Tuesday, February 23, 2010

Teh dan Garam


Nu'man memulakan ekspedisinya mencari garam bersama mak ngahnya di Port Dickson.

Ketika isteri saya selamat melahirkan Nawfal, saya terpaksa menjaga sendiri isteri saya selama seminggu. Ini kerana ibu mertua saya terpaksa menjaga adik ipar saya yang dijangkiti demam campak. Kebetulan pula, adik perempuan saya diminta melapor diri di Hospital Serdang pada waktu kelahiran Nawfal. Oleh itu, ibu bapa saya terpaksa membantu adik saya menguruskan perpindahan barang dan perkakas ke rumah sewanya di Puchong. Tambahan pula, adik perempuan saya sedang sarat mengandung 7 bulan.

Alhamdulillah ianya merupakan cabaran yang baru buat saya. Saya gembira berada di rumah selama seminggu sambil melayan Nu'man dan menjaga isteri di rumah. Lazimnya ibu mertua saya akan menghantar lauk untuk kami kerana saya tidak berkesempatan untuk memasak. Walau bagaimanapun, pada hari Sabtu tersebut ibu mertua saya terpaksa ke Kuala Lumpur untuk menghadiri walimah anak buahnya. Maka terpaksalah saya mencari lauk untuk santapan makan tengahari dan malam. Saya agak keberatan untuk membeli lauk kerana tekak saya tiada selera untuk menjamah masakan di luar. Maka saya mengambil keputusan untuk memasak pada tengahari itu.

Ketika saya belajar di luar negara, antara hobi saya adalah memasak. Ini kerana saya suka mencuba/eksperimen masakan saya setiap kali tiba giliran saya memasak. Namun, sejak kembali ke tanah air, saya sangat jarang memasak. Kali terakhir saya memasak ialah kira-kira setahun yang lepas. Saya memberanikan diri mengingat semula teknik-teknik masakan yang pernah saya praktikkan dulu. Saya membuat keputusan untuk memasak lauk ayam kurma dan kobis kicap pada tengahari tersebut. Nampak segalanya baik ketika saya memasukkan ramuan dan rempah masakan. Cuma timbul sedikit keraguan tentang sukatan garam yang harus dicampur ke dalam masakan. Akhirnya saya ber'tawakkal' memasukkan 3 sudu garam ke dalam lauk kurma dan 2 sudu garam ke dalam sayur kobis kicap.

Selesai memasak, saya meminta isteri mencuba masakan saya. Debaran menguasai jiwa saya ketika itu. Kelakar sungguh.

"Wahhhhh...", jerit isteri saya. Saya tersenyum lebar. Mesti sedap masakan saya kali ini.

"Macam tumpah garam", tambah isteri saya. Rasa nak pecah satu rumah mendengar tawa kami berdua. Itulah memori manis saya ketika menjaga isteri yang berada dalam pantang. Namun, apa kaitannya dengan teh?

Kisah teh dan garam yang saya cuba sampaikan kali ini amat berkait rapat dengan kisah yang di atas tadi. Kisah teh dan garam ini adalah kisah antara As Syahid Hassan Al Banna dan seorang petani tua.

As Syahid Hassan Al Banna telah mengunjungi sebuah kampung di Sha'id. Setelah mengetahui kedatangan as syahid, ahli-ahli Ikhwanul Muslimin di Sha'id telah menyambut beliau dengan sambutan yang besar. Namun di tengah-tengah kesibukan itu, muncul seorang petani tua yang ingin sangat berjumpa dengan Hassan Al Banna. Beliau bersungguh-sungguh menjemput Hassan Al Banna berkunjung ke rumahnya. Hassan Al Banna berasa bingung kerana banyak lagi urusan di Sha'id yang belum selesai. Hassan Al Banna juga bercadang untuk menziarahi ahli-ahli Ikhwanul Muslimin di Sha'id yang jumlahnya begitu ramai. Untuk tidak mengecewakan hasrat petani tua itu, Hassan Al Banna bersetuju untuk singgah sebentar di rumahnya tetapi dengan syarat hanya meminum secangkir teh.

Petani tua tersebut amat girang. Hatinya berbunga-bunga apabila Hassan Al Banna bersetuju untuk singgah di rumahnya. Seperti yang dijanjikan, petani tua itu menyediakan secangkir teh untuk Hassan Al Banna. Hassan Al Banna pun berbual dengan petani tua tersebut sambil menghirup teh. Setelah selesai menghabiskan secangkir teh yang disediakan oleh petani tua tadi, Hassan Al Banna meminta izin untuk menyambung semula urusan beliau yang belum selesai.

Setelah Hassan Al Banna beredar bersama ahli-ahli Ikhwan yang menunggu beliau, tergerak hati kecil si petani tua untuk menghirup saki baki teh yang telah beliau sediakan kepada Hassan Al Banna. Terkejut si petani tua tersebut kerana rasanya sungguh masin. Beliau menyangka garam yang dimasukkannya tu adalah gula. Lebih mengejutkan, Hassan Al Banna telah menghabiskan secangkir teh tersebut kecuali saki baki yang amat sedikit.

Inilah jiwa yang mencontohi sosok perjuangan Rasulullah SAW. Diikutinya setiap ciri-ciri idolanya semampu mungkin. Bukan mencontohi dalam bab-bab harakiah sahaja.

Abu Hurairah meriwayatkan,

Rasulullah tidak pernah mencela makanan walau sekalipun. Apabila baginda menyukai makanan, baginda memakannya dan kalau tidak menyukainya baginda meninggalkannya. (Sahih Muslim)

Dai'e yang sebenar tidak merasa kekok atau janggal melazimkan sunnah Rasulullah dalam kehidupan seharian. Oleh kerana sunnah Ar Rasul sudah sebati dalam hidup seseorang dai'e itu, maka ia tidak perlu mengambil masa untuk berfikir sama ada tindakannya itu mengikut sunnah ataupun tidak. Dalam kisah Hassan Al Banna itu, si petani tua tadi langsung tidak menyedari apa-apa perubahan pada riak wajah as syahid. Malah, as syahid merasa senang dengan layanan tuan rumah tersebut.

Alhamdulillah, isteri saya sudah ada ciri-ciri tersebut ketika mencuba lauk masakan saya. Cuma ayat keduanya yang terpaksa membuatkan saya menarik semula kata-kata saya tadi...hehehe...



p/s: kisah ini tiada kaitan langsung dengan ketidak puasan saya kepada isteri kerana mengkritik masakan saya...hehehe

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Saturday, February 20, 2010

Mencari Cinta


"Anda dikehendaki menulis surat cinta tidak melebihi 300 patah kata...gilo apo soklan pekso ni"

Masih ingat lagi rancangan realiti TV3 bertajuk "Mencari Cinta"? Sebuah rancangan yang hanya bertahan selama satu musim sahaja. Pengakhirannya, si pemenang bertindak memutuskan hubungan dengan wanita yang dijadikan bahan pertandingan tersebut. Pastinya wanita tersebut merasa malu dan kecewa. Apa tidaknya, kisahnya menjadi bualan satu Malaysia pada waktu tersebut.

Kecewa dalam bercinta memang memeritkan. Lukanya tidak dapat dilihat seperti kecederaan fizikal yang boleh kita nilai sama ada ianya kritikal ataupun tidak. Tapi pastinya luka kecewa bercinta memakan masa yang lama untuk pulih. Malah ada yang tidak pulih langsung. Tindakan yang diambil untuk menghilangkan beban di jiwa antaranya membunuh diri. Apa tidaknya, yang kecewa pastinya telah menghabiskan atau mengorbankan banyak masa, tenaga dan wang ringgit kepada yang dicintai. Namun dalam sekelip mata, mahligai yang sedang dibina bertahun lama akhirnya runtuh di depan mata.

Namun Rasulullah pernah bersabda,

“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim).

Sumber ini menunjukkan bahawa setiap penyakit ada ubatnya. Tidak mustahil jika kecewa bercinta juga ada ubatnya. Pokoknya formula ubat tersebut mestilah betul, insya Allah ianya akan sembuh. Kadang kala dek telalu hanyut bercinta dengan seseorang, kita terlupa bahawa ada yang mencintai kita lebih daripada si dia mencintai kita. Siapakah yang dimaksudkan tersebut? Tidak lain dan tidak bukan ialah ibu dan bapa kita. Mereka menyayangi kita seumur hidup mereka. Tidak mungkin si dia sanggup berkorban sebesar pengorbanan yang dilakukan oleh ibu dan bapa kita. Apakah si dia sanggup membersihkan najis kita jika kita terlantar sakit di atas katil? Belum tentu lagi. Tetapi sahabat, ibu bapa kita sanggup melakukan lebih daripada itu. Mereka sanggup mengorbankan nyawa mereka demi menyelamatkan si anak. Buktinya lihatlah betapa ramainya ibu yang meninggal dunia ketika melahirkan anak demi mahu melihat si anak juga dapat berlari riang di muka bumi ini. Aneh dan sungguh aneh mengapa ramai yang terpedaya dengan pujuk rayu syaitan dan nafsu hingga melupakan ibu bapa. Lihatlah betapa ramai anak gadis Islam Melayu yang sanggup meninggalkan keluarga demi mengejar cinta Lombok dan Bangla Khan. Apabila mereka sudah merasa jerit payah bersama jejaka Lombok ataupun Bangla Khan, barulah mereka insaf dan pulang kepada keluarga. Inilah ubat yang saya maksudkan. Ibu bapa merupakan ubat yang mujarab jika kita mengalami kekecewaan bercinta.

Bagaimana jika ibu dan bapa kita telah tiada lagi di dunia? Adakah terdapat ubat alternatif selain daripada mereka berdua? Ya, ada. Tidak lain dan tidak bukan ialah Dia yang sangat mengasihi hambaNya. Tidak perlu dihuraikan betapa besarnya kasih Allah kepada hambaNya. Tatkala kita menderhakaiNya, kita tetap masih diberi peluang untuk terus hidup di muka bumi ini. Tidak sedikit pun azab diturunkan kepada umat Nabi Muhammad ini. Renungkanlah nikmat-nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Banyak wahai sahabat...terlalu banyak untuk dihitung.

Masihkah kita frust menonggeng jika kecewa bercinta pabila rawatannya sudahpun ada? Jika anda memilih untuk terus kecewa, anda hanya menempah barah 'hati' yang akan menggelapkan masa depan anda. Wallahu a'lam.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Wednesday, February 17, 2010

Kelahiran Nawfal


Nu'man melihat umminya menyiapkan Nawfal
Lebih 38 minggu menunggu, akhirnya muncullah seorang putera yang dinamakan Nawfal bin Muhannad. Kelahiran yang telah dijanjikan Allah ini berlaku pada 6 Februari 2010 sekitar jam 2.56 petang. Alhamdulillah, setakat ini kedua-dua kelahiran anak saya dipermudahkan Allah SWT. Allah telah memberi keizinan kepada saya untuk bersama-sama isteri daripada mula dimasukkan ke dalam labour room hinggalah anak kami dilahirkan. Malah, waktu kelahiran mereka juga bukan berlaku pada waktu-waktu tengah malam. Jika ianya berlaku pada tengah-tengah malam, mungkin isteri saya akan berasa keletihan kerana waktu-waktu tersebut adalah waktu untuk berehat.


Nawfal beberapa minit selepas dilahirkan

Seperti biasa, saya dan isteri akan ke hospital untuk weekly check up pada setiap hari Sabtu memandangkan tarikh kelahiran Nawfal sudah semakin hampir. Selesai check up, doktor menasihatkan isteri saya terus dimasukkan ke labour room. Isteri dan saya memang sudah menjangkakan arahan tersebut. Justeru itu, isteri saya awal-awal lagi sudah membawa beg pakaiannya dan beg pakaian Nawfal. Isteri saya dimasukkan ke labour room pada jam 9.30 pagi. Kira-kira dua jam selepas itu doktor membuat keputusan untuk memecahkan air ketumban isteri saya. Oleh kerana waktu terlalu singkat, isteri saya terpaksa menahan sakit tanpa suntikan epidural. Sementara menunggu saat-saat Nawfal dilahirkan, saya cuba 'mengubat' kesakitan isteri saya dengan membacakan beberapa surah. Antaranya Surah Muhammad, Yusuf dan Luqman.

Wajah isteri saya ketika menunggu kelahiran Nawfal

Sekitar jam 2.40 petang, doktor menyatakan bayi sudah hampir keluar. Isteri saya juga nampaknya sudah bersedia ketika itu lantaran tidak tahan menanggung sakit lagi. Maka dengan izin Allah, lahirlah putera kami yang kedua.

Kelahiran anak memberi seribu ibrah/pengajaran dalam hidup saya. Memerhatikan sendiri betapa peritnya isteri menahan sakit ketika melahirkan zuriat menimbulkan keinsafan kepada saya betapa tingginya maqam ibu dalam kehidupan seseorang. Ketika anak itu membesar pula, betapa banyak wang ringgit yang terpaksa dihabiskan oleh kedua ibu bapa demi membesarkan mereka.

Isteri saya mengidamkan anak perempuan tatkala mendapat tahu yang beliau mengandung 6 minggu. Bagi saya pula, asalkan anak itu cukup sifat fizikal dan mental pun sudah dikira beruntung. Selebihnya adalah tanggungjawab saya dan isteri untuk membentuknya menjadi insan yang soleh dan musleh. Tatkala mendapat tahu isteri saya mengandungkan anak lelaki, saya masih lagi tersenyum. Bagi saya mendapat anak lelaki merupakan antara nikmat yang tidak semua orang dapat kecapi. Rasulullah sendiri anak-anak lelaki baginda kesemuanya dipanggil Allah ketika masih usia yang kecil. Nabi Ibrahim pula terpaksa menunggu lama untuk mendapat zuriat lelakinya (Nabi Ismail). Ada riwayat yang mengatakan selama 99 tahun baginda menunggu. Begitu juga halnya dengan Nabi Zakaria yang dikurniakan Nabi Yahya ketika umur baginda sudah begitu lanjut.

Melihat isteri menahan sakit ketika mengandung dan bersalin, saya berasa hairan mengapa ada segelintir manusia yang begitu kejam membunuh anak kandung yang baru dilahirkan. Setelah bersusah payah mengendong kandungan, kemudian dibunuh atau dibuang begitu sahaja. Apakah mereka tidak merasa sia-sia bersusah payah mengandungkan anak tersebut selama 9 bulan lamanya? Bayangkan jika anda bekerja keras dan mendapat upah yang lumayan. Kemudian anda menyimpan hasil upah tersebut di dalam bank selama 9 bulan. Cukup 9 bulan, anda mengeluarkan wang upah tersebut dan membuangnya ke dalam tong sampah...atau membakarnya. Bukankah itu satu kerugian yang besar?

Mungkin ada yang mengatakan anak yang dilahirkan adalah anak luar nikah. Mungkin si ibu merasa malu untuk menjaga anak tersebut. Jika seseorang itu sudah melakukan dosa besar, maka janganlah dikeruhkan lagi dengan menambah dosa besar tersebut. Biarlah anak tersebut hidup di muka bumi ini. Insya Allah jika dididik dan diasuh dengan acuan Islam, ia akan menjadi insan yang bermanfaat kepada ibu dan ummah. Janganlah kita putus harap daripada rahmat Allah SWT.

Sudah terlebih masa rasanya kita memerhatikan gejala dan fitnah yang melanda ummah ini. Apakah kita akan terus memerhati dan menggeleng kepala sahaja? Sekarang masa untuk bertindak dan beramal wahai sahabat. Ayuh, tinggalkan kerusi empukmu menuju jalan dakwah dan jihad.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)