Wednesday, September 8, 2010

Ramadhan Kareem (Final)

Dalam entry yang terdahulu penulis menggalakkan kaum hawa menyelusuri seerah dan perjalanan hidup para sahabiah terdahulu yang sarat dengan pengajaran dan teladan. Entry kali ini disambung dengan kisah hidup:

Asma' binti Abu Bakr

Asma' adalah wanita yang ke 12 memeluk Islam dan merupakan saudara kandung kepada Aisyah, isteri Rasulullah. Suaminya ialah Zubair Al Awwam, antara 10 orang yang dijamin menjadi penghuni syurga oleh Rasulullah. Anak Asma' yang terkenal ialah Abdullah bin Zubair. Abdullah pernah menjadi khalifah kepada kaum muslimin selama 9 tahun.

Ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, Asma' ditugaskan untuk menghantar makanan kepada baginda dan ayahandanya di Gua Thur. Ketika Asma' kehabisan makanan untuk dihantar kepada mereka berdua, Asma' telah menyembelih untanya dan memasak daging untuk dihantar kepada mereka berdua. Asma' pernah tercedera di mukanya kerana ditampar oleh Abu Jahal. Puncanya adalah beliau menjawab, "Saya tidak tahu" apabila Abu Jahal bertanya kepadanya di manakah ayahnya dan Rasulullah bersembunyi.

Hisham bin Urwah pernah menceritakan bahawa bapanya suatu masa datang mengunjungi Asma' di rumahnya. Asma' ketika itu sedang solat dan membaca sepotong ayat Al Quran,

"Maka Allah memberikan kurnia kepada kami dan memelihara kami daripada azab neraka" (At Tur:27)

Selepas sahaja membaca ayat tersebut, Asma' terus menerus memohon perlindungan Allah. Oleh kerana terlalu lama menunggu, Urwah mengambil keputusan untuk ke pasar dahulu. Setelah selesai urusannya di pasar beliau kembali untuk menemui Asma'. Namun Asma' masih lagi menangis kerana takutkan Allah.

Asma' seorang isteri yang bijak menguruskan rumah tangga. Beliau pernah berkata,

"Aku berkhidmat sepenuh masa kepada suamiku di rumah, aku juga menjaga keperluan kuda yang slalu digunakan oleh suamiku. Aku menimba air dari telaga untuk keperluan memasak dan juga untuk keperluan kuda suamiku. Aku juga menjunjung bakul di atas kepalaku yang berisi bijiran yang aku tanam dan membawanya ke rumah dalam jarak kira-kira 3 farsakh".

Asma' juga merupakan seorang yang berani ketika berhadapan dengan golongan yang zalim. Al Hajjaj, seorang ketua tentera di zaman Khilafah Bani Umayyah telah membawa bala tenteranya dari Syams untuk memerangi Abdullah bin Zubair di Mekah. Oleh kerana asakan daripada tentera Al Hajjaj begitu kuat, Abdullah bin Zubair merasakan pasukannya semakin menghampiri kekalahan. Abdullah datang menemui ibunya mengadu akan kerisauannya. Asma' terus memberi peransang kepada Abdullah agar jangan berundur dari medan peperangan. Abdullah terus menyatakan kegusarannya,

"Wahai ibuku, dalam keadaan genting seperti ini, aku sangat takut sekiranya aku dibunuh oleh tentera Syams, seterusnya mereka akan mensalib aku".

Asma' menjawab,

"Wahai anakku, sesungguhnya seekor kambing itu apabila disembelih, dia sedikit pun tidak akan berasa sakit dengan sembelihan itu. Oleh itu, teruskanlah perjuangan kamu dan minta pertolongan daripada Allah".

Abdullah mencium dahi ibunya dan kembali bersemangat menuju medan perang. Asma' melepaskan pemergian Abdullah ke medan perang dengan diiringi doa,

"Wahai Allah, rahmatilah anakku yang begitu banyak sembahyang pada waktu malam, rahmatilah dia juga kerana banyak bersabar ketika penduduk Quraisy Mekah memulau dan mengepung masyarakat Islam di Mekah dan di Madinah. Berilah dia kemuliaan sama seperti kemuliaan yang dicapai oleh ibu dan bapanya. Wahai Tuhan, aku serahkan dirinya kepada pengawasanMu, aku redha dengan segala ketentuanMu dan oleh itu berilah aku ganjaran pahala seperti Kau berikan kepada mereka yang banyak bersabar dan bersyukur".

Abdullah terus berjuang hingga menemui syahid. Beliau telah disalibkan oleh Al Hajjaj di atas sebatang pokok. Ketika Asma' buat kali pertama diminta hadir untuk melihat sendiri jenazah anaknya, beliau enggan ke sana. Al Hajjaj terus memaksa Asma' untuk melihat sendiri jenazah anaknya dan mengugut untuk memenggal kepala Asma' jika dia masih enggan. Asma' masih bertegas dengan menjawab,

"Demi Allah aku tidak akan datang sehinggalah orang yang ingin memancung kepalaku datang menemuiku terlebih dahulu"

Al Hajjaj segera menuju ke rumah Asma' dan setelah bertemu beliau bertanya dengan angkuhnya,

"Bagaimana dengan perjuangan anakmu? Adakah beliau telah menang?"

Asma' menjawab dengan firman Allah:

"Dan mereka diberi petunjuk kepada ucapan-ucapan yang baik dan ditunjuki (pula) kepada jalan (Allah) yang terpuji. Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan menghalangi manusia dari jalan Allah dan Masjidil Haram yang telah kami jadikan untuk semua manusia, baik yang bermukim di sini mahupun di padang pasir dan siapa yang bermaksud di dalamnya melakukan kejahatan secara zalim, nescaya akan Kami rasakan kepadanya sebahagian seksa yang pedih." (Al Hajj: 24-25)

Asma' seterusnya menyebut,

"Kamu telah berdusta, anakku adalah anak yang pertama dalam kalangan penganut-penganut Islam yang dilahirkan di kota Madinah. Kelahirannya disambut dengan penuh gembira oleh baginda Rasulullah S.A.W. Baginda Rasulullah mencukuri rambut anakku seterusnya disambut dengan laungan takbir oleh sahabat-sahabat Rasulullah yang menghadiri majlis menyambut kelahiran anakku. Orang-orang yang datang dalam majlis itu adalah sahabat-sahabat Nabi yang lebih mulia daripada kamu dan rakan-rakan kamu. Anakku adalah seorang yang suka menolong dan membuat baik kepada kedua ibu bapanya. Beliau dikenali sebagai seorang yang banyak berpuasa dan sangat teguh berpegang dengan ajaran Al Quran. Beliau sangat menjaga perintah-perintah Allah dan sangat membenci mereka yang melakukan dosa serta derhaka kepada perintah Allah dan RasulNya.

Aku bersaksikan atas nama kemuliaan baginda Rasulullah sesungguhnya aku pernah mendengar baginda menyebut, "Akan keluar daripada Bani Thaqif seseorang pendusta dan bersamanya juga seorang manusia yang sangat berjasa". Pendusta yang dimaksudkan oleh baginda Rasulullah ialah kamu sementara yang sangat berjasa ialah anakku yang telah kamu bunuh."


Al Hajjaj bangun dan terpegun dengan ucapan Asma'. Asma' tidak mempedulikan Al Hajjaj dan terus pergi ke tempat anaknya dengan memandikan dia dengan minyak wangi, mengapankannya, menggali kubur, seterusnya memasukkan anaknya dalam kubur dan menutup kubur tersebut dengan timbunan tanah.

Asma' meninggal dunia pada awal tahun 73 Hijrah ketika usianya hampir 100 tahun. Tubuhnya ketika itu masih sihat tanpa kehilangan sebatang gigi pun. Kematiannya adalah menyusuli kematian anaknya yang bernama Abdullah dengan jarak masa selama 20 hari sahaja.

Nasibah binti Ka'ab

Beliau merupakan antara dua wanita yang hadir ketika Bai'ah Aqabah kedua bersama 70 orang lelaki. Seorang lagi wanita ialah Asma' binti Amru bin Udaiy. Nasibah pernah menyertai beberapa siri peperangan bersama Rasulullah dan juga ketika zaman khulafa' rasyidin. Beliau bukan sahaja berperanan sebagai perawat pesakit, tetapi juga sebagai pejuang dalam siri peperangan tersebut.

Nasibah juga turut dikenali dengan gelaran Ummu Ammarah. Beliau merupakan salah seorang daripada 10 orang yang dipertanggungjawabkan untuk melindungi Rasulullah dalam perang Uhud. Selain beliau, Ali bin Abi Talib, Abu Bakr, Umar, Saad, Thalhah, Zubair, anaknya dan juga isterinya turut mempertahankan Rasulullah. Baginda pernah bersabda,

"Aku tidak melihat sama ada arah kanan atau kiri kecuali aku dapati Ummu Amarah berada di semua arah begitu bersungguh-sungguh berperang mempertahankan diriku."

Ketika itu juga, Rasulullah mendapati anak Ummu Amarah tercedera dan mengalami pendarahan di sebelah bahu kiri beliau. Baginda mengingatkan beliau untuk mengikat bahunya yang cedera. Mendengar peringatan Rasulullah tersebut, Ummu Amarah terus menerpa anaknya yang ketika itu tertiarap di bumi. Beliau memeluk anaknya lalu memberi kata peransang untuk terus berjihad. Ummu Amarah sempat mengejar musuh yang menetak anaknya sehingga tercedera. Beliau sempat menetak bahagian kaki musuh tersebut dan membunuhnya. Rasulullah tersenyum dan bersabda,

"Beruntunglah kamu wahai Ummu Ammarah...Segala puji-pujian bagi Allah yang telah memilih kamu dan memenangkan kamu dengan mengalahkan musuh kamu. Ternyata musuh begitu gerun terhadap keberanian kamu."

Tentera musuh bernama Ibn Qami'ah datang merempuh untuk membunuh Rasulullah. Ummu Ammarah dengan penuh berani menghadang rempuhan musuh demi mempertahankan baginda. Akibatnya Ummu Ammarah telah mengalami 13 tetakan di badannya sehingga mengalami pendarahan yang serius. Tangannya juga terputus. Melihatkan keadaan itu, Rasulullah berdoa,

"Ya Allah, berkatilah Ummu Ammarah dan anaknya semoga mereka digolongkan dalam kalangan ahli keluargaku."

Ummu Ammarah kemudiannya meminta kepada Rasulullah supaya mendoakan beliau dan ahli keluarganya dapat bersama-sama baginda di syurga. Lantas Rasulullah menambah dalam doa tersebut supaya digolongkan Ummu Ammarah dan ahli keluarganya bersama baginda di syurga. Nasibah berasa sangat gembira hingga beliau lupa segala kesusahan yang telah beliau tempuhi.

Selepas kewafatan Rasulullah, Nasibah terlibat memerangi golongan murtad yang diketuai oleh Musailamatul Kazzab. Antara hadis yang terkenal ada menceritakan tentang suasana Bai'ah Aqabah. Kesemua kaum lelaki telah menyatakan sokongan bai'ah dengan bersalaman dengan Rasulullah kecuali kaum wanita. Bai'ah mereka diterima tanpa bersalam dan tarafnya tetap tinggi seperti bai'ah kaum lelaki.



Asma' binti Umais

Daripada Ibnu Abbas R.A. bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud:


"Empat wanita berikut diperakui sebagai wanita-wanita mukminah contoh iaitu Maimunah, Ummu Al Fadhal, Salmah dan Asma'"


Maimunah yang disebutkan ialah Maimunah binti Al Harith (ibu kepada orang-orang beriman). Ummu Fadhal binti Al Harith ialah isteri kepada Abbas, bapa saudara Rasulullah. Salmah binti Umais ialah isteri kepada Hamzah bin Abdul Mutallib. Yang terakhir ialah Asma' binti Umais. Keempat-empat wanita ini adalah daripada dua bapa yang berbeza melalui seorang ibu. Ibu mereka ialah Khawlah bintu Auf bin Zuhir yang mempunyai 10 orang anak perempuan.


Asma' binti Umais ialah isteri kepada Ja'afar bin Abu Talib. Melalui Ja'afarlah Asma' memeluk Islam. Beliau telah mengikuti suaminya berhijrah ke Habsyah. Asma' telah berhijrah kali kedua ke Madinah. Selepas pembukaan kota Mekah, Asma' telah berpeluangbertemu dengan Hafsah. Ayah Hafsah, Umar Al Khattab sempat memberi penghargaan kepada Asma' atas jasa dan keberaniaannya membela Islam. Umar pernah menyinggung perasaan Asma' secara tidak sengaja dengan kata yang berikut,

"Wahai Asma', kami adalah kumpulan pertama yang telah mendahului kamu ketika berhijrah ke Madinah. Oleh itu, kami sepatutnya dianggap orang yang lebih dekat dengan Rasulullah berbanding kamu."


Asma' berasa tersinggung dengan gurauan Umar tersebut. Lantas Asma' menjawab,

"Wahai Umar, demi Allah, kamu dan orang-orang kamu ketika bersama Rasulullah memiliki banyak kemudahan. Orang-orang yang lapar di kalangan kamu akan diberikan makanan, sementara orang-orang yang jahil di kalangan kamu akan diberikan pendidikan yang secukupnya. Sementara kami pula tinggal di negeri yang jauh dari Rasulullah. Negeri kami terdapat ramai musuh Islam. Walaupun begitu, kami tetap beriman dengan Allah dan RasulNya."

Asma' berasa sedih dan menangis. Lantas beliau terus pergi mengadu kepada Rasulullah. Rasulullah telah memanggil Umar bertanyakan dialog antaranya dan Asma'. Setelah selesai mendengar penjelasan Umar, Rasulullah bersabda,


"Kamu wahai Umar dan sahabat-sahabat kamu bukanlah orang yang paling istimewa. Kamu hanya mendapat ganjaran satu kali hijrah sahaja, sementara kamu wahai Asma' dan orang-orang kamu mendapat ganjaran pahala dua kali hijrah."


Suami Asma' iaitu Ja'afar meninggal dunia dalam peperangan Mu'tah. Selang beberapa lama, Abu Bakar As Siddiq meminang Asma' dan dikurniakan seorang anak lelaki. Asma' berkesempatan bersama Abu Bakar mengiringi Rasulullah mengerjakan haji terakhir yang disebut sebagai Hajjatul Wida'. Dalam peperangan Zi al Halifah yang mana penduduk-penduduk Madinah dihalang untuk memasuki kota Mekah untuk menunaikan haji, Asma' merasa sakit untuk bersalin lalu memencilkan diri di tempat yang berjauhan dari orang ramai seterusnya melahirkan seorang anak selang beberapa lama sebelum Abu Bakar sempat menemui isterinya Asma'. Rasulullah menyuruh Asma' supaya mandi membersihkan diri daripada pendarahan nifas dan memintanya bersedia menyempurnakan amalan haji bersama kaum muslimin yang lain.


Sebelum kewafatan Abu Bakar as Siddiq, beliau pernah berwasiat supaya jenazahnya dimandikan oleh Asma' binti Umais. Asma' telah menunaikan wasiat suaminya dengan penuh tekun dan sabar. Diceritakan pada hari suaminya itu meninggal dunia, beliau sedang berpuasa. Untuk menyempurnakan jenazah suaminya beliau memanggil beberapa orang sahabat dan bertanya,

"Wahai sahabat-sahabatku, pada hari ini aku berpuasa dan cuaca hari ini sangatlah sejuk. Bagaimana pendapat kamu, apakah aku sendiri yang patut memandikan jenazah suamiku?"


Sahabat-sahabat yang terdiri daripada kaum Muhajirin memberitahunya supaya jangan memandikan jenazah Abu Bakar secara bersendirian. Namun, Asma' tetap ingin menyempurnakan wasiat suaminya. Ini kerana Abu Bakar pernah berpesan sekiranya keadaan memerlukan, maka isterinya perlu berbuka puasa sekiranya ia berpuasa demi menyempurnakan urusan memandikan jenazahnya.


Setelah kewafatan Abu Bakar dan Fatimah (isteri Ali R.A.), Ali telah meminang Asma' binti Umais. Perkongsian hidupnya dengan Ali telah melahirkan seorang anak lelaki. Pada suatu hari, anak-anak Asma' telah berkelahi antara satu sama lain. Mereka menganggap bapa masing-masing lebih baik. Ketika itu, Ali ada bersama Asma' dan mendengar dialog yang berlaku antara Muhammad bin Jaafar dan Muhammad bin Abu Bakar. Ali telah meminta Asma' meleraikan perbalahan antara kedua orang beradik itu. Asma' telah mendekati Muhammad bin Jaafar dan menyebut,


"Aku tidak mendapati seorang remaja daripada kalangan orang-orang Arab yang lebih baik daripada bapamu iaitu Jaafar."

Seterusnya Asma' mendekati Muhammad bin Abu Bakar dan berkata,

"Aku tidak dapati orang tua yang lebih baik daripada bapamu Abu Bakar."

Setelah mendengar kata-kata tersebut, kedua beradik itu berpelukan antara satu sama lain. Mengikut sumber sejarah, Asma' wafat dalam masa setahun selepas anaknya, Muhammad bin Abu Bakar meninggal dunia.

Itulah antara kisah-kisah sahabiah Rasulullah yang wajar kita teliti dan selusuri di sepanjang bulan Ramadhan ini. Semoga dengan kisah-kisah hidup para sahabiah ini akan menaikkan semangat kaum ibu dalam mendidik ahli keluarga mereka menjalani proses madrasah Ramadhan pada tahun ini

Bukhari meriwayatkan bahawa Ar Rabi'e binti Muawiz pernah berkata,

"Kami semua berpuasa dan kami juga melatih anak-anak kami berpuasa. Kami sediakan permainan daripada bulu untuk mereka. Apabila salah seorang daripada mereka ingin makan, kami berikan mainan itu sehingga tiba waktu berbuka puasa."

Saidina Umar telah dikunjungi oleh seorang lelaki yang meminum arak di kedai pada bulan Ramadhan, lalu beliau berkata kepada lelaki tersebut,

"Celaka engkau! Anak-anak kecil kamu pun berpuasa."

Umar kemudian memukul lelaki itu dengan 80 kali sebatan. Semoga tulisan-tulisan saya yang dicedok daripada buku Buyutuna fi Ramadhan (Suasana rumah kami di bulan Ramadhan) yang dikarang oleh Dr. Abd Wahid Al Wakil memberi manfaat kepada kita semua. Jika tidak dapat dilaksanakan pada Ramadhan yang lalu, semoga kita dapat bertemu dengan Ramadhan yang akan datang dengan persediaan yang lebih rapi. Saya memohon maaf kerana entry Ramadhan Kareem siri terakhir terlewat disebabkan kehilangan buku rujukan saya. Alhamdulillah, akhirnya saya ketemu semula sumber tersebut di dalam beg kerja saya. Semoga Syawal kita pada tahun ini terus dilimpahi rahmah dan barakah daripada Allah SWT.


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment