Monday, April 18, 2011

Pilihanraya Negeri Sarawak


Entah mengapa saya begitu teruja mengikuti perkembangan Pilihanraya Negeri Sarawak pada kali ini. Rata-rata teman saya sudah hilang minatnya untuk mengikuti Pilihanraya Negeri Sarawak kerana isu video lucah yang dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka merasa jijik dengan taktik kotor politik sedemikian dan terus hilang selera untuk mengikuti perkembangan di Sarawak. Kali terakhir Pilihanraya Negeri Sarawak ialah pada tahun 2006 dan saya tidak berminat langsung pada ketika itu. Tanggapan saya pastinya Barisan Nasional (BN) akan menang besar kerana sudah menjadi tradisi sejak zaman merdeka, Sarawak dan Sabah adalah kubu kuat BN.

Namun kali ini situasinya nampak berbeza. BN rasa tergugat dengan kehadiran Pakatan Rakyat yang semakin mendapat tempat di kalangan rakyat peribumi Sarawak. Namun BN tetap dengan permainan 'tenang' dengan menyembunyikan perasaan tergugat tersebut. Jika tidak tergugat masakan tatkala pilihanraya semakin hampir semakin banyak isu kontroversi yang melibatkan pembangkang diudarakan oleh media? Jika tidak tergugat masakan Pengerusi Malaysia For Free and Fair Election dihalang masuk ke Sarawak tanpa sebarang alasan. Cuma diberikan akta yang melarangnya masuk ke Sarawak sahaja. Tetapi sebabnya tidak diberi.


Kira-kira seminggu sebelum tarikh pilihanraya, saya dihidangkan analisis dan pemerhatian daripada rakan-rakan di Sarawak. Perubahan besar seolah-olah akan berlaku di Bumi Kenyalang. Secara kasar, harapan mereka adalah menafikan 2/3 majoriti. Pun begitu, sehari sebelum pilihanraya, culaan menunjukkan peluang Pakatan Rakyat hanyalah memenangi 21 kerusi sahaja. Hakikatnya mereka hanya menang 15 kerusi sahaja. Ramai yang kecewa kerana prestasi Pakatan Rakyat tidaklah sehebat mana dalam pilihanraya kali ini biarpun ada peningkatan sedikit. BN pula menyembunyikan rasa gusarnya kepada peningkatan prestasi Pakatan Rakyat dengan memperagakan kemenangan melebihi 2/3 majoriti mereka.

Jika pilihanraya lepas PR hanya berupaya memenangi 8 kerusi, kali ini mereka telah menambah 7 kerusi lagi. Jumlah undi BN melebihi 300 ribu manakala jumlah undi PR melebihi 250 ribu. Di atas kertas, hakikatnya PR sedang mengejar rapat BN dari belakang. Penambahan kerusi hampir 100 peratus adalah sesuatu yang memberansangkan. Telahan saya, jika PR dapat menambah lebih daripada 50% kerusi yang dimenangi pada pilihanraya lalu (tambahan 4 kerusi sahaja) pun sudah memadai. Pada saya, menang secara berperingkat adalah lebih baik daripada menang besar sekaligus. Ini kerana, pada hemat saya PR masih belum bersedia untuk mentadbir Sarawak, apatah lagi Malaysia. Lihat sahaja apa yang berlaku pada pilihan raya umum 2008. Terus terang saya katakan saya bersyukur dengan kemenangan yang diperolehi PR. Tetapi jauh di sudut hati saya risau apakah PR mampu melunaskan janji mereka serta mentadbir dengan baik. Ternyata kini sokongan rakyat kepada PR semakin merosot sedikit di Semenanjung. Bagi saya itu lebih baik. Mentadbir dengan kemampuan adalah lebih baik daripada mentadbir dengan angan-angan. Saya juga menjangkakan PR akan kehilangan beberapa buah negeri pada pilihanraya umum yang akan datang. Yang pasti, masih ada beberapa buah negeri yang akan kekal dalam tangan PR.

Sekarang adalah masa untuk PR membuktikan kemampuan mereka menangani isu setempat di DUN yang dimenangi mereka di Sarawak. Hanya 15 DUN sahaja. Jumlah yang tidak banyak dan fokus boleh diberikan sepenuhnya untuk meraiah kepercayaan rakyat Sarawak. Pada kali ini, parti yang menunjukkan peningkatan yang mendadak ialah DAP. Memenangi 12 daripada 15 kerusi yang dipertandingkan adalah suatu pencapai yang hebat. Kebanyakannya dimenangi di kawasan bandar. Saya yakin pada pilihanraya umum akan datang, majoriti bandar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan dikuasai oleh PR.

Apa pun tahniah kepada kedua-dua belah pihak. BN kerana berjaya mengekalkan pemerintahan. PR kerana berjaya menambah kerusi DUN pada kali ini. Saya menjangkakan pada pilihanraya DUN akan datang, PR akan mampu menawan 23 atau 24 buah kerusi. Masih belum cukup untuk menafikan 2/3 majoriti BN. Salah satu sunnatullah ialah tadarruj (berperingkat). Saya pasti peralihan kuasa di Sarawak juga akan berperingkat secara perlahan-lahan.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment