Monday, August 30, 2010

Ramadhan Kareem (part 4)

Di tengah-tengah ayat Al Quran yang berkaitan dengan kewajipan berpuasa, yakni sebelum sampai kepada ayat yang khusus mengenai hukum-hukum berpuasa, Allah berfirman,

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang mendoa apabila ia berdoa kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Al Baqarah:186)

Syed Qutb mengulas tentang ayat ini,

"Sebelum ayat ini memperincikan hukum yang berkaitan dengan ibadah puasa, terdapat beberapa pengajaran yang dapat mengesani jiwa manusia yang tersirat dalam ayat-ayat tersebut. Dalam ayat ini tersirat janji ganjaran daripada Allah yang bersifat Maha Sempurna kepada umat Islam yang mengerjakan ibadah berpuasa. Terdapat juga janji permohonan doa-doa mereka akan diterima oleh Allah. Janji-janji itu akan dapat dicapai sekiranya manusia berusaha mendampingi Allah melalui ibadah-ibadah mereka. Janji Allah untuk menerima doa hamba-hambaNya dilafazkan dengan ungkapan yang sangat indah dan sangat jelas maknanya."

Dalam ayat tersebut Allah menggambarkan sifat lemah lembut dan kasih sayangNya. Ini semua menunjukkan seruan kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya seterusnya Allah begitu hampir dengan manusia dan bersedia mendengar permohonan doa hambaNya. Ungkapan ayat-ayat yang disebutkan itu sangatlah ajaib kerana memberikan pengharapan yang tinggi kepada orang-orang yang beriman sehingga mewujudkan perasaan tenang, sedih, yakin dan perasaan terlalu hampir dengan Allah. Perasaan seperti ini akan memberikan nikmat kepada orang-orang yang beriman.

Ibn Qayyim al Jawziyyah telah mengarang satu bab yang menghuraikan secara terperinci mengenai doa, dalam kitab beliau yang berjudul Al Da'wa Al Da'wa. Huraian ringkas dalam bab tersebut dapatlah disimpulkan seperti berikut:


Doa Orang Yang Lalai

Hadis Abu Hurairah R.A. dalam sahih Muslim disebutkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

"Wahai manusia, sesungguhnya Allah itu baik, tidak akan menerimamu melainkan yang baik sahaja."

Abu Zar pernah menyebut kedudukan doa yang berserta dengan amalan kebaikan adalah berpadanan dengan keperluan garam hidangan makanan. Bersungguh-sungguh semasa berdoa kepada Allah seperti yang diriwayatkan daripada Ibnu Majah daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang tidak pernah berdoa kepada Allah, Allah pasti murka terhadapnya."


Antara Perkara-perkara Yang Merosakkan Doa

Doa akan rosak bila mana seseorang hamba tergesa-gesa dalam doanya sementara penerimaan Allah didapati olehnya secara tidak segera, lalu beliau berputus asa seterusnya meninggalkan ibadah berdoa kepada Allah. Dalam Sahih Bukhari daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:

"Doa setiap orang daripada kamu akan dimakbulkan Allah selama mana kamu tidak bersifat gelojoh atau tergesa-gesa, seperti beliau berkata: 'Aku telah banyak kali berdoa tetapi segala doaku belum mustajab lagi'.

Waktu-waktu di mana doa seseorang itu dimakbulkan Allah apabila seseorang itu berdoa dengan khusyuk, penuh penumpuan, mengharapkan bantuan daripada Allah dan disertai pula dengan bertepatan dengan waktu-waktu mustajab doa. Doa juga akan diterima oleh Allah apabila terdapat perasaan khusyuk dalam hati dan putus harapan untuk mendapatkan bantuan selain hanya kepada Allah.

Disyorkan juga kaum muslimat supaya mencari maklumat-maklumat berkenaan keagungan wanita-wanita silam khususnya para sahabat daripada kalangan wanita. Berikut beberapa nama tokoh yang boleh diselusuri ketokohan mereka.

Khadijah binti Khuwailid - Ibu kepada wanita-wanita beriman

Khadijah merupakan wanita yang pertama beriman dengan kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah menyampaikan berita gembira kepada Khadijah bahawa beliau akan ditempatkan di dalam syurga yang indah di mana beliau tidak akan mengalami apa-apa kesusahan lagi setelah bertungkus lumus membantu perjuangan risalah dakwah baginda. Dalam sahih Muslim, Abu Hurairah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda,

"Malaikat Jibril telah datang menemuiku lalu menyebut, 'Wahai Rasulullah, Khadijah adalah seorang wanita istimewa. Apabila dia datang menemuimu sampaikanlah salam Allah kepadanya, begitu juga salamku untuknya'. Nyata sekali bahawa Rasulullah di sepanjang kehidupannya sangat memuliakan isterinya Khadijah dan sentiasa menyebut kebaikannya walaupun beliau telah lama meninggal dunia."

Dalam sahih Bukhari dan Sahih Muslim juga disebutkan bahawa Aisyah R.A amat cemburu kepada Khadijah berbanding para isteri baginda yang lain kerana baginda selalu menyebut nama dan jasa Khadijah R.A. Rasulullah pernah menyembelih seekor kambing dan dagingnya diagihkan kepada rakan-rakan kenalan Khadijah R.A. Aisyah R.A dengan perasaan cemburu mengungkapkan, 'Hai Rasulullah, seolah-olah tiada wanita lain di dunia ini selain Khadijah.' Lalu baginda menyebut jasa-jasa Khadijah dan memberitahu Aisyah juga bahawa hasil perkongsian dengan Khadijah beliau memperoleh anak. Khadijah meninggal dunia pada bulan Ramadhan tahun ke 2 sebelum Hijrah yang mana ketika itu usianya 65 tahun.

bersambung...

Entry ini dipetik daripada buku bertajuk "Buyutuna fi Ramadhan (Keadaan rumah-rumah kami di bulan Ramadhan) yang dikarang oleh Dr. Abdul Wahid al Wakil

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Sunday, August 22, 2010

Ramadhan Kareem (part 3)

Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, antara amalan yang digalakkan ketika bulan Ramadhan ialah membaca Al Quran. Malah, dalam aktiviti seharian kita di luar bulan Ramadhan juga kita disarankan untuk membaca Al Quran. Dalam hadis hasan yang diriwayatkan oleh Abu Sai'd Al Khudri R.A. bahawa Rasulullah pernah bersabda,

"Sesiapa yang menyibukkan diri dengan membaca Al Quran sehingga tidak sempat berdoa kepadaKu kerana meminta sesuatu, aku akan memberinya sesuatu yang lebih baik daripada apa yang aku berikan kepada orang yang hanya sibuk berdoa dan meminta kepadaKu." (Riwayat at Tirmizi)

Diriwayatkan bahawa baginda mengkhatamkan dua kali bacaan Al Quran bersama malaikat Jibril di tahun kewafatan baginda. Zaid bin Thabit juga khatam dan sempat menghadiri majlis bacaan Al Quran bersama Rasulullah S.A.W pada tahun terakhir sebelum kewafatan baginda. Berikut beberapa cadangan untuk dilaksanakan pada bulan Ramadhan:

1.Tadarrus Al Quran bersama ahli keluarga (pasangan dan anak-anak)

2. Membaca dengan kaedah tadabbur, sekurang-kurangnya 5 ayat setiap hari. Teliti asbab nuzul dan terjemahan.

3.Mengulang kaji hafazan Al Quran

4.Menghafal surah-surah tertentu seperti Surah Al Ahzab, An Nur dan Al Hujurat.

5. Memperaktikkan adab-adab sebelum tilawah seperti berwudhu dan bersugi.

6. Tidak khatam dalam masa kurang daripada 3 hari

7. Membaca Al Quran dengan tertib, hormat, khusyuk dan sedih

8. Menyediakan hadiah kepada ahli keluarga yang menghabiskan bacaan Al Quran serta mampu memperbaiki kualiti bacaannya.

Antara ayat-ayat Al Quran yang boleh kita tadabburi sepanjang bulan Ramadhan pula ialah;

1. Ayat 183 hingga 187 daripada surah Al Baqarah.

Ayat-ayat ini membincangkan tentang kepentingan puasa dan urusan-urusan yang berkaitan dengannya.

2. Ayat 190 hingga 195 daripada surah Ali Imran.

Ayat-ayat ini membicarakan tentang sifat-sifat yang perlu ada dalam diri seorang mukmin. Antara sifat-sifat tersebut ialah mementingkan kebersihan hati dan sentiasa mengingati Allah biarpun dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring. Mereka juga sentiasa mengingati Hari Akhirat dan menerima seruan keimanan. Orang-orang yang beriman juga sentiasa memohon keampunan Allah daripada dosa-dosa yang mereka lakukan dan sentiasa mengharap semoga Allah akan menghapuskan kejahatan yang telah mereka lakukan pada masa yang lalu. Perlu ditegaskan juga bahawa kebaikan dalam Islam dapat dicapai oleh manusia sama ada mereka daripada golongan lelaki atau wanita. Allah telah menggambarkan betapa lelaki dan wanita memiliki kedudukan yang setaraf dari segi penerimaan amal ibadah mereka di dalam Al Quran.

3. Ayat 35 dan 36 daripada surah Al Ahzab

Ibnu Kathir meriwayatkan bahawa antara sebab turunnya ayat seperti di atas adalah seperti yang diceritakan oleh Ummu Salamah, isteri baginda Rasulullah. Ummu Salamah telah bertanya kepada baginda,

"Mengapa kami kaum wanita tidak disebut di dalam Al Quran seperti mana lazimnya disebut kaum lelaki?"

Rasulullah menangguhkan jawapannya hinggalah ke suatu masa yang lain. Aku terdengar Rasululah berpidato di atas mimbar ketika aku berada di rumah sedang berhias menyikat rambut. Aku bergegas keluar dan mendengar secara jeals pidato baginda yang membacakan firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya kaum muslimin dan muslimat seperti yang disebutkan dalam surah Al Ahzab."

Dalam mentafsirkan ayat firman Allah daripada kedua ayat tadi, Ibnu Kathir memaknakan 'Al Qanut' dengan maksud ketaatan kepada Allah dengan penuh sukarela. Sifat khusyuk pula membawa maksud sikap tentang merendah diri kepada Allah dan disertai dengan perasaan takut kepada Allah. Sehubungan dengan ayat berikut, Abu Daud meriwayatkan daripada Abu Said al Khudri R.A. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud,

"Apabila seseorang suami mengejutkan isterinya pada waktu malam lalu kedua-duanya sembahyang dua rakaat, maka kedua-duanya digolongkan dalam kalangan apa yang disebutkan oleh Allah sebagai golongan yang banyak berzikir kepadanya sama ada daripada golongan lelaki dan wanita."

Merujuk kepada sebab turunnya ayat yang kedua pula, Ibnu Kathir menyebut seorang lelaki miskin daripada ahli suffah (orang-orang miskin yang menginap di Masjid Nabawi) bernama Jalbib telah dijodohkan oleh Rasulullah dengan seorang wanita Ansar. Bapa wanita tersebut meminta masa untuk mendapatkan pandangan isterinya. Pada awalnya si ibu menolak dan Jalbib hampir mengadu kepada Rasulullah. Sebelum Jalbib sempat mengadu, si wanita bertanya kepada kedua orang tuanya adakah patut kalian menolak kehendak Rasulullah S.A.W. Wanita tersebut menyatakan kesediaannya menerima Jalbib. Akhirnya Jalbib mengahwini wanita tersebut.

Dalam satu siri peperangan, Rasulullah telah bertanya kepada para tentera adakah ada antara kenalan mereka yang hilang daripada pasukan tentera (mati syahid). Oleh kerana bilangan tentera terlalu ramai, mereka tidak menyedari siapakah yang telah mati syahid (kerana jumlah yang syahid tidak begitu ramai). Rasulullah menyedari Jalbib tidak kelihatan di dalam gerombolan tersebut dan memerintahkan para sahabat mencarinya di medan peperangan. Sahabat menjumpai jenazah beliau yang dikelilingi tujuh mayat musuh yang sempat dibunuhnya sebelum beliau syahid. Rasulullah menyebut,

"Jalbib adalah seorang sahabat yang mengasihiku dan aku juga mengasihinya."

Seterusnya baginda sendiri yang menggali kubur, memasukkan jenazahnya ke liang lahad dan menimbus kubur tersebut.

Thabit meriwayatkan bahawa Rasulullah telah membacakan doa untuk isteri Jalbib,

"Ya Allah, limpahkanlah rahmatMu ke atas wanita tersebut dan jangan engkau sempitkan kehidupannya dengan menanggung pelbagai kesusahan."

4. Ayat 59 daripada surah Al Ahzab.

"Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"

Ayat tersebut menjawab kekeliruan dakwaan bahawa memakai hijab adalah perintah khusus hanya untuk isteri-isteri baginda. Ayat tersebut sedikit berbeza dengan maksud hijab yang disebutkan dalam perintah Allah,

"Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir. Cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka. Dan tidak boleh kamu menyakiti (hati) Rasulullah dan tidak (pula) mengahwini isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya perbuatan itu adalah amat besar (dosanya) di sisi Allah." (Al Ahzab:53)

Dalam ayat tersebut, arahan yang dikhususkan kepada isteri-isteri Rasulullah ialah araha menggunakan langsir atau penghadang yang dapat memisahkan mereka dengan para sahabat yang terdiri daripada kaum lelaki yang sering datang ke rumah baginda untuk menuntut ilmu yang disampaikan oleh para isteri Rasulullah S.A.W. Hijab ini berbeza dengan hijab yang diwajibkan kepada para wanita.

5. Ayat 31 daripada surah An Nur

Ayat tersebut juga hampir sama intisarinya dengan ayat 59 surah Al Ahzab tadi. Iaitu menentukan secara tepat hukum syarak yang berkaitan dengan aurat wanita juga kewajipan-kewajipan wanita yang berkaitan dengan memakai perhiasan, hubungannya dengan kaum lelaki dan wanita-wanita lain. Ia juga menegaskan batas-batas yang berkaitan dengan perhiasan diri yang boleh didedahkan kepada kaum lelaki dan wanita lain.

6. Ayat 11 hingga 13 surah Al Hujurat

Para ulama' menamakan surah Al Hujurat sebagai surah 'Al Adaab' yang membawa maksud surah yang berkaitan dengan pembinaan adab dan akhlak yang mulia. Antara akhlak-akhlak yang disebutkan dalam firman Allah di atas ialah menghormati orang lain dan saling memuliakan di antara seorang individu dengan individu yang lain. Ayat-ayat Al Quran seperti yang disenaraikan tadi merupakan perintah kepada manusia bertujuan untuk membina kemuliaan kita di sepanjang Ramadhan. Oleh itu marilah bersegera menyahut kebaikan dalam bulan yang mulia ini.

bersambung...

Entry ini dipetik daripada buku bertajuk "Buyutuna fi Ramadhan" (Keadaan rumah-rumah kami di bulan Ramadhan) yang dikarang oleh Dr. Abdul Wahid al Wakil

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Saturday, August 14, 2010

Ramadhan Kareem (part 2)

Berikut disenaraikan beberapa kelebihan ibadah puasa di bulan Ramadhan.

1. Penebus dosa

Diriwayatkan oleh Bukhari daripada Huzaifah R.A. berkata,

"Siapakah yang menghafal hadis Nabi berkenaan fitnah? Kemudian berkata Huzaifah: Fitnah seseorang itu pada ahlinya, hartanya dan jirannya ditebus dengan sembahyang, puasa dan sedekah."

2. Syafaat di Hari Qiyamah

Diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad yang sahih daripada Abdullah bin Amru sesungguhnya Nabi telah bersabda:

"Puasa dan Al Quran memberikan syafaat kepada hamba pada hari kiamat. Berkata puasa: Wahai Tuhan, aku telah menghalangnya daripada makanan dan minuman pada siang hari, maka syafaatku padanya. Dan berkata Al Quran: Wahai Tuhanku, aku telah menghalangnya daripada tidur pada waktu malam, maka syafaatku padanya."

Ada beberapa lagi kelebihan puasa di bulan Ramadhan yang kebanyakannya semua maklum seperti pengampunan daripada dosa yang lalu, dikurniakan nikmat memasuki syurga melalui pintu Rayyan dan banyak lagi.

Bulan Ramadhan juga merupakan satu-satunya masa yang mana semua ahli keluarga akan berkumpul untuk menjamu makanan, tidak kira sama ada pada waktu bersahur atau waktu berbuka. Inilah keberkatan bulan Ramadhan. Sebaiknya kesempatan ini digunakan oleh kedua ibu bapa untuk menyempurnakan pembinaan iman di kalangan ahli keluarga dengan melazimkan sunnah atau mengisi waktu yang terluang semasa menunggu dengan berdoa dan tazkirah.

Berkenaan berbuka dengan tamar, Ibnu Qayyim menyebut dalam Zad al Ma'ad,

"Ini merupakan kesempurnaan prihatin Nabi kepada umatnya dan nasihat bagi mereka. Sesungguhnya memasukkan sesuatu yang manis ke dalam perut yang kosong amat diterima oleh perut dan berfaedah kepada badan serta menguatkan akal."

Berkaitan dengan air, puasa menyebabkan keadaan kekeringan kepada hati dan buah pinggang. Apabila ia dibasahi dengan air sempurnalah proses makanan selepas itu. Oleh itu, adalah lebih baik bagi orang yang lapar dan dahaga untuk memulakan dengan minuman sedikit kemudian barulah ia makan.

Berkenaan sahur pula, disebutkan di dalam Fathul Bari, berlaku satu dialog seperti yang berikut:

Beberapa orang zuhud berkata, "Sahur bercanggah dengan hikmat berpuasa kerana puasa itu untuk memecahkan nafsu syahwat dan perut." Lalu dijawab oleh Ibnu Haja, "Sesungguhnya sesuatu yang melebihi had hingga menghilangkan hikmat puasa seluruhnya tidaklah disunatkan, sebagaimana diamalkan oleh orang yang suka makan serta melampau menyediakannya. Abu Said al Khudry R.A. berkata, daripada Rasulullah telah bersabda, "Bersahur itu berkat, maka janganlah ditinggalkan walau hanya dengan seteguk air. Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas orang yang bersahur" (Riwayat Ahmad)

Keluar daripada batas mengikut keterangan Ibnu Hajar ialah:

1. Kuat makan
2. Keterlaluan membuat persiapan hidangan

Jika kerja rumah seperti memasak menjadi beban dan menghalang daripada melakukan ibadah sunat, ketahuilah bahawa di sana terdapat satu aspek ibadah yang lain pada bulan Ramadhan iaitu 'meninggalkan'. Ibnu Qayyaim menyebut,

"Seseorang yang berpuasa tidak melakukan tetapi meninggalkan kerana memperhambakan diri. Ia meninggalkan kesukaan nafsu dan kelazatannya kerana mengutamakan kasi Allah dan keredhaanNya. Puasa memelihara kesihatan hati dan anggota badan, serta mengembalikan kepadanya segala yang telah dirampas oleh nafsu syahwat."

Apabila seseorang berpuasa, ia meninggalkan kesukaan nafsu dan kelazatannya. Ia meninggalkan perkara yang harus seperti makan dan minum. Justeru ibadah puasa mampu melahirkan syakhsiah yang hebat lantaran latihan tarbawi ketahanan terhadap perkara yang harus dan halal. Rasulullah S.A.W menamakan bulan Ramadhan dengan 'sabar'. Baginda juga menyatakan bahawa puasa itu separuh sabar, dan iman itu separuhnya sabar. Secara ringkas, kita dapati bahawa puasa itu seperempat iman. Dapat disimpulkan juga dalam ibadah puasa, terdapat tiga jenis kesabaran,

1. Sabar mentaati Allah
2. Sabar daripada segala syahwat yang diharamkan
3. Sabar daripada derita lapar dan dahaga

Timbul persoalan mengapa kita tidak mencapai keputusan yang diinginkan daripada ibadah puasa, iaitu taqwa? Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A. yang bermaksud,

"Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya maka tiada keperluan baginya untuk meninggalkan makan dan minum kerana Allah."

Dalam riwayat lain, "(Maka janganlah ia mengeluarkan kata kotor dan jangan memaki tidak tentu) jika dicela atau diserang maka katakanlah: 'Aku berpuasa, aku berpuasa.'

Apakah pandangan anda jika anda sedang sembahyang dan seseorang mencela anda. Adakah anda akan membalasnya? Begitulah keadaan anda sepanjang siang bulan Ramadhan seperti dalam keadaan sembahyanga. Maka janganlah sampai anda terputus sembahyang kerana perbuatan mereka. Imam Ghazali membahagikan orang yang berpuasa kepada tiga darjat:

1. Puasa orang awam. Hanya menahan perut dan kemaluan daripada nafsu syahwat sahaja
2. Puasa khusus. Menahan anggota badan daripada melakukan dosa.
3. Puasa khusus al khusus. Puasa yang hanya mengharapkan redha Allah.

Salah satu nikmat yang terdapat dalam bulan Ramadhan ialah Allah memakbulkan doa hamba-hambaNya. Oleh itu ayat Al Quran yang menyatakan kesediaan Allah menerima doa hamba-hambanya disebut ditengah-tengah ayat Al Quran yang berkaitan dengan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan.

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka itu memenuhi(segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Al Baqarah:186)

Ketika di bulan Ramadhan kita juga digalakkan banyak bersedekah dan bermurah hati. Banyak riwayat yang mengatakan Rasulullah adalah seorang yang paling pemurah apabila memasuki bulan Ramadhan. Nabi Yusuf A.S. apabila ditanya kepada baginda,mengapa baginda banyak berpuasa sedangkan baginda adalah maharaja Mesir. Baginda menjawab,

"Aku khuatir sekiranya tidak membanyakkan puasa maka aku berkeadaan kenyang lalu melupai orang-orang yang lapar."

Ini menunjukkan ibadah puasa melatih seluruh masyarakat supaya melayakkan diri menjadi golongan yang memiliki keupayaan tinggi dari segi bersedekah dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

bersambung...

Entry ini dipetik daripada buku bertajuk "Buyutuna fi Ramadhan" (Keadaan rumah-rumah kami di bulan Ramadhan) yang dikarang oleh Dr. Abdul Wahid al Wakil

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Monday, August 9, 2010

Ramadhan Kareem (part 1)

Imam Ahmad dan An Nasa'i meriwayatkan sebuah hadis dengan isnad yang sahih daripada Abu Hurairah R.A. beliau berkata Rasulullah telah bersabda,

"Ramadhan telah datang kepada kamu yang merupakan bulan berkat dan Allah telah mewajibkan puasa dalam bulan ini. Semua pintu syurga dibuka dan semua pintu neraka ditutup serta dibelenggu syaitan. Ia mempunyai satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan dan sesiapa yang tidak bertemu dengannya ia sangat rugi"

Ibnu Rajab berkata hadis ini pada asalnya ialah sebagai tahniah kepada manusia dengan kedatangan Ramadhan. Bagaimana orang beriman tidak mendapat berita gembira dengan terbuka pintu syurga? Bagaimana pula orang berdosa tidak mendapat berita gembira dengan tertutup pintu neraka? Bagaimana dengan orang yang berakal tidak mendapat berita gembira dengan terbelenggunya segala syaitan?

Demikianlah digambarkan betapa meriahnya kedatangan Ramadhan disambut di kalangan mukminin di zaman Rasulullah. Bagaimana Rasulullah menyambut ketibaan 'kekasih' yang dinanti-nanti ini?

1. Persediaan dengan berpuasa

Aisyah R.A. berkata,

"Aku tidak nampak Rasulullah S.A.W menyempurnakan puasa melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak melihatnya banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya'ban" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibnu Rajab berkata dalam kitab Lataif al Ma'arif puasa dalam bulan Sya'ban seolah membiasakan puasa dalam bulan Ramadhan supaya tidak merasa susah ketika melakukan puasa fardhu. Bahkan kadangkala orang yang membiasakan berpuasa dalam bulan Sya'ban akan merasa manis berpuasa dan memasuki bulan Ramadhan dengan kekuatan dan kecergasan. Orang yang tidak biasa berpuasa sering terlupa.

Seorang lelaki telah datang mengadu kepada Abu Hurairah R.A. dengan katanya,

"Pada suatu pagi, aku berpuasa, lalu aku terlupa dan termakan". Abu Hurairah menjawab, "Tidak mengapa" Lelaki itu berkata lagi, "Kemudian aku berjumpa dengan seseorang, maka aku terlupa lalu termakan dan terminum". Abu Hurairah menjawab, "Tidak mengapa. Sesungguhnya Allah telah memberi anda makan dan minum." Lelaki itu berkata lagi, "Kemudian aku bertemu dengan orang ketiga dan aku makan dan minum". Abu Hurairah berkata, "Sesungguhnya engkau seorang yang tidak membiasakan diri dengan berpuasa."

2. Persediaan dengan Al Quran

Antara latihan praktikal dalam bulan Sya'ban sebagai persediaan menuju Ramadhan ialah membaca Al Quran. Anas bin Malik R.A. berkata,

"Apabila masuk bulan Sya'ban, orang-orang Islam membelek mushaf-mushaf dan membacanya serta mengeluarkan zakat harta mereka, tujuannya ialah menguatkan bagi mereka yang lemah dan miskin untuk berpuasa bulan Ramadhan."

Seorang soleh telah ditanya berkenaan seorang muslim yang mula membaca Al Quran selepas satu jangka masa yang lama ia tidak membacanya, maka dia berasa berat untuk membacanya sehingga hampir-hampir tidak berjaya menghabiskan beberapa potong ayat daripadanya. Ia menjawab,

"Dia mestilah mengatasi perasaan itu".

Orang yang bertanya tadi terus berlalu pergi kemudian dia datang semula dan berkata,

"Hairan sungguh, setelah aku membaca setengah juzuk Al Quran, aku berterusan minat untuk membacanya, tetapi perasaan itu masih tidak aku biasakan."

Maka lelaki yang soleh itu berkata,

"Inilah keadaan Al Quran terhadap orang yang lalai. Sesungguhnya Al Quran sebenarnya adalah ubat penyakit hati. Menjauhinya akan menyebabkan hati dipenuhi dengan karat dan selaput. Oleh itu ayat-ayat yang dibaca semula itu akan menyucikan semula hati. Ini adalah usaha yang susah dan tidak disenangi nafsu. Apabila kita melawan keengganan nafsu itu, Al Quran akan menjalankan tugasnya sehingga hati itu akan suci semula dan menjadi tempat yang sesuai untuk menerima cahaya Al Quran."

3. Persediaan dengan doa

Al-Maala bin Fadhl berkata,

"Sesungguhnya mereka berdoa kepada Allah selama enam bulan sebelum Ramadhan agar ditemukan dengan Ramadhan dan berdoa selama enam bulan selepas Ramadhan agar amalan bulan Ramadhan mereka diterima."

Yahya bin Abi Kathir berkata,

"Antara doa orang-orang saleh ialah: Ya Allah, jumpakan aku dengan Ramadhan dan serahkan Ramadhan kepadaku, terimalah amalan yang aku lakukan padanya."

4. Persediaan dengan mengingati kelebihan bulan Ramadhan dan kebaikannya.

Seorang musafir yang datang jauh, kekasihnya akan sungguh rindu dan tidak sabar untuk berbicara memperkatakan mengenai kebaikan dan kehebatannya. Rasulullah S.A.W berbuat demikian tentang Ramadhan sejak awal Rajab dan terus menerus melakukan demikian sehinggalah bulan Sya'ban dengan berpuasa, membaca Al Quran dan berdoa.

Pada minggu terakhir bulan Sya'ban, Rasulullah S.A.W akan menaiki mimbar dan mengkhabarkan kepada sahabat berita gembira, menghitung-hitung kebaikan dan nikmat yang terdapat pada bulan yang akan mendatang dengan penuh kerinduan dan kesukaan.

Demikianlah beberapa garis panduan dalam mempersiapkan diri menyambut Ramadhan mengikut sunnah Ar Rasul S.A.W. Oleh itu, seorang wanita muslimah mestilah membuat persediaan di rumahnya untuk menyambut ketibaan yang gemilang ini dengan melakukan hal-hal yang berikut;

1. Menggalakkan ahli keluarga berpuasa di bulan Sya'ban sebanyak yang boleh.
- Jika tidak mampu, hendaklah berpuasa Isnin dan Khamis. Jika tidak mampu juga, berpuasa pada hari-hari putih pada bulan tersebut (tiga hari pada pertengahan bulan - sunnah Rasulullah)

2. Menambah bacaan Al Quran pada bulan Sya'ban.
-Banyakkan mendengar pembacaan Al Quran di radio dan televisyen. Membacanya dengan menjadikannya sebagai wirid harian.

3. Menggalakkan suami mengkaji kitab Fiqh Siyam (Puasa) dan membentangkannya kepada seluruh ahli keluarga.

4. Menghias rumah seperti menggantung ayat-ayat Al Quran dan menukar langsir.

5. Mengeratkan kasih sayang dan kemesraan bersama suami supaya ibadah di bulan Ramadhan dapat dilakukan dengan hati yang tenang tanpa sebarang perselisihan faham.

6. Mengeratkan silaturrahim dengan ibu bapa, mertua dan sanak saudara dengan berziarah atau memberi hadiah sempena menyambut Ramadhan.

7. Mengeratkan hubungan dengan jiran tetangga dan merangka program ibadah bersama mereka.

8. Berdoa dengan bersungguh supaya dapat dipertemukan dengan Ramadhan dalam keadaan dapat melakukan ibadah dengan baik terutamanya bersama anak-anak yang berpuasa pada kali pertama ataupun yang akan menyempurnakannya untuk kali yang pertama.

bersambung...

Entry ini dipetik daripada buku bertajuk "Buyutuna fi Ramadhan" (Keadaan rumah-rumah kami di bulan Ramadhan) yang dikarang oleh Dr. Abdul Wahid al Wakil.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)