Kaedah ini berasal daripada kata-kata imam Syafi'e. Berdasarkan kaedah ini, dalam urusan ibadah, seseorang itu tidak boleh mendahulukan atau mengutamakan orang lain sedangkan dirinya diakhirkan dan diketepikan. Syeikh Izzuddin bin Abdus Salam berkata: Tidak ada konsep mengutamakan orang lain dalam amalan taqarrub. Hal tersebut kerana, konsep pensyariatan ibadah adalah untuk membesarkan serta mengagungkan Allah dan berlumba-lumba dalam melakukan ibadah serta kebajikan. Sebaliknya, mengutamakan orang lain dalam urusan keduniaan dan kehidupan seharian merupakan sifat yang terpuji serta digalakkan dalam syariat.
Sumber Asal Kaedah
"...Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat" (Al Hasyr: 9)
"...oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan" (Al Baqarah:148)
Hadis daripada Abu Sa'id al Khudry,
"Sesuatu kaum itu tidak henti-henti (sentiasa) mengakhirkan dirinya daripada menyertai saf pertama ketika sembahyang sehinggalah Allah akan mengakhirkan mereka ke dalam neraka." (Riwayat Ibnu Majah)
Klasifikasi Mengutamakan Orang Lain
Haram. Iaitu jika dengan mengutamakan orang laoin hingga menyebabkan dirinya tertinggal atau meninggalkan perkara wajib atau perkara yang diwajibkan. Contohnya, seseorang mendapati hanya ada sepasang pakaian yang menutup aurat bagi mendirikan solat. Pada waktu yang sama, waktu sembahyang hampir luput dan ia memberikan pakaian tersebut kepada orang lain sedangkan dirinya tidak sempat menunaikan solat.
Makruh. Seseorang yang mengutamakan atau mendahulukan orang lain dalam amalan sunat sedangkan dirinya tidak dapat melakukan perkara sunat tersebut atau ia terpaksa melakukan perkara makruh. Contohnya, memberi ruang kepada orang lain mendapat bahagian pada saf pertama dan dirinya di saf yang belakang.
Khilaf Awla, iaitu menyalahi keutamaan. Iaitu dalam perkara atau urusan yang tidak ada tegahan atau larangan secara khusus.
Hukum Furu'
Seseoang tidak seharusnya memberikan air kepada orang lain untuk berwudhuk jika ketika itu waktu sembahyang telah masuk. Atau juga ia mendahulukan orang lain berwudhuk, sedangkan waktu solat telah masuk.
Seseorang yang hanya memiliki air yang cukup untuk berwudhuk bagi dirinya sahaja, kemudian ia dapati ada orang lain juga ingin berwudhuk. Ia tidak seharusnya memberikan air tersebut kepada orang lain.
Pengecualian daripada Kaedah
Seseorang yang datang lewat utk solat berjamaah dan ia mendapati tiada ruang kosong pada saf pertama. Justeru, ia menarik seseorang supaya ke belakang bersamanya. Orang ditarik tersebut sunat turun untuk membantu biarpun menyebabkan ia berada pada saf kedua. Namun dalam masalah tersebut ia tetap dikira mendapat pahala saf pertama.
Sumber rujukan adalah daripada buku bertajuk "Perbahasan Kaedah-kaedah Fiqh" oleh Ustaz Abdul Latif Muda dan Ustazah Rosmawati Ali@Mat Zin
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment