Setelah Rasulullah mendapat tahu perkhabaran ini, baginda menyiapkan tentera muslimin untuk mengalahkan kaum Hawazin dan Thaqif. Semua penduduk Mekah keluar untuk berjihad pada kali ini. Mereka terdiri daripada para sahabat yang telah lama memeluk Islam serta mereka yang baru memeluk Islam sejak pembukaan Kota Mekah. Ketika Rasulullah SAW berjalan di Wadi Hunain bersama gerombolan tentera muslimin, baginda telah diserang oleh kaum Hawazin dan sekutu mereka dalam kesuraman subuh. Tentera Islam telah menyerang balas dan musuh hampir menemui kekalahan. Oleh kerana, musuh kelihatan hampir tewas, terdapat tentera-tentera Islam yang sibuk mengumpul harta rampasan perang. Melihat keadaan tersebut, tentera musyrikin menyerang semula tentera muslimin dengan tembakan anak panah hingga menyebabkan saf mereka terpisah. Penduduk Mekah dan tentera yang baru memeluk Islam lari meninggalkan medan perang meninggalkan Rasulullah yang tetap terus bertahan di atas baghal baginda sambil menyeru,
"Aku Nabi, tidak dusta. Aku keturunan Abdul Muttolib."
Di kala hiruk pikuk, tersebar khabar angin mengatakan yang Rasulullah telah terbunuh. Lantas ramai tentera Islam yang meletakkan senjata dan berputus asa untuk meneruskan perjuangan. Pun begitu, masih ada tentera Muhajirin dan Ansar yang tetap berjuang di sekeliling baginda untuk melindunginya. Abbas menjerit kepada tentera muslimin
"Rasulullah masih hidup"
Lalu tentera muslimin yang lari tadi kembali semula ke medan perang dan berjaya menewaskan musuh. Tentera Islam telah mengejar musuh, membunuh dan menawan mereka. Harta rampasan telah diagihkan dahulu oleh Rasulullah kepada golongan muallaf yang baru memeluk Islam tanpa memberi apa-apa kepada Ansar berdasarkan keimanan dan kejujuran mereka. Ayat Al Quran telah turun berkenaan peristiwa ini:
"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai. Maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu. Kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman. Dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Dia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran) dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir" (At Taubah: 25-26)
Peperangan ini adalah pertempuran penting dan terakhir berlaku antara Islam dan orang arab musyrik. Tidak lama selepas itu, seluruh bangsa Arab telah memecahkan berhala-berhala dan memeluk Islam.
Antara ibrah ataupun pengajaran yang boleh kita dapati di sini ialah:
1. Keangkuhan Malik bin Auf
Pengajaran daripada sikap bongkak Malik bin Auf dan kedegilannya enggan mendengar nasihat Duraid bin as Simmah (bekas Ketua Hawazin). Sikapnya ini timbul akibat kerakusan untuk memimpin, terpedaya dengan fikiran sendiri yang disangka betul dan rasa angkuh tidak mahu dikeji kaumnya. Sekiranya dia mendengar nasihat Duraid, kerugian besar harta dan aib yang teruk lantaran wanita-wanita mereka menjadi tawanan perang dapat dielakkan. Malik juga lupa kekalahan tidak dapat dihalang oleh keinginan melindungi wanita dan harta. Sebaliknya ia dapat ditolak dengan kecintaan meluap-luap untuk mendapat pahala Allah dan takutkan hukumanNya.
"Dan sesiapa berpaling undur daripada menentang mereka pada ketika itu - kecuali dia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain - maka sesungguhnya dia tetaplah mendapat kemurkaan Allah, dan tempatnya ialah neraka Jahannam. Sedang neraka Jahannam ialah seburuk-buruk tempat kembali" (Al-Anfaal: 16)
Kekalahan ini bukan sahaja mengaibkan Malik bin Auf, tetapi juga kaumnya yang menuruti arahan beliau yang hanya bebekalkan ugutan untuk membelah perutnya jika kaumnya enggan berperang dengan tentera Islam.
bersambung...
Kisah ini dipetik daripada buku bertajuk 'As Seerah An Nabawiyyah - Duruus wa Ibr' (Sirah Nabi Muhammad SAW - Pengajaran dan Pedoman)
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment