Thursday, May 12, 2011

Ayat-ayat Hukum - Hukuman Terhadap Pencuri (part 1)

"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri, maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya, kerana Allah Amat Pengampun lagi Amat Mengasihani. Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi? Ia menyeksakan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum syariatNya), dan mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum syariatNya). Dan (ingatlah) Allah Amat Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah Al Maidah: 38-40)



Sebab Nuzul (turunnya ayat)



Pendapat yang diriwayatkan oleh al Wahidi, ayat tersebut diturunkan ekoran Tu'mah bin Ubairiq dari keturunan Bani Zafir mencuri baju besi Qatadah ibn an Nu'man. Baju besi tersebut tersimpan di dalam sebuah karung tepung. Tu'mah membawa lari baju besi itu bersama karung itu yang bocor bahagian bawahnya menyebabkan terpung berciciran di jalan. Menyedari hal itu, Tu'mah lalu mengambil baju besi itu dan meninggalkan karung tersebut di rumah seorang Yahudi bernama Zaid bin al Samir. Qatadah yang menyedari baju besinya telah dicuri mengikuti kesan tepung hingga ke rumah Zaid. Orang Yahudi tersebut dituduh mencuri baju besinya dan Qatadah membawa hal tersebut kepada Rasulullah. Maka turunlah ayat di atas. Walau bagaimanapun, berkaitan dengan kisah ini turun ayat lain pula, iaitu ayat 105 dari Surah An Nisa' yang menjelaskan kedudukan pencuri yang sebenar, Tu'mah.



Dalam riwayat Imam Ahmad pula, terdapat seorang pencuri wanita pada zaman Rasulullah. Pemilik barang tersebut telah mengadu kepada Rasulullah. Rasulullah mengarahkan tangan kanan wanita tersebut dipotong. Selepas dipotong tangannya, pencuri wanita tersebut bertanya kepada baginda apakah ada peluang baginya untuk bertaubat. Maka turunlah ayat di atas.

Ayat ini merupakan suatu ketetapan berkaitan hukum hudud terhadap pencuri lelaki dan perempuan. Hukuman hanya boleh dilaksanakan apabila ada bukti yang jelas, bersaksi dan cukup syarat untuk sabit kesalahan itu. Walaupun ini adalah hukum ketetapan Allah, namun pemilik barang boleh mengampuni dan memberi syafaat sebelum kes itu dibawa ke mahkamah.

Ayat di atas menyebut pencuri lelaki dahulu kerana majoritinya dilakukan oleh kaum tersebut.

Definisi pencuri yang digariskan oleh Islam ialah, mengambil barang orang lain dengan cara sembunyi atau helah yang dilakukan oleh orang yang cukup umur dan pilihan sendiri daripada tempat simpanan yang sesuai dan termaklum tidak dengan cara yang dibenarkan oleh syarak atau tidak dengan cara syubhat.



Syarat yang ditetapkan untuk menghukum pencuri ialah:



  1. Cukup umur

  2. Waras

  3. Pilihan sendiri

  4. Mengetahui hukum haramnya

  5. Tidak dimaafkan oleh tuannya.

Berkaitan dengan syarat pencuri tersebut, Imam Malik dan Syafi'e menambah di mana pencuri tersebut bukan bapa kepada mangsa pencuri. Sekiranya bapa mencuri barang kepunyaan anaknya, maka hukuman hudud tidak dikenakan. Menurut Syafi'e, datuk juga termasuk dalam kategori ini jika mencuri harta cucunya. Menurut Imam Malik, pencuri yang mencuri disebabkan kelaparan tidak dikenakan hukuman hudud walaupun semua syarat di atas telah mencukupi.


Syarat barangan yang dicuri adalah seperti yang berikut:



  1. Harta yang dapat dipindahkan daripada tempat simpanan atau pemiliknya.

  2. Harta yang berada di dalam simpanan sepatutnya. Contohnya, seseorang mencuri motorsikal yang diletakkan di halaman rumah tanpa dikunci tidak dikenakan potong tangan, kerana itu adalah kecuaian pemiliknya. Begitu juga mencuri buah-buahan di pokok tidak dikenakan had.

  3. Barangan yang dicuri sampai nisab dari sudut nilainya.

  4. Mengambil barang secara rahsia dan tanpa pengetahuan pemiliknya.

  5. Barangan yang dicuri itu adalah milik sempurna tuannya.

  6. Barangan yang dicuri itu diambil secara langsung daripada tempat simpanan pemiliknya atau daripada orang yang memegang amanah.

  7. Harta yang mempunyai nilai dari sudut syarak.

Pendapat ulama mengenai nilai barangan dicuri,



  1. Menurut Imam Malik, hukum potong tangan dikenakan terhadap mereka yang mencuri barangan bernilai 3 dirham berdasarkan hadis Nabi serta amalan Saidina Uthman.

  2. Menurut Imam Syafi'e dan Ahmad pula kadar nisabnya ialah 1/4 dinar atau yang menyamainya. Berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Aisyah R.A. maksudnya, "Dipotong tangan pencuri yang mencuri dengan kadar 1/4 dinar dan lebih". Juga berdasarkan hadis riwayat Ahmad, At Tirmizi dan Ibn Majah daripada Ibn Umar, "Nabi pernah memotong tangan pencuri perisai yang mana harganya tiga dirham".

  3. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah dan al Thawri, kadar yang menyebabkan sabit dan dipotong tangan ialah mereka yang mencuri kadar 1 dinar atau 10 dirham dan lebih atau nilai yang bersamaan dengannya. Berdasarkan hadis riwayat Amr ibn Syuib, "Tidak dipotong tangan orang yang mencuri barang yang nilainya kurang daripada 10 dirham".

Cara sabit jenayah curi dapat dibahagikan secara umumnya kepada dua iaitu:


a. Melalui dua orang saksi yang adil atau bukti yang sah.


"Hindarilah atau jauhilah hukuman hudud dengan sebab ada syubhat".


Dalam hadis lain juga Nabi mengingatkan supaya menggugurkan hudud sekiranya terdapat halangan atau kesamaran. Syarat-syarat saksi diterima penyaksian mereka ialah:



  1. Lelaki

  2. Adil

  3. Persaksian secara langsung, iaitu bukan melalui orang lain.

  4. Tidak berlalu masa yang lama

  5. Dakwaan yang dikemukan oleh pemilik barang yang sah.


b. Pengakuan ikhlas daripada pencuri itu sendiri.


Berkaitan dengan pengakuan yang menyebabkan sabit kesalahan mencuri dan dikenakan hukuman potong tangan, ulama berselisih pendapat, iaitu:



  1. Menurut jumhur ulama dan Abu Hanifah, pengakuan yang diterima untuk disabit kesalahan cukup sekali sahaja.

  2. Menurut mazhab Hambali dan Abu Yusuf, pengakuan yang dibuat oleh pencuri mestilah dua kali untuk menyamai dua orang saksi. Untuk itu, pengakuan yang dibuat sekali sahaja masih belum dapat diterima.

Mencuri secara berkumpulan



  1. Menurut pendapat Imam Syafi'e, Abu Hanifah dan Ibn Qudamah, seandainya dua atau tiga atau berkumpulan atau satu pakatan dibuat untuk mencuri sesuatu barangan yang sampai nisab had sabit mencuri. Namun setelah dibahagi-bahagikan antara mereka menurut bahagian masing-masing, jumlah yang diperolehi setiap orang daripada mereka tidak sampai nisab. Maka mereka itu tidak dikenakan hukuman potong tangan. Mereka berpendapat demikian dengan alasan dan diqiyaskan mencuri tidak sampai nisab. Antara lain juga, kes seperti itu dikira sebagai bukti tidak cukup dan ada keraguan.

  2. Menurut pendapat Imam Ahmad pula, sekiranya satu kumpulan sepakat mencuri, tidak kiralah berapa jumlah ahli kumpulan itu. Semua ahli kumpulan itu dikenakan hukuman potong tangan, walaupun setelah dibahagikan antara mereka, bahagian yang diperolehi oleh setiap ahli kumpulan itu tidak sampai nisab had mencuri. Ini adalah berdasarkan alasan bahawa hukumnya adalah sama sahaja sama ada seorang atau sekumpulan mencuri barangan yang nilainya sampai nisab.

Mencuri berulang kali


Jumhur ulama sepakat pencuri yang disabit kesalahannya mestilah dikenakan hukuman potong tangan kanan untuk kes kecurian pertama kali dan dipotong kaki kiri untuk kes kecurian kali kedua. Namun begitu ulama berselisih pendapat berkaitan dengan anggota yang wajib dipotong dan hukuman terhadap pencuri yang melakukan kecurian berulang kali.



  1. Menurut pendapat Imam Syafi'e dan Imam Malik, hukuman terhadap pencuri secara terperincinya dapat dibahagikan kepada 5 bahagian:


  • Pencuri yang mencuri kali pertama dikenakan had potong tangan kanan hingga pergelangan tangan.

  • Mencuri kali kedua dipotong kaki kiri hingga buku lali.

  • Mencuri kali ketiga dipotong tangan kiri hingga pergelangan tangan

  • Mencuri kali keempat dipotong kaki kanan hingga buku lali

  • Mencuri kali kelima dan seterusnya dikenakan ta'zir atau dipenjarakan hingga ia bertaubat.

bersambung...


Tulisan ini dirujuk kepada buku bertajuk Huraian Ayat-Ayat Hukum karangan Ustaz Abdul Latif Muda dan Ustazah Rosmawati Ali



"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

3 comments:

  1. assalamualaikum...mntak izin copy isi kt atas tu bole ?

    ReplyDelete
  2. Salam, tuan...mohon maaf krn tlh copy maklumat ini utk dikongsi kpd saudara² islam kita yg lain. InsyaAllah... mohon izin tuan atas nm dakwah.

    ReplyDelete
  3. Saya mohon share juga ya .t.kasih tuan

    ReplyDelete