Tuesday, June 22, 2010

Majlis Pelancaran Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pintu masuk MIECC sesak dengan kenderaan tetamu ke Majlis Pelancaran IKRAM






Bersiap menunggu ketibaan VVIP





Bunting Pertubuhan IKRAM Malaysia




Para hadirin di ruang legar MIECC





Jawatankuasa Pusat Pertubuhan IKRAM Malaysia menuju ke pentas





Jawatankuasa Pusat Pertubuhan IKRAM Malaysia mengambil tempat duduk masing-masing





Antara ikhwah yang hadir pada majlis tersebut





Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Dr. Parid bin Syeikh Ahmad menyampaikan ucap tama





Kumpulan Saff One mengalunkan nasyid utama Pertubuhan IKRAM Malaysia





Ustaz Alias Othman menyampaikan tazkirah perdana bertajuk Bekalan di Sepanjang Jalan




Ustaz Hasanuddin Yunos, Pengerusi Aqsa Syarif sedang menyampaikan ceramah dengan penuh bersemangat. Beliau antara 12 aktivis sukarelawan yang ditawan ketika Israel menceroboh kapal Mavi Marmara



20 Jun 2010, satu tarikh keramat bagi pendokong dakwah di Malaysia. Tarikh tersebut merupakan tarikh pelancaran Pertubuhan IKRAM Malaysia. Alhamdulillah saya diberi keizinan oleh Allah untuk turut hadir menyaksikan peristiwa bersejarah ini. Saya telah diamanahkan untuk mengumpul sekitar 100 orang tetamu dari Negeri Sembilan. Alhamdulillah, kami berjaya mengumpulkan hampir 130 orang tetamu dari Negeri Sembilan. Persiapan saya seawal pada hari Sabtu lagi. Oleh kerana anak-anak kecil tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan, saya terpaksa mencari pengasuh yang dapat menjaga anak-anak saya. Kebetulan pula adik perempuan saya memang menunggu saat keemasan untuk menjaga Nu'man dan Nawfal.






Pagi Sabtu tersebut merupakan hari yang sibuk buat saya. Dimulai dengan menghantar kereta Kelisa dan Suzuki SX4 servis di Seremban. Kemudian, saya menghantar kereta Suzuki SX4 ke kedai cuci kereta kerana keesokannya kami akan ke majlis bersejarah tersebut dengan kereta isteri saya. Setelah selesai kesemua tugasan, saya bertolak ke Sepang (rumah ibu bapa saya) untuk menghantar Nawfal. Nu'man sudah dibawa oleh ibu saya ke Sepang beberapa hari sebelum itu. Kami bermalam di Sepang dan bertolak ke The Mines (tempat berlangsungnya Majlis Pelancaran) sekitar jam 7 pagi. Sudah lama tidak saya melihat suasana pagi di kampung. Amat nyaman, segar dan diliputi kabus dingin. Kami bersarapan di pekan Sg. Pelek, pekan yang terdekat dengan rumah ibu bapa saya. Hanya berbekal tawakal, kami meneruskan perjalanan kerana kami tidak pernah ke The Mines dari Sepang.







Seperti yang dijangka, kami tersesat hingga ke Lebuhraya Elite. Ini bermakna perjalanan kami menjadi lebih jauh daripada yang sepatutnya. Walau bagaimanapun, kami berjaya tiba di lokasi menepati masa yang ditetapkan. Kesesakan di The Mines adalah di luar jangkaan kerana kami dimaklumkan bilangan tetamu mencecah 5535 orang. Itu hanyalah angka bagi mereka yang berdaftar sahaja. Ketika masuk ke dewan, saya mengambil tempat duduk di sebelah Pak Cik Kamaludin. Pak Cik Kamaludin merupakan pengetua Sek Alam Shah di Putrajaya. Beliau merupakan junior ayah saya ketika di University of Liverpool. Wajahnya sering kelihatan dalam mana-mana koleksi foto ayah saya ketika beliau masih menuntut di University of Liverpool. Setiap kali beliau memperkenalkan saya kepada kenalan beliau, beliau pasti akan menceritakan detik-detik beliau menjaga saya ketika saya berumur setahun lebih di Liverpool. Ibu saya juga pernah memberitahu saya yang Pak Cik Kamaludin gemar bermain sorok-sorok dengan saya. Alhamdulillah kini kami teman seperjuangan. Begitu cepat masa berlalu. Malah saya sempat mengendalikan halaqah untuk anak-anak lelaki beliau. Salah seorang anak lelaki beliau kini sedang menuntut di universiti yang sama dengan saya, Purdue University.










Ketika mencari tempat duduk, saya sempat juga bertemu dengan Pak Cik Roslan Mohamad. Beliau merupakan bekas guru saya ketika di Sek Ren Islam As Saidiyyah. Kini beliau bertugas sebagai Pengarah di Suruhanjaya Media dan Telekomunikasi. Beliau merupakan seorang lagi individu yang suka menceritakan kisah silam saya. Apabila beliau memperkenalkan saya kepada kenalan beliau, beliau pasti akan menceritakan yang beliau suka mencubit pipi saya ketika di sekolah kerana saya kecomelan saya (pada beliau la...huhuhu).










Majlis bermula dengan kemasukan pimpinan tertinggi Pertubuhan IKRAM Malaysia ke dewan utama. Kesemua hadirin rasa bersemangat kerana inilah pimpinan harapan mereka yang akan melayari bahtera dakwah menuju kejayaan. Laungan takbir bergema sehinggalah pimpinan mengambil tempat duduk di atas pentas. Akh Presiden telah menyampaikan ucaptama beliau yang sungguh mendalam isinya. Pengharapan yang besar supaya kesemua ahli IKRAM bekerja keras demi Islam dan keutuhan ummah. Majlis diteruskan dengan tazkirah perdana yang disampaikan oleh Ustaz Alias Othman bertajuk Bekalan di Sepanjang Jalan. Sangat mengujakan dan berjaya memperbaharui semangat berdakwah.









Sesi berehat sebentar untuk sidang media selepas itu. Seterusnya nasyid IKRAM didendangkan oleh kumpulan Saff One. Lirik yang sangat menyentuh dan menyentap hati. Sarat dengan kalimah-kalimah keramat perjuangan. Majlis diteruskan dengan slide video sekitar sejarah perjalanan dakwah di kalangan ahli IKRAM seawal tahun 70an. Saya rasa teruja dengan slide video tersebut kerana dapat melihat sendiri betapa besarnya pengorbanan mereka yang terdahulu berjuang meninggikan syiar Islam. Malah ada antara mereka yang telah pergi mengadap Ilahi. Saya tidak menunggu lama selepas itu kerana terpaksa bergegas pulang ke Sepang untuk mengambil anak-anak saya. Saya berasa sungguh teruja kerana ada beberapa tokoh Ikhwanul Muslimin yang hadir pada majlis tersebut. Namun harapan saya untuk bertemu dengan tokoh-tokoh ikhwan dari Mesir tidak kesampaian. Insya Allah, harapan saya semoga dapat juga bertemu dengan mereka di masa akan datang.










Sebelum pulang kami sempat singgah ke kedai makanan arab dan hanya pulang ke Sepang sekitar jam 2.30 petang. Setiba di rumah, ibu menggelar saya Pak Arab kerana gemar singgah di kedai makanan arab. Kami pulang ke Seremban sekitar jam 4.30 petang dengan semangat yang baru untuk menjulang Islam. Allahu Akbar!!!



"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment