Sunday, July 8, 2012

Fiqh dan Politik Dunia Islam

Setelah hampir 4 bulan tidak menulis, alhamdulillah kali ini Allah beri saya kesempatan untuk kembali berkongsi ilmu di blog.

Para ulama mengklasifikasikan dunia kepada beberapa negara berdasarkan kepentingan agama dan keduniaan umat Islam. Pembahagian tersebut adalah seperti yang di bawah:

1. Dar Al Islam (Negara Islam)

Ia bermaksud kawasan yang didiami umat Islam dan hukum Islam jelas terlaksana. Imam Syafie berkata:
  • Dar Al Islam ialah negeri yang melaksanakan hukum Islam dan didiami oleh orang Islam sekalipun terdapat ahli kitab atau ahli zimmi di dalamnya.
  • Ataupun negeri  yang dibuka oleh umat Islam dan mereka bersetuju mengekalkannya di bawah pengurusan orang kafir.
  • Ataupun negeri yang pernah didiami oleh umat Islam dan kemudiannya mereka diusir oleh orang kafir dari negeri itu.
Imam Abu Hanifah pula mempunyai definisi yang berbeza. Beliau berkata:

"Dar Al Islam dan Dar Al Kufr (Negara Kafir) dikaitkan kepada Islam atau kufur berdasarkan terserlahnya Islam dan keamanan, ataupun kufur dan ketakutan di negara tersebut. Islam atau kufur terserlah berdasarkan terserlahnya hukum hakamnya, iaitu keamanan dan keadilan di Dar Al Islam, sebaliknya ketakutan dan kezaliman di Dar Al Kufr".

Dalam kata lain, Imam Abu Hanifah melabelkan sesebuah negara itu sebagai Dar Al Islam jika orang Islam dapat menetap dan mengamalkan cara hidup Islam dengan aman dan sebarang tanpa ketakutan. Jika umat Islam tidak dapat mengamalkan cara hidup Islam dengan tenteram dan sering diganggu, maka label yang sesuai ialah Dar Al Kufr.

2. Dar Al Harb (Negara Perang)

Dar Al Harb bermaksud  negara yang memerangi orang beriman, iaitu Dar Al Islam, dan wujud permusuhan antara negara tersebut dengan orang Islam. Sebaliknya negara yang tidak mengisytiharkan perang ke atas orang Islam, ia tidak dikira sebagai Dar Al Harb, sebaliknya digolongkan sebagai Dar Al 'Ahd (Negara Perjanjian) atau Dar Al Sulh (Negara Perdamaian).

Para ulama' berkata, apabila seseorang muslim memasuki Dar Al Harb, yang mengisytiharkan perang terhadap Islam, dia memasuki negara tersebut melalui perlindungan keamanan. Kemudian dia mengambil harta seorang kafir harbi di negara tersebut melalui urusan perdagangan, wadi'ah (deposit), belian atau jualan secara hutang atau apa-apa urusan muamalah, maka nilai harta yang diambil itu wajib dilangsaikan kepada kafir harbi tersebut mengikut tuntutan aqad (kontrak).

Kemudian, apabila kafir harbi tersebut ke negara Islam (dengan memperolehi keamanan) untuk menuntut haknya daripada muslim tadi, hakim hendaklah menjatuhkan hukuman ke atas muslim tadi agar dia melunaskan kewangan tersebut menggunakan hartanya. Iaitu sebagaimana dia menjatuhkan hukuman bagi orang muslim yang berada di Dar Al Islam.

Ini kerana hukum hakam Islam tetap berjalan walau di mana sahaja ia berada. Kita tidak menggugurkan hak kewajipan hanya kerana berada di sesuatu tempat, sebagaimana kewajipan solat tidak gugur kerana berada di Dar Al Harb. Memang benar hukum asal harta kafir harbi adalah harus diambil. Tetapi ijma' para ulama fiqh bersepakat ia haram diambil dan kehormatan harta mereka tetap dihormati dan dipelihara dalam beberapa situasi, antaranya:
  • Apabila seorang muslim memasuki Dar Al Harb secara aman atau dia menjadi tawanan. Manakala orang kafir tersebut memberi kepercayaan berkaitan jiwa dan harta kepadanya. Maka tidak halal dia mengkhianati mereka, lantaran dia telah memberi jaminan kepada mereka tentang dirinya. Ini kerana perbuatan ini adalah suatu pengkhianatan. Walhal, pengkhianatan tidak dibenarkan dalam Islam.
Jika dia mencuri atau merampas sesuatu daripada mereka (kafir harbi), ia wajib dipulangkan kepada pemiliknya. Jika pemiliknya datang ke Dar Al Islam, ia wajib dipulangkan kepada mereka. Ini kerana dia telah mengambilnya secara haram, oleh itu dia wajib memulangkannya, sama seperti jika dia mengambil harta orang Islam.
  • Apabila kafir harbi yang berada di Dar Al Harb memeluk Islam, darahnya terpelihara, harta dan anak kecilnya terkecuali daripada dijadikan tawanan perang. Hartanya tidak boleh diambil walau di mana sahaja ia berada atau dijumpai. Perjanjian antarabangsa yang mengatur peraturan ini telah wujud sekarang.
3. Darl Al A'hd (Negara Perjanjian)

Maksud Al A'hd ialah keamanan, zimmah, pemeliharaan dan penjagaan kehormatan. Dar Al A'hd dalam Islam pula ialah setiap negara yang penduduk dan pemerintahnya berdamai dengan orang Islam dan bersetuju menghentikan persengketaan, mewujudkan perdamaian atau tidak menceroboh.

Apabila ketua pemerintah Islam berpendapat mengadakan perdamaian dengan Dar Al Harb mempunyai kepentingan bagi umat Islam, perdamaian tersebut diharuskan. Firman Allah:

"Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka kamu hendaklah cenderung kepadanya dan bertawakallah kepada Allah." (Al Anfaal:61)

Contoh terbaik ialah Perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai antara umat Islam di Madinah dan kaum musyrikin Makkah. Ketua pemerintah Islam bertanggungjawab menghalang orang Islam dan zimmi daripada menyakiti dan mengganggu warga Dar Al Harb kerana mereka memperolehi perlindungan keselamatan jiwa dan harta melalui perjanjian damai.

4. Dar Al Baghy (Negara Pemberontak)

Al Baghy asalnya bererti zalim dan melampaui had melakukan kerosakan. Pengertian syarak untuk al baghy ialah penentang dan orang yang tidak mentaati pemerintah yang adil.

Dar Al Baghy dari segi istilah ialah: sebahagian daripada negara Islam yang dikuasai oleh orang Islam tetapi mereka menentang pemerintah yang sah berdasarkan hujjah yang mereka takwilkan lalu menjadi alasan kepada penentangan. Mereka melantik pemerintah dari kalangan mereka dan memiliki tentera serta pertahanan. Contoh Dar Al Baghy pada zaman kini ialah revolusi tentera, rampasan kuasa dan perlantikan diri mereka sendiri sebagai pemerintah tanpa pilihanraya, bai'ah ataupun kerelaan umat Islam.

5. Dar Al Bid'ah (Negara Bid'ah)

Ia bermaksud negara yang tidak berhukum dengan Islam secara sempurna. Sebaliknya menjalankan undang-undang secara wadh'i (undang-undang buatan manusia), ataupun undang-undang tempelan, ataupun sistem pemerintahan tentera, ataupun bukan tentera yang memerintah mengikut hawa nafsunya. Dar Al Bid'ah adalah negara yang telah hilang hukum sunnah di dalam negara tersebut, sebaliknya muncul di dalamnya hukum bid'ah dan hawa nafsu yang wajib ditentang.

6. Dar Al Maslubah (Negara yang Dirampas)

Negara yang pernah berada di tangan orang Islam yang memerintah dengan hukum Islam. Kemudian mereka menjadi lemah dan kekuatan mereka mula rapuh, lantas orang kafir dan tentera non muslim mengalahkannya. Para ulama' mewajibkan jihad untuk mengembalikannya. Sebagai contoh ialah Palestin dan Andalus.

Soalan bonus untuk semua, di kategori manakah negara Malaysia?

Tulisan ini dipetik daripada buku bertajuk, "Haadhir Al Alam Islami Al Aalam-Al Aamal: Dunia Islam Kini" karangan Dr. Taufik Yusuf Al Waei.
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment