Pada awal Ramadhan tempoh hari, saya telah diminta oleh seorang akh untuk menulis artikel pendek berkaitan Ramadhan untuk diletakkan ke dalam web IKRAM N.Sembilan. Di sini saya kongsikan artikel ringkas tersebut. Semoga kita sama-sama dapat mengambil manfaat daripadanya.
Dalil berkenaan wajibnya puasa kepada umat Islam terdapat dalam Surah Al Baqarah bermula ayat 183 hingga 187. Tidak terlalu berat jika dikatakan hampir kesemua daripada kita menghafal ayat 183 tersebut. Rupa-rupanya ayat-ayat seterusnya sehinggalah ayat 187 juga punya kisah dan hikmah yang mendalam.
Ayat 184 menceritakan rukhsah puasa. Ayat 185 pula menceritakan penurunan Al Quran dalam bulan Ramadhan. Ayat 186 menukilkan betapa Allah amat dekat pada hambaNya ketika mereka berdoa, terutamanya dalam bulan Ramadhan. Akhir sekali, ayat 187 mengisahkan tentang tempoh waktu puasa dalam satu hari. Dalam tulisan saya pada kali ini, saya ingin mengajak para pembaca merenung beberapa kisah teladan dalam ayat 187. Kisah- kisah tersebut merupakan asbab nuzul kepada ayat 187 ini. Melalui kisah ini juga dapat kita ketahui bahawa kaifiyat puasa pada zaman Rasulullah punya sedikit perbezaan sebelum penurunan ayat 187 ini.
“Dihalalkan bagi kamu pada malam puasa bercampur kepada isteri kamu, mereka pakaian bagi kamu dan kamu adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu telah berkhianat kepada diri-diri kamu. Maka diampunkanNya kamu dan dimaafkanNya kamu. Maka sekarang singgunglah mereka dan carilah apa yang telah ditentukan Allah buat kamu. Dan makan dan minumlah, sehingga berbeda bagi kamu tali putih dari tali hitam dari waktu fajar. Kemudian itu sempurnakanlah puasa sampai malam, dan jangan kamu singgung mereka padahal kamu sedang I’tikaf di dalam masjid-masjid. Itulah batas-batas Allah, maka janganlah kamu dekati akan dia. Demikianlah Allah telah menjelaskan perintah-perintahNya kepada manusia, supaya mereka bertakwa” (Al Baqarah: 187)
Sebab turunnya ayat ini berkait dengan dua buah kisah sahabat Rasulullah. Kisah yang pertama ialah berkenaan Qais bin Shirmah. Qais bin Shirmah merupakan sahabat Rasulullah yang melakukan kerja-kerja berat untuk menyara keluarganya. Suatu hari di bulan Ramadhan, beliau telah pulang ke rumah untuk berbuka puasa setelah penat bekerja. Ketika tiba di rumah, isterinya masih lagi belum siap menyediakan juadah. Qais pun menunggu sehingga beliau tertidur. Sebelum ayat ini diturunkan, syariat menetapkan bahawa apabila seseorang telah tertidur selepas waktu Maghrib, maka ia hendaklah berpuasa. Maka berlaparlah Qais sehingga keesokan harinya sehinggalah beliau pengsan. Perkara ini dimajukan kepada Rasulullah, maka turunlah ayat 187 yang meringankan syarat berpuasa.
Kisah yang kedua pula ialah berkenaan Saidina Umar Al Khattab yang telah menyetubuhi isterinya setelah isterinya terjaga daripada tidur. Oleh kerana merasa ragu-ragu sama ada puasanya telah terbatal ataupun tidak, beliau telah merujuk kepada Rasulullah dan turunlah ayat 187 mengubah syarat berpuasa yang terdahulu.
Mengikut tafsir Ibnu Kathir, syarat berpuasa yang terdahulu hanya membenarkan seseorang itu makan, minum, dan berhubungan intim antara waktu Maghrib dan Isyak sahaja. Jika seseorang itu telah tidur selepas waktu Maghrib, ia juga hendaklah berpuasa sehingga waktu Maghrib keesokan harinya. Ini bermakna, sahur juga belum disyariatkan ketika itu. Betapa beratnya syarat berpuasa pada zaman dahulu berbanding dengan setelah turunnya ayat 187 ini.
Saya ingin menambah sebuah lagi kisah yang saya dapati daripada Buya Hamka melalui Tafsir Al Azhar yang dikarangnya ketika di dalam penjara. Pada ayat 187 tersebut, beliau telah menceritakan seorang Khalifah Bani Umaiyah telah meminta fatwa seorang ulama besar bernama Abu Ali al Qali berkenaan kaffarah bersetubuh di siang hari. Ketika itu baginda telah terlanjur bersetubuh dengan isterinya di siang hari dalam bulan Ramadhan. Abu Ali al Qali terus menjawab hendaklah baginda berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Tanpa banyak soal, Khalifah terus mematuhi fatwa tersebut. Namun begitu, salah seorang muridnya merasakan jawapan gurunya adalah salah. Anak murid ini tadi pun membacakan hadis Nabi berkenaan kaffarah bersetubuh di siang hari kepada gurunya. Dalam hadis tersebut, kaffarah berpuasa selama dua bulan berturut-turut adalah setelah seseorang itu tidak mampu memerdekakan hamba ataupun jika tidak mampu memberi makan kepada fakir miskin.
Guru yang bijaksana ini menjawab,
“Kalau aku fatwakan memerdekakan seorang budak, maka 100 budak pun baginda boleh merdekakan. Jika aku suruh ganti dengan memberi makan 60 orang miskin, 6000 orang miskin sanggup baginda lakukan. Aku khuatir baginda akan terlanjur lagi dek kaffarah yang mampu baginda lakukan dengan begitu mudah. Tetapi dengan memfatwakan puasa 2 bulan berturut-turut, baginda akan merasa perit dan serik untuk mengulangi kesilapan tersebut. “
Daripada kisah di atas dapat kita lihat akan ketinggian ilmu Allah SWT melangkaui ilmu hamba-hambaNya. Kaffarah yang dikenakan bukan sahaja untuk memudahkan golongan tidak berharta untuk menebus kesilapannya, malah turut menyekat mereka yang berharta mengambil ringan akan sesuatu hukum yang telah ditetapkan Allah SWT.
Banyak lagi ibrah dan pengajaran yang boleh diambil bersama jika ayat ini dibincangkan dengan lebih mendalam lagi. Semoga Ramadhan kali ini bukan sahaja meningkatkan taqwa kita, tetapi juga menaikkan darjat kita melalui ilmu yang bertambah. Wallahu a’lam.
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment