Tuesday, September 4, 2012

Siapa Syiah Sebenarnya (Part 2)

Akidah Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah

Imamah dan Khilafah

Mereka mempercayai Imamah ialah jawatan penting yang diberikan kepada Saidina Ali R.A. selepas kewafatan Rasulullah SAW. Mereka mendakwa jawatan ini dilantik secara nas oleh Rasulullah SAW sebelum kewafatannya, bahkan jawatan ini kononnya dinaskan secara jelas di dalam Al Quran oleh Allah SWT. Pada mereka, sesiapa yang menolak imam-imam Syiah, dia menjadi kafir bahkan lebih kafir daripada Iblis.

Khomeini menulis dalam Hukumah Islamiyah:

Rasulullah SAW yang mulia telah dilantik oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi untuk menghukum ke atas manusia dengan adil dan tidak mengikut hawa nafsu. Allah telah menurunkan kepadanya wahyu supaya baginda menyampaikan apa yang telah diturunkan ke atasnya kepada orang yang menggantikannya. Rasul telah mengikut ketentuan ini dan telah melantik Amirul Mukminin, Ali sebagai penggantinya. Baginda di dalam membuat penentuan ini bukanlah didorong oleh faktor bahawa Ali adalah menantunya, atau Ali telah bekerja keras dan mempunyai khidmat-khidmat cemerlang, tetapi kerana Allah yang telah memerintahkannya supaya berbuat demikian

Mereka mempercayai jawatan ini diwarisi oleh keturunan Ali R.A. hingga Imam yang kedua belas, iaitu Imam Muhammad Al Mahdi bin Hasan Al Askari.

Imam-imam tersebut ialah:
  1. Imam Ali bin Abi Talib
  2. Imam Hasan bin Ali
  3. Imam Husin bin Ali
  4. Imam Ali Zainal Abidin bin Husin
  5. Imam Muhammad Al Baqir bin Ali Zainal Abidin
  6. Imam Jaafar As Sadiq bin Muhammad Al Baqir
  7. Musa Al Kazim
  8. Imam Ali Ar Rida
  9. Imam Muhammad Al Jawwad
  10. Imam Ali bin Muhammad Al Jawwad
  11. Imam Hassan bin Ali Askari
  12. Muhammad bin Hasan Al Askari Al Mahdi
Di sisi Syiah, Imam mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada para Nabi dan Malaikat. Khomeini dalam bukunya Al Hukumah Islamiyyah, halaman 95:

Pastinya kekuasaan dan pemerintahan bagi Imam tidaklah bermakna terpencilnya dia dan kedudukannya yang sebenar di sisi Allah, dan kuasa itu tidak akan menjadikannya seperti pemerintah-pemerintah yang lain daripadanya. Sesungguhnya Imam mempunyai kedudukan yang terpuji, darjat yang tinggi juga merupakan khalifah yang mempunyai kuasa pembentukan yang tunduk kepada pemerintahan dan kuasa semua unsur di alam ini. Dan di antara perkara-perkara yang tidak dapat dipertikaikan lagi menurut mazhab kita ialah bahawasanya Imam-imam kita telah mempunyai kedudukan tinggi tetapi tidaklah sampai ke tahap yang dicapai oleh malaikat yang sentiasa berdampingan (dengan Allah) dan juga Nabi yang diutus. Riwayat-riwayat dan hadis yang ada pada kita telah mempastikan bahawa Rasul Agung SAW dan para Imam A.S. di sebalik dunia ini mereka adalah merupakan cahaya-cahaya yang telah diterbitkan oleh Allah dari 'ArasyNya, dan Allah menganugerahkan kepada mereka kedudukan dan darjat yang hampir dengan Allah yang hanya Imam sahaja yang mengetahuinya.

Terdapat juga dari kalangan Imam-imam A.S. sebagai berkata:

"Sesungguhnya bagi kami ada berbagai keadaan yang tidak dapat dicapai kecuali oleh Malaikat yang sentiasa berdampingan (dengan Allah) serta Nabi yang diutus."

Kedudukan seumpama ini ada juga pada Fatimah Az Zahra (A.S) tetapi tidaklah bererti beliau adalah seorang khalifah, pemerintah, ataupun hakim. Kedudukan ini adalah satu perkara lain yang berada di sebalik status khalifah dan kekuasaan. Sesungguhnya Fatimah bukanlah seorang hakim atau pemerintah ataupun khalifah, (ungkapan ini) tidaklah bermakna bahawa Fatimah tidak mempunyai kedudukan yang hampir (kepada Allah) itu, sebagaimana perkara tersebut tidak memberi erti bahawa ia adalah seorang perempuan biasa seperti perempuan-perempuan yang ada di masa kita ini.

Para imam ini kononnya bersifat maksum. Mereka menganggap para Imam ini bukan sahaja terpelihara daripada dosa kecil dan dosa besar, malah terpelihara daripada melakukan sebarang kesilapan dan kesalahan serta tidak terlupa. Pada mereka Imam mempunyai ilmu yang setaraf dengan Nabi. Yang membezakan antara Nabi dan Imam ialah Imam tidak diberikan wahyu. Pun begitu, mereka percaya imam mempunyi ilmu ladunni. Mereka juga mempercayai para Imam juga mempunyai mukjizat. Antara contohnya ialah:

Abu Jaafar Muhammad bin Jariri At Tabari berkata, "Saya telah melihat tuanku Imam Al Baqir AS membuat seekor gajah dari tanah, lalu beliau menaikinyadan terbang di udara ke Mekah dan kembali di atasnya. Aku tidak percaya berita tersebut sehinggalah aku bertemu dengan Imam Al Baqir lalu aku katakan kepadanya Jabir telah menceritakan begini, begini (kisah ini). Imam Al Baqir terus melakukan perkara yang sama (mengambil tanah dan membentuk seekor gajah) lalu menaikinya dan membawa aku bersamanya ke Mekah dan kembali semula."

Imam yang kedua belas ialah Imam Mahdi di sisi Syiah. Beliau dipercayai ghaib pada tahun 260 H di Samarra' dalam sebuah lubang. Imam Mahdi atau namanya Imam Muhammad bin Hasan Al Askari akan kembali memenuhi dunia dengan keadilan pada suatu masa nanti.

Ar Raj'ah

Bermaksud kepercayaan bahawa para Imam akan dibangkitkan sebelum kiamat untuk menuntut bela dan menghukum orang-orang yang zalim yang telah merampas hak-hak mereka. Kepercayaan ini menjadi suatu kepercayaan yang disepakati oleh para ulama Syiah. Berkata Syeikh Mufid dalam Awail al Maqalat:

"Golongan Imamiyyah sepakat tentang wajibnya raj'ah atau kembalinya sebahagian besar orang-orang yang telah mati (sebelum kiamat)."

Mengkafirkan Sahabat

Contoh 1 - Abu Bakar dan Umar kafir

Dalam Kitab Bihar Al Anwar karya Muhamma Baqir Al Majlisi,

"Daripada Maula Ali bin Husin AS, aku bersama dengannya (dengan Imam Ali bin Husin) dalam khalwahnya. Aku berkata "Bolehkah engkau beritahu aku tentang keadaan dua orang lelaki ini iaitu Abu Bakar dan Umar". Dia berkata, "Kedua-duanya kafir dan orang yang menyintainya juga menjadi kafir."

Dan daripada Hamzah As Sumali beliau bertanya kepada Ali bin Husin tentang kedua-duanya lalu dijawabnya,

"Kedua-dua mereka kafir dan menjadi kafir orang yang menganggap mereka sebagai pemimpinnya."

Contoh 2 - Semua Sahabat Murtad

Kitab Al Kafi karya Al Kulaini,

Daripada Abi Jaafar, "Semua manusia (sahabat) telah murtad selepas kewafatan Nabi SAW melainkan 3 orang". Aku bertanya, "Siapa mereka bertiga?" lalu jawabnya, "Miqdad bin Aswad, Abu Zar al Ghifari dan Salman al Farisi."

bersambung...

Tulisan ini dipetik daripada buku bertajuk, "Siapa Syiah Sebenarnya" karangan Ustaz Abdullah Din dan Ustaz Azfar Abdullah.


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment