Tuesday, November 27, 2012

Memori Bersama Hasan Al Banna (Part 2)

Syeikh Abbas Assisi menceritakan seorang ahli Ikhwanul Muslimin telah menukilkan satu pengalaman yang menyentuh hati ketika ia bersama As Syahid Hasan Al Banna. Ketika itu, akh tersebut sedang dalam urusan menghantar surat daripada ahli ikhwan yang lain kepada Muraqib Am, Hasan Al Banna. Saat ketika beliau meletakkan surat tersebut di atas meja Hasan Al Banna, beliau ternampak sepucuk surat lain yang telah dibacanya sebentar tadi.

Ketika beliau membacanya, tiada tanda atau bekas titisan air mata. Tetapi, surat ini kelihatan lusuh sedikit kerana titisan air mata yang tumpah di atasnya. Saat itu beliau yakin titisan air mata itu adalah milik pemimpin Ikhwanul Muslimin, Hasan Al Banna. Akh ini nyata tersentuh kerana saat beliau membaca surat tersebut sebelum ini, beliau tidak menganggap isi surat tersebut sesuatu yang istimewa. Berbeza dengan Hasan Al Banna yang sungguh menghayati isi kandungan surat tersebut sehingga tumpahnya air mata yang tak terbendung. Apakah isi kandungan surat tersebut?

Di dalam surat tersebut disisipkan wang sebanyak 4 junaih sahaja sebagai infaq kepada jamaah Ikhwanul Muslimin. Bagi akh tersebut, ini merupakan fenomena biasa kerana ramai ahli Ikhwanul Muslimin lain yang menyumbang kepada jamaah. Malahan, jumlah infaq mereka berganda lebih banyak daripada 4 junaih tadi. Berikut adalah isi kandungan surat tersebut,

"Ramai orang mendaftarkan diri membeli saham surat khabar Al Ikhwan. Ketika itu, aku juga mempunyai keinginan untuk menginfaqkan harta demi kemajuan jamaah. Namun begitu, aku tidak mempunyai wang yang banyak dan gajiku kecil sekali. Dengan itu wahai syeikh Muraqib Am, daku kirimkan separuh gaji bulananku untuk turut serta menyumbang kepada jamaah."

As Syahid berkata, "Saudaraku sekalian, orang-orang seperti inilah dan wang mereka yang tidak seberapa yang akan menyumbang kepada kejayaan dakwah."

Cerita pendek ini telah dipetik daripada buku bertajuk "Biografi Dakwah Hasan Al Banna" karangan Ustaz Abbas Assisi.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

2 comments: