Tuesday, August 30, 2011

Syawal 1421H yang lalu...

Gema takbir di pagi raya

Ku teringat kampung halaman

Aku di perantauan

Tak terdaya menahan sebak

Begitulah bunyi chorus nasyid Aidilfitri yang telah didendangkan oleh gabungan kumpulan nasyid Raihan, Nowseeheart, Ajai dan Rem. Tak silap saya, nasyid ini pertama kali dimainkan ke udara pada awal tahun 1999. Pada tahun tersebut, 1 Syawal disambut dua kali - awal Januari dan penghujung Disember. Saya menduduki peperiksaan SPM pada November hingga Disember 1999. Ketika itu, umat Islam sedang berpuasa di bulan Ramadhan. Di pertengahan peperiksaan, kami terpaksa berehat memberi laluan kepada pilihanraya umum ke 10 pula. Ramadhan kali itu merupakan puasa yang paling menyeronokkan buat saya sepanjang hidup di asrama. Kebiasaannya minum malam hanyalah biskut cap Ping Pong dan teh tarik. Tetapi di bulan Ramadhan, minum malam diganti dengan moreh yang bermenukan mee kari atau mee sup. Rakan-rakan pula ramai yang liat untuk bangun sahur. Maka, sayalah yang diwakilkan untuk memakan sahur mereka. Kenyang tak terhingga.

Saya hanya sempat berehat selama sebulan sahaja selepas peperiksaan SPM tamat. Penghujung Januari 2000 saya telah mendaftar di Universiti Teknologi Petronas, Tronoh. Setelah mendaftar, kami menjalani sesi orentasi selama seminggu dan dipecahkan mengikut kumpulan. Salah seorang fasilitator yang juga merupakan pelajar senior mengetahui saya berlatar belakangkan sekolah agama. Beliau terus mengesyorkan supaya saya dilantik menjadi ketua kumpulan. Rupa-rupanya adik fasilitator tersebut merupakan kawan sekolah saya dan beliau telah memaklumkan akan kemasukan saya ke universiti tersebut kepada abangnya itu. Kumpulan kami ditugaskan untuk membuat persembahan selama 15 minit dengan ahli kumpulan seramai lebih 20 orang.

Para fasilitator telah mengimport penasyid universiti untuk melatih kami. Hanya seorang dua sahaja yang punya pengalaman bernasyid ketika di sekolah. Yang lain pula hanya punya masa seminggu sahaja untuk memantapkan diri dengan kemahiran bernasyid dan permainan muzik (percussions). Setelah ujian suara dilakukan, saya telah diberi amanah untuk membawa suara harmony. Jangkaan saya suara harmony hanyalah suara back up singer, rupanya lebih susah lagi. Suara harmony adalah suara tinggi di belakang suara vokalis. Sampai kini saya masih lagi gagal membuat suara harmony.

Seminggu berlalu maka tibalah saat yang dinanti. Undian dilakukan dan kumpulan kami merupakan kumpulan yang terakhir melakukan persembahan. Persembahan kami dimulakan dengan rakaman pengumuman tarikh 1 Syawal. Oleh kerana kami tidak mahir menggunakan video cam (ala-ala video cam TV3) yang canggih, kami gagal menjumpai punat 'stop' untuk menamatkan rakaman. Maka terserlah lah kekalutan kami dalam rakaman tersebut. Belum mula persembahan lagi, penonton sudah ketawa terbahak-bahak. Kemudian, disusuli dengan sketsa pendek dan para penasyid pun mula mengambil tempat. Suara kami tidaklah sehebat mana, tetapi kerana gimik dan lighting pentas telah berjaya membuatkan penonton tidak lekang dari kerusi mereka. Diselangi mocking smoke dan lighting pentas seolah-olah sedang berlangsung konsert Sure Heboh gamaknya.

Persembahan kami berjaya ditamatkan selepas 15 minit. Kumpulan kami akhirnya diisytiharkan pemenang. Kejayaan kami memang sudah diduga kerana jelas kelihatan para fasilitator bersungguh-sungguh cuba memastikan persembahan kami adalah persembahan yang terbaik. Pada tika itu, majoriti fasilitator adalah daripada geng surau. Mereka sebolehnya mahukan kesenian dan hiburan Islam yang dinobatkan juara pada malam tersebut. Di sinilah bermulanya minat saya untuk bernasyid. Jika sebelum ini saya hanya mendengar dendangan nasyid sahaja, kini saya sudah tahu seni untuk mengalunkan nasyid tersebut. Tiap kali terdengar nasyid tersebut, saya pasti akan tersenyum sendirian.


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment