Entry kali ini saya akan kongsikan beberapa tips dalam mendidik anak-anak. Tips ini dinamakan Prinsip Mengadun Anak. Mari kita lihat apakah tips-tips tersebut.
1. Berlawanan Positif
Berlawanan positif bermakna kita memfokuskan tabiat baik yang ada pada anak kita. Digalakkan memberi pujian ketika mereka mengamalkan tabiat tersebut. Contohnya,
"Abah tengok Ahmad selalu menabung duit belanja sekolah. Abah suka anak Abah menyimpan. Nanti boleh lah beli baju raya dengan duit tu."
Jika boleh, biarlah pujian tersebut dari hati yang ikhlas dan jujur. Bukan terbit dari rasa terpaksa. Anak-anak sebenarnya mampu menilai tindakan kita. Kita sering memfokuskan kesalahan anak-anak dalam mendidik mereka. Walhal banyak perkara baik yang mereka amalkan tidak pernah langsung kita puji. Pujian yang diberikan akan melonjakkan mereka untuk terus beramal dengan tabiat yang baik tersebut.
2. Pengukuhan Positif
Pengukuhan positif bermakna memberi pujian atau hadiah secara serta merta apabila mereka mengamalkan tabiat yang baik. Sebagai contoh,
"Wah rajin betul anak ayah sorang ni solat. Malam nanti abah belanja makan kat Ayamas ye"
Kadang kala pujian sahaja tidak memadai sebagai pendorong anak-anak. Hadiah atau ganjaran boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk menaikkan semangat untuk terus beramal. Ini akan menjadikan mereka merasa seronok untuk beramal. Lambat laun mereka akan mengamalkan tabiat tersebut dengan rasa ikhlas dan ihsan.
3. Latihan Pengukuhan
Hadiah atau ganjaran tidak boleh diberikan selama-lamanya sebagai pendorong anak-anak. Setelah beberapa ketika, kita perlu membimbing mereka untuk meneruskan amal tanpa pantauan. Inilah masanya kita menerangkan kepada anak-anak apakah kepentingan amal tersebut. Contohnya,
"Ahmad, solat ni sebenarnya wajib kita buat. Kalau tak solat, kita akan dimasukkan ke dalam api neraka".
Penjelasan yang diberi kepada anak-anak tidak perlu terlalu detail. Dikhuatiri anak-anak akan menjadi lebih tidak faham dan lama-kelamaan mereka tidak mengerti mengapa amal tersebut penting. Bayangkan jika kita terangkan kepada anak kita yang berumur 5 tahun bahawa solat adalah sebagai tanda pengabdian kepada Allah. Solat sebagai tiang agama. Semestinya mereka akan terpinga-pinga. Sebaiknya penerangan diberi dalam bentuk yang mudah mereka fahami seperti ganjaran syurga bagi mereka yang mendirikan solat dan balasan neraka bagi mereka yang meninggalkan solat.
4. Aduni Anak-anak
Mengaduni anak-anak bermaksud memberi perhatian semasa anak-anak mengamalkan tabiat yang baik. Konsep ini tidak jauh berbeza dengan konsep yang pertama iaitu, Berlawanan Positif. Namun ada sedikit tambahan iaitu mengabaikan tabiat buruk yang diamalkan oleh anak-anak. Jika mereka mengamalkan sebarang tabiat buruk seperti enggan menggosok gigi, sebaiknya kita diam dan pulaukan mereka. Lama kelamaan mereka akan sedar yang tindakan mereka tidak menyenangkan kedua ibu bapa mereka. Seterusnya mereka akan meninggalkan tabiat buruk tersebut dengan sendirinya. Tindakan sebegini hanya sesuai diamalkan pada anak-anak yang masih belum bersekolah sahaja.
5. Elakkan
Ibu bapa hendaklah memastikan tiada sebarang peralatan, suasana dan hubungan yang boleh menyebabkan anak-anak kembali kepada tabiat buruk semula. Contohnya jika tabiat buruk anak yang telah ditinggalkan ialah minat bermain video game, maka ibu bapa hendaklah memastikan permainan video game tersebut disimpan dengan rapi dan jauh daripada pandangan si anak. Jika boleh, pastikan anak-anak tidak bergaul rapat dengan kawan-kawan yang gemar bermain video game.
Disini juga saya ingin kongsikan beberapa jenis hukuman yang akan menyebabkan anak-anak hilang hormatnya kepada ibu bapa.
1. Hukuman dengan pelbagai motif.
Hukuman sebegini bukanlah satu tindakan untuk mendidik atau mengajar anak-anak. Malah anak akan menjadi keliru mengapa mereka dihukum dengan hukuman yang terlalu berat. Sebagai contoh, kita memarahi anak kerana menyepahkan barang permainannya. Tidak cukup dengan marah kita sebat anak kita dengan penyangkut baju atau tali pinggang. Anak akan menjadi keliru kerana dengan kesalahan yang sama, kawan-kawan mereka hanya dihukum dengan bebelan ibu atau ayah sahaja. Sedangkan anak kita dihukum dengan belasahan yang teruk. Mungkin pada waktu tersebut, kita baru sahaja dimarahi oleh pihak atasan di pejabat ataupun baru disaman oleh polis kerana melanggar lampu isyarat. Justeru kita melepaskan geram kita kepada anak kita. Oleh itu amat penting sebelum menghukum anak, kita betulkan niat dan berfikir dengan waras.
2. Hukuman untuk menyatakan 'Aku lebih berkuasa di rumah ini'
Hukuman sebegini lebih berbentuk untuk menakutkan anak-anak. Hukuman dianggap berjaya jika anak-anak merasa takut untuk menyatakan sesuatu kepada kita biarpun untuk meminta izin tidur di rumah kawan. Tindakan sebegini boleh menyebabkan anak mahir menipu demi mahu memenuhi kemahuan mereka.
3. Hukuman untuk menegakkan 'keadilan'
Hukuman sebegini lebih berbentuk untuk menunjukkan keadilan kita sebagai ibu bapa. Contohnya jika dua orang anak kita bergaduh, kita menghukum kedua-duanya tanpa sebarang usul periksa. Sebaiknya kita siasat dahulu punca pergaduhan dan kemudian barulah menjatuhkan hukuman.
4. Silap memahami anak semasa menghukum
Hukuman sebegini juga sering diamalkan oleh ibu bapa. Amat penting kita mengetahui mengapa anak-anak kita melakukan kesalahan ataupun kesilapan. Sebagai contoh, kita menghukum anak kerana pulang ke rumah ketika azan maghrib sudah pun berkumandang. Boleh jadi anak kita pulang lewat kerana membantu makcik tua mengangkat barang dapur di pertengahan jalan atau boleh jadi juga lewat kerana mengalami masalah tayar yang pancit. Kita dengan tidak semena-mena terus menghukum mereka. Pastinya hati mereka terluka dan akan ingat sampai bila-bila.
5. Hukum semasa sedang marah
Menjatuhkan hukuman ke atas anak ketika marah adalah sangat merbahaya. Ini kerana ketika kita marah, syaitan yang menguasai segala tindakan dan fikiran kita. Khuatir jika kesalahan anak adalah kecil, tetapi hukuman yang dijatuhkan amat berat. Anak-anak tidak akan lupa kesalahan yang ibu bapa lakukan. Berhati-hatilah ketika menjatuhkan hukuman. Sebarang hukuman akan dipersoalkan oleh Allah kelak.
6. Jatuhkan hukuman sahaja, tiada pujian
Keseimbangan amat penting dalam mendidik anak-anak. Tidak salah jika kita menghukum anak jika mereka melakukan kesalahan. Namun, janganlah diabaikan perkara-perkara baik yang telah mereka lakukan kepada kita. Oleh itu, pujian juga amat penting dalam mendidik anak-anak. Nisbah terbaik antara hukum:pujian ialah 1:5. Dengan ini, anak akan merasa yang sebenarnya mak dan ayah mereka menghukum mereka dengan bersebab. Kerana selama ini segala tindakan baik mereka lakukan diberikan pujian oleh kedua orang tua mereka. Selain itu, mereka juga diri mereka amat disayangi oleh kedua ibu bapa.
Pesanan kepada ibu bapa di luar sana, amat penting juga kita mendengar apa yang cuba disampaikan oleh anak-anak kepada kita. Biarpun apa yang mereka ucapkan itu tidaklah penting seperti menceritakan peristiwa di dalam kelas dan sebagainya, namun perhatian kita terhadap mereka akan menyebabkan mereka semakin rapat dan akrab dengan kita. Insya Allah, mereka tidak akan mengutamakan orang lain selain kita. Cubalah serapat mungkin dengan anak-anak sehingga mereka sanggup meluahkan perasaan kepada kita. Jika ini berjaya kita lakukan, insya Allah masa depan anak-anak kita cerah. Untuk pengetahuan semua, anak lelaki akan mengambil ayah dan ibu sebagai contoh ketika berumur 7 tahun dan ke bawah. Amat penting kita memantau sahabat dan kawan anak-anak lelaki apabila mereka mencecah umur 7 tahun kerana itulah role model mereka nanti. Selamat berjaya mendidik anak-anak kalian (termasuk saya).
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment