Tuesday, November 27, 2012

Memori Bersama Hasan Al Banna (Part 2)

Syeikh Abbas Assisi menceritakan seorang ahli Ikhwanul Muslimin telah menukilkan satu pengalaman yang menyentuh hati ketika ia bersama As Syahid Hasan Al Banna. Ketika itu, akh tersebut sedang dalam urusan menghantar surat daripada ahli ikhwan yang lain kepada Muraqib Am, Hasan Al Banna. Saat ketika beliau meletakkan surat tersebut di atas meja Hasan Al Banna, beliau ternampak sepucuk surat lain yang telah dibacanya sebentar tadi.

Ketika beliau membacanya, tiada tanda atau bekas titisan air mata. Tetapi, surat ini kelihatan lusuh sedikit kerana titisan air mata yang tumpah di atasnya. Saat itu beliau yakin titisan air mata itu adalah milik pemimpin Ikhwanul Muslimin, Hasan Al Banna. Akh ini nyata tersentuh kerana saat beliau membaca surat tersebut sebelum ini, beliau tidak menganggap isi surat tersebut sesuatu yang istimewa. Berbeza dengan Hasan Al Banna yang sungguh menghayati isi kandungan surat tersebut sehingga tumpahnya air mata yang tak terbendung. Apakah isi kandungan surat tersebut?

Di dalam surat tersebut disisipkan wang sebanyak 4 junaih sahaja sebagai infaq kepada jamaah Ikhwanul Muslimin. Bagi akh tersebut, ini merupakan fenomena biasa kerana ramai ahli Ikhwanul Muslimin lain yang menyumbang kepada jamaah. Malahan, jumlah infaq mereka berganda lebih banyak daripada 4 junaih tadi. Berikut adalah isi kandungan surat tersebut,

"Ramai orang mendaftarkan diri membeli saham surat khabar Al Ikhwan. Ketika itu, aku juga mempunyai keinginan untuk menginfaqkan harta demi kemajuan jamaah. Namun begitu, aku tidak mempunyai wang yang banyak dan gajiku kecil sekali. Dengan itu wahai syeikh Muraqib Am, daku kirimkan separuh gaji bulananku untuk turut serta menyumbang kepada jamaah."

As Syahid berkata, "Saudaraku sekalian, orang-orang seperti inilah dan wang mereka yang tidak seberapa yang akan menyumbang kepada kejayaan dakwah."

Cerita pendek ini telah dipetik daripada buku bertajuk "Biografi Dakwah Hasan Al Banna" karangan Ustaz Abbas Assisi.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Monday, November 26, 2012

Memori Bersama Hasan Al Banna

Entri di bawah tajuk Memori Bersama Hasan Al Banna ini adalah kumpulan cerita pendek kenangan ahli-ahli Ikhwanul Muslimin bersama As Syahid Hasan Al Banna. Semoga kita sama-sama beroleh teladan dan peringatan daripada cerita-cerita pendek ini.

Setelah Syeikh Abbas Assisi menamatkan program diploma sekolah teknik pada tahun 1939, beliau berangkat ke Kaherah untuk mencari pekerjaan. Seperti ahli Ikhwanul Muslimin yang lain, kesempatan ke Kaherah akan digunakan untuk menziarahi Muraqib Am mereka, Syeikh Hasan Al Banna. Setelah berjumpa dengan syeikh kesayangan dan menyatakan hasrat mengapa beliau ke Kaherah, Hasan Al Banna lantas bertanya,

"Apakah kamu tidak cuba mencari kerja di Sekolah Teknik Jurusan Mekanik Senjata?"

"Saya tidak mahu terikat dengan latihan wajib tentera", jawab Syeikh Abbas.

Hasan Al Banna menambah, "Akan tetapi, risalah dan misi dakwah kita mewajibkan untuk tidak mengabaikan bidang tersebut."

"Baiklah. Tetapi saya khuatir tidak akan berjaya dalam pemeriksaan doktor kerana salah satu mata saya rabun."

Hasan Al Banna menjawab, "Tawakal kepada Allah. Insya Allah kamu pasti berjaya."

Syeikh Abbas masih keberatan untuk memilih bidang tersebut, "Mana mungkin saya akan berjaya dengan mata sebelahku rabun."

Dengan tegas Hasan Al Banna menasihatinya, "Sebab itulah ku katakan bertawakal kepada Allah. Jika kedua belah matamu elok, pasti kamu akan bertawakal pada matamu dan bukan padaNya."

Nasihat tersebut benar-benar menginsafkan Syeikh Abbas Assisi dan terus beliau mendaftarkan diri ke Sekolah Teknik Senjata di Abbasiah. Dengan kebesaran Allah, beliau telah lulus ujian kesihatan termasuk kedua belah matanya.

Ketika bermulanya Perang Dunia Kedua, Kementerian Perang telah menutup sekolah teknik senjata ini dan kesemua pekerja diarahkan ke medan perang di gurun pasir sebelah Barat. Sebelum diarahkan ke medan perang, setiap pekerja akan di bawa ke lapangan sasar tembak untuk menjalani latihan ketenteraan.  Beliau bersama 100 pelatih lain diarahkan menjalani latihan menembak. Syeikh Abbas Assisi mula kerisauan kerana sebelah matanya rabun. Mustahil beliau dapat menembak tepat dengan sebelah mata yang rabun. Dalam kerisauan yang menduga iman, Allah telah mengilhamkan beliau mengingati kembali nasihat Hasan Al Banna berkenaan tawakal. Lama-kelamaan rasa ragu-ragu pun menghilang dan beliau menjalani latihan menembak dengan tenang.

Setelah latihan selesai, Husain Ahmad, jurulatih menembak pun mengumumkan keputusan latihan. Alhamdulillah, Syeikh Abbas Assisi diumumkan sebagai penembak terbaik. Keputusan tersebut nyata mengejutkan beliau dan beberapa orang teman yang tahu akan masalah mata beliau. Inilah tarbiyah yang diterapkan oleh Hasan Al Banna kepada anak didiknya. Mirip seperti ayat 173 daripada Surah Ali Imran,

"(Iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang yang mengatakan, "Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka", maka perkataan itu menambah keimanan mreka dan mereka menjawab,"Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung."

Cerita pendek ini dipetik daripada buku karangan Syeikh Abbas Assisi yang bertajuk "Biografi Dakwah Hasan Al Banna"

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Thursday, September 20, 2012

Serangan Salib Pada Zaman Moden

Serangan Salib Kelapan

Setelah khilafah menjadi lemah, penjajah kembali melancarkan serangan ke atas dunia Islam.
  1. Benson Smith dalam bukunya menyebut: "Serangan Allenby ke atas Al Quds ketika Perang Dunia Pertama adalah serangan Salib kelapan dan terakhir".
  2. Akhbar di Britian menyiarkan gambar Allenby dan ditulis di bawahnya kata-kata beliau ketika memasuki Al Quds pada tahun 1917, "Hari ini Perang Salib telah berakhir".
  3. Akhbat turut mengumumkan Menteri Luar Britain, Lloyd George, mengucapkan tahniah kepada Jeneral Allenby di Parlimen Britain kerana meraih kemenangan dalam serangan terakhir Perang Salib.
  4. Setelah Jeneral Perancis, Gouraud menewaskan tentera Kota Maisalun di luar Damsyik, dia lantas ke kubur Salahuddin Al Ayyubi. Dia menendang kubur tersebut dengan kakinya dan berkata, "Di sini, kami telah kembali wahai Salahuddin".
  5. Parti al Kata'ib di Lubnan menganggap perang Lubnan yang tercetus dalam perbalahan besar terakhir antara mereka dengan orang Islam sebagai Perang Salib. Akhbar yang menjadi lidah rasmi parti tersebut, "Manchette" telah mengeluarkan buletin di bawah tajuk: "Berita Terakhir Perang Salib".
Mengapa penjajah kembali meneruskan Perang Salib setelah mereka tewas teruk sebelum ini?

  • Bimbang terhadap kesedaran semula umat Islam. Antara buktinya:
  1. Mubaligh Zwemer berkata, "Semenanjung Tanah Arab yang merupakan tanah lahir Islam masih lagi memberi amarah bahaya".
  2. Orientalis Gardner berkata, "Kekuatan yang tersembunyi di dalam Islam itulah yang menakutkan Eropah".
  3. Perdana Menteri Britain, Gladstone berkata, "Selagi mana Al Quran ini di tangan orang Islam, Eropah tidak akan dapat menguasai Timur. Ia sendiri tidak akan berada dalam keadaan aman".
  • Islam merupakan tembok kukuh dalam menghalang penjajahan:
  1. Lawrence Brown berkata, "Islam adalah satu-satunya tembok yang menghalang penjajahan Eropah".
  2. Henry Hamilton menyebut dalam bukunya, "Orang Islam tidak dapat menjadi rakyat yang setia kepada kerajaan yang menganut anutan lain selain Islam. Perkara ini adalah mustahil selama mana mereka berada di bawah naungan hukum Al Quran".
  3. Lawrence Brown berkata, "Para pemimpin kita menakut-nakutkan kita dengan pelbagai bangsa. Tetapi selepas eksperimen, kita tidak dapati alasan bagi ketakutan tersebut. Mereka menakutkan kita dengan bahaya Yahudi, Jepun, dan Bolshevik. Tetapi jelas Yahudi adalah rakan kita, Jepun dan Bolshevik adalah sekutu kita. Sementara orang Jepun, di sana terdapat negara besar yang menjalankan demokrasi dan mengambil peranan melawan mereka. Tetapi kita dapati bahaya sebenar bagi kita terdapat di dalam Islam, keupayaan untuk meluas dan menundukkan pihak lain dan daya hidupnya (vitality) yang cukup dahsyat".

Objektif Serangan
  • Memecahkan negara orang Islam.
Lawrence Brown berkata, "Apabila orang Islam bersatu dalam sebuah empayar Arab, ia mampu menjadi laknat dan bahaya kepada dunia. Ia juga mampu menjadi nikmat kepadanya. Sebaliknya, apabila mereka kekal berpecah belah, mereka akan terus tidak mempunyai sebarang kedudukan dan pengaruh".
  • Memusnahkan setiap bahagian satu persatu.

Metode Serangan

Pertama: Menjatuhkan Khilafah (Memenggal Kepala)

Khilafah memainkan peranan penting dalam survival Islam. Itulah sebabnya mereka ingin menyerang khilafah dahulu. Antara peranan khilafah ialah:
  1. Menyatukan orang Islam sebagai kuasa besar.
  2. Melindungi orang Islam di Timur dan Barat. Kisah seorang wanita yang menjerit: "Wahai Mu'tasim", lantas beliau melancarkan bala tentera sehingga beliau menyalakan api di tanah kelahiran putera Rom yang mencabul wanita tersebut.
  3. Kemenangan sebenar tidak berlaku kecuali ketika wujudnya khalifah. Perang Hithin dan Ain Jalut di bawah pimpinan dua orang khalifah iaitu Salahuddin dan Quttuz.
  4. Khilafah tuntutan syarak yang dharuri. Para sahabat mendahulukan urusan perlantikan khalifah sebelum pengebumian baginda.
Kedua: Cubaan Melemahkan Dunia Islam dan Membunuh Jiwanya
  • Percubaan melaga-lagakan orang Islam dan menyebarkan perpecahan di kalangan mereka. Paderi Calhoun Simon berkata, "Kesatuan Islam mengumpul cita-cita bangsa Negro. Ia dapat menolong mereka lepas daripada penguasaan Eropah. Oleh kerana itu, dakyah Kristian merupakan agen penting dalam mecah kekuatan gerakan Islam. Ini kerana dakyah Kristian bekerja untuk menonjolkan orang Eropah dalam bentuk sinaran baru yang menarik. Ia juga bekerja merampas elemen kekuatan dan pemusatan daripada gerakan Islam. Lantaran itu, kesatuan orang Islam mestilah dipecahkan. Usaha menyemai permusuhan di kalangan mereka juga wajib dilakukan".
  • Percubaan menuduh Islam dengan pelbagai tuduhan palsu seperti Islam agama keganasan. Gullimen, seorang sejarahwan Perancis telah menyebut dalam bukunya (Sejarah Perancis), "Muhammad, iaitu pengasas agama orang Islam. Dia telah memerintahkan para pengikutnya untuk menggantikan semua agama engan agamanya. Alangkah besarnya perbezaan antara penganut berhala ini (orang Islam) berbanding penganut Nasrani. Bangsa Arab ini mewajibkan agama mereka melalui kekerasan. Mereka berkata kepada manusia: "Kamu peluk Islam atau kamu mati. Sedangkan pengikut al Masih menggerakkan jiwa mereka melalui kebajikan dan perbuatan baik".
  • Menggunakan cara kebajikan untuk menggugat akidah orang Islam yang memerlukan bantuan.
  • Memburukkan sejarah Islam. Contohnya menuduh Khalifah Umar Al Khattab cemburu dengan keperwiraan Khalid Al Walid dan memecatnya.
  • Memburukkan sistem kehidupan Islam. Contohnya mempertikaikan hukum memotong tangan pencuri yang dikatakan kolot dan zalim.
  • Memburukkan warisan ilmu Islam. Mereka menyifatkan warisan Islam sebagai musibah Islam.
  • Menghina para ulama'.
  • Menarik orang Islam ke universiti mereka untuk dikurniakan sijil dan pengajian.
  • Memisahkan ilmu agama daripada ilmu dunia dan menciptakan pertentangan antara keduanya.
  • Memesongkan kefahaman tawakal kepada Allah dan jihad.
  • Memerangi Bahasa Arab.
  • Menggunakan senjata penyiaran seperti televisyen dan filem.
  • Mengeksploitasi wanita dan pergaulan bebas di sekolah, universiti dan tempat awam. Kata cendikiawan Yahudi dalam buku 'Protokol Cendikiawan Yahudi', "Kita wajib bekerja untuk meruntuhkan akhlak di semua tempat".
Zwemer berkata, "Kamu menyediakan generasi muda yang tidak kenal hubungan dengan Allah. Dengan itu, lahir generasi muda yang menepati kehendak penjajah. Mereka tidak mementingkan urusan yang agung, bahkan hanya sukakan kerehatan dan bermalasan. Di dunia ini, mereka tidak mempunyai keinginan melainkan perkara nafsu syahwat. Apabila mereka belajar, ia adalah kerana syahwat. Apabila mereka mengumpul harta, juga kerana syahwat. Dan apabila mereka menduduki posisi penting, ia juga kerana syahwat".

Marx ditanya, "Apakah alernatif untuk melalaikan manusia daripada akidah ketuhanan?"

Beliau menjawab, "Lalaikan mereka daripada akidah ketuhanan dengan pementasan drama".

Ketiga: Pembasmian Fizikal (Memotong Sendi)

Melalui cara penguasaan bukan Islam ke atas orang Islam dan hasutan untuk menyapu bersih orang Islam dalam pertelagahan dan peperangan.
  1. Orang Islam di bawah pemerintahan Kristian seperti di Filipina.
  2. Orang Islam di bawah ancaman komunis yang telah runtuh dan Barat yang mewarisinya selepas itu seperti di China dan Rusia.
  3. Orang Islam di bawah kuasa Zionis seperti di Palestin.
  4. Orang Islam di bawah pemerintahan boneka seperti di Pakistan dan Syria.
  5. Selain daripada pertelagahan, pertempuran dan peperangan sesama Islam, peperangan minoriti Islam dengan umat lain dan usaha 'pembersihan' mereka di dunia berlaku pada setiap hari (seperti di Rohingya). Ia merupakan konspirasi melalui usaha membangkitkan ketaksuban, menceroboh kehormatan, meruntuh tempat suci, memprovokasi sentimen dan rasa kepartian, menyebarkan kezaliman, menanam kebencian dan menyokong penceroboh.
Tulisan ini dipetik daripada buku bertajuk, "Dunia Islam Kini: Pahitnya Pengalaman Besarnya Harapan" karangan Dr. Taufik Yusuf Al Waei.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Tuesday, September 4, 2012

Siapa Syiah Sebenarnya (Part 2)

Akidah Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah

Imamah dan Khilafah

Mereka mempercayai Imamah ialah jawatan penting yang diberikan kepada Saidina Ali R.A. selepas kewafatan Rasulullah SAW. Mereka mendakwa jawatan ini dilantik secara nas oleh Rasulullah SAW sebelum kewafatannya, bahkan jawatan ini kononnya dinaskan secara jelas di dalam Al Quran oleh Allah SWT. Pada mereka, sesiapa yang menolak imam-imam Syiah, dia menjadi kafir bahkan lebih kafir daripada Iblis.

Khomeini menulis dalam Hukumah Islamiyah:

Rasulullah SAW yang mulia telah dilantik oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi untuk menghukum ke atas manusia dengan adil dan tidak mengikut hawa nafsu. Allah telah menurunkan kepadanya wahyu supaya baginda menyampaikan apa yang telah diturunkan ke atasnya kepada orang yang menggantikannya. Rasul telah mengikut ketentuan ini dan telah melantik Amirul Mukminin, Ali sebagai penggantinya. Baginda di dalam membuat penentuan ini bukanlah didorong oleh faktor bahawa Ali adalah menantunya, atau Ali telah bekerja keras dan mempunyai khidmat-khidmat cemerlang, tetapi kerana Allah yang telah memerintahkannya supaya berbuat demikian

Mereka mempercayai jawatan ini diwarisi oleh keturunan Ali R.A. hingga Imam yang kedua belas, iaitu Imam Muhammad Al Mahdi bin Hasan Al Askari.

Imam-imam tersebut ialah:
  1. Imam Ali bin Abi Talib
  2. Imam Hasan bin Ali
  3. Imam Husin bin Ali
  4. Imam Ali Zainal Abidin bin Husin
  5. Imam Muhammad Al Baqir bin Ali Zainal Abidin
  6. Imam Jaafar As Sadiq bin Muhammad Al Baqir
  7. Musa Al Kazim
  8. Imam Ali Ar Rida
  9. Imam Muhammad Al Jawwad
  10. Imam Ali bin Muhammad Al Jawwad
  11. Imam Hassan bin Ali Askari
  12. Muhammad bin Hasan Al Askari Al Mahdi
Di sisi Syiah, Imam mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada para Nabi dan Malaikat. Khomeini dalam bukunya Al Hukumah Islamiyyah, halaman 95:

Pastinya kekuasaan dan pemerintahan bagi Imam tidaklah bermakna terpencilnya dia dan kedudukannya yang sebenar di sisi Allah, dan kuasa itu tidak akan menjadikannya seperti pemerintah-pemerintah yang lain daripadanya. Sesungguhnya Imam mempunyai kedudukan yang terpuji, darjat yang tinggi juga merupakan khalifah yang mempunyai kuasa pembentukan yang tunduk kepada pemerintahan dan kuasa semua unsur di alam ini. Dan di antara perkara-perkara yang tidak dapat dipertikaikan lagi menurut mazhab kita ialah bahawasanya Imam-imam kita telah mempunyai kedudukan tinggi tetapi tidaklah sampai ke tahap yang dicapai oleh malaikat yang sentiasa berdampingan (dengan Allah) dan juga Nabi yang diutus. Riwayat-riwayat dan hadis yang ada pada kita telah mempastikan bahawa Rasul Agung SAW dan para Imam A.S. di sebalik dunia ini mereka adalah merupakan cahaya-cahaya yang telah diterbitkan oleh Allah dari 'ArasyNya, dan Allah menganugerahkan kepada mereka kedudukan dan darjat yang hampir dengan Allah yang hanya Imam sahaja yang mengetahuinya.

Terdapat juga dari kalangan Imam-imam A.S. sebagai berkata:

"Sesungguhnya bagi kami ada berbagai keadaan yang tidak dapat dicapai kecuali oleh Malaikat yang sentiasa berdampingan (dengan Allah) serta Nabi yang diutus."

Kedudukan seumpama ini ada juga pada Fatimah Az Zahra (A.S) tetapi tidaklah bererti beliau adalah seorang khalifah, pemerintah, ataupun hakim. Kedudukan ini adalah satu perkara lain yang berada di sebalik status khalifah dan kekuasaan. Sesungguhnya Fatimah bukanlah seorang hakim atau pemerintah ataupun khalifah, (ungkapan ini) tidaklah bermakna bahawa Fatimah tidak mempunyai kedudukan yang hampir (kepada Allah) itu, sebagaimana perkara tersebut tidak memberi erti bahawa ia adalah seorang perempuan biasa seperti perempuan-perempuan yang ada di masa kita ini.

Para imam ini kononnya bersifat maksum. Mereka menganggap para Imam ini bukan sahaja terpelihara daripada dosa kecil dan dosa besar, malah terpelihara daripada melakukan sebarang kesilapan dan kesalahan serta tidak terlupa. Pada mereka Imam mempunyai ilmu yang setaraf dengan Nabi. Yang membezakan antara Nabi dan Imam ialah Imam tidak diberikan wahyu. Pun begitu, mereka percaya imam mempunyi ilmu ladunni. Mereka juga mempercayai para Imam juga mempunyai mukjizat. Antara contohnya ialah:

Abu Jaafar Muhammad bin Jariri At Tabari berkata, "Saya telah melihat tuanku Imam Al Baqir AS membuat seekor gajah dari tanah, lalu beliau menaikinyadan terbang di udara ke Mekah dan kembali di atasnya. Aku tidak percaya berita tersebut sehinggalah aku bertemu dengan Imam Al Baqir lalu aku katakan kepadanya Jabir telah menceritakan begini, begini (kisah ini). Imam Al Baqir terus melakukan perkara yang sama (mengambil tanah dan membentuk seekor gajah) lalu menaikinya dan membawa aku bersamanya ke Mekah dan kembali semula."

Imam yang kedua belas ialah Imam Mahdi di sisi Syiah. Beliau dipercayai ghaib pada tahun 260 H di Samarra' dalam sebuah lubang. Imam Mahdi atau namanya Imam Muhammad bin Hasan Al Askari akan kembali memenuhi dunia dengan keadilan pada suatu masa nanti.

Ar Raj'ah

Bermaksud kepercayaan bahawa para Imam akan dibangkitkan sebelum kiamat untuk menuntut bela dan menghukum orang-orang yang zalim yang telah merampas hak-hak mereka. Kepercayaan ini menjadi suatu kepercayaan yang disepakati oleh para ulama Syiah. Berkata Syeikh Mufid dalam Awail al Maqalat:

"Golongan Imamiyyah sepakat tentang wajibnya raj'ah atau kembalinya sebahagian besar orang-orang yang telah mati (sebelum kiamat)."

Mengkafirkan Sahabat

Contoh 1 - Abu Bakar dan Umar kafir

Dalam Kitab Bihar Al Anwar karya Muhamma Baqir Al Majlisi,

"Daripada Maula Ali bin Husin AS, aku bersama dengannya (dengan Imam Ali bin Husin) dalam khalwahnya. Aku berkata "Bolehkah engkau beritahu aku tentang keadaan dua orang lelaki ini iaitu Abu Bakar dan Umar". Dia berkata, "Kedua-duanya kafir dan orang yang menyintainya juga menjadi kafir."

Dan daripada Hamzah As Sumali beliau bertanya kepada Ali bin Husin tentang kedua-duanya lalu dijawabnya,

"Kedua-dua mereka kafir dan menjadi kafir orang yang menganggap mereka sebagai pemimpinnya."

Contoh 2 - Semua Sahabat Murtad

Kitab Al Kafi karya Al Kulaini,

Daripada Abi Jaafar, "Semua manusia (sahabat) telah murtad selepas kewafatan Nabi SAW melainkan 3 orang". Aku bertanya, "Siapa mereka bertiga?" lalu jawabnya, "Miqdad bin Aswad, Abu Zar al Ghifari dan Salman al Farisi."

bersambung...

Tulisan ini dipetik daripada buku bertajuk, "Siapa Syiah Sebenarnya" karangan Ustaz Abdullah Din dan Ustaz Azfar Abdullah.


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Thursday, August 23, 2012

Siapa Syiah Sebenarnya? (Part 1)

Syiah terbahagi kepada berpuluh-puluh puak, bahkan ada yang mengatakan sehingga 300 puak. Terdapat Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah, Syiah Zaidiyyah, Syiah Ismailiyyah, Syiah Kaisaniyyah dan banyak lagi. Tulisan kali ini hanya akan membicarakan tentang Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah atau Syiah Jaafariyyah yang penganutnya agak ramai di Malaysia ketika ini.

Dr. Ali Ahmad As Salus dalam bukunya yang bertajuk Ma'a Al Ithna Asyariyyah fi Ushul wal Furug telah memulakan dengan petikan ini:

"Syiah Ithna Asyariyyah tidak semuanya sama, sebahagian mereka yang melampau yang kita lihat apa yang mereka tulis mengandungi perkara kufur dan zindiq, sebahagian yang lain menyeru kepada pandangan yang lebih sederhana dan ada juga yang mencampurkan antara pandangan yang melampau dan sederhana."

Rujukan Syiah

Tafsir Hasan Al Askari,Tafsir Al I'yasyi dan Tafsir Al Qummi.

Ketiga-tiga tafsir ini muncul pada kurun ketiga hijrah. Penulisnya mengkafirkan para sahabat khususnya Khulafa' Ar Rasyidin sebelum Saidina Ali dan semua yang membai'ah mereka. Penulisnya juga beriktikad Al Quran ada yang telah diselewengkan secara nas dan makna. Mereka beriktikad tentang Imamah 12 orang imam sehingga ke peringkat syirik.

Al Kafi, karya Al Kulani

Kitab ini kitab hadis yang terbesar. Mengandungi 8 juzuk, 2 juzuk yang pertama dikenali dengan nama Al Usul Min Al Kafi, juzuk 3 hingga 7 dikenali dengan nama Al Furu' min Al Kafi, dan juzuk terakhir dikenali dengan nama nama Ar Raudhah min Al Kafi. Pada Syiah, kitab ini menyamai taraf kitab Sahih Bukhari. Kitab ini ditulis oleh Muhammad bin Yaakob Al Kulaini yang merupakan murid Al Qummi, pemilik Tafsir Al Qummi. Buku ini mempunyai kedudukan yang sangat tinggi pada penganut Syiah dan telah disyarahkan oleh lebih 50 ulama Syiah yang lain.

Kitab Tafsir Al Tibyan, karya Al Tusi

Penulis kitab ini ialah Al Tusi, seorang ulama besar Syiah Ithna Asyariyyah. Beliau menulis kitab ini dengan membawa pandangan yang sederhana dan cuba menentang kesesatan yang dibawa oleh orang-orang sebelumnya. Walau bagaimanapun, beliau terpengaruh dengan sebahagian akidah yang menyeleweng ketika menghuraikan tafsir ayat-ayat Al Quran.

Kitab Al Murajaat

Karya Abdul Hussein Syarafuddin Al Musawa "Hamba Hussein" ini merupakan sebuah kitab yang isi kandungannya dipetik daripada ulama Syiah yang melampau sahaja. Bahkan penulisnya menambah isi kandungannya menjadikan ia lebih syirik, lebih kufur dan lebih sesat. Beliau tidak memetik dari Kitab At Tibyan, karangan At Tusi. Penulis kitab ini dianggap sebagai Syiah Rafidhah yang paling melampau, zindiq dan kufur.

Kitab Lillah Summa Littarikh / Kenapa Aku Meninggalkan Syiah

Buku ini berjaya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh beberapa orang penuntut Al Azhar. Penulis buku ini ialah As Sayyid Hussein Al Musawi. Beliau cuba memperbetulkan fahaman yang melampau dalam Syiah Ithna Asyariyyah. Buku ini adalah contoh Syiah yang sederhana dan tidak melampau. Mereka menyanjung tinggi kedudukan para sahabat dan memuliakan ahlul bait sama seperti Ahlus Sunnah wal Jamaah. Kedudukan ulama ahlul bait yang dianggap imam dibersihkan daripada iktikad yang syirik.

As Syiah Wal Tashih: As Sira' Baina As Syiah wal Tasyayyu'

Buku ini ditulis oleh Dr Musa Al Musawi. Buku ini juga antara buku Syiah yang sederhana. Penulisnya cuba mengajak penganut Syiah supaya tidak melampau dalam ajaran Syiah dan mengajak mereka kembali kepada ajaran imam-imam mereka yang sebenar.

Asal Usul Syiah

Perkataan 'Syiah' disebut beberapa kali dalam Al Quran. Antaranya:

"Kemudian pasti akan Kami tarik dari tiap-tiap golongan siapan di antara mereka yang sangat durhaka kepada Tuhan Yang Maha Pemurah." (Maryam: 69)

"Dan Musa masuk ke kota (Memphis) ketika penduduknya sedang lengah, maka didapatinya di dalam kota itu dua orang lelaki yang berkelahi; seorang  daripada golongannya (Bani Israel) dan seorang (lagi) daripada musuhnya (kaum Fira'un). Maka orang yang daripada golongannya meminta tolong kepadanya untuk mengalahkan orang daripada musuhnya lalu Musa meninjunya, dan matilah musuh itu. Musa berkata: "Ini adalah perbuatan syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang menyesatkan lagi nyata (permusuhannya)." (Al Qasas: 15)

"Dan sesungguhnya Ibrahim benar-benar termasuk golongannya (Nuh)." (As Shoffat: 83)

Golongan Syiah sering berhujjah dengan mengatakan perkataan 'Syiah' disebut dalam Al Quran untuk mempertahankan kebenaran aqidah mereka. Tidak semestinya apabila disebut dalam Al Quran menandakan aqidah ajaran itu sahih. Fira'un, Namrud dan Haaman juga disebut di dalam Al Quran biarpun mereka sesat serta kufur.

Perkataan 'Syiah' di dalam Al Quran membawa maksud pengikut. Syiah Ithna Asyariyyah ialah salah satu puak Syiah Imamiyyah yang dikategorikan oleh para ulama sebagai melampau. Mereka juga menggelarkan diri mereka dengan nama Syiah Ja'fariyyah, iaitu salah seorang yang mereka anggap sebagai imam mereka. Perkataan Itha Asyariyyah bermaksud dua belas, ataupun merujuk kepada 12 orang imam mereka. Khomeini dan Kerajaan Iran adalah pendokong kepada aliran ini. Mereka mendakwa sebagai umat Islam yang mempercayai 12 imam setelah kewafatan Rasulullah SAW dengan Saidina Ali sebagai imam yang pertama. Mereka juga mendakwa sebagai golongan yang mencintai keluarga Nabi Muhammad SAW serta melebihkan mereka daripada sahabat-sahabat yang lain.

Perlu dijelaskan di sini, Syiah ini bukan seperti golongan Syiah yang ada di kalangan sahabat dan tabi'in yang menyebelahi Ali R.A. ketika berlaku persengketaan dengan Muawiyyah.

Tulisan ini dipetik daripada buku bertajuk, "Siapa Syiah Sebenarnya" karangan Ustaz Abdullah Din dan Ustaz Azfar Abdullah.


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Wednesday, July 18, 2012

Perang Salib ke Atas Dunia Islam

Antara pemimpin yang mula menganjurkan peperangan salib ialah:
  1. Pope Sylvester II (1002) - seruan tidak mendapat sambutan
  2. Pope Gregorius/Gregory VII (1075) - seorang Ortodoks di Byzantine yang berpusat di Konstantinople. Ketika itu, Ortodoks telah berpecah daripada Katholik yang berpusat di Rome. Penduduk Byzantine cuba memerangi orang Islam di Timur ketika Rome cuba mara di Andalus. Pope Gregorius VII ingin menghimpunkan dunia Kristian di sekelilingnya untuk menyerang umat Islam di Andalus. Namun Allah menyediakan Raja Al Murabithin di Maghribi, Yusuf bin Tasyfin untuk menghadapi mereka. Yusuf sendiri telah menyeberangi Sungai Az Ziqaq dan berjaya mengalahkan tentera Salib dalam peperangan Az Zallaqah pada tahun 479H.
  3. Pope Urban II (1095) - beliau telah menganjurkan persidangan umum pendeta agama di Clermont pada tahun 489H dan dihadiri seramai 300 orang perwakilan selama 10 hari bertujuan membebaskan Baitul Maqdis daripada kekuasaan Islam. Beliau telah menawarkan pengampunan dosa dan kesalahan kepada mereka yang menyertai Perang Salib. Beliau telah mempromosi propaganda ini dari sebuah negara ke negara yang lain.
Objektif Perang Salib
  1. Merasa terancam dengan keluasan kekuasaan Islam yang semakin mendekati selatan Perancis dan Itali.
  2. Menghalang penerimaan penduduk Eropah dan dunia Kristian terhadap Islam.
  3. Mendirikan koloni Salib di tengah dunia Islam.
Terdapat beberapa dakwaan yang menyatakan punca peperangan ini bukanlah atas faktor agama, tetapi atas faktor mendapatkan hasil kekayaan negara orang Islam. Dakwaan ini disangkal dengan pencerobohan kehormatan Masjidil Aqsa dan pembunuhan umat Islam di dalam masjid tersebut pada 2 Ramadhan 493H (1099M). Ternyata mereka mempromosikan peperangan ini bukan atas dasar ekonomi, tetapi atas dasar keagamaan. Sehinggakan ada sejarahwan mengatakan, "Kuda terbenam di dalam darah orang Islam sehingga ke paras dadanya". Seramai 70,000 umat Islam telah dibunuh dengan sewenangnya.

"Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu daripada agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian)". (Al Baqarah: 217)

Peperangan ini berlangsung selama dua kurun dan berakhir setelah kekalahan salib yang teruk dalam serangannya yang ketujuh. Panglimanya, Louis IX ditawan pada tahun 1254.

Pakatan Salib - Monggol

Kejatuhan Baghdad Tahun 656H

Tentera Salib berjaya menubuhkan pakatan dengan tentera Monggol dalam memerangi umat Islam. Monggol telah membunuh ramai umat Islam hinggalah mereka berjaya menembusi kota Baghdad. Khalifah ketika itu, Musta'shim juga dibunuh dengan kejam oleh mereka. Dikisahkan seorang lelaki muslim akan dipanggil bersama anak-anaknya ke perkuburan, lalu disembelih umpama kambing. Kekejaman ini berlangsung selama 40 hari dengan melibatkan kematian berjumlah kira-kira sejuta orang Islam.

Bukti Pakatan Salib dan Monggol
  1. Tentera Monggol tidak menyerang koloni Salib di Syam seperti di Anthokia, Yafa dan Acca.
  2. Pihak Salib telah menggunakan isteri Genghis Khan yang juga seorang Kristian daripada bangsa Tartar untuk menghasut beliau memerangi tentera Islam. Anak ketiga beliau yang merupakan penggantinya Ogtame (Ogotai) juga berkahwin dengan wanita Kristian.
  3. Hulagu Khan (cucu Genghis Khan) juga berkahwin dengan wanita Kristian. Isterinya telah menghasut beliau melakukan kekejaman ketika berjaya memasuki kota Baghdad dan Syam. Anak Hulagu, Tequdar membesar dalam agama Kristian sebelum memeluk Islam. Akibat tindakannya memeluk Islam, beliau telah dibunuh oleh anak saudaranya, Argon yang sangat memusuhi Islam.
Menyedari ancaman Monggol, tentera Islam telah mempertahankan benteng terakhir mereka di Mesir melalui pimpinan Saifuddin Quttuz. Beliau telah mengalahkan Monggol di Ain Jalut, Palestin.

Perubahan Taktik Salib

Pope Celestine V telah dikemukakan dua idea baru untuk memerangi Islam:
  1. Ramon Kull (Ketua Uskup Toledo) mencadangkan memerangai orang Islam dalam bentuk gerakan misi dakwah (missionary) melalui ilmu dan sekolah.
  2. Mengkristian dan mempergunakan bangsa Monggol untuk memerangi Islam. Perancangan ini gagal setelah orang Monggol memeluk Islam.
Kemenangan Sultan Muhammad al Fatih menawan kota Kostantinople merupakan tamparan hebat buat Kristian. Buktinya adalah ketika Sultan Muhammad al Fatih mangkat, Pope telah mengadakan sembahyang kesyukuran selama tiga hari. Walhal, kota tersebut masih lagi dalam kekuasaan umat Islam.

Kristian juga mempunyai hubungan yang baik dengan puak Maroon di Lubnan. Raja mereka, Yuhana pernah menghantar anaknya, Sam'an bersama angkatan bantuan tidak kurang daripada 25,000 pejuang membantu Panglima Louis IX pada tahun 1250 ketika beliau datang ke Acca. Panglima Louis IX berkata,

"Kami berkeyakinan bangsa ini yang dikenali dengan nama St. Maroon adalah sebahagian daripada bangsa Perancis. Negara Perancis pula telah berjanji melindungi mereka."

Ucapan ini menjadi punca mengapa Perancis masuk campur dalam urusan politik di Lubnan, khususnya bagi pihak Kristian (Maroon) sehingga kini. Ketika Raja Louis IX ditawan semasa Perang Salib al Manshurah, beliau berkata,

"Tiada jalan untuk menewaskan orang Islam melalui kekuatan perang. Pegangan agama mereka dengan Islam mendorong mereka untuk berjihad. Oleh itu, ia mesti dilakukan dengan cara yang lain, iaitu menukar pemikiran Islam dan menjinakkan orang Islam melalui cara serangan pemikiran. Caranya ialah ilmuwan Eropah hendaklah melakukan kajian tentang tamadun Islam bagi mengambil senjata baru yang digunakan untuk menyerang pemikiran Islam."


Tulisan ini dipetik daripada buku bertajuk, "Haadhir Al Alam Islami Al Aalam-Al Aamal: Dunia Islam Kini" karangan Dr. Taufik Yusuf Al Waei.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Sunday, July 8, 2012

Fiqh dan Politik Dunia Islam

Setelah hampir 4 bulan tidak menulis, alhamdulillah kali ini Allah beri saya kesempatan untuk kembali berkongsi ilmu di blog.

Para ulama mengklasifikasikan dunia kepada beberapa negara berdasarkan kepentingan agama dan keduniaan umat Islam. Pembahagian tersebut adalah seperti yang di bawah:

1. Dar Al Islam (Negara Islam)

Ia bermaksud kawasan yang didiami umat Islam dan hukum Islam jelas terlaksana. Imam Syafie berkata:
  • Dar Al Islam ialah negeri yang melaksanakan hukum Islam dan didiami oleh orang Islam sekalipun terdapat ahli kitab atau ahli zimmi di dalamnya.
  • Ataupun negeri  yang dibuka oleh umat Islam dan mereka bersetuju mengekalkannya di bawah pengurusan orang kafir.
  • Ataupun negeri yang pernah didiami oleh umat Islam dan kemudiannya mereka diusir oleh orang kafir dari negeri itu.
Imam Abu Hanifah pula mempunyai definisi yang berbeza. Beliau berkata:

"Dar Al Islam dan Dar Al Kufr (Negara Kafir) dikaitkan kepada Islam atau kufur berdasarkan terserlahnya Islam dan keamanan, ataupun kufur dan ketakutan di negara tersebut. Islam atau kufur terserlah berdasarkan terserlahnya hukum hakamnya, iaitu keamanan dan keadilan di Dar Al Islam, sebaliknya ketakutan dan kezaliman di Dar Al Kufr".

Dalam kata lain, Imam Abu Hanifah melabelkan sesebuah negara itu sebagai Dar Al Islam jika orang Islam dapat menetap dan mengamalkan cara hidup Islam dengan aman dan sebarang tanpa ketakutan. Jika umat Islam tidak dapat mengamalkan cara hidup Islam dengan tenteram dan sering diganggu, maka label yang sesuai ialah Dar Al Kufr.

2. Dar Al Harb (Negara Perang)

Dar Al Harb bermaksud  negara yang memerangi orang beriman, iaitu Dar Al Islam, dan wujud permusuhan antara negara tersebut dengan orang Islam. Sebaliknya negara yang tidak mengisytiharkan perang ke atas orang Islam, ia tidak dikira sebagai Dar Al Harb, sebaliknya digolongkan sebagai Dar Al 'Ahd (Negara Perjanjian) atau Dar Al Sulh (Negara Perdamaian).

Para ulama' berkata, apabila seseorang muslim memasuki Dar Al Harb, yang mengisytiharkan perang terhadap Islam, dia memasuki negara tersebut melalui perlindungan keamanan. Kemudian dia mengambil harta seorang kafir harbi di negara tersebut melalui urusan perdagangan, wadi'ah (deposit), belian atau jualan secara hutang atau apa-apa urusan muamalah, maka nilai harta yang diambil itu wajib dilangsaikan kepada kafir harbi tersebut mengikut tuntutan aqad (kontrak).

Kemudian, apabila kafir harbi tersebut ke negara Islam (dengan memperolehi keamanan) untuk menuntut haknya daripada muslim tadi, hakim hendaklah menjatuhkan hukuman ke atas muslim tadi agar dia melunaskan kewangan tersebut menggunakan hartanya. Iaitu sebagaimana dia menjatuhkan hukuman bagi orang muslim yang berada di Dar Al Islam.

Ini kerana hukum hakam Islam tetap berjalan walau di mana sahaja ia berada. Kita tidak menggugurkan hak kewajipan hanya kerana berada di sesuatu tempat, sebagaimana kewajipan solat tidak gugur kerana berada di Dar Al Harb. Memang benar hukum asal harta kafir harbi adalah harus diambil. Tetapi ijma' para ulama fiqh bersepakat ia haram diambil dan kehormatan harta mereka tetap dihormati dan dipelihara dalam beberapa situasi, antaranya:
  • Apabila seorang muslim memasuki Dar Al Harb secara aman atau dia menjadi tawanan. Manakala orang kafir tersebut memberi kepercayaan berkaitan jiwa dan harta kepadanya. Maka tidak halal dia mengkhianati mereka, lantaran dia telah memberi jaminan kepada mereka tentang dirinya. Ini kerana perbuatan ini adalah suatu pengkhianatan. Walhal, pengkhianatan tidak dibenarkan dalam Islam.
Jika dia mencuri atau merampas sesuatu daripada mereka (kafir harbi), ia wajib dipulangkan kepada pemiliknya. Jika pemiliknya datang ke Dar Al Islam, ia wajib dipulangkan kepada mereka. Ini kerana dia telah mengambilnya secara haram, oleh itu dia wajib memulangkannya, sama seperti jika dia mengambil harta orang Islam.
  • Apabila kafir harbi yang berada di Dar Al Harb memeluk Islam, darahnya terpelihara, harta dan anak kecilnya terkecuali daripada dijadikan tawanan perang. Hartanya tidak boleh diambil walau di mana sahaja ia berada atau dijumpai. Perjanjian antarabangsa yang mengatur peraturan ini telah wujud sekarang.
3. Darl Al A'hd (Negara Perjanjian)

Maksud Al A'hd ialah keamanan, zimmah, pemeliharaan dan penjagaan kehormatan. Dar Al A'hd dalam Islam pula ialah setiap negara yang penduduk dan pemerintahnya berdamai dengan orang Islam dan bersetuju menghentikan persengketaan, mewujudkan perdamaian atau tidak menceroboh.

Apabila ketua pemerintah Islam berpendapat mengadakan perdamaian dengan Dar Al Harb mempunyai kepentingan bagi umat Islam, perdamaian tersebut diharuskan. Firman Allah:

"Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka kamu hendaklah cenderung kepadanya dan bertawakallah kepada Allah." (Al Anfaal:61)

Contoh terbaik ialah Perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai antara umat Islam di Madinah dan kaum musyrikin Makkah. Ketua pemerintah Islam bertanggungjawab menghalang orang Islam dan zimmi daripada menyakiti dan mengganggu warga Dar Al Harb kerana mereka memperolehi perlindungan keselamatan jiwa dan harta melalui perjanjian damai.

4. Dar Al Baghy (Negara Pemberontak)

Al Baghy asalnya bererti zalim dan melampaui had melakukan kerosakan. Pengertian syarak untuk al baghy ialah penentang dan orang yang tidak mentaati pemerintah yang adil.

Dar Al Baghy dari segi istilah ialah: sebahagian daripada negara Islam yang dikuasai oleh orang Islam tetapi mereka menentang pemerintah yang sah berdasarkan hujjah yang mereka takwilkan lalu menjadi alasan kepada penentangan. Mereka melantik pemerintah dari kalangan mereka dan memiliki tentera serta pertahanan. Contoh Dar Al Baghy pada zaman kini ialah revolusi tentera, rampasan kuasa dan perlantikan diri mereka sendiri sebagai pemerintah tanpa pilihanraya, bai'ah ataupun kerelaan umat Islam.

5. Dar Al Bid'ah (Negara Bid'ah)

Ia bermaksud negara yang tidak berhukum dengan Islam secara sempurna. Sebaliknya menjalankan undang-undang secara wadh'i (undang-undang buatan manusia), ataupun undang-undang tempelan, ataupun sistem pemerintahan tentera, ataupun bukan tentera yang memerintah mengikut hawa nafsunya. Dar Al Bid'ah adalah negara yang telah hilang hukum sunnah di dalam negara tersebut, sebaliknya muncul di dalamnya hukum bid'ah dan hawa nafsu yang wajib ditentang.

6. Dar Al Maslubah (Negara yang Dirampas)

Negara yang pernah berada di tangan orang Islam yang memerintah dengan hukum Islam. Kemudian mereka menjadi lemah dan kekuatan mereka mula rapuh, lantas orang kafir dan tentera non muslim mengalahkannya. Para ulama' mewajibkan jihad untuk mengembalikannya. Sebagai contoh ialah Palestin dan Andalus.

Soalan bonus untuk semua, di kategori manakah negara Malaysia?

Tulisan ini dipetik daripada buku bertajuk, "Haadhir Al Alam Islami Al Aalam-Al Aamal: Dunia Islam Kini" karangan Dr. Taufik Yusuf Al Waei.
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)