Tuesday, March 22, 2011

Sa'id bin Jubair (final part)

Al Hajjaj turut memanggil Kamil bin Ziyad an Nakahi'e dan menyoal soalan yang sama. Kamil menjawab dengan tegas yang beliau tidak mengaku kekufurannya hanya kerana tidak menyebelahi al Hajjaj ketika peperangan berlaku. Al Hajjaj menjatuhkan hukuman bunuh ke atasnya dan Kamil menjawab,

"Hukumlah menurut hukumanmu. Kita akan bertemu di hadapan Allah kelak dan ada perhitungan selepas pembunuhan ini," jawab Kamil tenang.

"Pada hari itu, segala hujah tidak akan berpihak kepada engkau", balas al Hajjaj

"Itu jika engkau yang menjadi hakim ketika itu", dengan pantas Kamil membidas.

Kamil dibawa ke hadapan dan terus dibunuh. Setelah itu, dibawa pula seorang lelaki yang sangat dibenci oleh al Hajjaj. Al Hajjaj berharap dapat membunuhnya kerana laporan yang diterimanya lelaki tersebut selalu mencacinya.

"Saya melihat di hadapan saya ini seorang lelaki yang saya rasa tidak akan mengaku sebagai kafir", kata al Hajjaj kepada orang ramai.

"Jangan engkau cuba memerangkap saya. Saya adalah penduduk bumi yang paling kufur. Malah kekufuran saya lebih dahsyat daripada Fir'aun", jawab lelaki itu.

Al Hajjaj pun melepaskan lelaki tersebut walaupun dia begitu berdendam untuk membunuhnya. Sai'd bin Jubair merasa tidak selamat dan melarikan diri ke Iraq untuk menyembunyikan diri. Beliau berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat untuk menyembunyikan diri daripada pengintip al Hajjaj sehinggalah beliau sampai ke sebuah kampung kecil di dalam kawasan Mekah. Beliau menetap di sini selama sepuluh tahun.

Tidak lama kemudian, seorang gabenor Mekah yang baru telah dilantik daripada keluarga Bani Umayyah iaitu Khalid bin Abdullah al Qasri. Sahabat-sahabat Sai'd bin Jubair bimbangkan keselamatannya kerana mengenali sikap buruk gabenor baru ini. Mereka menasihatkan Sai'd supaya meninggalkan Mekah, tetapi Sai'd berazam untuk kekal di situ setelah lama melarikan diri. Beliau menyerahkan segala-galanya kepada Allah S.W.T. Sangkaan para sahabat Sai'd tepat sekali. Setelah Kahlid mengetahui tempat tinggalnya, dia terus menghantar tentera untuk membawa Sai'd kepada al Hajjaj yang sedang berada di Wasit, Iraq. Beliau sempat berpesan kepada sahabat-sahabatnya,

"Sudah tentu saya akan dibunuh di hadapan orang yang zalim itu. Pernah suatu ketika saya dan dua orang sahabat saya beribadat pada suatu malam. Kami dapat rasakan betapa manisnya doa ketika itu. Kami memohon kepada Allah agar dianugerahkan syahid. Allah telah pun mengabulkan permintaan dua orang sahabat saya tadi. Hanya tinggal saya yang sedang menunggu-nunggu masanya".

Sebaik sahaja selesai berucap, salah seorang anak perempuannya yang masih kecil datang kepadanya. Dia kelihatan terpinga-pinga melihat ayahnya digari dan hendak dibawa pergi oleh tentera. Si kecil itu pun meluru memeluk ayahnya dan menangis sekuat-kuatnya.

"Anakku, katakan kepada ibumu, kita akan bertemu di syurga dengan izin Allah", pujuk Sai'd bin Jubair dengan lembutnya.

Itulah kata-kata terakhirnya kepada anaknya sebelum beliau dibawa pergi. Dengan perasaan dendam, al Hajjaj melihat Sai'd bin Jubair dan menyoal,

"Siapa namamu?"

"Sai'd bin Jubair", jawabnya dengan tenang.

"Tidak, engkau sebenarnya Shaqie bin Kusair (si celaka anak si lemah)", jerkah al Hajjaj cuba menghina.

"Ibu saya lebih tahu tentang nama saya", balas Sai'd.

Al Hajjaj bertanya lagi, "Apakah pendapatmu tentang Muhammad?"

"Adakah engkau maksudkan Muhammad bin Abdullah S.A.W?" tanya Sai'd mencari kepastian.

"Ya", jawab al Hajjaj.

"Beliau adalah ketua bagi seluruh anak Adam dan seorang nabi yang terpilih. Manusia yang paling baik ketika hidupnya dan paling selepas kewafatannya. Baginda membawa risalah dan menunaikan segala amanahnya, memberikan nasihat kerana Allah, kitabNya, dan kerana umat Islam seluruhnya", jelas Sai'd.

"Apakah pandanganmu tentang Abu Bakar?" tanya al Hajjaj lagi.

"Beliau adalah as Siddiq, khalifah Rasulullah S.A.W, hidupnya penuh kebahagiaan dan perginya penuh kemuliaan. Beliau memerintah menurut jalan Rasulullah S.A.W. tiada sedikitpun yang diubahnya", jawab Sai'd.

"Bagaimana pula dengan Umar, apakah pandanganmu tentangnya?"

"Beliau adalah al Faruq, melaluinya Allah memisahkan antara kebenaran dan kesesatan. Beliau adalah pilihan Allah dan RasulNya. Beliau memerintah berpandukan cara kedua-dua sahabatnya. Hidupnya penuh kemuliaan dan matinya sebagai syahid", jelas Sai'd.

"Apakah pandanganmu tentang Uthman?"

"Beliau adalah penyambung kepada tentera yang kesukaran (Perang Tabuk). Penggali kolam Rumah (kolam yang disedekahkan kepada umat Islam). Beliau membeli sebuah rumah di syurga. Beliau adalah menantu Rasulullah S.A.W kerana mengahwini dua orang anak baginda. Nabi mengahwinkan mereka kerana menurut wahyu dari langit. Tetapi beliau telah dibunuh tanpa sebab yang sah".

"Apakah pandanganmu tentang Ali?"

"Sepupu kepada Rasulullah S.A.W dan anak muda pertama yang memeluk Islam. Beliau adalah suami kepada Fatimah al Batul (wanita yang bersih suci). Bapa kepada al Hasan dan al Husin, ketua pemuda ahli syurga".

"Siapakah khalifah Bani Umayyah yang paling engkau sukai?" tanya al Hajjaj.

"Khalifah yang paling diredhai Tuhan", jawab Sai'd cuba mengelak.

"Siapakah di antara mereka yang paling diredhai Tuhan?"

"Itu hanya diketahui oleh orang yang mengetahui rahsia mereka sahaja", jawab Sai'd menyindir.

"Apakah pandanganmu tentang saya?" tanya al Hajjaj tanpa berselindung lagi.

"Engkau lebih mengenali dirimu sendiri", balas Sai'd sinis.

"Saya mahu mengetahui pandanganmu", al Hajjaj berkeras ingin mengetahui pandangan Sai'd bin Jubair terhadapnya.

"Apa yang akan saya katakan mungkin tidak akan menyenangkanmu."

"Saya perlu mendengarnya sendiri", desak al Hajjaj.

"Sepanjang pengetahuan saya, engkau adalah seorang yang melanggar Kitab Allah. Engkau melakukan sesuatu kerana mahukan kekuasaan. Apa yang engkau lakukan itu akan membinasakan engkau dan akan membawa engkau ke neraka".

Dengan berang al Hajjaj berteriak, "Demi Allah, saya akan bunuh engkau".

"Engkau membinasakan dunia saya tetapi saya akan binasakan akhirat engkau", balas Sai'd.

"Pilihlah cara untuk engkau mati!" betak al Hajjaj.

"Tidak, engkaulah yang membuat pilihan wahai al Hajjaj. Demi Allah, apa sahaja cara engkau gunakan membunuhku, nescaya Allah akan gunakannya untuk membunuhmu di akhirat kelak", balas Sai'd.

"Apakah engkau mahu aku mengampunimu?"

"Hanya Allah yang boleh mengampunkan".

Al Hajjaj bertambah berang. Dia memanggil budak suruhannya membawakan pedang dan alas. Sai'd tersenyum. Al Hajjaj berasa pelik dan bertanya kepada Sai'd mengapa beliau tersenyum. Sai'd menjawab,

"Saya hairan melihat keberanianmu melanggar perintah Allah walaupun Allah begitu pengasih kepadamu".

"Wahai budak, bunuh dia", teriak al Hajjaj.

Dengan tenang, Sai'd bin Jubair mengadap ke kiblat dan membacakan ayat:

"Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah" (Al An'am:79)

"Jauhkan mukanya dari kiblat", al Hajjaj semakin hilang sabar.

"Ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka disitulah arah yang diredhai Allah." (Al Baqarah:115)

Al Hajjaj semakin bingung, "Baringkan dia ke tanah".

"Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi". (Taha:55)

Al Hajjaj tidak mampu berhujjah lagi. "Bunuhlah musuh Allah ini. Saya belum pernah melihat orang yang mahir dengan ayat-ayat Al Quran seperti ini".

Sai'd berdoa, "Ya Allah, janganlah Engkau berikan al Hajjaj menguasai sesiapa selepas saya ini."

Lima belas hari selepas pembunuhan Sai'd bin Jubair, al Hajjaj telah ditimpa sakit demam yang begitu teruk. Sekali sekala dia tidak sedarkan diri dan sekali sekala dia terjaga. Apabila terjaga, dia akan bangkit dalam keadaan ketakutan sambil menjerit,

"Sai'd bin Jubair sedang mencekik leher saya. Sai'd bin Jubair bertanya saya:Apakah sebab engkau membunuh saya?"

Lalu al Hajjaj menangis teresak dan berkata, "Apakah yang telah saya lakukan kepada Sai'd bin Jubair? Kembalikanlah Sai'd bin Jubair kepada saya".

Setelah dia meninggal dunia dan disemadikan, beberapa orang bermimpi melihat al Hajjaj dan mereka bertanya,

"Apakah yang Allah lakukan kepadamu dengan orang-orang yang engkau telah bunuh, wahai al Hajjaj?"

"Allah membunuh saya sekali bagi setiap orang yang saya bunuh tetapi Allah membunuh saya 70 kali bagi Sai'd bin Jubair", jawab al Hajjaj.

Kisah ini dipetik daripada buku bertajuk 37 Kisah Kehidupan Tabi'in karangan Dr.Abdul Rahman Ra'fat al Basha.


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment