Tuesday, May 31, 2011

Pengumuman!!!


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Wednesday, May 25, 2011

Sambil-sambil boring buat kerja...

Tiada kelas yang lebih menyeronokkan melainkan daurah bersama Pak Syeikh...
Tiada lepak yang lebih 'masyuk' melainkan usrah...
Tiada stay up yang lebih fokus melainkan ketika mabit bersamaMu...
Tiada sukan yang lebih menyegarkan melainkan mukhayyam...
Tiada gathering yang lebih menceriakan melainkan ketika muktamar...
Tiada perbincangan yang lebih ilmiah melainkan nadwah...
Tiada santai yang lebih mengasyikkan melainkan rehlah...

Inilah yang saya rasa kebelakangan ini. Biarpun kadang kala saya cuba menghadirkan diri dalam event yang memang saya minati seperti forum liga bola sepak, kelas keibu bapaan dan banyak lagi. Namun tiada satu pun yang mampu menandingi keasyikan yang Allah kurniakan ketika menghadiri program tarbawi. Malahan, dalam satu-satu ketika saya terpaksa bermujahadah melawan nafsu untuk menhadirkan diri ke mana-mana program tarbawi. Lazimnya, di penghujung program, rasa nikmat yang tak terhingga dikecapi. Sentiasa rasa belum cukup puas. Masih merasakan dahaga pada pengisian yang entah bila penghujungnya. Inilah kemanisan iman dan amal. Bukan sahaja terasa manis ketika menuntut ilmu malah terasa manis juga ketika mempraktikkan ilmu.

Kebelakangan ini saya sering teringat kisah-kisah menarik ketika saya menuntut dahulu. Terus terang saya katakan, banyak pengalaman yang saya perolehi tidak mungkin dapat ditemui jika saya melanjutkan pengajian di tanah air. Bukan hendak berlagak, tetapi inilah hikmah di sebalik 'tercampaknya' saya ke bumi Uncle Sam. Terus terang saya katakan, saya tidak pernah meletakkan negara Amerika Syarikat sebagai pilihan utama saya. Malah, sepanjang 4 tahun di sana saya sentiasa menghitung hari bilakah pengajian saya akan tamat.

Ketika saya berada di semester kedua, saya telah berkenalan dengan seorang pelajar sarjana yang baru tiba dari Jordan. Namanya Khaldoun dan umurnya dalam lingkungan lewat 30an. Ketika itu beliau masih bujang. Saya sering menemuinya di masjid. Antara rutin saya selepas solat ialah bertilawah Al Quran sebanyak dua muka surat. Saya akan membuka muka surat secara rawak dan terus membaca dua helai muka surat. Tujuan saya berbuat demikian untuk melancarkan bacaan Al Quran saya. Secara lazimnya, surah Al Baqarah dan surah-surah lazim dalam juz 30 adalah agak mudah untuk dibaca berbanding surah-surah daripada juz 10 hingga 19.

Tabiat Khaldoun pula ialah bersandar di dinding masjid sambil mendengar bacaan saya. Ini membuatkan saya berasa segan dan memperlahankan bacaan saya. Terus beliau meminta saya menguatkan suara bacaan supaya beliau dapat mendengar bersama. Akhirnya saya tergerak untuk bertanya mengapa beliau gemar sangat mendengar bacaan Al Quran saya. Terus terang saya katakan bacaan saya bukanlah sedap mana pun. Malah, saya tidak mempelajari langsung ilmu tarannum. Makna kata, bacaan saya dengan orang lain pun sama sahaja. Beliau hanya menjawab bacaan Al Quran orang Malaysia sedap belaka. Lebih menarik lagi beliau bertanya kepada saya,

"Do you understand what you recited just now?"

Saya rasa terpukul dengan soalan tersebut. Lazimnya saya hanya membaca Quran terjemahan hanya ketika di rumah dan tidak di masjid. Beliau terus menceritakan intisari kandungan ayat-ayat yang saya bacakan sebentar tadi. Subhanallah, satu pengajaran yang sangat baik daripada ayat-ayat yang telah saya bacakan sebelum itu.

"Till now I'm still amazed how the non Arabs embraced Islam", ujar Khaldoun.

"Why?" saya cuba memahami apa yang sedang beliau fikirkan.

"Al Quran was revealed in Arabic. Hadis was also recorded in Arabic. The non Arabs do not speak neither understand the language. But they outnumbered the Muslim Arabs. It is even weird to see them more obedient than the Muslim Arabs."

Sekali lagi saya dapat merasa tamparan tersebut. Benar, kebanyakan orang Melayu Islam hanya menurut sahaja (taqlid) dengan amalan ibadah tanpa mencari dalilnya yang bersumberkan Bahasa Arab. Itu jika dilihat daripada sudut ibadah. Bagaimana pula daripada sudut aqidah? Memang tidak boleh dinafikan lagi saya benar-benar Islam mengikut keturunan sahaja. Jika ditanya mengapa Islam itu benar pun belum tentu saya dapat menjawab dengan lancar. Persoalan beliau sangat mudah dan penuh padat. Mustahil bagi mana-mana manusia untuk mempercayai sesuatu melainkan setelah benar-benar hadam dan faham perkara tersebut.

"You know what, brother. This is a proof that Islam is a true religion. Even though you don't understand the source, but your heart just couldn't resist the truth. Even the blind can 'see' it clearly the difference of al haq and bathil"

Benar, inilah bukti kebenaran Islam. Biarpun tidak memahami Bahasa Arab, namun ia tidak menghalang daripada kebenaran itu terserlah dengan begitu jelas. Ini menaikkan semangat saya untuk terus mempelajari Bahasa Arab. Malah, hati saya semakin menyintai Bahasa Arab. Jika singgah makan tengahari di kedai Arab, saya akan cuba berbicara dalam Bahasa Arab bersama mereka. Malangnya mereka lebih suka berbahasa Inggeris.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Wednesday, May 18, 2011

Kenangan bersama mereka...

Ketika asyik membelek blog saya, terlihat satu follower baru yang merupakan bekas anak usrah saya ketika di Kolej Matrikulasi Kuala Pilah. Ini merupakan usrah pertama yang saya berikan alamat blog saya. Sebelum ini saya tidak pernah memberikan alamat blog saya mahupun emel kepada mana-mana anak usrah saya. Ternyata penulisannya amat bagus dan menarik perhatian saya. Gaya penulisannya menunjukkan beliau seorang yang matang dalam mengutarakan pandangan. Membuat rujukan sebelum menyatakan idea dan susunan ayat yang cantik serta tersusun. Jauh di sudut hati saya rasa gembira kerana anak usrah saya ini mampu berkembang pembangunan dirinya tatkala usianya masih muda remaja.

Ini mengingatkan saya kepada anak-anak usrah saya yang lain. Bagaimanakah keadaan mereka sekarang agaknya? Kebanyakan mereka hanya dapat dihubungi melalui emel dan medium chatting. Ada antara mereka juga yang menulis blog dan saya tidak ketinggalan mengikuti penulisan mereka. Saya mula mengendalikan usrah ketika berada di tahun tiga ketika belajar di Amerika Syarikat. Saya masih ingat nama-nama anak usrah saya ini; Zamri, Thariq dan Mamdouh. Naqib Mamdouh sebenarnya adalah sahabat saya. Oleh kerana naqibnya jarang mengadakan usrah, maka Mamdouh menyertai usrah saya setiap Jumaat malam. Sebenarnya ada beberapa orang lagi anak usrah saya, namun mereka tidak menunjukkan minat dan jarang menghadirkan diri.

Setelah pulang ke tanah air, saya telah diarahkan oleh naqib saya untuk mengendalikan usrah kepada pelajar persediaan ke luar negara di Kolej MARA Seremban. Hampir kesemua mereka melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Iskandariah, Mesir. Hanya seorang sahaja yang melanjutkan pengajian ke New Zealand dalam bidang kejuruteraan. 3 orang daripada mereka telah pun mendirikan rumah tangga. Tugas saya di kolej ini berterusan selama tiga tahun melibatkan tiga 'batch' pelajar. 'Batch' yang kedua terdiri daripada pelajar kejuruteraan yang melanjutkan pengajian ke Australia. Kali ini juga hanya seorang yang ke New Zealand tetapi dalam jurusan kimia. Beliau ditaja oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan berkemungkinan besar akan berkhidmat sebagai guru atau pensyarah.

Tahun seterusnya saya tidak lagi membawa usrah di Kolej MARA Seremban berikutan terdapat ikhwah lain yang telah menawarkan diri untuk meneruskan tugas saya di situ. Dari situ saya meneroka jalan dakwah di lokasi lain. Kali ini bersama adik-adik lepasan SPM pula. Membimbing adik-adik lepasan SPM lagi besar cabarannya kerana kebanyakan mereka adalah daripada sekolah agama ataupun aliran agama. Mereka lebih fasih berbahasa arab dan memahami subjek diniah lebih mendalam berbanding saya. Alhamdulillah mereka masih lagi menghormati saya sebagai naqib walaupun ilmu saya tidaklah setinggi mereka. Usrah sebegini biasanya tidak lama kerana setelah mereka mendapat tawaran, usrah pun dibubarkan. Antara mereka kini ada yang sedang melanjutkan pengajian di Madinah, Al Azhar, Ain Shams dan persediaan ke UK.

Kemudian saya diamanahkan untuk membawa usrah di Kolej Matrikulasi N.Sembilan, Kuala Pilah pula. Alhamdulillah kali ini anak usrah saya terdiri daripada pelajar tiga jenis aliran; sains hayat, sains fizikal dan akaun. Perlahan-lahan saya serapkan fikrah yang jelas tentang usrah pada mereka. Kebanyakan mereka hanya memahami usrah tidak lain daripada kuliah agama atau tazkirah. Saya mulakan dengan kekerapan bermua'yasyah bersama mereka. Selalu beraktiviti luar bersama. Ber"rehlah" bersama. Bersukan bersama. Lama-kelamaan mereka sedar yang usrah juga adalah wasilah jalinan ukhuwah sesama mereka. Seminggu tiada usrah, mereka mula bertanya. Saya bertambah seronok dan penat lelah bermusafir ke kolej mereka hilang serta merta setelah melihat wajah mereka. Kini mereka sedang bercuti sementara menunggu panggilan IPTA. Kebanyakan mereka sedang mengikuti program tarbiah di kawasan masing-masing.

Kini saya membawa usrah lepasan SPM yang sedang menunggu panggilan IPTA, IPTS dan biasiswa ke luar negara. Seorang daripada mereka sudah pun mendaftar ke INTEC untuk persediaan ke Jordan dan seorang lagi ke Universiti Malaya untuk persediaan ke Jepun. Selebihnya, iaitu seramai empat orang hanya menunggu masa untuk mendaftarkan diri ke tempat pengajian masing-masing. Seorang ke Amerika Syarikat untuk kursus animasi, seorang akan ke Mesir untuk kursus perubatan, seorang ke Asasi UIA untuk kursus Arkitek dan seorang lagi akan ke KUIN untuk kursus syariah. Untuk meredakan kesedihan atas pemergian dua orang ahli usrah tersebut, kami telah bersantai ke Domino Pizza. Jauh di sudut hati, saya berasa sedih dengan kekurangan bilangan ahli usrah yang terpaksa melanjutkan pelajaran. Begitu juga dengan anak-anak usrah saya yang lain. Riak wajah mereka nampak seronok ketika menikmati pizza. Namun saya dapat merasakan kesedihan beraja di lubuk hati mereka. Terlalu banyak kenangan manis yang kami kongsi bersama. Tidak lama lagi hanya akan tinggal saya seorang sahaja yang kekal di Seremban sementara mereka semua akan bertebaran di seluruh pelusuk dunia.

Di penghujung usrah saya selalu berpesan kepada mereka. Jika diberi kesempatan, ziarahlah saya dan keluarga. Saya amat merindui mereka. Paling penting, kembalilah ke Negeri Sembilan untuk berkerja bersama-sama saya di medan dakwah yang dahagakan tenaga muda belia. Di sini saya sertakan senarai mereka yang pernah berusrah bersama saya sejak 2005 (sekembali dari Malaysia)

Kolej Mara Seremban (2005-2006)






  1. Zainal Abdullah (Univ. Alexandria, Mesir)



  2. Atiq Samsudin (Univ. Alexandria, Mesir)



  3. Syihabudin (Univ. Alexandria, Mesir)



  4. Mu'adz Salleh (Univ. Alexandria, Mesir)



  5. Fakhrudin (Univ. Alexandria, Mesir)



  6. Anas Mat Asis (Univ. Alexandria, Mesir)



  7. Zhafran (New Zealand)



Kolej Mara Seremban (2007-2008)







  1. Nazir (Australia)



  2. Nadzeri (Australia)



  3. Razi (universiti tempatan)



  4. Haadi (Australia)



  5. Safwan (Australia)



  6. Syafiq (New Zealand)



Lepasan SPM 2009







  1. Mu'adz Sidin (Univ. Madinah)



  2. Akram Shamsuri (Univ. Ain Shams)



  3. Furqan Abdullah (Jordan)



  4. Ramadhan Abdullah (Univ. Al Azhar)



  5. Muhammad bin Mejar (B) Roslan (persediaan ke UK)



Kolej Matrikulasi N.Sembilan (Class of 2010)







  1. Ilham (bercuti di Semanggol)



  2. Ikmar (bercuti di Seremban)



  3. Firdaus (bercuti di Balok, Kuantan)



  4. Fathi (bercuti di Johor Bahru)



  5. Zikri (bercuti di Larkin)



  6. Hafiz (bercuti di Johor Bahru)



  7. Nafis (bercuti di Johor Bahru)



  8. Afiq (bercuti di Kajang)



Lepasan SPM 2010







  1. Ariej (persediaan ke Jordan)



  2. Syazwan (persediaan ke Jepun)



  3. Fattah (akan mendaftarkan diri persediaan ke US)



  4. Afham (akan mendaftarkan diri ke KUIN)



  5. Iqbal (akan mendaftarkan diri ke Asasi UIA PJ)



  6. Faiz (akan mendaftarkan diri persediaan ke Mesir)


Ada antara mereka yang kekal bersama jamaah yang saya sertai. Ada juga antara mereka menyertai jamaah yang lain. Cuma seorang sahaja yang tidak bersama mana-mana gerakan Islam. Saya bersyukur mereka masih kekal di jalan dakwah walaupun ada antara mereka berada di dalam jamaah yang berlainan. Semoga Allah merahmati kalian. Abang rindukan antum

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Thursday, May 12, 2011

Ayat-ayat Hukum - Hukuman Terhadap Pencuri (part 1)

"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri, maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya, kerana Allah Amat Pengampun lagi Amat Mengasihani. Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi? Ia menyeksakan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum syariatNya), dan mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum syariatNya). Dan (ingatlah) Allah Amat Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah Al Maidah: 38-40)



Sebab Nuzul (turunnya ayat)



Pendapat yang diriwayatkan oleh al Wahidi, ayat tersebut diturunkan ekoran Tu'mah bin Ubairiq dari keturunan Bani Zafir mencuri baju besi Qatadah ibn an Nu'man. Baju besi tersebut tersimpan di dalam sebuah karung tepung. Tu'mah membawa lari baju besi itu bersama karung itu yang bocor bahagian bawahnya menyebabkan terpung berciciran di jalan. Menyedari hal itu, Tu'mah lalu mengambil baju besi itu dan meninggalkan karung tersebut di rumah seorang Yahudi bernama Zaid bin al Samir. Qatadah yang menyedari baju besinya telah dicuri mengikuti kesan tepung hingga ke rumah Zaid. Orang Yahudi tersebut dituduh mencuri baju besinya dan Qatadah membawa hal tersebut kepada Rasulullah. Maka turunlah ayat di atas. Walau bagaimanapun, berkaitan dengan kisah ini turun ayat lain pula, iaitu ayat 105 dari Surah An Nisa' yang menjelaskan kedudukan pencuri yang sebenar, Tu'mah.



Dalam riwayat Imam Ahmad pula, terdapat seorang pencuri wanita pada zaman Rasulullah. Pemilik barang tersebut telah mengadu kepada Rasulullah. Rasulullah mengarahkan tangan kanan wanita tersebut dipotong. Selepas dipotong tangannya, pencuri wanita tersebut bertanya kepada baginda apakah ada peluang baginya untuk bertaubat. Maka turunlah ayat di atas.

Ayat ini merupakan suatu ketetapan berkaitan hukum hudud terhadap pencuri lelaki dan perempuan. Hukuman hanya boleh dilaksanakan apabila ada bukti yang jelas, bersaksi dan cukup syarat untuk sabit kesalahan itu. Walaupun ini adalah hukum ketetapan Allah, namun pemilik barang boleh mengampuni dan memberi syafaat sebelum kes itu dibawa ke mahkamah.

Ayat di atas menyebut pencuri lelaki dahulu kerana majoritinya dilakukan oleh kaum tersebut.

Definisi pencuri yang digariskan oleh Islam ialah, mengambil barang orang lain dengan cara sembunyi atau helah yang dilakukan oleh orang yang cukup umur dan pilihan sendiri daripada tempat simpanan yang sesuai dan termaklum tidak dengan cara yang dibenarkan oleh syarak atau tidak dengan cara syubhat.



Syarat yang ditetapkan untuk menghukum pencuri ialah:



  1. Cukup umur

  2. Waras

  3. Pilihan sendiri

  4. Mengetahui hukum haramnya

  5. Tidak dimaafkan oleh tuannya.

Berkaitan dengan syarat pencuri tersebut, Imam Malik dan Syafi'e menambah di mana pencuri tersebut bukan bapa kepada mangsa pencuri. Sekiranya bapa mencuri barang kepunyaan anaknya, maka hukuman hudud tidak dikenakan. Menurut Syafi'e, datuk juga termasuk dalam kategori ini jika mencuri harta cucunya. Menurut Imam Malik, pencuri yang mencuri disebabkan kelaparan tidak dikenakan hukuman hudud walaupun semua syarat di atas telah mencukupi.


Syarat barangan yang dicuri adalah seperti yang berikut:



  1. Harta yang dapat dipindahkan daripada tempat simpanan atau pemiliknya.

  2. Harta yang berada di dalam simpanan sepatutnya. Contohnya, seseorang mencuri motorsikal yang diletakkan di halaman rumah tanpa dikunci tidak dikenakan potong tangan, kerana itu adalah kecuaian pemiliknya. Begitu juga mencuri buah-buahan di pokok tidak dikenakan had.

  3. Barangan yang dicuri sampai nisab dari sudut nilainya.

  4. Mengambil barang secara rahsia dan tanpa pengetahuan pemiliknya.

  5. Barangan yang dicuri itu adalah milik sempurna tuannya.

  6. Barangan yang dicuri itu diambil secara langsung daripada tempat simpanan pemiliknya atau daripada orang yang memegang amanah.

  7. Harta yang mempunyai nilai dari sudut syarak.

Pendapat ulama mengenai nilai barangan dicuri,



  1. Menurut Imam Malik, hukum potong tangan dikenakan terhadap mereka yang mencuri barangan bernilai 3 dirham berdasarkan hadis Nabi serta amalan Saidina Uthman.

  2. Menurut Imam Syafi'e dan Ahmad pula kadar nisabnya ialah 1/4 dinar atau yang menyamainya. Berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Aisyah R.A. maksudnya, "Dipotong tangan pencuri yang mencuri dengan kadar 1/4 dinar dan lebih". Juga berdasarkan hadis riwayat Ahmad, At Tirmizi dan Ibn Majah daripada Ibn Umar, "Nabi pernah memotong tangan pencuri perisai yang mana harganya tiga dirham".

  3. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah dan al Thawri, kadar yang menyebabkan sabit dan dipotong tangan ialah mereka yang mencuri kadar 1 dinar atau 10 dirham dan lebih atau nilai yang bersamaan dengannya. Berdasarkan hadis riwayat Amr ibn Syuib, "Tidak dipotong tangan orang yang mencuri barang yang nilainya kurang daripada 10 dirham".

Cara sabit jenayah curi dapat dibahagikan secara umumnya kepada dua iaitu:


a. Melalui dua orang saksi yang adil atau bukti yang sah.


"Hindarilah atau jauhilah hukuman hudud dengan sebab ada syubhat".


Dalam hadis lain juga Nabi mengingatkan supaya menggugurkan hudud sekiranya terdapat halangan atau kesamaran. Syarat-syarat saksi diterima penyaksian mereka ialah:



  1. Lelaki

  2. Adil

  3. Persaksian secara langsung, iaitu bukan melalui orang lain.

  4. Tidak berlalu masa yang lama

  5. Dakwaan yang dikemukan oleh pemilik barang yang sah.


b. Pengakuan ikhlas daripada pencuri itu sendiri.


Berkaitan dengan pengakuan yang menyebabkan sabit kesalahan mencuri dan dikenakan hukuman potong tangan, ulama berselisih pendapat, iaitu:



  1. Menurut jumhur ulama dan Abu Hanifah, pengakuan yang diterima untuk disabit kesalahan cukup sekali sahaja.

  2. Menurut mazhab Hambali dan Abu Yusuf, pengakuan yang dibuat oleh pencuri mestilah dua kali untuk menyamai dua orang saksi. Untuk itu, pengakuan yang dibuat sekali sahaja masih belum dapat diterima.

Mencuri secara berkumpulan



  1. Menurut pendapat Imam Syafi'e, Abu Hanifah dan Ibn Qudamah, seandainya dua atau tiga atau berkumpulan atau satu pakatan dibuat untuk mencuri sesuatu barangan yang sampai nisab had sabit mencuri. Namun setelah dibahagi-bahagikan antara mereka menurut bahagian masing-masing, jumlah yang diperolehi setiap orang daripada mereka tidak sampai nisab. Maka mereka itu tidak dikenakan hukuman potong tangan. Mereka berpendapat demikian dengan alasan dan diqiyaskan mencuri tidak sampai nisab. Antara lain juga, kes seperti itu dikira sebagai bukti tidak cukup dan ada keraguan.

  2. Menurut pendapat Imam Ahmad pula, sekiranya satu kumpulan sepakat mencuri, tidak kiralah berapa jumlah ahli kumpulan itu. Semua ahli kumpulan itu dikenakan hukuman potong tangan, walaupun setelah dibahagikan antara mereka, bahagian yang diperolehi oleh setiap ahli kumpulan itu tidak sampai nisab had mencuri. Ini adalah berdasarkan alasan bahawa hukumnya adalah sama sahaja sama ada seorang atau sekumpulan mencuri barangan yang nilainya sampai nisab.

Mencuri berulang kali


Jumhur ulama sepakat pencuri yang disabit kesalahannya mestilah dikenakan hukuman potong tangan kanan untuk kes kecurian pertama kali dan dipotong kaki kiri untuk kes kecurian kali kedua. Namun begitu ulama berselisih pendapat berkaitan dengan anggota yang wajib dipotong dan hukuman terhadap pencuri yang melakukan kecurian berulang kali.



  1. Menurut pendapat Imam Syafi'e dan Imam Malik, hukuman terhadap pencuri secara terperincinya dapat dibahagikan kepada 5 bahagian:


  • Pencuri yang mencuri kali pertama dikenakan had potong tangan kanan hingga pergelangan tangan.

  • Mencuri kali kedua dipotong kaki kiri hingga buku lali.

  • Mencuri kali ketiga dipotong tangan kiri hingga pergelangan tangan

  • Mencuri kali keempat dipotong kaki kanan hingga buku lali

  • Mencuri kali kelima dan seterusnya dikenakan ta'zir atau dipenjarakan hingga ia bertaubat.

bersambung...


Tulisan ini dirujuk kepada buku bertajuk Huraian Ayat-Ayat Hukum karangan Ustaz Abdul Latif Muda dan Ustazah Rosmawati Ali



"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)