Monday, June 27, 2011

Ayat-ayat Hukum - Hukuman Terhadap Pencuri (part 2)

Menurut pendapat Ata' hukuman terhadap pencuri secara terperinci adalah dalam dua bentuk sahaja,


  1. Pencuri hanya dipotong tangannya untuk kesalahan kali pertama. Ini bererti, hukuman potong tangan hanya sekali sahaja.


  2. Kesalahan mencuri kali kedua dan berikutnya dikenakan hukuman ta'zir.

Menurut pendapat Imam Abu Hanifah dan Hambali, had terhadap pencuri terbahagi kepada tiga bentuk:



  1. Hukuman potong tangan kanan bagi kesalahan kali pertama.


  2. Hukuman potong kaki kiri untuk kesalahan kali kedua.


  3. Kesalahan kali ketiga dan ke atas hendaklah ditahan atau dipenjarakan sehingga ia bertaubat atau ditahan sampai mati sekiranya enggan bertaubat. Mereka berpendapat demikian berlandaskan hujjah amalan Saidina Ali dan Umar yang bermaksud, "Seorang pencuri telah dihadapkan kepada beliau, lalu dijatuhkan hukuman potong tangan, kemudiannya pencuri yang sama dihadapkan lagi, lalu ia dijatuhkan hukuman potong kaki, seterusnya pencuri tersebut dihadapkan kali ketiga, lalu ia berkata: 'Aku tidak mahu menjatuhkan hukuman potong lagi. Kerana sekiranya dipotong lagi tangannya, bagaimana nanti ia mahu makan dan membersihkan badannya? Begitu juga kiranya dipotong kakinya, bagaimana ia hendak berjalan? Aku malu kepada Allah untuk berbuat begitu'. Maka pencuri tersebut dikenakan ta'zir dengan dipenjara dan disebat

Menurut mazhab Zahiri pula, hukuman terhadap pencuri terbahagi kepada tiga bentuk:



  1. Mencuri kali pertama dipotong tangan kanan.

  2. Mencuri kali kedua dipotong tangan kiri.

  3. Mencuri kali ketiga dan selanjutnya adalah hukuman ta'zir.
Jumhur ulama dan imam mazhab yang empat sepakat mengatakan bahagian yang wajib dipotong ialah pergelangan tangan. Syiah Imamiah mengatakan bahagian yang wajib dipotong ialah jari jemari sahaja. Puak Khawarij pula mengatakan yang dipotong ialah sampai paras bahu.


Pulangkan Barangan yang Dicuri

Menurut pendapat Imam Syafi'e dan Imam Ahmad, pencuri hendaklah memulangkan kembali barangan yang dicurinya kepada pemilik. Sekiranya barang dicuri itu telah habis atau musnah, ia mestilah menggantikan semua barangan tersebut kepada pemiliknya atau pihak warisnya. Mereka berpendapat demikian kerana hukuman potong tangan dikenakan itu kerana melaksanakan hukuman Allah dan hukuman memulangkan kembali barangan yang dicuri itu pula adalah atas dasar kerana ia menceroboh hak manusia. Walau bagaimanapun, menurut pendapat mereka lagi, hukuman potong tangan dan mengembalikan semula barangan yang dicuri itu boleh dilaksanakan serentak atau secara berasingan.

Mengikut pendapat Imam Abu Hanifah, pencuri perlu mengembalikan semula barang yang dicurinya jika barang itu masih ada. Walau bagaimanapun, menurut pendapat Imam Hanifah lagi, hukuman mengembalikan barang yand dicuri dengan hukuman potong tangan tidak boleh dilaksanakan serentak. Sekiranya barangan tersebut telah rosak atau habis, ia tidak wajib atau tidak dikenakan hukuman membayar ganti rugi lagi. Hal tersebut berdasarkan firman Allah yang berbentuk mutlak tanpa menyebut hukuman bayaran ganti rugi tersebut. Antara lain juga, Imam Abu Hanifah berpendapat demikian berasaskan sabda,

"Apabila pencuri dikenakan hukuman potong tangan, maka tiada bayarang ganti rugi terhadapnya".

Menurut pendapat Imam Malik pula, pencuri perlulah memulangkan semula barangan yang dicurinya sekiranya barangan itu masih ada lagi. Sekiranya barangan tersebut sudah tiada atau musnah, ia perlu membayar ganti rugi kepada pemiliknya dengan syarat ia seorang yang berkemampuan sewaktu melakukan pencurian.


Kategori Pencuri

a. Orang Kafir Mencuri Milik Orang Islam


  • Jika kafir zimmi mencuri barang orang Islam atau sesama mereka, maka dipotong juga tangan mereka dan hukuman sama seperti orang Islam. Ini adalah kerana mereka juga hidup dalam masyarakat dan negara Islam serta mengetahui semua hukum hudud.

  • Jika pencuri adalah kafir mustaman, ulama berselisih pendapat:
    Ulama Malikiyyah, Hanabilah, Abu Hanifah dan Ahmad mengatakan tidak dilaksanakan hudud.


  • Menurut pendapat Abu Yusuf daripada mazhab Hanabilah, jika kafir mustaman mencuri barangan orang Islam, dipotong tangannya.

b. Orang Islam Mencuri Milik Orang Kafir



  1. Majoriti ulama mengatakan orang Islam yang mencuri barang kafir Zimmir dipotong tangannya. Hal tersebut kerana harta milik kafir zimmi itu juga mestilah dipelihara sama seperti milik orang Islam lain.


  2. Sekirang orang Islam yang mencuri harta kafir mustaman, ulama Hanabilah dan Malikiyyah mengatakan orang Islam tersebut mesti dipotong tangannya. Setengah ulama lain menyatakan tidak dipotong.

c. Mencuri Harta Ahli Keluarga



  1. Imam Abu Hanifah dan Ahmad berpendapat tidak dikenakan hukuman potong tangan suami yang mencuri harta milik isteri, sama ada harta itu berada di dalam rumah milik khusus isterinya tau rumah milik bersama dan begitu juga jika sebaliknya. Anak yang mencuri harta bapanya juga tidak dikenakan potong tangan.


  2. Menurut Imam Malik, dikenakan potong tangan suami yang mencuri harta isteri yang berada di tempat khusus atau harta khusus milik masing-masing, begitu juga jika sebaliknya. Anak yang mencuri harta ibu bapanya juga dikenakan potong tangan. Walau bagaimanapun, jika bapa yang mencuri harta anaknya, tidak sekali-kali dikenakan potong tangan.

  3. Dalam kes mencuri harta adik beradik, Imam Malik dan Ahmad berpendapat dikenakan hukum potong tangan.


  4. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah orang yang mencuri harta adik beradik tidak dikenakan hukuman potong tangan.

Hukum Allah Balasan Setimpal


Dalam kes larangan memberi syafaat kepada pencuri setelah dibawa ke mahkamah sebagaimana hadis Nabi setelah terdapat dari kalangan orang Quraisy seorang wanita yang mencuri, lalu mereka meminta Usamah bin Zaid meminta syafaat kepada Rasulullah. Setelah Usamah mengatakan demikian, Nabi marah dan berucap kepada umum dengan sabdanya:

"Apakah engkau ingin memberi syafaat terhadap hukuman (had) daripada hukuman-hukuman Allah? Selepas itu Baginda bangun dan berucap kepada umum; Sesungguhnya yang menyebabkan binasa orang sebelum kamu ialah kerana mereka apabila seseorang yang mempunyai kedudukan di kalangan mereka mencuri, mereka biarkan, dan apabila orang yang lemah di kalangan mereka mencuri, mereka potong tangannya (dalam riwayat yang lain pula mereka laksanakan hukuman). Baginda menyambung lagi: Demi Allah, kiranya yang mencuri itu adalah Fatimah binti Muhammad sekalipun, pasti aku potong juga tangannya (atau tetap aku laksanakan hukuman hudud terhadapnya)."

Hukuman potong tangan terhadap pencuri itu adalah hukuman yang adil dalam Islam demi menjaga kemaslahatan ramai dan umum walaupun ia terpaksa mengorbankan kepentingan peribadi. Walau bagaimanapun, ulama berpendapat syafaat boleh diberikan kepada pencuri sebelum ia dibawa kepada hakim.

Hanya jenayah mencuri sahaja yang dikenakan hukuman potong tangan. Kes mengambil harta dalam bentuk yang lain seperti pecah amanah dan menipu tidak termasuk dalam hukuman potong tangan. Ini kerana jenayah mencuri dilakukan dengan teratur serta terancang hinggakan barangan yang disimpan di tempat yang khas dan selamat oleh pemiliknya pun masih diambil. Untuk itu, jenayah mencuri amat patut sekali dikenakan hukuman potong tangan sebagai balasan setimpal. Hal ini dilakukan supaya masyarakat akan selamat harta benda mereka dan gejala tersebut tidak berleluasa atau mereka tidak mencuri antara satu sama lain.

Jika pencuri itu menyesali perbuatannya dan bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat, maka Allah akan menerima taubatnya itu. Namun begitu, setelah kes itu dibawa ke mahkamah, hukuman potong tangan itu mestilah dilakukan juga walaupun pencuri itu telah bertaubat dan segala harta yang dicurinya itu mestilah dipulangkan semula kepada pemiliknya, kecuali mereka memaafkannya. Ini kerana harta yang dicuri itu adalah milik manusia.

Orang yang bertaubat dari kesalahan dosanya hendaklah menggantikan atau menghapuskan kejahatan perbuatannya yang lalu dengan melakukan amal kebajikan selari dengan firman Allah:

"Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu Allah akan menggantikan pada tempat kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah amat pengampun lagi amat mengasihani. Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat." (Al Furqan: 70-71)


Taubat seorang pencuri mestilah didahului dengan pengampunan atau penyelesaian terlebih dahulu dengan pemilik atau orang yg terlibat dalam kes kecurian tersebut dalam rangka memenuhi syarat taubat yang diterima Allah. Jika pemilik barang sudah meninggal dunia, maka si pencuri hendaklah menyelesaikannya dengan waris pemilik.


Hukum



  1. Hukum hudud yang ditetapkan Allah wajib dilaksanakan oleh pemimpin.


  2. Orang yang mengingkari hukuman Allah adalah kufur.


  3. Haram memberi pengampunan atau syafaat setelah kes dibawa ke mahkamah atau sedang dalam proses.


  4. Harus diberi pengampunan atau syafaat kepada pesalah sebelum kes dibawa ke mahkamah atau kepada hakim.


  5. Mencuri adalah suatu dosa dan diharamkan dalam syariat Islam.


  6. Jumhur ulama sepakat mengatakan mana-mana pencuri yang sabit kesalahannya dan cukup syaratnya, mestilah dikenakan had dengan potong tangan.


  7. Jumhur ulama sepakat mengatakan bahawa penyeluk saku juga dikategorikan sama dengan mencuri dan dikenakan hukuman potong tangan.


  8. Menurut pendapat jumhur ulama, iaitu Maliki, Syafi'e, Hanbali dan Abu Yusuf, sesiapa yang mencuri kain kafan orang mati juga dikira sebagai pencuri dan dikenakan hukuman potong tangan. Mereka berpendapat demikian dengan berdasarkan kata-kata Aisyah yang bermaksud: " Orang yang mencuri daripada yang telah mati, dikira sama seperti mencuri daripada orang yang masih hidup".


  9. Menurut pendapat Abu Hanifah, pencuri tidak dikenakan hukuman potong tangan kiranya ia mencuri barangan yang cepat rosak seperti: sayur-sayuran, buah-buahan, susu dan lainnya. Menurut pendapat jumhur pula, iaitu Maliki, Syafi'e dan Hanbali, hukuman potong tangan dikenakan terhadap semua kategori barangan yang bernilai.


Tulisan ini dirujuk kepada buku bertajuk Huraian Ayat-Ayat Hukum karangan Ustaz Abdul Latif Muda dan Ustazah Rosmawati Ali.



"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

6 comments:

  1. assalamualaikum.. sya nak bertanya.. sewaktu sy kecil, sya mencuri wang, gelang dan barang - barang yg lain.. sya di besarkan dalam keluarga yg tidak sempurna kasih syang.. sya hanya di besarkan oleh ibu, abang dan kakak sya.. semasa sya mencuri sya belum baligh.. sya juga penah melakukan dosa yg lain.. bab mencuri, adakan sya perlu memulangkan wang semula n barang kepada mangsa? memandang kan untuk menemui orang tersebut adalah tidak mungkin.. dan hendak mengantikan semula yg baru amat jauh sekali? adakan Allah akan memafkan sya walaupon sya belum baligh?mengenai dosa yg lain? megapa selepas bertaubat, sya masih lg teringat dosa-dosa masa sya kecil? sya rasa x tenang n kuatir jika sya meninggal, Allah x terima taubat sya... tolong beri pandangan bleh? terima kasih....

    ReplyDelete
  2. wslm wrh wbt...saya bukanlah seorang ustaz. Maka ilmu yg saya ada amat terbatas. Daripada apa yg saya pelajari,jika sukar untuk menggantikan brg yg dicuri atas sebab pemilik asal susah ditemui,kita bole bersedekah dgn kadar yg sama dgn brg yg dicuri. Wallahu a'lam jika ada cara yang lain. Insya Allah jika sudah bertaubat,dosa akan terampun biarpun kita x dpt menemui pemilik brg yg kita curi. Sama jg pd dosa2 lain. Mulakan hidup yg baru dan bykkan bersangka baik dgn Allah. Allah mendengar pengaduan hati hambaNya. Mustahil Allah akan membiarkan hambaNya terkapai sedangkan hamba tersebut berlari ke arahNya. Wallahu a'lam. Yang baik daripada Allah dan segala kelemahan daripada saya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Maafkan saya,dalam kes hamba Allah yang encik Abu Nu'man jawab,selepas ia bersedekah dgn kadar yg sama dgn brg y dicuri,apakah dia masih perlu untuk menjalani hukuman potong tangat tersebut?

      Delete
    2. ade procedur ketat jugak dan siasatan mesti dibuat. dan keputusan dibuat oleh ketua agama kawasan. tak boleh ambil keputusan hukum diri sendiri sebab ilmu kita cetek, dan untuk memastikan keadilan utk semua.

      Delete
  3. Assalam...saya nk tnya..apakah hukuman bagi ssorang yg membantu org lain mnjual hasil curian..dan keuntungannya dibagi dua.. Apakah cara untuk mnebus kslahan tu...? Dan bolehkah saya mengembalikan brang curian tu dgn wang tersebut kepada kepda tuannya secara senyap...

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum..saya ingin bertanya..masa dulu saya selalu mencuri selipar di masjid..saya tidak tahu ape perlu saya but..sebab saya tidak mengenali pemilik selipar tersebut..samada pemiliknya masih hidup atau meningal dunia..Bantu saya dlam hal INI..saya takot dosa saya..

    ReplyDelete