Tuesday, April 5, 2011

Selamat Hari Lahir Abah

Bersama abah ketika program tarbiah di UK. Abah ketika itu berada di tahun akhir pengajian

Gambar ini diambil di ITM Shah Alam pada tahun 1989 ketika konvokesyen pak su saya. Ketika itu pak su saya baru menyelesaikan tahun kedua program berkembar antara ITM dan universiti di Amerika Syarikat. Pak su saya seterusnya melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat untuk menamatkan lagi 2 tahun kursusnya di Omaha University, Nebraska.
Gambar ini diambil pada tahun 1988 di rumah kampung ayah saya. Di sebelah kanan sekali ialah sepupu saya, Hafiz

Ayah saya menyambut ketika walimah adik perempuan saya pada tahun 2009

Kami adik beradik bergambar bersama ayah. Gambar ini diambil pada tahun 1996

3 April 1958. Itulah tarikh yang tercatat di dalam sijil lahir ayah saya, Jamil bin Ibrahim. Anak ketiga pasangan Asmah bt. Abd. Ghani dan Ibrahim bin Alias ini dilahirkan di Kampung Permatang Pasir, Linggi, Port Dickson. Ayahnya mengimpikan anak lelakinya itu dinamakan Ridhuan. Namun tika saat kelahirannya, datuk saya sedang bertugas di perbatasan menjaga keamanan negara. Maka pamannyalah yang telah menobatkan nama 'Jamil' di atas sijil lahir tersebut. Pun begitu, ahli keluarga serta kenalan di kampung tetap memanggil beliau dengan singkatan yang merujuk kepada 'Ridhuan', iaitu Wam. Asalnya beliau dipanggil Wan. Terdapat seorang kenalan kampungnya yang pelat dan menyebut 'Wam'. Bermula dari situ, smeua kenalan di kampung memanggil ayah saya 'Wam'. Mendapat pendidikan awal di Sek. Keb. Permatang Pasir, sebuah sekolah aliran Melayu. Selepas menamatkan pengajian di sekolah rendah, ayah saya meneruskan pembelajaran di Sek. Men. King George V (SMK KGV), Seremban, sebuah sekolah aliran Inggeris.

Di SMK KGV, ayah saya diletakkan di dalam kelas peralihan kerana beliau adalah lulusan sekolah aliran Melayu. Justeru itu, beliau lewat setahun berbanding rakan-rakan sebayanya. Antara kenangan terindah ayah saya ketika di SMK KGV ialah membantu sekolah tersebut menjuarai pertandingan bola sepak peringkat MSSNS dan seterusnya mewakili pasukan Negeri Sembilan ke MSSM. Di peringkat MSSM, pasukan N.Sembilan berjaya mendapat tempat ketiga setelah tewas kepada juara yang juga pasukan tuan rumah, Kelantan.


Setelah tiga tahun di SMK KGV, beliau berpindah ke Maktab Tentera Di Raja (RMC), Sg. Besi. Pada ketika itu status SMK KGV sama hebatnya dengan sekolah berasrama penuh. Ada antara guru yang tidak bersetuju ayah saya berpindah ke sana kerana taraf RMC dan SMK KGV sama sahaja. Jauh di sudut hati, ayah saya terpaksa membuat keputusan demikian kerana taraf hidup keluarga yang miskin. Di SMK KGV, ayah saya tidak mendapat biasiswa untuk menampung sara hidup di asrama. Tetapi di RMC, ayah saya mendapat biasiswa penuh daripada Kementerian Pertahanan berserta beberapa keistimewaan lain seperti buku dan alat tulis percuma, pakaian seragam percuma, kasut percuma serta tambang keretapi percuma. Ayah saya berada di RMC hanya selama 2 tahun setengah. Ketika di RMC, beliau seperti biasa masih lagi aktif dalam sukan. Kali ini beliau melibatkan diri dalam pasukan bola sepak dan ragbi. Beliau telah membantu RMC menjuarai Piala Perdana Menteri dalam kejohanan bola sepak pada tahun 1976. Sementara menunggu keputusan SPM, ayah saya telah melanjutkan pengajian ke tingkatan enam rendah di RMC selama beberapa bulan.


Setelah mendapat keputusan yang cemerlang, ayah saya ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian di United Kingdom. Pada tahun 1977, beliau telah melanjutkan pengajian di Aston College, Wrexham, Wales selama 2 tahun untuk kursus A-Level. Di sinilah beliau mula mengenali jalan dakwah melalui pelajar yang lebih senior. Setelah tamat A-Level, beliau telah melanjutkan pengajian ke University of Liverpool pada tahun 1979. Pada tahun 1980, ayah saya telah bernikah dengan ibu saya di Malaysia. Ibu saya menyusul ke United Kingdom pada tahun berikutnya. Pada tahun 1981, datuk saya (ayah kepada ayah saya) pulang ke rahmatullah. Ketika itu ayah saya masih menuntut di universiti dan tidak dapat pulang untuk menguruskan jenazah arwah ayahnya. Kali terakhir ayah saya menatap wajah datuk saya ialah ketika beliau melangsungkan perkahwinan, iaitu setahun sebelum itu.
Ayah saya menamatkan pengajian universiti pada tahun 1983. Beliau pergi bersendirian dan akhirnya pulang dengan seorang isteri, seorang anak lelaki dan seorang bayi yang masih dalam kandungan. Tidak lama kemudian, beliau diterima berkhidmat di Jabatan Kerja Raya (JKR), Ibu Pejabat. Beliau hanya berkerja di JKR selama setahun sahaja. Selepas itu, beliau berpindah ke Majlis Perbandaran Seremban dan berkhidmat di situ selama 16 tahun (1985-2001). Kini beliau menjalankan perniagaan sendiri sebagai perunding kejuruteraan awam di Seremban.
Antara pencapaian tertinggi ayah saya ialah pernah menjawat Pengerusi Insitute Engineer of Malaysia (IEM) cawangan Negeri Sembilan. Beliau juga kini memegang jawatan sebagai Timbalan Yang Di Pertua Pertubuhan IKRAM Malaysia N.Sembilan. Kini ayah saya menetap di Sepang bersama ibu saya. Tenang dan bahagia dengan 3 orang cucu sebagai keluarga tambahan di samping 6 orang zuriat. Selamat ulang tahun ke 53, abah. Semoga terus kekal di jalan dakwah, dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment