Thursday, December 16, 2010

Tersebutlah al kisah...

Arakian adapun sebuah negara yang aman tenteram dan ramah penduduknya bernama Malas Sia. Syahadat negeri ini amat cantik dan kaya hasil mahsulnya. Negara Malas Sia ini diperintah oleh seorang raja bernama Raja Pekan. Kebanyakan rakyat jelata rasa bahagia berada di bawah pemerintahannya. Biarpun harga beberapa barang keperluan naik, rakyat tetap bersatu padu menyokong pemerintahan Raja Pekan.

Namun begitu, terdapat juga segelintir rakyat yang tidak menyukai pemerintahan Raja Pekan. Golongan ini diketuai oleh Hang Pauh. Walaupun mereka tidak menyukai pemerintahan Raja Pekan, tindakan mereka tidak melebihi daripada berhimpun secara aman dan berceramah sahaja. Tiada aktiviti yang boleh menggugat ketenteraman negara. Mereka tidak menyukai Raja Pekan kerana pada hemat mereka Raja Pekan seorang pemerintah yang tidak amanah. Ketika menjawat jawatan sebagai Laksamana, Raja Pekan telah menggunakan wang rakyat untuk membeli kelengkapan perang dengan harga yang mahal. Dipendekkan cerita, kelengkapan tersebut gagal berfungsi dan terbazirlah wang rakyat dengan begitu banyaknya. Perasaan meluat mereka semakin membuak apabila isteri Raja Pekan, Ros Mewah mula masuk campur dalam urusan hal ehwal negara. Ros Mewah telah menggunakan kedudukannya sebagai isteri pemerintah untuk menghabiskan wang rakyat dengan sewenang-wenangnya. Kesempatan yang ada telah digunakan untuk melancong dan memulakan projek merosakkan akhlak remaja. Entah mengapa, masih ramai rakyat yang menyayangi Ros Mewah, si korup tua. Mungkin kerana rakyat tidak begitu mengetahui apakah tindakan Ros Mewah yang telah merosakkan khazanah negara.

Semakin lama penyokong Hang Pauh semakin ramai. Raja Pekan merasakan kedudukannya semakin tergugat. Majoriti rakyat di empat buah negeri di bawah pemerintahan Raja Pekan iaitu Negeri Selangok, Negeri Ke Belum, Negeri Pulau Tiang dan Negeri Ke Lantang sudah menyebelahi Hang Pauh. Raja Pekan mula merancang sesuatu untuk mengurangkan pengaruh Hang Pauh. Setelah berbincang dengan para menterinya, maka terhasillah satu rancangan durjana yang boleh mencalarkan imej Hang Pauh. Rancangan tersebut ialah mengupah seorang lelaki belia untuk mengaku pernah mengadakan hubungan sejenis dengan Hang Pauh. Sungguh jijik rancangan mereka. Tidak pernah sejarah dunia mencatatkan fitnah yang sejelek demikian.

Dalam diam-diam, Raja Pekan rupa-rupanya adalah seorang kaki perempuan. Beliau telah menjalin hubungan dengan seorang wanita dari negara sebelah timur, Magnolia. Wajah wanita tersebut mirip warga China dan namanya ialah Altaktanya. Mereka telah menjalin hubungan sehingga ke tahap bercuti bersama di sebuah negara sebelah barat, Parangcis. Perhubungan sulit ini akhirnya sampai juga ke pengetahuan Ros Mewah. Ros Mewah berasa sangat murka dan mengarahkan pasukan keselamatan negara membunuh Altaktanya secara rahsia. Maka berakhirlah riwayat Altaktanya yang telah dibunuh dengan kejam oleh pasukan keselamatan negara Malas Sia. Biarpun pembunuhan ini dirahsiakan, plot pembunuhan tersebut akhirnya diketahui jua oleh rakyat jelata. Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Ketidak stabilan politik negara Malas Sia telah diambil kesempatan oleh sebuah media tabloid, Wakaliks untuk menyebarkan fitnah berkenaan salah laku Hang Pauh dan pembunuhan Altaktanya. Raja Pekan telah mengambil kesempatan ini dengan menghebahkan kepada rakyat jelata bahawa kisah sumbang Hang Pauh ini bukan sahaja sensasi di dalam negara, malahan telah disebarkan ke seluruh dunia oleh Wakaliks. Anehnya, Raja Pekan hanya mensensasikan kisah salah laku Hang Pauh sahaja dan didiamkan langsung kisah pembunuhan Altaktanya yang digembar gemburkan oleh Wakaliks. Namun demikian, Hang Pauh tidak berdiam diri. Beliau seorang yang bijak. Hang Pauh dan konco-konconya mula menyebarkan maklumat berkaitan pendedahan Wakaliks ke atas pembunuhan Altaktanya kepada rakyat negara Malas Sia.

Hasilnya amat berbaloi. Rakyat mula termakan dengan pendedahan Wakaliks berkenaan pembunuhan Altaktanya. Raja Pekan mula berasa tidak senang. Beliau mengarahkan konco-konconya membuat liputan akhbar bahawa kesemua laporan Wakaliks adalah tidak berasas sama sekali, termasuk kes salah laku Hang Pauh. Raja Pekan menambah lagi laporan Wakaliks tidak mempunyai sebarang fakta untuk menyokong pendedahan mereka. Hang Pauh tertawa sendirian kerana Raja Pekan ibarat menjilat ludahnya sendiri.

Saya ingin mengajak para pembaca berfikir tentang beberapa pengajaran yang dapat diambil daripada kisah ini.
  1. Jika anda seorang pemerintah, adakah anda akan berasa maruah negara anda tercalar dengan pendedahan kes sumbang salah seorang rakyat anda yang belum tentu kesahihannya?
  2. Jika anda seorang pemerintah, apakah anda akan mempertahankan maruah rakyat anda yang difitnah dengan begitu jijik sekali?
  3. Jika anda seorang pemerintah, tergamakkah anda menjatuhkan maruah rakyat anda sendiri? Dan soalan terakhir...
  4. Jika anda berada dalam situasi Hang Pauh, APAKAH PERASAAN ANDA???

Wallahu a'lam bis showaab...


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment