Monday, November 26, 2012

Memori Bersama Hasan Al Banna

Entri di bawah tajuk Memori Bersama Hasan Al Banna ini adalah kumpulan cerita pendek kenangan ahli-ahli Ikhwanul Muslimin bersama As Syahid Hasan Al Banna. Semoga kita sama-sama beroleh teladan dan peringatan daripada cerita-cerita pendek ini.

Setelah Syeikh Abbas Assisi menamatkan program diploma sekolah teknik pada tahun 1939, beliau berangkat ke Kaherah untuk mencari pekerjaan. Seperti ahli Ikhwanul Muslimin yang lain, kesempatan ke Kaherah akan digunakan untuk menziarahi Muraqib Am mereka, Syeikh Hasan Al Banna. Setelah berjumpa dengan syeikh kesayangan dan menyatakan hasrat mengapa beliau ke Kaherah, Hasan Al Banna lantas bertanya,

"Apakah kamu tidak cuba mencari kerja di Sekolah Teknik Jurusan Mekanik Senjata?"

"Saya tidak mahu terikat dengan latihan wajib tentera", jawab Syeikh Abbas.

Hasan Al Banna menambah, "Akan tetapi, risalah dan misi dakwah kita mewajibkan untuk tidak mengabaikan bidang tersebut."

"Baiklah. Tetapi saya khuatir tidak akan berjaya dalam pemeriksaan doktor kerana salah satu mata saya rabun."

Hasan Al Banna menjawab, "Tawakal kepada Allah. Insya Allah kamu pasti berjaya."

Syeikh Abbas masih keberatan untuk memilih bidang tersebut, "Mana mungkin saya akan berjaya dengan mata sebelahku rabun."

Dengan tegas Hasan Al Banna menasihatinya, "Sebab itulah ku katakan bertawakal kepada Allah. Jika kedua belah matamu elok, pasti kamu akan bertawakal pada matamu dan bukan padaNya."

Nasihat tersebut benar-benar menginsafkan Syeikh Abbas Assisi dan terus beliau mendaftarkan diri ke Sekolah Teknik Senjata di Abbasiah. Dengan kebesaran Allah, beliau telah lulus ujian kesihatan termasuk kedua belah matanya.

Ketika bermulanya Perang Dunia Kedua, Kementerian Perang telah menutup sekolah teknik senjata ini dan kesemua pekerja diarahkan ke medan perang di gurun pasir sebelah Barat. Sebelum diarahkan ke medan perang, setiap pekerja akan di bawa ke lapangan sasar tembak untuk menjalani latihan ketenteraan.  Beliau bersama 100 pelatih lain diarahkan menjalani latihan menembak. Syeikh Abbas Assisi mula kerisauan kerana sebelah matanya rabun. Mustahil beliau dapat menembak tepat dengan sebelah mata yang rabun. Dalam kerisauan yang menduga iman, Allah telah mengilhamkan beliau mengingati kembali nasihat Hasan Al Banna berkenaan tawakal. Lama-kelamaan rasa ragu-ragu pun menghilang dan beliau menjalani latihan menembak dengan tenang.

Setelah latihan selesai, Husain Ahmad, jurulatih menembak pun mengumumkan keputusan latihan. Alhamdulillah, Syeikh Abbas Assisi diumumkan sebagai penembak terbaik. Keputusan tersebut nyata mengejutkan beliau dan beberapa orang teman yang tahu akan masalah mata beliau. Inilah tarbiyah yang diterapkan oleh Hasan Al Banna kepada anak didiknya. Mirip seperti ayat 173 daripada Surah Ali Imran,

"(Iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang yang mengatakan, "Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka", maka perkataan itu menambah keimanan mreka dan mereka menjawab,"Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung."

Cerita pendek ini dipetik daripada buku karangan Syeikh Abbas Assisi yang bertajuk "Biografi Dakwah Hasan Al Banna"

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment