Pemandangan Singapura dari bilik hotel
Hotel tempat kami menginap dari pandangan jalan raya
Kira-kira seminggu yang lepas saya sekeluarga telah menghadiri jemputan perkahwinan dua pupu saya di Johor Bahru. Pada awalnya saya agak keberatan hendak ke sana kerana perjalanan yang jauh bersama dua orang anak kecil pastinya membosankan mereka. Oleh kerana bapa pengantin, iaitu sepupu ibu saya, tidak pernah ketinggalan menghadiri walimah saya ataupun adik-adik saya, maka adalah lebih baik saya juga menghadirkan diri ke walimah anaknya pula.
Kami bertolak dari rumah sekitar jam 11 pagi. Ketika berhenti mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Senawang, saya terserempak dengan adik saya yang juga dalam perjalanan ke Johor Bahru. Adik saya kini menetap di Shah Alam bersama suaminya. Adik saya ini amat rapat dengan Nu'man. Oleh kerana Nu'man sedang tidur ketika itu, maka terpaksalah beliau membatalkan hajatnya untuk bermain dengan Nu'man.
Kami berhenti berehat dan menikmati makanan tengahari kira-kira jam 12.30 tengahari di Pagoh. Nu'man sudah pun sedar ketika itu dan adik saya membawanya bersama menaiki kereta Myvinya. Kami sepakat untuk berhenti di Perhentian Skudai untuk mengambil semula Nu'man. Ini kerana adik saya akan bermalam di rumah mertuanya manakala saya sekeluarga akan bermalam di sebuah hotel, tidak jauh dari Danga Bay. Setelah menunaikan solat Zohor dan Asar secara jama' di bilik, kami ke sebuah taman bunga, bekas istana lama Sultan Johor. Ramai orang bersenam di sana. Saya sekeluarga cuma bersiar-siar sambil menikmati angin laut dari Selat Tebrau. Malamnya kami menikmati makan malam di restoran Singgah Selalu, tidak jauh dari hotel tempat kami menginap.
Keesokan paginya kami check out awal sedikit kerana terpaksa ke hypermarket untuk membeli susu Nawfal yang sudah berbaki sedikit. Kami sempat menyewa sebuah kereta mainan kecil untuk Nu'man dan Nawfal bermain. Mereka hanya duduk di dalam kereta tersebut dan saya yang mengawal pergerakan kereta tersebut menggunakan remote control. Malangnya kesemua gambar berada di dalam telefon bimbit isteri saya.
Setelah menghadiri kenduri, kami terus pulang ke Seremban. Kami tiba di rumah sekitar jam 6.30 petang. Esoknya saya dan isteri akan ke PWTC bersempena Pesta Buku Antarabangsa. Disertakan gambar-gambar yang sempat saya ambil sepanjang berada di Johor Bahru.
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment