Tuesday, June 14, 2011

Warded Again


Inilah rupa bilik wad saya



Sejak minggu lepas sakit perut saya masih belum kebah. Segalanya bermula setelah saya menjamu rendang yang amat pedas di rumah makcik saya sempena walimah anaknya. Sebagai anak jati N.Sembilan, makanan pedas memang kegemaran saya. Lagi pedas lagi berselera saya dibuatnya. Keesokannya perut saya mula memulas. Saya hanya menjangkakan tersilap makan. Dengan segera saya mengambil sebiji pil 'arang' untuk melawan rasa sakit.



Alhamdulillah sakitnya semakin hilang. Selang beberapa jam sakitnya datang semula dan seperti awalnya saya menelan sebiji lagi pil 'arang'. Sakit perut saya berlanjutan sehinggalah Jumaat lepas. Saya mula mengesyaki sakit ini bukannya kerana silap makan, tetapi gastrik yang menyerang semula. Saya mula menukar kepada ubat 'kapur' untuk meredakan gastrik tersebut. Alhamdulillah ia semakin reda.



Oleh kerana hujung minggu lepas merupakan cuti sekolah, maka banyak jemputan kahwin yang saya kunjungi. Seperti biasa, saya lupa semula yang saya tidak boleh memakan makanan yang pedas. Di sinilah sakit saya semakin tidak tertahan. Berguling-guling saya dibuatnya setelah pulang ke rumah. Kali ini ubat 'kapur' juga tidak boleh meredakan kesakitan saya. Kira-kira selepas Maghrib, isteri saya telah membawa saya ke hospital berdekatan dan saya diberikan suntikan pethedine. Pethedine merupakan sejenis dadah yang kuatnya hampir menyamai heroin dan mampu menghilangkan rasa sakit. Doktor tidak memberitahu saya kesan sampingan sebelum suntikan diberi. Setelah suntikan diberi, saya rasa terawang dan denyutan jantung saya semakin laju. Panik saya dibuatnya. Terus saya menjerit bertanyakan doktor apakah ubat yang disuntik punya kesan sampingan. Barulah beliau memberitahu kesan sampingan ubat tersebut. Sepanjang malam saya rasa terawang dan tidak boleh berjalan melainkan dipapah ataupun menggunakan kerusi roda.



Keesokannya saya perlu menghadiri temu janji bersama doktor untuk susulan gastrik saya. Lama saya menunggu. Ditakdirkan Allah, sakit saya datang semula dan kali ini betul-betul di hadapan doktor. Terus saya disuntik pethedine buat kali kedua dan dimasukkan ke dalam wad. Terawang lagi saya saya dibuatnya. Harapnya saya dapat keluar dari hospital hari ini juga. Bosan rasanya duduk di hospital seorang diri.



"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

1 comment:

  1. salam abg muhannad...

    sekarang apa kabar?dah sehat belum?

    ReplyDelete