Syiah terbahagi kepada berpuluh-puluh puak, bahkan ada yang mengatakan sehingga 300 puak. Terdapat Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah, Syiah Zaidiyyah, Syiah Ismailiyyah, Syiah Kaisaniyyah dan banyak lagi. Tulisan kali ini hanya akan membicarakan tentang Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah atau Syiah Jaafariyyah yang penganutnya agak ramai di Malaysia ketika ini.
Dr. Ali Ahmad As Salus dalam bukunya yang bertajuk Ma'a Al Ithna Asyariyyah fi Ushul wal Furug telah memulakan dengan petikan ini:
"Syiah Ithna Asyariyyah tidak semuanya sama, sebahagian mereka yang melampau yang kita lihat apa yang mereka tulis mengandungi perkara kufur dan zindiq, sebahagian yang lain menyeru kepada pandangan yang lebih sederhana dan ada juga yang mencampurkan antara pandangan yang melampau dan sederhana."
Rujukan Syiah
Tafsir Hasan Al Askari,Tafsir Al I'yasyi dan Tafsir Al Qummi.
Ketiga-tiga tafsir ini muncul pada kurun ketiga hijrah. Penulisnya mengkafirkan para sahabat khususnya Khulafa' Ar Rasyidin sebelum Saidina Ali dan semua yang membai'ah mereka. Penulisnya juga beriktikad Al Quran ada yang telah diselewengkan secara nas dan makna. Mereka beriktikad tentang Imamah 12 orang imam sehingga ke peringkat syirik.
Al Kafi, karya Al Kulani
Kitab ini kitab hadis yang terbesar. Mengandungi 8 juzuk, 2 juzuk yang pertama dikenali dengan nama Al Usul Min Al Kafi, juzuk 3 hingga 7 dikenali dengan nama Al Furu' min Al Kafi, dan juzuk terakhir dikenali dengan nama nama Ar Raudhah min Al Kafi. Pada Syiah, kitab ini menyamai taraf kitab Sahih Bukhari. Kitab ini ditulis oleh Muhammad bin Yaakob Al Kulaini yang merupakan murid Al Qummi, pemilik Tafsir Al Qummi. Buku ini mempunyai kedudukan yang sangat tinggi pada penganut Syiah dan telah disyarahkan oleh lebih 50 ulama Syiah yang lain.
Kitab Tafsir Al Tibyan, karya Al Tusi
Penulis kitab ini ialah Al Tusi, seorang ulama besar Syiah Ithna Asyariyyah. Beliau menulis kitab ini dengan membawa pandangan yang sederhana dan cuba menentang kesesatan yang dibawa oleh orang-orang sebelumnya. Walau bagaimanapun, beliau terpengaruh dengan sebahagian akidah yang menyeleweng ketika menghuraikan tafsir ayat-ayat Al Quran.
Kitab Al Murajaat
Karya Abdul Hussein Syarafuddin Al Musawa "Hamba Hussein" ini merupakan sebuah kitab yang isi kandungannya dipetik daripada ulama Syiah yang melampau sahaja. Bahkan penulisnya menambah isi kandungannya menjadikan ia lebih syirik, lebih kufur dan lebih sesat. Beliau tidak memetik dari Kitab At Tibyan, karangan At Tusi. Penulis kitab ini dianggap sebagai Syiah Rafidhah yang paling melampau, zindiq dan kufur.
Kitab Lillah Summa Littarikh / Kenapa Aku Meninggalkan Syiah
Buku ini berjaya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh beberapa orang penuntut Al Azhar. Penulis buku ini ialah As Sayyid Hussein Al Musawi. Beliau cuba memperbetulkan fahaman yang melampau dalam Syiah Ithna Asyariyyah. Buku ini adalah contoh Syiah yang sederhana dan tidak melampau. Mereka menyanjung tinggi kedudukan para sahabat dan memuliakan ahlul bait sama seperti Ahlus Sunnah wal Jamaah. Kedudukan ulama ahlul bait yang dianggap imam dibersihkan daripada iktikad yang syirik.
As Syiah Wal Tashih: As Sira' Baina As Syiah wal Tasyayyu'
Buku ini ditulis oleh Dr Musa Al Musawi. Buku ini juga antara buku Syiah yang sederhana. Penulisnya cuba mengajak penganut Syiah supaya tidak melampau dalam ajaran Syiah dan mengajak mereka kembali kepada ajaran imam-imam mereka yang sebenar.
Asal Usul Syiah
Perkataan 'Syiah' disebut beberapa kali dalam Al Quran. Antaranya:
"Kemudian pasti akan Kami tarik dari tiap-tiap golongan siapan di antara mereka yang sangat durhaka kepada Tuhan Yang Maha Pemurah." (Maryam: 69)
"Dan Musa masuk ke kota (Memphis) ketika penduduknya sedang lengah, maka didapatinya di dalam kota itu dua orang lelaki yang berkelahi; seorang daripada golongannya (Bani Israel) dan seorang (lagi) daripada musuhnya (kaum Fira'un). Maka orang yang daripada golongannya meminta tolong kepadanya untuk mengalahkan orang daripada musuhnya lalu Musa meninjunya, dan matilah musuh itu. Musa berkata: "Ini adalah perbuatan syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang menyesatkan lagi nyata (permusuhannya)." (Al Qasas: 15)
"Dan sesungguhnya Ibrahim benar-benar termasuk golongannya (Nuh)." (As Shoffat: 83)
Golongan Syiah sering berhujjah dengan mengatakan perkataan 'Syiah' disebut dalam Al Quran untuk mempertahankan kebenaran aqidah mereka. Tidak semestinya apabila disebut dalam Al Quran menandakan aqidah ajaran itu sahih. Fira'un, Namrud dan Haaman juga disebut di dalam Al Quran biarpun mereka sesat serta kufur.
Perkataan 'Syiah' di dalam Al Quran membawa maksud pengikut. Syiah Ithna Asyariyyah ialah salah satu puak Syiah Imamiyyah yang dikategorikan oleh para ulama sebagai melampau. Mereka juga menggelarkan diri mereka dengan nama Syiah Ja'fariyyah, iaitu salah seorang yang mereka anggap sebagai imam mereka. Perkataan Itha Asyariyyah bermaksud dua belas, ataupun merujuk kepada 12 orang imam mereka. Khomeini dan Kerajaan Iran adalah pendokong kepada aliran ini. Mereka mendakwa sebagai umat Islam yang mempercayai 12 imam setelah kewafatan Rasulullah SAW dengan Saidina Ali sebagai imam yang pertama. Mereka juga mendakwa sebagai golongan yang mencintai keluarga Nabi Muhammad SAW serta melebihkan mereka daripada sahabat-sahabat yang lain.
Perlu dijelaskan di sini, Syiah ini bukan seperti golongan Syiah yang ada di kalangan sahabat dan tabi'in yang menyebelahi Ali R.A. ketika berlaku persengketaan dengan Muawiyyah.
Tulisan ini dipetik daripada buku bertajuk, "Siapa Syiah Sebenarnya" karangan Ustaz Abdullah Din dan Ustaz Azfar Abdullah.
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)