Jika soalan seperti yang bertajuk ditanya kepada anda, apakah jawapan yang akan anda berikan? Saya yakin antara jawapan yang diberikan adalah kerana menentang kezaliman yang dilakukan serta kasihkan saudara seakidah yang diganyang oleh pemerintah zalim. Tiada bezanya dengan saya melainkan saya punya sedikit tambahan jawapan. Iaitu kerana di situlah letaknya jasad Khalid al Walid (di Homs, Syria) dan juga rakan serumah saya berasal dari sana.
Saya mula mengagumi watak Khalid al Walid sejak darjah 1 lagi. Ianya bermula apabila saya diletakkan dalam rumah sukan berwarna merah dengan namanya Khalid al Walid. Saya masih ingat lagi nama bagi rumah hijau ialah Usamah bin Zaid, rumah kuning pula diberi nama Mus'ab bin Umayr dan rumah biru diberi nama Hamzah bin Abdul Mutalib. Kesemua nama ini dipilih bukan sahaja kerana mereka sahabat Rasulullah yang ulung, malah mereka adalah 'singa' yang keberanian dan kegagahannya mampu melucutkan senjata musuh. Kisah Khalid al Walid yang benar-benar menyentuh jiwa saya ialah rintihan beliau ketika hampir menemui ajal.
"Kematianku di atas katil tiada bezanya dengan kematian seekor unta tua." (aw kama qaal)
Apa yang beliau maksudkan ialah kematian selain di medan jihad adalah kematian yang bukan inginkan. Ini kerana kematian di tempat tidur tiada bezanya dengan kematian makhluk Allah yang lain. Sedangkan mati syahid hanya dianugerahkan kepada manusia istimewa sahaja. Ketika itu umur beliau baru mencecah 38 tahun dan mempunyai tidak kurang daripada 70 liang luka di badannya.
Ketika masih menuntut di luar negara, saya sempat duduk serumah dengan seorang warga Amerika Syarikat berketurunan Arab Syria. Ibu bapanya berasal dari Homs, Syria dan berhijrah ke Indianapolis setelah mendirikan rumah tangga. Tarek Zeni merupakan anak bongsu dan mempunyai seorang abang kembar bernama Amer Zeni. Tidak dinafikan wajah mereka seakan-akan Maher Zain yang cukup kacak itu. Saya sempat menetap bersama Tarek selama 2 tahun setengah. Lazimnya beliau akan pulang ke Syria bersama keluarganya setiap tahun. Sebelum pulang ke Syria, beliau akan mencukur jambangnya atas alasan keselamatan. Menurutnya, sesiapa yang menyimpan jambang di Syria mudah disyaki sebagai seorang islamis ataupun pengikut Ikhwanul Muslimin. Di Syria, organisasi Ikhwanul Muslimin adalah diharamkan dan aktivisnya akan dipenjara serta diseksa.
Tarek dan kembarnya amat rapat dengan pelajar Melayu di Purdue University kerana sifat sopan dan lemah lembut kami berbanding pak arab lain yang agak sukar untuk bertolak ansur. Tarek begitu menghormati pelajar Melayu sehinggakan beliau telah mendirikan rumah tangga dengan rakyat Malaysia. Beliau juga tidak kekok memakan masakan melayu ketika berada di rumah. Lebih daripada itu, beliau pernah ke kelas dengan memakai kain pelikat dan baju melayu. Berkali-kali kami mengingatkannya bahawa kain pelikat adalah pakaian tidak formal bangsa Melayu. Ianya tidak sesuai untuk dipakai ke kelas mahu pun untuk bersiar-siar. Apa yang membuatkan Tarek lebih rapat dengan kami ialah kekaguman beliau melihat pelajar Melayu yang mempunyai halaqah mingguan. Kebiasaannya halaqah mingguan kami berlangsung selepas solat Maghrib setiap hari Jumaat. Kami awalkan waktu halaqah supaya kami dapat beriadhah lebih lama di Co-Rec (Co-Recrational Center). Tarek juga mula belajar bermain badminton dengan kami. Sebagai balasan, kami meminta beliau mengajar kami teknik dan cara permainan basketball. Kadang kala kami meminta Tarek memberi penyampaian dalam halaqah kami.
Pencapaian terbaik kami ialah melatih Tarek sehingga beliau fasih berbahasa Melayu. Beliau pernah menulis karangan yang panjang lebih daripada 300 patah kata dan memberikannya kepada kami untuk disemak serta dibetulkan. Tarek pernah membawa kami pulang ke rumahnya di Indianapolis. Malah, kami mengenali semua ahli keluarga beliau. Sepanjang kami mengenali beliau, kami mempelajari banyak perkataan Bahasa Arab pasar Syria seperti 'Syukh baarak' (Apa khabar).
Kesengsaraan dan kesusahan rakyat Syria bukan suatu perkara yang baru buat saya. Saya mula mengenali bangsa ini dan jerit payah mereka lebih 11 tahun yang lalu. Mereka diwajibkan menjalani latihan ketenteraan setelah tamat sekolah. Tarek dan Amer sentiasa cuba melarikan diri daripada ditahan oleh tentera setiap kali pulang ke Syria. Bagi mereka, latihan ketenteraan tersebut tidak lebih daripada neraka buat mereka. Rakyat Syria sudah terlalu lama dizalimi dan dinafikan hak mereka. Apakah dengan menegur kelemahan pemimpin mereka layak disembelih atau ditembak? Angka syahid sudah pun mencecah 5 digit dan semakin meningkat. Menurut sumber dari Syria, hampir 40 hingga 50 orang dibunuh setiap hari. Kebangkitan rakyat Syria kini hampir mencecah usia setahun. Dapatkah dibayangkan berapa ramai yang telah kerajaan Syria bunuh dengan sewenang-wenangnya?
Sebut sahaja apa jenis kezaliman, semuanya telah dilakukan ke atas rakyat Syria oleh Presiden Bashar Al Asad. Bekalan air bersih disekat, wanita diculik dan dirogol, kanak-kanak dipenjarakan dan diseksa, tahanan dipijak-pijak dengan but tentera yang keras dan berbagai lagi. Tidak cukupkah kezaliman tersebut untuk menafikan keterlibatan Barat dan Yahudi merangka agenda untuk menjatuhkan pimpinan Arab? Koleksi lawak jenis apakah ini????
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment