Tuesday, September 28, 2010

Bil Hikmah (Dengan Berhikmah)

Sabtu yang lepas, saya sekeluarga telah dijemput oleh senior saya ketika bersekolah di Seremban dahulu untuk menghadiri rumah terbuka anjuran ibu bapanya. Saya tiba di rumah beliau sekitar jam 2 petang setelah selesai menunaikan solat Zohor. Agak ramai tetamu yang hadir. Rumahnya juga tidak kurang besarnya. Dua buah rumah kembar yang dipecahkan dan dicantumkan menjadi sebuah banglo. Cuaca ketika itu kelihatan mendung dan saya menjangka hujan pasti akan turun tidak lama lagi.

Saya dan isteri bergilir-gilir menjaga Nawfal. Nu'man pula berada di kampung bersama datuk dan neneknya. Tidak lama kemudian, hujan mula turun dengan lebatnya. Ketika saya sedang asyik bermain dengan Nawfal, kelihatan sebuah kereta Mercedez berhenti di depan rumah senior saya tersebut. Kelihatan seorang lelaki yang sudah berumur bersama isteri dan anak-anak keluar daripada kereta tersebut. Sementara itu pemandunya berlegar-legar di sepanjang jalan rumah tersebut mencari tempat letak kereta yang kosong. Saya sangat mengenali lelaki tersebut. Lelaki tersebut merupakan bekas menteri besar di sebuah negeri. Beliau telah kematian isteri dan berkahwin semula pada tahun ini. Anak-anak yang turun daripada kereta Mercedez tadi merupakan anak tirinya. Isterinya yang baru pula merupakan bekas ahli dewan undangan negeri di sebuah negeri.

Saya sangat membenci lelaki tersebut kerana beliau pernah disabitkan dengan salah laku rasuah satu masa dahulu. Ketika itu beliau menjawat jawatan sebagai menteri kabinet dan digantung keahlian partinya selama beberapa tahun. Kini beliau kembali aktif di arena politik dan baru-baru ini beliau telah memenangi pilihan raya kecil di sebuah negeri. Pun begitu, saya suka dengan watak beliau yang bersahaja dan sering berseloroh. Senang kata, beliau seorang yang lucu dan lawaknya sentiasa ada sahaja. Apabila turun daripada kereta, beliau sekeluarga terus menuju ke dalam rumah sedangkan tetamu lain hanya menjamu selera di luar rumah sahaja. Perasaan benci saya semakin membuak apabila melihat perilakunya yang seolah-olah terlalu elit berbanding tetamu yang lain. Pun begitu, sebelum beliau masuk ke dalam rumah, beliau sempat menegur saya dan saya menyambutnya dengan menjawab salam dan berjabat tangan.

Selesai isteri saya menjamu selera, saya menuju ke meja makan untuk mengisi perut yang kosong. Sementara itu, lelaki berkenaan masih lagi di dalam menjamu selera bersama keluarganya dan tuan rumah. Ketika beliau hendak beredar meninggalkan majlis, hujan masih lagi turun dengan lebat. Sementara menunggu ketibaan pemandunya, beliau cuba berbual dengan saya.

"Lebat betul hujan"

Saya hanya tersengih sahaja. Entah mengapa saya tidak gemar untuk bermesra dengan lelaki tersebut. Tidak lama kemudian kereta Mercedeznya tiba dan beliau sekeluarga pun beredar meninggalkan majlis. Ketika dalam perjalanan pulang, hati saya terdetik untuk memikirkan tindakan yang telah saya lakukan kepada lelaki tersebut. Saya tersedar yang tindakan saya tersebut tidak ada bezanya dengan tindakan lelaki tersebut ketika menuju ke dalam rumah dan membiarkan para tetamu menjamu selera di rumah. Perasaan 'elit'. Dalam keadaan tidak sedar, saya merasakan diri saya terlalu 'elit' berbanding lelaki tersebut yang banyak salah laku. Sedangkan saya pula merasa diri saya terlalu bersih dan suci.

Saya sepatutnya melayan lelaki tersebut seperti seorang mad'u. Oleh kerana beliau seorang yang penuh dengan rekod buruk dari sudut amanah dan krisis kepimpinan, maka ia menjadi tanggungjawab saya untuk menyampaikan seruan dakwah kepadanya. Selama ini saya tidak sedar yang saya punya sikap angkuh terhadap mereka yang punya salah laku. Kalau disingkap seerah terdahulu, berapa ramai para Rasul yang diutuskan untuk berdakwah kepada para raja. Antaranya ialah Nabi Musa kepada Fira'un, Nabi Muhammad kepada Najasyi dan Nabi Ibrahim kepada Namrud. Golongan elitis tersebut tidak boleh dipandang serong oleh golongan du'at seperti kita. Sepatutnya kita memandang mereka sebagai satu potensi dakwah yang mampu menyelamatkan kita daripada menerima seksaan di akhirat nanti. Astaghfirullahal 'azim.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Monday, September 27, 2010

Sembang-sembang di Hari Raya

Pada 2 Syawal yang lepas, saya sekeluarga telah bermalam di kampung mertua di Muar. Kebiasaannya aktiviti kami pada waktu malam hanyalah menonton televisyen beramai-ramai ataupun mengadakan jamuan makan besar. Tahun ini mertua saya telah membawa saya dan ipar duai makan malam di sebuah gerai berhampiran jeti Muar. Kami ke sana dengan menaiki dua buah kereta untuk mengelakkan kesukaran mendapatkan tempat letak kereta.

Sebuah kereta telah dinaiki oleh mertua saya bersama adik lelakinya dan isteri beliau. Selebihnya iaitu kakak ipar saya dan biras menaiki kereta isteri saya. Saya diamanahkan untuk memandu mengekori kereta mertua saya pada malam tersebut. Alhamdulillah, malam tersebut saya tidak melepaskan peluang menjamah Mee Bandung Muar dengan menikmati pemandangan muara Sg Muar yang luas terbentang. Masya Allah, cantik sungguh ciptaan Tuhan.

Dalam perjalanan pulang, saya telah memasang radio saluran IKIM.fm. Kebetulan pula, rancangan yang sedang di udara ialah forum berkaitan dengan krisis kemanusiaan di Gaza. Asyik mendengar forum tersebut, tiba-tiba terpacul daripada mulut saya,

"Derang citer pasal Gaza ni tapi tak ramai yang tau Masjidil Aqsa bukan di Gaza"

Tujuan saya berkata demikian hanya untuk mengingatkan biarpun krisis paling meruncing di Gaza, namun jangan kita lupakan nasib Baitul Maqdis di Tebing Barat. Dunia hebat menceritakan krisis di Gaza hingga ada antara kita yang lupa rancangan Zionis terhadap Masjidil Aqsa. Dalam diam, biras saya bersuara.

"Aritu ada jamaah tabligh datang dari Palestin. Derang pun pelik kita bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib saudara derang di Gaza. Derang relax je".

Apa yang cuba disampaikan oleh biras saya ialah krisis di Gaza tidaklah seteruk mana dan ini terbukti dengan kehadiran jamaah tabligh dari Gaza yang kelihatan bersahaja tanpa menampakkan sebarang kegusaran di wajah mereka. Biras saya merupakan aktivis jamaah tabligh dan beliau telah meluangkan masa bersama jamaah tabligh dari Gaza tersebut yang singgah di surau taman perumahannya. Beliau menambah,

"Kalau ikut kata derang, Israel ni kacau orang Palestin yang tak kuat agama je. In fact, Hamas yang mulakan serangan dulu. So Israel terpaksalah pertahankan diri."

Saya agak terkejut dengan kata-kata biras saya tersebut. Lebih mengejutkan sumber yang beliau ucapkan adalah daripada jamaah tabligh yang berasal dari tanah Gaza. Mujur saya masih mampu menumpukan perhatian memandu biarpun jalan sesak di Bandar Muar pada malam tersebut. Saya hanya diam dan membiarkan biras saya meneruskan kata-katanya. Saya cuba untuk mendalami sejauh mana pengetahuan biras saya tentang isu di Gaza. Saya cuba meneliti semula perkara-perkara penting yang telah biras saya sebutkan.

1. Tiada masalah yang serius di Gaza

Mengikut kata biras saya, jamaah tabligh dari Gaza tersebut pelik dengan kesungguhan rakyat Malaysia membantu meringankan kesengsaraan saudara mereka. Bagi mereka, kesengsaraan mereka tidaklah seteruk yang dipaparkan oleh media kepada rakyat Malaysia.

Adakah penceramah-penceramah yang dijemput dari Gaza ke tanah air telah menipu kita bulat-bulat? Mustahil. Para penceramah ini seperti Khalid Hanieyah dan ramai lagi telah menunjukkan bukti kesengsaraan rakyat Gaza melalui gambar-gambar dan rakaman video. Bukti mereka lebih sahih. Malah, mereka tidak mengaut sebarang keuntungan kerana sumbangan tidak diberikan terus kepada mereka. Sumbangan diberikan kepada institusi yang mereka wakili dan institusi ini diiktiraf oleh agensi antarabangsa. Tidak cukup dengan itu, kita punya ramai pelajar dari Gaza yang sedang menuntut di UIA. Kisah kezaliman pihak Israel boleh diketahui lanjut melalui mereka. Apakah yang ditawarkan oleh jamaah tabligh dari Gaza tersebut untuk kita mempercayai kata-katanya? Hanya air liur sahaja.

2. Zionis hanya mengganggu rakyat Palestin yang tidak kuat beragama

Jika mahu digunakan bahasa kasar mahu sahaja saya katakan, "Penipu besar". Ratusan ribu rakyat Palestin yang dibunuh antaranya kanak-kanak dan bayi. Apakah mereka boleh digolongkan sebagai rakyat Palestin yang tidak kuat beragama? Mereka adalah ibarat kain putih yang bersih. Tidak punya dosa. Pembunuhan mereka menunjukkan kezaliman Zionis yang membunuh rakyat Palestin dengan sewenang-wenangnya. Membunuh militan hanyalah alasan mereka yang direka-reka sahaja.

Bagaimana dengan pembunuhan Syeikh Ahmad Yasin? Beliau tidak kuat beragama? Ingat sahabat-sahabat, Syeikh Ahmad Yasin dibunuh ketika pulang dari solat Subuh di masjid!!! Apakah itu orang yang tidak kuat beragama? Dr. Abd Aziz Rantisi seorang yang sangat cintakan Masjidil Aqsa juga telah dibunuh dengan kejam. Cintanya yang mendalam kepada Al Aqsa hinggakan beliau telah mengumpulkan tin-tin kosong untuk membina model Masjidil Aqsa ketika di dalam penjara. Apakah orang yang cintakan Al Aqsa wajar dikenali sebagai orang yang tidak kuat beragama?

3. Hamas yang memulakan serangan. Tindakan Israel hanyalah mempertahankan diri

Perkara seperti ini mesti dilihat dari sudut sejarah. Konflik Palestin dan Zionis bermula sejak awal kurun ke 20 lagi. Zionis mula meramaikan bangsa Israel di bumi Palestin. Perlahan-lahan mereka melakukan keganasan dan mengganggu ketenteraman penduduk Palestin. Isu serangan bukan bermula tahun lepas. Bukan bermula bulan lepas. Bukan bermula minggu lepas. Ianya bermula sebelum Hamas ditubuhkan lagi!!! Apakah Hamas yang wajar dipersalahkan?

Tindakan Hamas tidak ada bezanya seperti tindakan gerila Iraq yang menyerang tentera Amerika Syarikat. Rakyat Palestin sedang dijajah. Mereka dihalau dari rumah dan tanah mereka sendiri. Apakah mereka tidak punya hak untuk mempertahankan diri? Salah satu cara mempertahankan diri ialah dengan melumpuhkan kekuatan musuh. Itulah yang dilakukan oleh Hamas.

Hujjah saya hanya menggunakan logik akal dan sedikit bacaan yang telah saya lakukan. Mungkin hujjah saya tidak begitu kuat. Tetapi cukup untuk meyakinkan saya bahawa Israel adalah dalang di sebalik semua kejahatan ini. Malangnya pada malam tersebut keadaan lalu lintas terlalu sesak dan saya tidak dapat mengeluarkan hujjah-hujjah saya sebagai perbincangan dengan biras saya. Terpaksalah saya mendiamkan diri dan memberi tumpuan pada pemanduan. Insya Allah di kesempatan lain saya akan cuba berdiskusi dengan biras saya berkaitan isu Gaza ini.

Kisah jamaah tabligh ini mengingatkan saya satu cerita ketika saya masih menuntut di Amerika Syarikat. Saya mempunyai seorang sahabat yang berasal dari Afghanistan. Suatu hari, beliau dihampiri oleh salah seorang ahli jamaah tabligh yang singgah di masjid kami. Setelah berkenalan, ahli jamaah tabligh tersebut bertanya kepadanya,

"In your opinion, why did Afghanistan people lost against the American Army?"

"They don't have the same weapon technology and strength as American Army"

"No, brother. It's because their faith is not strong"

Siapa beliau untuk menilai iman seseorang? Malah beliau tidak pernah sampai ke sana pun untuk melihat secara benar adakah rakyat Afghanistan lemah imannya. Saya hanya ketawa dan terus ketawa. Apabila orang tidak berilmu berkata-kata, ianya memang melucukan.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Thursday, September 23, 2010

Jaulah di Hari Raya

Sejak berumur 9 tahun, saya hanya menyambut 1 Syawal di kawasan perumahan saya sahaja. Ini kerana keluarga ibu dan ayah saya mempunyai bilangan adik beradik yang ramai. Termasuk sepupu sepapat saya, jumlahnya boleh mencecah hampir 50 orang. Agak mustahil untuk memuatkan kesemuanya untuk bermalam di rumah nenda-nenda saya. Akhirnya ibu dan ayah saya membuat keputusan untuk pulang beraya hanya setelah selesai solat sunat Aidilfitri dan kembali semula ke Seremban selepas solat Isyak. Ditambah dengan perjalanan ke kampung yang hanya memakan masa selama 30 minit melalui lebuhraya PLUS, menjadikan ianya bukanlah satu masalah buat kami semua.

Pada Aidilfitri tahun ini, saya bersama isteri menyambut 1 Syawal di rumah ibu bapa saya yang sedang kami duduki. Kebetulan pula, ibu dan ayah saya juga berada di Seremban kerana ayah saya terpaksa menyampaikan khutbah hari raya di surau taman perumahan kami. Selesai mendengar khutbah, saya dan keluarga bergegas ke rumah mertua di Sikamat, Seremban. Kami meluangkan sedikit masa di rumah mertua kerana raya tahun ini adik beradik isteri saya tidak pulang ke Seremban melainkan kakak ipar saya yang suaminya juga berasal dari Seremban. Selepas solat Jumaat barulah saya dan keluarga bergerak menuju ke kampung halaman ibu bapa saya di Linggi, Port Dickson. Pun begitu saya hanya sempat beraya di rumah kedua nenda saya sahaja. Rumah makcik-makcik dan pakcik saya terpaksa ditangguhkan dahulu sehingga 3 Syawal. Kami terpaksa pulang awal ke Seremban kerana terpaksa memandikan anak-anak. Suasana di rumah nenda saya sangat tidak sesuai kerana terlalu padat dan ramai yang menggunakan bilik air.

Keesokannya saya sekeluarga bersama mertua beraya ke Muar yang merupakan kampung halaman mertua saya. Kami bermalam di rumah datuk isteri saya yang kini dihuni oleh adik bongsu ayah mertua saya. Saya suka pulang ke Muar kerana dapat menikmati Mee Bandung Muar dan Laksa Johor secara percuma. Semestinya Mee Bandung Muar dan Laksa Johor yang sedap sahaja yang saya suka. Awal pagi 3 Syawal saya kembali semula ke Seremban. Dalam perjalanan ke Seremban kami singgah di kampung halaman ayah bonda saya di Linggi untuk menziarahi saudara mara saya. Saya sempat menziarahi Mak Long Qayah (satu ibu berlainan bapa dengan ayah saya), Mak Lang Eton (satu ayah berlainan ibu dengan ayah saya) dan Pak Ngah Md Zin (satu ayah berlainan ibu dengan ayah saya).

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Tengahari 4 Syawal barulah saya pulang ke rumah ibu bapa saya di Sepang. Saya terpaksa kembali ke Seremban pada esoknya kerana isteri saya mula bekerja pada lusa hari. Antara pengajaran yang saya perolehi ialah agar tidak terlalu lama bermusafir jika membawa anak-anak kecil bersama. Kadang kala kita ingatkan mereka menangis kerana meragam. Rupanya mereka cuba menyampaikan mesej yang mereka sudah keletihan bermusafir dalam tempoh yang lama. Selamat Hari Raya Aidilfitri saya ucapkan kepada semua pembaca. Jazakumullahu khairan katheera.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Wednesday, September 8, 2010

Ramadhan Kareem (Final)

Dalam entry yang terdahulu penulis menggalakkan kaum hawa menyelusuri seerah dan perjalanan hidup para sahabiah terdahulu yang sarat dengan pengajaran dan teladan. Entry kali ini disambung dengan kisah hidup:

Asma' binti Abu Bakr

Asma' adalah wanita yang ke 12 memeluk Islam dan merupakan saudara kandung kepada Aisyah, isteri Rasulullah. Suaminya ialah Zubair Al Awwam, antara 10 orang yang dijamin menjadi penghuni syurga oleh Rasulullah. Anak Asma' yang terkenal ialah Abdullah bin Zubair. Abdullah pernah menjadi khalifah kepada kaum muslimin selama 9 tahun.

Ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, Asma' ditugaskan untuk menghantar makanan kepada baginda dan ayahandanya di Gua Thur. Ketika Asma' kehabisan makanan untuk dihantar kepada mereka berdua, Asma' telah menyembelih untanya dan memasak daging untuk dihantar kepada mereka berdua. Asma' pernah tercedera di mukanya kerana ditampar oleh Abu Jahal. Puncanya adalah beliau menjawab, "Saya tidak tahu" apabila Abu Jahal bertanya kepadanya di manakah ayahnya dan Rasulullah bersembunyi.

Hisham bin Urwah pernah menceritakan bahawa bapanya suatu masa datang mengunjungi Asma' di rumahnya. Asma' ketika itu sedang solat dan membaca sepotong ayat Al Quran,

"Maka Allah memberikan kurnia kepada kami dan memelihara kami daripada azab neraka" (At Tur:27)

Selepas sahaja membaca ayat tersebut, Asma' terus menerus memohon perlindungan Allah. Oleh kerana terlalu lama menunggu, Urwah mengambil keputusan untuk ke pasar dahulu. Setelah selesai urusannya di pasar beliau kembali untuk menemui Asma'. Namun Asma' masih lagi menangis kerana takutkan Allah.

Asma' seorang isteri yang bijak menguruskan rumah tangga. Beliau pernah berkata,

"Aku berkhidmat sepenuh masa kepada suamiku di rumah, aku juga menjaga keperluan kuda yang slalu digunakan oleh suamiku. Aku menimba air dari telaga untuk keperluan memasak dan juga untuk keperluan kuda suamiku. Aku juga menjunjung bakul di atas kepalaku yang berisi bijiran yang aku tanam dan membawanya ke rumah dalam jarak kira-kira 3 farsakh".

Asma' juga merupakan seorang yang berani ketika berhadapan dengan golongan yang zalim. Al Hajjaj, seorang ketua tentera di zaman Khilafah Bani Umayyah telah membawa bala tenteranya dari Syams untuk memerangi Abdullah bin Zubair di Mekah. Oleh kerana asakan daripada tentera Al Hajjaj begitu kuat, Abdullah bin Zubair merasakan pasukannya semakin menghampiri kekalahan. Abdullah datang menemui ibunya mengadu akan kerisauannya. Asma' terus memberi peransang kepada Abdullah agar jangan berundur dari medan peperangan. Abdullah terus menyatakan kegusarannya,

"Wahai ibuku, dalam keadaan genting seperti ini, aku sangat takut sekiranya aku dibunuh oleh tentera Syams, seterusnya mereka akan mensalib aku".

Asma' menjawab,

"Wahai anakku, sesungguhnya seekor kambing itu apabila disembelih, dia sedikit pun tidak akan berasa sakit dengan sembelihan itu. Oleh itu, teruskanlah perjuangan kamu dan minta pertolongan daripada Allah".

Abdullah mencium dahi ibunya dan kembali bersemangat menuju medan perang. Asma' melepaskan pemergian Abdullah ke medan perang dengan diiringi doa,

"Wahai Allah, rahmatilah anakku yang begitu banyak sembahyang pada waktu malam, rahmatilah dia juga kerana banyak bersabar ketika penduduk Quraisy Mekah memulau dan mengepung masyarakat Islam di Mekah dan di Madinah. Berilah dia kemuliaan sama seperti kemuliaan yang dicapai oleh ibu dan bapanya. Wahai Tuhan, aku serahkan dirinya kepada pengawasanMu, aku redha dengan segala ketentuanMu dan oleh itu berilah aku ganjaran pahala seperti Kau berikan kepada mereka yang banyak bersabar dan bersyukur".

Abdullah terus berjuang hingga menemui syahid. Beliau telah disalibkan oleh Al Hajjaj di atas sebatang pokok. Ketika Asma' buat kali pertama diminta hadir untuk melihat sendiri jenazah anaknya, beliau enggan ke sana. Al Hajjaj terus memaksa Asma' untuk melihat sendiri jenazah anaknya dan mengugut untuk memenggal kepala Asma' jika dia masih enggan. Asma' masih bertegas dengan menjawab,

"Demi Allah aku tidak akan datang sehinggalah orang yang ingin memancung kepalaku datang menemuiku terlebih dahulu"

Al Hajjaj segera menuju ke rumah Asma' dan setelah bertemu beliau bertanya dengan angkuhnya,

"Bagaimana dengan perjuangan anakmu? Adakah beliau telah menang?"

Asma' menjawab dengan firman Allah:

"Dan mereka diberi petunjuk kepada ucapan-ucapan yang baik dan ditunjuki (pula) kepada jalan (Allah) yang terpuji. Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan menghalangi manusia dari jalan Allah dan Masjidil Haram yang telah kami jadikan untuk semua manusia, baik yang bermukim di sini mahupun di padang pasir dan siapa yang bermaksud di dalamnya melakukan kejahatan secara zalim, nescaya akan Kami rasakan kepadanya sebahagian seksa yang pedih." (Al Hajj: 24-25)

Asma' seterusnya menyebut,

"Kamu telah berdusta, anakku adalah anak yang pertama dalam kalangan penganut-penganut Islam yang dilahirkan di kota Madinah. Kelahirannya disambut dengan penuh gembira oleh baginda Rasulullah S.A.W. Baginda Rasulullah mencukuri rambut anakku seterusnya disambut dengan laungan takbir oleh sahabat-sahabat Rasulullah yang menghadiri majlis menyambut kelahiran anakku. Orang-orang yang datang dalam majlis itu adalah sahabat-sahabat Nabi yang lebih mulia daripada kamu dan rakan-rakan kamu. Anakku adalah seorang yang suka menolong dan membuat baik kepada kedua ibu bapanya. Beliau dikenali sebagai seorang yang banyak berpuasa dan sangat teguh berpegang dengan ajaran Al Quran. Beliau sangat menjaga perintah-perintah Allah dan sangat membenci mereka yang melakukan dosa serta derhaka kepada perintah Allah dan RasulNya.

Aku bersaksikan atas nama kemuliaan baginda Rasulullah sesungguhnya aku pernah mendengar baginda menyebut, "Akan keluar daripada Bani Thaqif seseorang pendusta dan bersamanya juga seorang manusia yang sangat berjasa". Pendusta yang dimaksudkan oleh baginda Rasulullah ialah kamu sementara yang sangat berjasa ialah anakku yang telah kamu bunuh."


Al Hajjaj bangun dan terpegun dengan ucapan Asma'. Asma' tidak mempedulikan Al Hajjaj dan terus pergi ke tempat anaknya dengan memandikan dia dengan minyak wangi, mengapankannya, menggali kubur, seterusnya memasukkan anaknya dalam kubur dan menutup kubur tersebut dengan timbunan tanah.

Asma' meninggal dunia pada awal tahun 73 Hijrah ketika usianya hampir 100 tahun. Tubuhnya ketika itu masih sihat tanpa kehilangan sebatang gigi pun. Kematiannya adalah menyusuli kematian anaknya yang bernama Abdullah dengan jarak masa selama 20 hari sahaja.

Nasibah binti Ka'ab

Beliau merupakan antara dua wanita yang hadir ketika Bai'ah Aqabah kedua bersama 70 orang lelaki. Seorang lagi wanita ialah Asma' binti Amru bin Udaiy. Nasibah pernah menyertai beberapa siri peperangan bersama Rasulullah dan juga ketika zaman khulafa' rasyidin. Beliau bukan sahaja berperanan sebagai perawat pesakit, tetapi juga sebagai pejuang dalam siri peperangan tersebut.

Nasibah juga turut dikenali dengan gelaran Ummu Ammarah. Beliau merupakan salah seorang daripada 10 orang yang dipertanggungjawabkan untuk melindungi Rasulullah dalam perang Uhud. Selain beliau, Ali bin Abi Talib, Abu Bakr, Umar, Saad, Thalhah, Zubair, anaknya dan juga isterinya turut mempertahankan Rasulullah. Baginda pernah bersabda,

"Aku tidak melihat sama ada arah kanan atau kiri kecuali aku dapati Ummu Amarah berada di semua arah begitu bersungguh-sungguh berperang mempertahankan diriku."

Ketika itu juga, Rasulullah mendapati anak Ummu Amarah tercedera dan mengalami pendarahan di sebelah bahu kiri beliau. Baginda mengingatkan beliau untuk mengikat bahunya yang cedera. Mendengar peringatan Rasulullah tersebut, Ummu Amarah terus menerpa anaknya yang ketika itu tertiarap di bumi. Beliau memeluk anaknya lalu memberi kata peransang untuk terus berjihad. Ummu Amarah sempat mengejar musuh yang menetak anaknya sehingga tercedera. Beliau sempat menetak bahagian kaki musuh tersebut dan membunuhnya. Rasulullah tersenyum dan bersabda,

"Beruntunglah kamu wahai Ummu Ammarah...Segala puji-pujian bagi Allah yang telah memilih kamu dan memenangkan kamu dengan mengalahkan musuh kamu. Ternyata musuh begitu gerun terhadap keberanian kamu."

Tentera musuh bernama Ibn Qami'ah datang merempuh untuk membunuh Rasulullah. Ummu Ammarah dengan penuh berani menghadang rempuhan musuh demi mempertahankan baginda. Akibatnya Ummu Ammarah telah mengalami 13 tetakan di badannya sehingga mengalami pendarahan yang serius. Tangannya juga terputus. Melihatkan keadaan itu, Rasulullah berdoa,

"Ya Allah, berkatilah Ummu Ammarah dan anaknya semoga mereka digolongkan dalam kalangan ahli keluargaku."

Ummu Ammarah kemudiannya meminta kepada Rasulullah supaya mendoakan beliau dan ahli keluarganya dapat bersama-sama baginda di syurga. Lantas Rasulullah menambah dalam doa tersebut supaya digolongkan Ummu Ammarah dan ahli keluarganya bersama baginda di syurga. Nasibah berasa sangat gembira hingga beliau lupa segala kesusahan yang telah beliau tempuhi.

Selepas kewafatan Rasulullah, Nasibah terlibat memerangi golongan murtad yang diketuai oleh Musailamatul Kazzab. Antara hadis yang terkenal ada menceritakan tentang suasana Bai'ah Aqabah. Kesemua kaum lelaki telah menyatakan sokongan bai'ah dengan bersalaman dengan Rasulullah kecuali kaum wanita. Bai'ah mereka diterima tanpa bersalam dan tarafnya tetap tinggi seperti bai'ah kaum lelaki.



Asma' binti Umais

Daripada Ibnu Abbas R.A. bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud:


"Empat wanita berikut diperakui sebagai wanita-wanita mukminah contoh iaitu Maimunah, Ummu Al Fadhal, Salmah dan Asma'"


Maimunah yang disebutkan ialah Maimunah binti Al Harith (ibu kepada orang-orang beriman). Ummu Fadhal binti Al Harith ialah isteri kepada Abbas, bapa saudara Rasulullah. Salmah binti Umais ialah isteri kepada Hamzah bin Abdul Mutallib. Yang terakhir ialah Asma' binti Umais. Keempat-empat wanita ini adalah daripada dua bapa yang berbeza melalui seorang ibu. Ibu mereka ialah Khawlah bintu Auf bin Zuhir yang mempunyai 10 orang anak perempuan.


Asma' binti Umais ialah isteri kepada Ja'afar bin Abu Talib. Melalui Ja'afarlah Asma' memeluk Islam. Beliau telah mengikuti suaminya berhijrah ke Habsyah. Asma' telah berhijrah kali kedua ke Madinah. Selepas pembukaan kota Mekah, Asma' telah berpeluangbertemu dengan Hafsah. Ayah Hafsah, Umar Al Khattab sempat memberi penghargaan kepada Asma' atas jasa dan keberaniaannya membela Islam. Umar pernah menyinggung perasaan Asma' secara tidak sengaja dengan kata yang berikut,

"Wahai Asma', kami adalah kumpulan pertama yang telah mendahului kamu ketika berhijrah ke Madinah. Oleh itu, kami sepatutnya dianggap orang yang lebih dekat dengan Rasulullah berbanding kamu."


Asma' berasa tersinggung dengan gurauan Umar tersebut. Lantas Asma' menjawab,

"Wahai Umar, demi Allah, kamu dan orang-orang kamu ketika bersama Rasulullah memiliki banyak kemudahan. Orang-orang yang lapar di kalangan kamu akan diberikan makanan, sementara orang-orang yang jahil di kalangan kamu akan diberikan pendidikan yang secukupnya. Sementara kami pula tinggal di negeri yang jauh dari Rasulullah. Negeri kami terdapat ramai musuh Islam. Walaupun begitu, kami tetap beriman dengan Allah dan RasulNya."

Asma' berasa sedih dan menangis. Lantas beliau terus pergi mengadu kepada Rasulullah. Rasulullah telah memanggil Umar bertanyakan dialog antaranya dan Asma'. Setelah selesai mendengar penjelasan Umar, Rasulullah bersabda,


"Kamu wahai Umar dan sahabat-sahabat kamu bukanlah orang yang paling istimewa. Kamu hanya mendapat ganjaran satu kali hijrah sahaja, sementara kamu wahai Asma' dan orang-orang kamu mendapat ganjaran pahala dua kali hijrah."


Suami Asma' iaitu Ja'afar meninggal dunia dalam peperangan Mu'tah. Selang beberapa lama, Abu Bakar As Siddiq meminang Asma' dan dikurniakan seorang anak lelaki. Asma' berkesempatan bersama Abu Bakar mengiringi Rasulullah mengerjakan haji terakhir yang disebut sebagai Hajjatul Wida'. Dalam peperangan Zi al Halifah yang mana penduduk-penduduk Madinah dihalang untuk memasuki kota Mekah untuk menunaikan haji, Asma' merasa sakit untuk bersalin lalu memencilkan diri di tempat yang berjauhan dari orang ramai seterusnya melahirkan seorang anak selang beberapa lama sebelum Abu Bakar sempat menemui isterinya Asma'. Rasulullah menyuruh Asma' supaya mandi membersihkan diri daripada pendarahan nifas dan memintanya bersedia menyempurnakan amalan haji bersama kaum muslimin yang lain.


Sebelum kewafatan Abu Bakar as Siddiq, beliau pernah berwasiat supaya jenazahnya dimandikan oleh Asma' binti Umais. Asma' telah menunaikan wasiat suaminya dengan penuh tekun dan sabar. Diceritakan pada hari suaminya itu meninggal dunia, beliau sedang berpuasa. Untuk menyempurnakan jenazah suaminya beliau memanggil beberapa orang sahabat dan bertanya,

"Wahai sahabat-sahabatku, pada hari ini aku berpuasa dan cuaca hari ini sangatlah sejuk. Bagaimana pendapat kamu, apakah aku sendiri yang patut memandikan jenazah suamiku?"


Sahabat-sahabat yang terdiri daripada kaum Muhajirin memberitahunya supaya jangan memandikan jenazah Abu Bakar secara bersendirian. Namun, Asma' tetap ingin menyempurnakan wasiat suaminya. Ini kerana Abu Bakar pernah berpesan sekiranya keadaan memerlukan, maka isterinya perlu berbuka puasa sekiranya ia berpuasa demi menyempurnakan urusan memandikan jenazahnya.


Setelah kewafatan Abu Bakar dan Fatimah (isteri Ali R.A.), Ali telah meminang Asma' binti Umais. Perkongsian hidupnya dengan Ali telah melahirkan seorang anak lelaki. Pada suatu hari, anak-anak Asma' telah berkelahi antara satu sama lain. Mereka menganggap bapa masing-masing lebih baik. Ketika itu, Ali ada bersama Asma' dan mendengar dialog yang berlaku antara Muhammad bin Jaafar dan Muhammad bin Abu Bakar. Ali telah meminta Asma' meleraikan perbalahan antara kedua orang beradik itu. Asma' telah mendekati Muhammad bin Jaafar dan menyebut,


"Aku tidak mendapati seorang remaja daripada kalangan orang-orang Arab yang lebih baik daripada bapamu iaitu Jaafar."

Seterusnya Asma' mendekati Muhammad bin Abu Bakar dan berkata,

"Aku tidak dapati orang tua yang lebih baik daripada bapamu Abu Bakar."

Setelah mendengar kata-kata tersebut, kedua beradik itu berpelukan antara satu sama lain. Mengikut sumber sejarah, Asma' wafat dalam masa setahun selepas anaknya, Muhammad bin Abu Bakar meninggal dunia.

Itulah antara kisah-kisah sahabiah Rasulullah yang wajar kita teliti dan selusuri di sepanjang bulan Ramadhan ini. Semoga dengan kisah-kisah hidup para sahabiah ini akan menaikkan semangat kaum ibu dalam mendidik ahli keluarga mereka menjalani proses madrasah Ramadhan pada tahun ini

Bukhari meriwayatkan bahawa Ar Rabi'e binti Muawiz pernah berkata,

"Kami semua berpuasa dan kami juga melatih anak-anak kami berpuasa. Kami sediakan permainan daripada bulu untuk mereka. Apabila salah seorang daripada mereka ingin makan, kami berikan mainan itu sehingga tiba waktu berbuka puasa."

Saidina Umar telah dikunjungi oleh seorang lelaki yang meminum arak di kedai pada bulan Ramadhan, lalu beliau berkata kepada lelaki tersebut,

"Celaka engkau! Anak-anak kecil kamu pun berpuasa."

Umar kemudian memukul lelaki itu dengan 80 kali sebatan. Semoga tulisan-tulisan saya yang dicedok daripada buku Buyutuna fi Ramadhan (Suasana rumah kami di bulan Ramadhan) yang dikarang oleh Dr. Abd Wahid Al Wakil memberi manfaat kepada kita semua. Jika tidak dapat dilaksanakan pada Ramadhan yang lalu, semoga kita dapat bertemu dengan Ramadhan yang akan datang dengan persediaan yang lebih rapi. Saya memohon maaf kerana entry Ramadhan Kareem siri terakhir terlewat disebabkan kehilangan buku rujukan saya. Alhamdulillah, akhirnya saya ketemu semula sumber tersebut di dalam beg kerja saya. Semoga Syawal kita pada tahun ini terus dilimpahi rahmah dan barakah daripada Allah SWT.


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)