Monday, January 30, 2012

Ghazwah Hunain (Part 2)

2. Keharusan membeli atau meminjam senjata daripada orang kafir

Dalam peperangan ini Rasulullah telah meminjam 100 baju perisai dan senjata daripada Sofwan yang masih musyrik. Pembelian dan pinjaman ini hendaklah dengan syarat ianya tidak akan menjadikan orang kafir semakin kuat dan mendapat kekuasaan. Atau juga dilarang dijadikan sebagai medium untuk menyakiti dan memudharatkan orang Islam. Ketika itu, Sofwan sudah terlalu lemah dan tidak berdaya sehingga beliau tidak mengenakan apa-apa syarat kepada Rasulullah. Buktinya ialah apabila Sofwan bertanya,

"Adakah ini satu rampasan, wahai Muhammad?"

Rasulullah menjawab, "Bukan, ia pinjaman yang dijamin sehinggalah kami memulangkannya kembali kepada kamu".

Ini merupakan akhlak mulia yang dianjurkan oleh Islam. Jika Rasulullah mahu, baginda boleh merampas senjata daripada pihak yang kalah. Namun baginda tidak berbuat demikian.


3. Kekalahan awal kerana iman yang belum kuat di kalangan yang baru memeluk Islam.

Tentera Islam dalam peperangan kali ini berjumlah 12,000 orang. 10,000 daripadanya adalah mereka yang datang bersama baginda dari Madinah dan terlibat dalam pembukaan Mekah. Dua ribu lagi tentera adalah mereka yang memeluk Islam selepas pembukaan Mekah. Hidayah di dalam hati mereka kebanyakannya masih belum kukuh. Oleh itu, kekalahan awal yang berlaku bukanlah sesuatu yang pelik. Baginda bersabda,

"Kita tidak ditewaskan pada hari ini kerana bilangan tentera yang sedikit"

(Ucapan ini tidak terbukti daripada sabda Rasulullah. Rangkaian sanadnya putus dan ada perawinya yang tidak dikenali. Ada yang mengatakan ianya ucapan Abu Bakar. Ada juga yang mengatakan daripada Abbas. Selebihnya mengatakan seorang lelaki dari Bani Bakar.)

Makna kata-kata di atas ialah tentera yang ramai tidak akan tewas melainkan aspek-aspek maknawi yang berkaitan dengan kejiwaan, keimanan, kekuatan rohani, keikhlasan, dan pengorbanan para tentera. Allah berfirman,

"Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar." (Al Baqarah: 249)

Selesai pertempuran ini, turun wahyu yang lain:

"Dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai, maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun. Dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu, kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Dia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran), dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir" (At Taubah: 25-26)


4. Menjauhi amalan umat terdahulu yang boleh merosakkan akidah

Ketika tentera Islam dalam perjalanan ke medan pertempuran, sebahagian mereka meminta Rasulullah membuatkan untuk mereka Zat Anwat sebagaimana orang musyrik mempunyai Zat Anwat mereka sendiri. Zat Anwat adalah nama gelaran pokok yang dijadikan tempat untuk menggantung senjata dan berteduh oleh orang musyrik.

Rasulullah menjawab,

"Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam genggamanNya, kamu telah berkata sebagaimana kaum Musa A.S. berkata kepadanya, "Wahai Musa, buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil". (Al-A'raaf:138). Ia adalah jalan-jalan ikutan. Kamu akan mengikuti jalan-jalan orang sebelum kamu (Yahudi dan Nasrani)".

Umat yang mempercayai diri sendiri, bangga dengan keperibadiannya dan gembira dengan kebenaran dan kebaikan yang dimiliki, pasti enggan mengekori orang lain. Keruntuhan sesuatu umat berpunca daripada jahiliah menguasai perasaan dan hawa nafsu anak bangsa mereka.


5. Allah sebagai pelindung

Ketika tentera Islam hampir tewas, Syaibah bin Othman menyangka dia akan dapat menuntut bela ke atas Rasulullah kerana bapanya terbunuh semasa Ghazwah Uhud. Syaibah berkata,

"Apabila aku menghampiri Rasulullah untuk membunuhnya, datang sesuatu yang menakutkanku. Aku tidak berdaya menghadapinya. Justeru itu aku tahu bahawa baginda terpelihara".

Peristiwa sebegini pernah berlaku beberapa kali dalam seerah kehidupan Rasulullah. Ini membuktikan Allah mencampakkan rasa gerun musuh terhadap Rasulullah. Ini merupakan bukti kebenaran yang Allah sentiasa memelihara baginda demi penerusan risalah dakwah. Jika Allah tidak melindungi baginda, nescaya ummah akan terus hidup dalam kegelapan dan kezaliman.

"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam" (Al-Anbiya': 107)

Setelah wafat Rasulullah, tugas menyebarkan Islam dan dakwah kini dipikul oleh para pendakwah. Oleh itu, amat penting juga bagi para pendakwah memohon perlindungan Allah daripada segala bentuk bencana dan gangguan.

"Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan, maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu." (Ali Imran: 160)

Para pendakwah tidak boleh rasa takut atau menjadi pengecut. Para pendakwah mesti yakin bahawa Allah sentiasa melindungi mereka yang memohon kepadaNya. Namun ianya tidak menafikan hakikat bahawa akan dan pernah ada para pendakwah yang pernah dibunuh serta diseksa oleh musuh Islam. Namun sebagai seorang mukmin, kita meyakini ia adalah suratan takdir. Ujian-ujian sebegini sebenarnya adalah kemuliaan dan nikmat yang Allah kurniakan istimewa kepada para pendakwah. Kematian di jalan Allah adalah syahid dan dijanjikan syurga.

"Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah. Dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir, dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka (pahala) amal yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (At Taubah: 120)

bersambung...

Petikan ini diambil daripada buku bertajuk "As Seerah An Nabawiyyah: Duruus wa 'Ibr" (Seerah Nabawiyyah: Pengajaran dan Pedoman) tulisana Dr. Mustafa as Syibai'e

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment