Wednesday, June 29, 2011

Pengumuman Lagi




"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Monday, June 27, 2011

Ayat-ayat Hukum - Hukuman Terhadap Pencuri (part 2)

Menurut pendapat Ata' hukuman terhadap pencuri secara terperinci adalah dalam dua bentuk sahaja,


  1. Pencuri hanya dipotong tangannya untuk kesalahan kali pertama. Ini bererti, hukuman potong tangan hanya sekali sahaja.


  2. Kesalahan mencuri kali kedua dan berikutnya dikenakan hukuman ta'zir.

Menurut pendapat Imam Abu Hanifah dan Hambali, had terhadap pencuri terbahagi kepada tiga bentuk:



  1. Hukuman potong tangan kanan bagi kesalahan kali pertama.


  2. Hukuman potong kaki kiri untuk kesalahan kali kedua.


  3. Kesalahan kali ketiga dan ke atas hendaklah ditahan atau dipenjarakan sehingga ia bertaubat atau ditahan sampai mati sekiranya enggan bertaubat. Mereka berpendapat demikian berlandaskan hujjah amalan Saidina Ali dan Umar yang bermaksud, "Seorang pencuri telah dihadapkan kepada beliau, lalu dijatuhkan hukuman potong tangan, kemudiannya pencuri yang sama dihadapkan lagi, lalu ia dijatuhkan hukuman potong kaki, seterusnya pencuri tersebut dihadapkan kali ketiga, lalu ia berkata: 'Aku tidak mahu menjatuhkan hukuman potong lagi. Kerana sekiranya dipotong lagi tangannya, bagaimana nanti ia mahu makan dan membersihkan badannya? Begitu juga kiranya dipotong kakinya, bagaimana ia hendak berjalan? Aku malu kepada Allah untuk berbuat begitu'. Maka pencuri tersebut dikenakan ta'zir dengan dipenjara dan disebat

Menurut mazhab Zahiri pula, hukuman terhadap pencuri terbahagi kepada tiga bentuk:



  1. Mencuri kali pertama dipotong tangan kanan.

  2. Mencuri kali kedua dipotong tangan kiri.

  3. Mencuri kali ketiga dan selanjutnya adalah hukuman ta'zir.
Jumhur ulama dan imam mazhab yang empat sepakat mengatakan bahagian yang wajib dipotong ialah pergelangan tangan. Syiah Imamiah mengatakan bahagian yang wajib dipotong ialah jari jemari sahaja. Puak Khawarij pula mengatakan yang dipotong ialah sampai paras bahu.


Pulangkan Barangan yang Dicuri

Menurut pendapat Imam Syafi'e dan Imam Ahmad, pencuri hendaklah memulangkan kembali barangan yang dicurinya kepada pemilik. Sekiranya barang dicuri itu telah habis atau musnah, ia mestilah menggantikan semua barangan tersebut kepada pemiliknya atau pihak warisnya. Mereka berpendapat demikian kerana hukuman potong tangan dikenakan itu kerana melaksanakan hukuman Allah dan hukuman memulangkan kembali barangan yang dicuri itu pula adalah atas dasar kerana ia menceroboh hak manusia. Walau bagaimanapun, menurut pendapat mereka lagi, hukuman potong tangan dan mengembalikan semula barangan yang dicuri itu boleh dilaksanakan serentak atau secara berasingan.

Mengikut pendapat Imam Abu Hanifah, pencuri perlu mengembalikan semula barang yang dicurinya jika barang itu masih ada. Walau bagaimanapun, menurut pendapat Imam Hanifah lagi, hukuman mengembalikan barang yand dicuri dengan hukuman potong tangan tidak boleh dilaksanakan serentak. Sekiranya barangan tersebut telah rosak atau habis, ia tidak wajib atau tidak dikenakan hukuman membayar ganti rugi lagi. Hal tersebut berdasarkan firman Allah yang berbentuk mutlak tanpa menyebut hukuman bayaran ganti rugi tersebut. Antara lain juga, Imam Abu Hanifah berpendapat demikian berasaskan sabda,

"Apabila pencuri dikenakan hukuman potong tangan, maka tiada bayarang ganti rugi terhadapnya".

Menurut pendapat Imam Malik pula, pencuri perlulah memulangkan semula barangan yang dicurinya sekiranya barangan itu masih ada lagi. Sekiranya barangan tersebut sudah tiada atau musnah, ia perlu membayar ganti rugi kepada pemiliknya dengan syarat ia seorang yang berkemampuan sewaktu melakukan pencurian.


Kategori Pencuri

a. Orang Kafir Mencuri Milik Orang Islam


  • Jika kafir zimmi mencuri barang orang Islam atau sesama mereka, maka dipotong juga tangan mereka dan hukuman sama seperti orang Islam. Ini adalah kerana mereka juga hidup dalam masyarakat dan negara Islam serta mengetahui semua hukum hudud.

  • Jika pencuri adalah kafir mustaman, ulama berselisih pendapat:
    Ulama Malikiyyah, Hanabilah, Abu Hanifah dan Ahmad mengatakan tidak dilaksanakan hudud.


  • Menurut pendapat Abu Yusuf daripada mazhab Hanabilah, jika kafir mustaman mencuri barangan orang Islam, dipotong tangannya.

b. Orang Islam Mencuri Milik Orang Kafir



  1. Majoriti ulama mengatakan orang Islam yang mencuri barang kafir Zimmir dipotong tangannya. Hal tersebut kerana harta milik kafir zimmi itu juga mestilah dipelihara sama seperti milik orang Islam lain.


  2. Sekirang orang Islam yang mencuri harta kafir mustaman, ulama Hanabilah dan Malikiyyah mengatakan orang Islam tersebut mesti dipotong tangannya. Setengah ulama lain menyatakan tidak dipotong.

c. Mencuri Harta Ahli Keluarga



  1. Imam Abu Hanifah dan Ahmad berpendapat tidak dikenakan hukuman potong tangan suami yang mencuri harta milik isteri, sama ada harta itu berada di dalam rumah milik khusus isterinya tau rumah milik bersama dan begitu juga jika sebaliknya. Anak yang mencuri harta bapanya juga tidak dikenakan potong tangan.


  2. Menurut Imam Malik, dikenakan potong tangan suami yang mencuri harta isteri yang berada di tempat khusus atau harta khusus milik masing-masing, begitu juga jika sebaliknya. Anak yang mencuri harta ibu bapanya juga dikenakan potong tangan. Walau bagaimanapun, jika bapa yang mencuri harta anaknya, tidak sekali-kali dikenakan potong tangan.

  3. Dalam kes mencuri harta adik beradik, Imam Malik dan Ahmad berpendapat dikenakan hukum potong tangan.


  4. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah orang yang mencuri harta adik beradik tidak dikenakan hukuman potong tangan.

Hukum Allah Balasan Setimpal


Dalam kes larangan memberi syafaat kepada pencuri setelah dibawa ke mahkamah sebagaimana hadis Nabi setelah terdapat dari kalangan orang Quraisy seorang wanita yang mencuri, lalu mereka meminta Usamah bin Zaid meminta syafaat kepada Rasulullah. Setelah Usamah mengatakan demikian, Nabi marah dan berucap kepada umum dengan sabdanya:

"Apakah engkau ingin memberi syafaat terhadap hukuman (had) daripada hukuman-hukuman Allah? Selepas itu Baginda bangun dan berucap kepada umum; Sesungguhnya yang menyebabkan binasa orang sebelum kamu ialah kerana mereka apabila seseorang yang mempunyai kedudukan di kalangan mereka mencuri, mereka biarkan, dan apabila orang yang lemah di kalangan mereka mencuri, mereka potong tangannya (dalam riwayat yang lain pula mereka laksanakan hukuman). Baginda menyambung lagi: Demi Allah, kiranya yang mencuri itu adalah Fatimah binti Muhammad sekalipun, pasti aku potong juga tangannya (atau tetap aku laksanakan hukuman hudud terhadapnya)."

Hukuman potong tangan terhadap pencuri itu adalah hukuman yang adil dalam Islam demi menjaga kemaslahatan ramai dan umum walaupun ia terpaksa mengorbankan kepentingan peribadi. Walau bagaimanapun, ulama berpendapat syafaat boleh diberikan kepada pencuri sebelum ia dibawa kepada hakim.

Hanya jenayah mencuri sahaja yang dikenakan hukuman potong tangan. Kes mengambil harta dalam bentuk yang lain seperti pecah amanah dan menipu tidak termasuk dalam hukuman potong tangan. Ini kerana jenayah mencuri dilakukan dengan teratur serta terancang hinggakan barangan yang disimpan di tempat yang khas dan selamat oleh pemiliknya pun masih diambil. Untuk itu, jenayah mencuri amat patut sekali dikenakan hukuman potong tangan sebagai balasan setimpal. Hal ini dilakukan supaya masyarakat akan selamat harta benda mereka dan gejala tersebut tidak berleluasa atau mereka tidak mencuri antara satu sama lain.

Jika pencuri itu menyesali perbuatannya dan bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat, maka Allah akan menerima taubatnya itu. Namun begitu, setelah kes itu dibawa ke mahkamah, hukuman potong tangan itu mestilah dilakukan juga walaupun pencuri itu telah bertaubat dan segala harta yang dicurinya itu mestilah dipulangkan semula kepada pemiliknya, kecuali mereka memaafkannya. Ini kerana harta yang dicuri itu adalah milik manusia.

Orang yang bertaubat dari kesalahan dosanya hendaklah menggantikan atau menghapuskan kejahatan perbuatannya yang lalu dengan melakukan amal kebajikan selari dengan firman Allah:

"Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu Allah akan menggantikan pada tempat kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah amat pengampun lagi amat mengasihani. Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat." (Al Furqan: 70-71)


Taubat seorang pencuri mestilah didahului dengan pengampunan atau penyelesaian terlebih dahulu dengan pemilik atau orang yg terlibat dalam kes kecurian tersebut dalam rangka memenuhi syarat taubat yang diterima Allah. Jika pemilik barang sudah meninggal dunia, maka si pencuri hendaklah menyelesaikannya dengan waris pemilik.


Hukum



  1. Hukum hudud yang ditetapkan Allah wajib dilaksanakan oleh pemimpin.


  2. Orang yang mengingkari hukuman Allah adalah kufur.


  3. Haram memberi pengampunan atau syafaat setelah kes dibawa ke mahkamah atau sedang dalam proses.


  4. Harus diberi pengampunan atau syafaat kepada pesalah sebelum kes dibawa ke mahkamah atau kepada hakim.


  5. Mencuri adalah suatu dosa dan diharamkan dalam syariat Islam.


  6. Jumhur ulama sepakat mengatakan mana-mana pencuri yang sabit kesalahannya dan cukup syaratnya, mestilah dikenakan had dengan potong tangan.


  7. Jumhur ulama sepakat mengatakan bahawa penyeluk saku juga dikategorikan sama dengan mencuri dan dikenakan hukuman potong tangan.


  8. Menurut pendapat jumhur ulama, iaitu Maliki, Syafi'e, Hanbali dan Abu Yusuf, sesiapa yang mencuri kain kafan orang mati juga dikira sebagai pencuri dan dikenakan hukuman potong tangan. Mereka berpendapat demikian dengan berdasarkan kata-kata Aisyah yang bermaksud: " Orang yang mencuri daripada yang telah mati, dikira sama seperti mencuri daripada orang yang masih hidup".


  9. Menurut pendapat Abu Hanifah, pencuri tidak dikenakan hukuman potong tangan kiranya ia mencuri barangan yang cepat rosak seperti: sayur-sayuran, buah-buahan, susu dan lainnya. Menurut pendapat jumhur pula, iaitu Maliki, Syafi'e dan Hanbali, hukuman potong tangan dikenakan terhadap semua kategori barangan yang bernilai.


Tulisan ini dirujuk kepada buku bertajuk Huraian Ayat-Ayat Hukum karangan Ustaz Abdul Latif Muda dan Ustazah Rosmawati Ali.



"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Tuesday, June 14, 2011

Warded Again


Inilah rupa bilik wad saya



Sejak minggu lepas sakit perut saya masih belum kebah. Segalanya bermula setelah saya menjamu rendang yang amat pedas di rumah makcik saya sempena walimah anaknya. Sebagai anak jati N.Sembilan, makanan pedas memang kegemaran saya. Lagi pedas lagi berselera saya dibuatnya. Keesokannya perut saya mula memulas. Saya hanya menjangkakan tersilap makan. Dengan segera saya mengambil sebiji pil 'arang' untuk melawan rasa sakit.



Alhamdulillah sakitnya semakin hilang. Selang beberapa jam sakitnya datang semula dan seperti awalnya saya menelan sebiji lagi pil 'arang'. Sakit perut saya berlanjutan sehinggalah Jumaat lepas. Saya mula mengesyaki sakit ini bukannya kerana silap makan, tetapi gastrik yang menyerang semula. Saya mula menukar kepada ubat 'kapur' untuk meredakan gastrik tersebut. Alhamdulillah ia semakin reda.



Oleh kerana hujung minggu lepas merupakan cuti sekolah, maka banyak jemputan kahwin yang saya kunjungi. Seperti biasa, saya lupa semula yang saya tidak boleh memakan makanan yang pedas. Di sinilah sakit saya semakin tidak tertahan. Berguling-guling saya dibuatnya setelah pulang ke rumah. Kali ini ubat 'kapur' juga tidak boleh meredakan kesakitan saya. Kira-kira selepas Maghrib, isteri saya telah membawa saya ke hospital berdekatan dan saya diberikan suntikan pethedine. Pethedine merupakan sejenis dadah yang kuatnya hampir menyamai heroin dan mampu menghilangkan rasa sakit. Doktor tidak memberitahu saya kesan sampingan sebelum suntikan diberi. Setelah suntikan diberi, saya rasa terawang dan denyutan jantung saya semakin laju. Panik saya dibuatnya. Terus saya menjerit bertanyakan doktor apakah ubat yang disuntik punya kesan sampingan. Barulah beliau memberitahu kesan sampingan ubat tersebut. Sepanjang malam saya rasa terawang dan tidak boleh berjalan melainkan dipapah ataupun menggunakan kerusi roda.



Keesokannya saya perlu menghadiri temu janji bersama doktor untuk susulan gastrik saya. Lama saya menunggu. Ditakdirkan Allah, sakit saya datang semula dan kali ini betul-betul di hadapan doktor. Terus saya disuntik pethedine buat kali kedua dan dimasukkan ke dalam wad. Terawang lagi saya saya dibuatnya. Harapnya saya dapat keluar dari hospital hari ini juga. Bosan rasanya duduk di hospital seorang diri.



"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Monday, June 13, 2011

Kenangan di Penjara - Dr. Yusuf Al Qaradhawi




Dr. Syeikh Yusuf Al Qaradhawi pernah dipenjarakan sebanyak tiga kali. Kali pertama ialah pada tahun 1949 setelah Ikhwanul Muslimin dikaitkan dengan pembunuhan Perdana Menteri Mesir, Nuqrashi Basha. Kali kedua beliau telah dipenjarakan kerana perselisihan antara Ikhwanul Muslimin dan Dewan Revolusi pimpinan General Nagib. Kali ketiga pula ialah pada tahun 1954 dan dibebaskan pada tahun 1956 juga kerana perselisihan antara Ikhwanul Muslimin dan Dewan Revolusi pimpinan General Jamal Abdul Nasser. Berikut saya sertakan kenangan pahit beliau di dalam penjara bersama para ikhwan ketika ditahan buat kali ke tiga.


Penjara Perang di Mesir telah dibina oleh Inggeris pada zaman penjajahan. Ianya digunakan untuk menghukum tentera yang melanggar undang-undang. Oleh sebab itu, sel penjara dibuat untuk menampung seorang dalam setiap sel. Ruangannya sangat kecil yang luasnya tidak lebih dari 2 meter x 1 meter setengah. Terdapat ruang tingkap kecil yang tinggi berdekatan dengan bumbung di dalamnya. Tingkap itu dihadang dengan gerigi besi dan sentiasa terbuka untuk peredaran udara. Warna seluruh dindingnya gelap dengan satu pintu hitam yang ditutup dengan mangga dari luar.


Selain itu terdapat dua bilik yang kadang kala digunakan untuk menampung tahanan jika sel-sel biasa penjara sudah penuh. Kapasiti maksimum penjara adalah untuk 300 orang tahanan sahaja. Setiap sel ditempatkan 7 hingga 8 orang tahanan dan jumlahnya mencecah 2000 ribu di dalam penjara tersebut. Setiap sel hanya punya satu tandas dan terpaksa berkongsi dengan hampir 8 org tahanan lain.



Kata Syeikh Qaradhawi,


"Aku tiba di penjara perang pada waktu petang, tepat ketika enam Ikhwan menjalani hukuman mati. Mereka ialah Abdul Kadir Audah, Muhammad Farghali, Ibrahim Tayyib, Yusuf Tal'at, Handaway Duwair dan Mahmud Abdul Latif. Mereka baru dipindahkan dari penjara perang ke penjara lain. Oleh itu aku tidak dapat bertemu dengan mereka. Aku hanya sempat memandang mereka dari jauh, sebagaimana para Ikhwan yang lain turut melihat pemergian mereka. Mereka berbaris di hadapan penjara dan berjalan seperti gerak langkah tentera."


Ketika memasuki penjara, para pengawal sudah menyiapkan diri dengan cemeti berduri yang akan dipukulkan pada punggung tahanan, tengkingan-tengkingan yang memekakkan dan pandangan yang menghinakan. Alat penggiling diputar laju untuk menggiling tahanan penjara. Mereka mahu tahanan penjara hilang maruahnya. Seolah-olah seperti haiwan yang tidak punya harga diri. Penjara perang tersebut diselia oleh seorang pegawai yang bernama Hamzah Basyuni. Tatkala para ikhwan merintih menyebut Ya Rabb, Hamzah Basyuni akan mengherdik,


"Datangkanlah ke sini Tuhan kalian, dan aku akan mencampakkan dia ke dalam penjara!!!"


Percakapan dan perbuatannya sangat menjelekkan. Setiap pengawal penjara dan tentera yang melalui sel pasti cuba untuk melibaskan belantannya kepada tahanan Ikhwan. Sheikh Qaradhawi dihumban ke dalam sel di tingkat 3 bernombor 242. Antara seksaan yang paling teruk ialah dilepaskan anjing-anjing yang buas kepada tahanan. Anjing-anjing tersebut telah dilatih melakukan penyeksaan sebegini. Seorang Ikhwan bernama Dr. Mustafa Abdullah pernah dimasukkan anjing buas ke dalam selnya. Menariknya, anjing tersebut seolah-olah dapat merasakan yang Dr. Mustafa adalah seorang yang baik. Justeru, anjing tersebut menjadi jinak dan tidak mengganggu Dr. Mustafa. Setelah pintu sel dibuka, pengawal penjara merasa pelik melihat Dr. Mustafa tidak tercedera walau sedikit pun. Bahkan mereka melihat anjing tersebut duduk di hadapan Dr. Mustafa dengan tenang dan manja. Akhirnya Basyuni tidak menemui jalan lain kecuali mengeluarkan Dr. Mustafa dari penjara bersama anjing tersebut.


Seorang tahanan Ikhwan yang masih segar di ingatan Syeikh Qaradhawi ialah mahasiswa fakulti Syariah di Al Azhar bernama Sheikh Muhammad Shaubi Daeb. Sebelum tertangkap, beliau telah menyembunyikan diri di rumah Sheikh Hasanain Muhammad Makhluf, mantan mufti Mesir. Ketika menyembunyikan diri di rumah sheikh tersebut beliau telah menukarkan namanya kepada Sadiq Afendi. Kemudian, beliau telah membuat pasport dengan nama yang baru dan seterusnya melarikan diri ke Jeddah. Kedutaan besar Mesir di Arab Saudi menyedari perkara ini dan menangkap Muhammad Shaubi. Beliau telah disoal siasat tentang mereka yang membantunya menyiapkan pasport serta menguruskan perjalanannya ke Jeddah. Beliau tidak menjawab dan diseksa dengan teruk.


Oleh kerana tidak tertahan dengan seksaan, beliau telah memberikan maklumat kepada kerajaan kecuali satu soalan sahaja. Iaitu soalan berkenaan di mana beliau menyembunyikan diri sebelum berangkat ke Jeddah. Beliau sangat bimbang Syeikh Makhluf ditangkap jika perihal tersebut didedahkan. Beliau diseksa sebanyak dua kali. Seksaan kali pertama sangat teruk, namun beliau mampu bertahan. Tiba seksaan kedua yang kurang sedikit kerasnya, badannya tidak mampu menanggung derita lagi dan syahid menemui Rabbul Jalil. Seorang Ikhwan yang melihatnya berkata,


"Tubuhnya menjadi seperti selonggok daging yang penuh tersiat dengan luka, bersimbah darah dan nanah yang bercampur darah..."


Apabila ada perintah untuk membawanya dari sel tahanan ke bilik soal siasat, para pengawal penjara berasa kasihan untuk membawanya. Akh Muhammad sudah tidak mampu berjalan dan mereka juga tidak dapat membawanya ke bilik soal siasat kerana tubuhnya telah dipenuhi dengan luka. Akhirnya mereka terpaksa menyediakan troli sampah untuk membawanya ke bilik soal siasat.


Mereka yang meninggal dunia akibat seksaan akan dikumpulkan di sebuah ruang yang tersembunyi di sudut-sudut penjara. Kemudian mayat mereka akan dibawa oleh tentera ke Padang Abasiah untuk dikuburkan dalam satu lubang. Mereka dimasukkan ke dalam lubang itu tanpa dibersihkan, tanpa dikapankan dan tanpa ada seorang pun yang menyembahyangkan mereka. Di atas kubur itu dituliskan sebuah papan "Fulan, dibebaskan pada hari ini, tarikh sekian".


Hal yang hampir sama telah menimpa Akh Faruq Abdul Khair. Kedengaran rintihan dan jeritannya yang menyayat hati bergema dan memecah keheningan penjara. Rupanya para pengawal penjara menyoal siasat akh Faruq dengan cara yang sangat kasar. Tetapi, oleh kerana tubuhnya gagah dan berotot, beliau mampu menahannya. Ini menambahkan lagi rasa geram dan marah para pengawal penjara hingga seksaannya menjadi lebih keras dan beliau pun menemui kesyahidan. Setelah itu, pegawai penjara mengoyak-ngoyakkan data peribadinya dan menganggap bahawa akh Faruq tidak pernah memasuki penjara tersebut. Antara lain yang syahid dan masih segar dalam ingatan Syeikh Qaradhawi ialah Mahmud Yunis dan Ali Khauli.


Tulisan ini diambil daripada buku bertajuk "Muzakkirat al Qaradhawi"


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)