Ithar bererti mengutamakan kepentingan orang lain melebihi kepentingan sendiri. Lawan ithar ialah ananiyah yang bermaksud individualistik. Kisah yang akan saya coretkan ini berkait dengan sifat ithar walaupun tidak secara langsung. Semoga kita sama-sama mengambil iktibar untuk memperbaiki kualiti diri kita sebagai seorang mukmin dan muslim.
Pada suatu petang Ahad, saya menerima panggilan daripada ayah saya. Ketika itu saya masih lena dibuai mimpi. Rasa letih kerana baru pulang dari kampung di Sepang masih belum hilang.
Abah : AssalamualaikumSaya : Wslm wrh wbtAbah : Abah nak minta tolong. Ada miscommunication. Ulish ingatkan abah datang petang ni.Saya : Pastu?Abah : Abah kena hantar Alang ke airport malam ni. Tak sempat laSaya : OkAbah : Minta tolong pegi asrama bagi duit belanja dan bawa sket makanan ringanSaya : Boleh, insya AllahTanpa berlengah lagi saya terus bangun menunaikan solat Asar (saya tidak sedar azan Asar kerana tertidur dengan nyenyaknya) dan bersiap-siap ke pekan mengeluarkan sedikit wang serta membeli makanan ringan untuk diberikan kepada adik bongsu saya. Saya membawa bersama anak sulong saya. Jika saya tidak bawanya bersama, mahu satu taman akan mendengar tangisannya. Ketika tiba di pasaraya Giant untuk mengeluarkan wang dari mesin ATM, mesin tersebut mengalami kerosakan. Dugaan pertama buat saya. Terpaksalah saya pergi ke stesen minyak Petronas berhampiran untuk mengeluarkan wang. Alhamdulillah kali ini tiada masalah mesin ATM. Jam sudah pun menunjukkan pukul 6 petang. Jarak pasaraya Giant, stesen minyak dan rumah saya tidaklah begitu jauh. Oleh kerana terlalu banyak lampu trafik yang perlu saya tempuhi, maka masa perjalanan yang diambil menjadi panjang.
Saya terus menuju ke pusat membeli belah Center Point untuk membeli makanan ringan di restoran Marry Brown. Jam sudah pun menunjukkan pukul 6.15 petang.
Pekerja restoran : Hidangan akan siap dalam masa 15 minit. Sila duduk ya, encikDengan penuh sabar, saya terus menanti hidangan disediakan. Tepat jam 6.30 petang, pesanan saya siap dan saya terus bergegas ke asrama sekolah adik saya. Ketika tiba di perkarangan pintu masuk sekolah, jam sudah pun menunjukkan pukul 6.40 petang. Saya meminta izin daripada pengawal keselamatan untuk masuk ke dalam kawasan sekolah menuju ke asrama.
Pengawal : Minta maaf encik, sekarang dah lebih 6.30. Tak boleh masukSaya : Jadi?Pengawal : Kereta pelawat tidak dibenarkan masuk. Encik boleh berjalan kaki ke asramaSaya menggaruk kepala saya yang tidak gatal. Entah mengapa saya pun tidak tahu. Untuk ke asrama, saya perlu mendaki bukit sejauh 200 meter. Pada masa yang sama saya perlu membawa anak sulong saya yang berumur 2 tahun dan makanan ringan adik saya. Hari semakin gelap. Maghrib akan menerjah dalam masa 40 minit lagi. Berjalan ke asrama akan mengambil masa 5 minit. Menunggu adik saya tiba, lagi 5 minit. Kembali ke tempat letak kereta, lagi 5 minit. Kemungkinan besar saya masih dalam perjalanan ke rumah ketika azan Maghrib dikemundangkan.
Pengawal tersebut masih menunggu reaksi saya. Kelihatan seorang lagi pengawal keselamatan sedang duduk di dalam pondok mengawal sambil membaca surat khabar. Kelihatan juga sebuah motorsikal milik salah seorang daripada mereka disandarkan pada dinding pondok pengawal tersebut.
Saya : Baiklah, saya jalan je ke asramaPengawal : Saya minta maaf cik. Saya cuma menjalankan tugasSaya : Takpe, saya fahamSaya berjalan ke asrama sambil memerhati pengawal tersebut dan motorsikal yang tersandar di dinding pondok pengawal. Saya gagahkan diri untuk menuju ke surau secepat mungkin. Maghrib semakin hampir. Saya khuatir perkara yang tidak baik berlaku kepada anak saya nanti. Maklumlah, anak-anak kecil amat mudah diganggu jin. Lebih-lebih lagi ketika waktu senja. Sekolah tersebut juga agak terkenal dengan gangguan jin kepada penghuni asrama. Adik perempuan saya sendiri pernah diganggu bertahun-tahun lamanya. Kadang kala saya berasa pelik apabila filem-filem hantu tanah air menunjukkan betapa mudahnya menewaskan jin dan syaitan daripada mengganggu anak Adam. Dengan menulis kalimah Allah, jin terus lenyap. Dengan membaca beberapa zikir, jin terus terbakar. Walhal, realitinya pertarungan dengan jin adalah pertarungan yang panjang dan meletihkan. Malah, belum tentu menang biarpun menggunakan ayat-ayat Al Quran. Kesemuanya bergantung dengan izin Allah.
Sambil menapak ke surau sekolah, saya terbayang alangkah baiknya jika pengawal tersebut dapat menghantar saya dan anak saya ke surau dengan menaiki motorsikalnya. Semestinya dengan bantuan seorang lagi pengawal yang tetap setia menjaga keselamatan di pintu pagar sekolah. Tidakkah dia berasa kasihan saya terpaksa mendokong anak saya dengan sebelah tangan dan sebelah tangan lagi membawa makanan ringan untuk adik bongsu saya? Di manakah ithar? Lama mengelamun, akhirnya saya tiba di surau sekolah. Di surau inilah 14 tahun dahulu saya menghabiskan masa yang terluang selepas waktu persekolahan menunggu tiba saat bermulanya kelas tambahan. Ketika itu saya berada di tingkatan tiga dan berulang alik dari sekolah ke rumah. Oleh kerana senggang waktu antara tamat persekolahan dan waktu bermulanya kelas tambahan hanyalah 1 jam setengah, saya mengambil keputusan untuk menyiapkan kerja rumah di surau sekolah sahaja. Kadang kala, saya akan cuba menyiapkan kerja rumah pada waktu rehat supaya saya dapat melelapkan mata di surau pada senggang waktu tersebut.
Kelihatan beberapa orang pelajar tingkatan 1 dan 2 sedang mengikat serban di beranda surau sekolah. Untung mereka kerana saya hanya belajar mengikat serban ketika di tingkatan 4. Saya sempat meminta mereka untuk mendapatkan adik saya di asrama.
Pelajar : acik boleh naik atas asrama cari diaWaaahhh...sungguh beradab remaja zaman sekarang. Apakah dia tidak melihat saya dalam keadaan berpeluh dengan mengendong anak lelaki menapak ke surau? Senang-senang sahaja memberi arahan ke asrama untuk mendapatkan adik saya. Apakah susah benar untuk ke asrama membantu saya mendapatkan adik saya? Tambahan pula tetamu adalah dilarang untuk memasuki kawasan asrama. Kali ini saya tidak segan silu lagi.
Saya : adik, boleh tak tolong panggilkan Mukhlis di asrama. Pakcik jalan jauh ke sini tadiTerpaksalah saya membahasakan diri saya 'pakcik' lantaran jurang umur sebanyak 15 tahun. Setelah dapat bertemu adik saya dan menyerahkan amanah ayah, barulah saya dapat menunaikan solat Maghrib berjamaah dengan tenang bersama para pelajar dan anak sulong saya. Saya menunggu sehingga wirid selesai barulah turun berjalan kaki ke tempat meletak kenderaan. Saya sempat melambai dan mengucapkan terima kasih kepada pengawal pintu pagar ketika menuju ke kereta.
Ketika memandu pulang ke rumah, hati saya tertanya bagaimanakan nasib masa depan adab dan sopan santun umat Islam Melayu nanti. Jika yang dewasa pun kurang membantu, inikan pula generasi yang seterusnya. Saya tiba di rumah sekitar jam 8 malam. Terus memandikan anak sulong dan menyiapkannya. Saya hanya mandi malam setelah jam menjengah 8.30 malam sambil kedengaran azan Isyak. Ahhh, terlepas lagi berjamaah di masjid.
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)