Air mata saya dilepaskan begitu sahaja. Sungguh tak tertahan sedih rasanya. Seharian saya tidak punya semangat untuk berkerja. Bila melayari
facebook, kesemua adik beradik dan sepupu saya statusnya adalah berkenaan pemergian Cik Arah. Mereka semua merasa kehilangan Cik Arah. Cik Arah amat istimewa bagi kami. Kami sepupu sepapat lebih suka meluahkan perasaan kepadanya kerana Cik Arah adalah seorang pendengar yang baik. Saya membuat keputusan untuk berjumpa kaunselor pada petang tersebut. Petang tersebut saya habiskan masa bersama kaunselor dengan harapan semangat saya pulih semula. Saya sempat menghantar sms kepada isteri untuk memberitahu yang saya pulang lewat hari ini.
Saya pulang ke rumah sekitar jam 5.45 petang. Dalam LRT saya merenung jauh ke kota Kuala Lumpur yang sedang hujang lebat. Ya, di sanalah tempat pertama Cik Arah mencari rezeki. Allahummaghfirlaha warhamha...
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)