Monday, January 31, 2011

Panggilan itu...

Pantai mana yang tidak dilanda badai. Begitulah rencah kehidupan yang pelbagai. Semenjak adik beradik saya melanjutkan pengajian ke luar negara, pelbagai ujian yang melanda kedua orang tua saya. Ujian tersebut lebih berbentuk kegusaran dan kerisauan hati akan keselamatan anak-anak yang berada jauh di perantauan. Ketika saya menuntut di US, ibu bapa saya digemparkan dengan insiden September 11. Kebanyakan penduduk dan pemastautin US yang beragama Islam hidup dalam ketakutan berikutan insiden tersebut. Masjid-masjid diceroboh dan para muslimat diganggu. Setiap kali solat jumaat, pasti akan ada beberapa buah kereta polis mengawal keselamatan. Trauma tersebut berlarutan sehinggalah saya tamat pengajian. Pernah satu ketika, saya telah disoal siasat oleh FBI yang menyamar sebagai pelancong di dalam lapangan terbang. Mujur tiada apa-apa perkara yang tidak baik berlaku ke atas saya. Saya juga pernah diminta meminum air mineral yang saya bawa bersama ke dalam pesawat. Tujuannya untuk memastikan air tersebut bukannya bom cecair.

Adik saya yang kedua pula menuntut di Sulawesi, Indonesia. Di penghujung tahun pengajiannya, ibu bapa saya diuji dengan insiden Kumpulan Bendera. Jika ada antara kita yang masih ingat lagi, kumpulan ini telah meniupkan api kemarahan rakyat Indonesia ke atas rakyat Malaysia. Kebencian mereka meluap-luap hinggakan ramai pelajar Malaysia yang terpaksa berlindung diri di Kedutaan Malaysia di Jakarta.

Adik saya yang ketiga pula diuji dengan serangan tentera Korea Utara ke atas sebuah pulau di Korea Selatan. Keadaan menjadi genting hingga jurus tentera Korea Selatan menggugat untuk menyerang semula Korea Utara. Ditambah dengan campur tangan Amerika Syarikat yang bersedia membantu Korea Selatan menewaskan Korea Utara membuatkan ibu saya semakin tidak lena tidurnya. Hampir setiap hari ibu saya menghubungi adik saya untuk mendapatkan maklumat terkini di Korea Selatan. Alhamdulillah akhirnya kemelut tersebut reda dengan sendirinya.

Kini adik saya yang keempat pula diuji dengan kebangkitan rakyat Mesir menentang Hosni Mubarak. Adik saya kini berlindung di Kedutaan Malaysia, Kaherah. Perkembangan terkini menyatakan kerajaan Malaysia akan memindahkan rakyat Malaysia di Mesir melalui laluan darat menuju ke Jeddah, Arab Saudi. Keadaan masih belum menunjukkan tanda-tanda rusuhan semakin reda. Kebimbangan ibu saya semakin memuncak. Akhirnya ibu saya menghubungi saya menyatakan kegusaran beliau. Memandangkan saya anak yang sulong, sayalah tempat ibu saya mencurahkan isi hatinya. Ibu saya berpendapat cara yang terbaik menghadapi situasi ini ialah dengan menjemput adik saya pulang ke Malaysia. Adik saya sedang 'kekeringan' poket ketika ini. Masakan tidak, bank telah ditutup sehingga tempoh yang tidak diketahui bila. Jika mereka dipindahkan ke Jeddah, di manakah mereka akan ditempatkan? Bilangan pelajar sahaja mencecah 11 ribu orang. Tidak dikira lagi bilangan rakyat Malaysia yang bekerja di sana. Kerajaan Malaysia seolah-olah tidak mempunyai contigency plan yang teratur.

Pada awalnya ibu saya mencadangkan saya dan ayah saya ke Mesir untuk mengambil adik saya. Biar apa pun yang terjadi, saya bersedia menghadapi risiko tersebut demi keselamatan nyawa adik saya. Memandangkan kerajaan akan memindahkan para pelajar ke Jeddah, maka perancangan ke Mesir diubah ke Jeddah. Itupun jika kerajaan bersungguh untuk meneruskan perancangan tersebut. Jika tidak, saya dan ayah saya akan menempuh rintangan menuju ke Kaherah. Doakan semuanya selamat. Lebih-lebih lagi pejuang Ikhwanul Muslimin yang sedang hebat bertarung menjatuhkan kebatilan di bumi Kinanah. Setakat ini seramai 17 orang pemimpin Ikhwanul Muslimin sudah ditawan oleh polis.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Sunday, January 30, 2011

Cinta di Rumah Hassan Al Banna (part 3)

Saya Tidak Naik Kelas Kerana Kesalahan Sendiri

Tsana bercerita,

"Saya masih ingat ketika saya masih belajar di sekolah khas, dan ayah sebenarnya mahukan saya ke madrasah Amiri, sekolah kerajaan. Saya bersekolah di sekolah yang bernama Mashr al Haditsah, sebuah sekolah moden pertama di Mesir ketika itu. Sekolah itulah yang membuka kesempatan untuk menyiarkan acara Hadits ats Tsulatsa (program ceramah pada hari Selasa) untuk para akhawat agar mereka boleh mendengar pengajaran daripada ayah melalui sekolah.

Saya bertanya pada ayah, apakah dia bersetuju anak perempuannya ingin bersekolah di sana? Ayah menyatakan persetujuannya. Ayah lalu memasukkan saya ke sekolah itu di kelas satu, padahal sebelum ini saya berada di kelas dua. Bahan pelajaran di sekolah itu agak berat sehingga saya tidak mampu mengikuti pelajaran yang diajar dan akhirnya ayah memindahkan saya lagi. Di sekolah baru, saya duduk di kelas dua, dan kerana keadaannya sukar ternyata saya tidak naik ke kelas lagi. Saya berasa malu dan mengatakan bahawa saya tidak akan pergi ke sekolah lagi.

Apabila musim persekolahan bermula, ayah berkata kepada saya,

'Ya Tsana...mari pergi ke sekolah...'

Saya tetap tidak mahu pergi. Lalu ayah berkata,

'Baik, kamu sangat pandai memasak. Mungkin kamu boleh duduk di rumah, belajar memasak dan bantu ibu di dapur.'

Saya menangis mendengar kata-kata ayah. Kemudian ayah mengatakan,

'Kamu bantu ibu sahaja di rumah ya...'

Tentu sahaja saya sangat takut dan saya terus pergi ke sekolah. Ayah berkata kepada saya,

'Apakah kamu mahu belajar dengan bersungguh-sungguh dan menguasai mata pelajaran yang diajar?' Saya menjawab, 'Ya, insya Allah.' Seperti itulah ayah, dia tidak memaksa anak-anaknya untuk melakukan sesuatu, tetapi mengarahkan kami dengan cara yang tepat. Kami malu dengan sikap ayah, tapi kami tidak takut kepadanya."


Ayah Menjatuhkan Hukuman kepada Kami

Memberi hukuman juga harus mempunyai formula tersendiri dalam melaksanakannya. Antara lain, sesuatu hukuman adalah untuk menyedarkan seseorang atas kesalahan yang dilakukannya, supaya dia serik dan tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. Tsana mengatakan,

"Ayah meyakini bahawa kaedah memberikan hadiah dan menjatuhkan hukuman itu perlu dilakukan. Misalnya, ayah biasanya akan memberikan kami makanan dan kuih-muih ketika menyambut maulidur rasul. Makanan dan kuih-muih itu juga diberikan kepada sesiapa sahaja yang bersama-sama kami untuk mendengarkan pembacaan ayat-ayat Al Quran ataupun hadis Rasulullah S.A.W, ataupun juga dalam acara untuk syiar jemaah."

Saiful Islam mengatakan,

"Hukuman yang paling berat yang diberikan ayah kepada salah seorang daripada kami adalah tarik telinga. Suatu ketika, telinga saya ditarik, dan ini adalah bentuk hukuman yang paling berat yang pernah saya terima. Puncanya, suatu pagi ada kesalahan yang saya telah lakukan. Tetapi waktu tengahari, sekitar jam 11, ayah menelefon bagi menenangkan saya dan memperbaiki hubungan kami kembali. Peristiwa itu sangat berkesan pada jiwa saya."

Tsana bercerita,

"Jarang sekali ayah menghukum kami. Kecuali apabila ada sesuatu yang memang dianggap kesalahan berat ataupun berkaitan dengan perbuatan melanggar perintahnya yang sebelum itu sudah diingatkan kepada kami. Jika kami bersalah, tentu sahaja kami akan menerima hukuman, sebagaimana kaedah punishment and reward dalam pendidikan. Saya sendiri hanya menerima dua hukuman daripada ayah. Kali pertama ketika saya keluar tanpa memakai kasut dan kali kedua ketika saya memukul pembantu rumah. Saya ingat ketika itu saya dihukum kerana kesalahan saya sendiri. Di rumah lama kami, ada beberapa pemisah ruangan. Ayah ingin menggunakan bilik di tingkat bawah, dengan alasan supaya anak-anak tidak letih kerana kami tidak perlu melalui tangga. Selain itu, ia juga supaya jiran tetangga tidak kepenatan jika mereka ingin berkunjung. Suatu ketika saya duduk di tangga itu dan melihat ayah dari jauh. Saya segera bangun dan menghampirinya tanpa memakai selipar. Ketika itu ayah hanya melihat saya sekejap sahaja, hanya sepintas lalu. Dan ketika itu saya sedar dan pasti akan menerima hukuman daripada ayah. Saya segera kembali ke rumah.

Selepas para ikhwan pulang,ayah masuk ke ruang makan dan memanggil saya. Saya datang dengan langkah yang agak lambat kerana takut. Ayah berkata,

'Duduklah di kerusi dan angkat kedua-dua kaki kamu.'

Ayah lalu memukul kaki saya dengan pembaris pendek. Setiap sebelah kaki mendapat 10 sebatan. Tetapi terus terang saya sebenarnya saya ingin ketawa, kerana pukulannya begitu perlahan bahkan saya tidak merasa sakit pun. Ayah hanya ingin membuat saya mengerti bahawa saya telah melakukan kesalahan."


Kehangatan Pelukannya Masih Kurasakan Sampai Sekarang

Suatu hari Saiful Islam telah berbincang dengan as syahid ketika makan tengahari,

"Saya banyak berinteraksi dengan ayah sepanjang dua tahun. Ketika saya duduk di bangku sekolah menengah yang mana pelajar mulai berjinak-jinak dengan politik. Kami juga dibenarkan menyertai sebarang demonstrasi. Sata sendiri bergabung dengan kumpulan pelajar pada ketika itu yang dipimpin oleh Ustaz Farid Abdul Khaliq. Lokasi pejabatnya berdekatan dengan ibu pejabat Ikhwanul Muslimin. Oleh itu, secara automatik saya terlibat dengan para ikhwan di sekolah melalui pelbagai kegiatan yang dianjurkan oleh kumpulan pelajar. Di sekolah, kami menganjurkan beberapa perbincangan yang meliputi masalah negara, nasionalisme, masalah Sg. Nil, penjajahan Inggeris di Mesir dan Sudah, juga masalah penyatuan antara Mesir dan Sudan.

Ketika kembali ke rumah, saya makan tengahari bersama ayah dan bertanya pendapatnya tentang perbincangan yang berlaku di sekolah. Saya ingat, ketika itu saya bertanya,

'Apa yang akan kita lakukan bagi menghadapi Inggeris jika mereka tidak mahu meninggalkan Mesir?'

Ayah menjawab,

'Kami akan mengutuskan kamu bersama-sama pasukanmu untuk mengusir mereka dengan kekuatan.'

Ketika itu ayah memeluk saya hangat sekali. Hingga sekarang saya masih merasakan pelukannya itu.


Menyedarkan Anak Gadis dengan Peranan Kewanitaannya

Hassan Al Banna sangat prihatin akan kaum wanita. Dia sangat memelihara pendidikan anak-anak gadisnya supaya mereka boleh menjalankan peranan dalam membangunkan kaum wanita yang lain. Ini terbukti benar dengan jawatan yang disandang oleh puteri sulongnya, Wafa sebagai pensyarah Fakulti Pendidikan Kewanitaan. Tsana pula bertugas sebagai pensyarah ilmu pengurusan makanan di Universiti Kerajaan Arab Saudi.

Tsana berkata,

"Ayah sangat yakin peri pentingnya mendidik kaum wanita. Tapi pelajaran untuk wanita harus sesuai dengan sifat kewanitaannya. Oleh itu, saya mendalami bidang yang berkaitan dengan urusan kewanitaan."


Ayah dan Ibu Kami Pasangan Romantik dan Harmoni

Tsana menceritakan,

"Pernah suatu hari ayah pulang lewat malam dan ibu sudah pun tidur. Ketika itu, ayah tidak mengejutkan ibu, bahkan menyiapkan sendiri makanan dan semua keperluan makan malam untuk para ikhwan yang berkunjung. Ayah tahu kedudukan bahan perasa masakan serta peralatan dapur lalu secara bertahap ayah menyediakan makanan, pencuci mulut dan minuman untuk para ikhwan. Ayah juga menyediakan roti dan menyusun meja makan untuk mereka makan bersama."

Saiful Islam pula menambah,

"Jika pulang lewat, ayah tidak pernah mengganggu sesiapa. Pada hal kunci rumah kami cukup panjang sehingga jika dibuka, pasti akan menghasilkan bunyi. Suatu malam, saya belajar hingga lewat malam. Betapa terkejutnya saya ketika mendapati ayah sudah berada di rumah, padahal saya tidak mendengar bunyi pintu dibuka. Ternyata ayah membuka pintu dengan begitu berhati-hati, bahkan dengan seperlahan yang boleh. Ayah mempunyai perasaan yang sangat halus, bahkan mungkin boleh dikatakan sangat lembut."


Tanamkan Semangat Kebersamaan dengan Kondisi Dunia Islam

Hassan Al Banna telah cuba membina suasana tafahhum, iaitu memahami secara umumnya kondisi dunia Islam terutamanya saudara Islam di Palestin. Ada satu peristiwa yang membuat raut muka Hassan Al Banna berubah kerana memendam kesedihan sekaligus kemarahan. Peristiwa ini terjadi pada tahun 1948, ketika pasukan Ikhwan terlibat dalam perang di Palestin.
Tsana menceritakan,

"Ketika itu, ibu bersama makcik dan nenek berada di sebuah ruang membuat kuih-muih menyambut hari raya. Ayah memandang ibu dan berkata,

'Ya Ummu Wafa, apakah engkau akan membuat roti sedangkan ada 12 orang kader Ikhwanul Muslimin gugur di Palestin?'

Selepas itu ayah meminta salah seorang pembantunya mengemas semua peralatan membuat roti dan kuih. Ibu saya tidak lagi membuat roti sejak hari tersebut hingga sekarang. Ibu setidaknya pernah membuat biskut, tetapi tidak pernah membuat roti. Bahkan sehingga selepas ayah meninggal dunia."


Selepas Saya Mengambil Kertas-kertas Ayah Tanpa Izinnya

Ketika berlaku kesalahan di dalam rumah, ada banyak cara untuk menjelaskan kesalahan itu kepada si pelaku kesalahan. Yang paling utama adalah menjelaskan bahawa perbuatan yang dilakukannya itu salah, dan kemudian memberikan cara bagaimana menyelesaikannya.

Saiful Islam bercerita,

"Saya masih ingat, suatu hari saya mengambil sejumlah kertas dari ruang kerja ayah tanpa meminta izin. Ketika ayah mengetahui ada sejumlah kertasnya yang berkurangan, ayah tidak memarahi saya dan tiadk pula melontarkan kata-kata yang kasar kepada saya. Tapi ayah duduk di hadapan saya, lalu dia mengemaskan kertas-kertasnya sehingga saya sendiri mengerti secara tidak langsung apa yang telah saya lakukan. Selepas itu, ayah memberikan kepada saya sejumlah kertas dan berkata, 'Kertas-kertas ini khusus untukmu. Jika kamu inginkan kertas yang lain, beritahu ayah dan ayah akan berikan kertas yang kamu inginkan."


Ayah, Teman Saya Belajar dan Berbincang

Saiful Islam menyebut,
  1. Ayah mempunyai hubungan komunikasi yang baik dengan guru sekolah dan kerap menanyakan keadaan saya di sekolah dengan para guru.
  2. Ayah biasa mengarahkan para guru di sekolah menekankan beberapa aspek pelajaran yang dianggap penting. Saya masih ingat guru bahasa Arab saya yang bernama Ustaz Ali. Beliau telah memberikan tugasan kepada murid-murid supaya membeli buku tulis dan menuliskan syair-syair pilihannya. Dia juga berjanji mahu membantu kami menyelesaikan tugasan tersebut dan memberikan hadiah kepada sesiapa yang menulis paling banyak. Saya terkejut pada akhir tahun persekolahan, ayah rupanya yang mengarahkan guru bahasa Arab kami untuk memperkuatkan aspek pelajaran yang saya anggap kurang penting (syair). Ayah melakukan kaedah meningkatkan kemampuan bahasa Arab dengan memberi cadangan kepada guru kami.
  3. Jika pulang malam, ayah bersoal jawab dengan saya mengenai pelajaran sekolah. Ayah sangat bijak dalam mata pelajaran matematik. Ayah membantu saya menguasai mata pelajaran matematik dan menyelesaikan soalan-soalan yang tidak mampu saya selesaikan.
  4. Ayah meminta salah seorang Ikhwan memantau sikap dan keadaan saya di sekolah.
  5. Ayah kadang kala meminta seorang Ikhwan untuk menerangkan beberapa mata pelajaran di hadapan saya.
bersambung...

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Monday, January 17, 2011

Al Quran dan Spesifikasi

Jabatan tempat di mana saya bertugas sekarang dinamakan sebagai Jabatan Kejuruteraan. Tugas Jabatan Kejuruteraan ialah sebagai tempat rujukan perkara-perkara teknikal bagi kerja-kerja Bahagian Penghantaran. Biasanya kami menjadi tempat rujukan Jabatan Senggaraan Aset (Asset Maintenance) dan Jabatan Pembangunan Aset (Asset Development). Kerja-kerja Jabatan Senggaraan Aset lebih kepada kerja-kerja penyenggelaraan menara penghantaran dan pencawang masuk utama. Jika terdapat aspek teknikal yang tidak mampu mereka lakukan, kebiasaannya Jabatan Kejuruteraan lah yang menjadi rujukan. Jabatan Pembangunan Aset pula tugasnya lebih kepada menyelia projek-projek Bahagian Penghantaran yang sedang berlangsung. Contohnya seperti pembinaan menara penghantara untuk talian atas (transmission line) dan pembinaan pencawang masuk utama. Kebiasaannya Jabatan Kejuruteraan akan memainkan peranan dengan memastikan lukisan teknikal dan reka bentuk adalah menepati seperti yang dikehendaki oleh spesifikasi TNB.

Sejak kebelakangan ini kedua-dua jabatan tersebut sering berhubung dengan jabatan saya untuk mendapatkan khidmat nasihat dari segi aspek teknikal. Kebanyakan daripadanya adalah perkara yang kecil dan remeh.

"Korang ni tak baca spec (spesifikasi) ke?" tempak pengurus saya.

"Ler, ni kan memang keja Engineering (Jabatan Kejuruteraan). Bagila input"

"Apa guna spec untuk AM (Asset Maintenance) dan AD (Asst Development) kalau tak buka dan baca", balas pengurus saya.

Diringkaskan cerita, kebanyakan khidmat nasihat yang mereka minta adalah dalam bidang pengetahuan mereka sebagai seorang jurutera. Namun, mungkin dek terlalu sibuk ataupun malas untuk merujuk kepada spesifikasi, perkara-perkara yang kecil pun akan dirujuk kepada jabatan saya. Ini akan merencatkan gerak kerja jabatan saya secara amnya. Jika perkara teknikal yang dirujuk adalah kecil dan remeh, kedua-dua jabatan tersebut boleh menyelesaikannya sendiri melalui spesifikasi yang dibekalkan.

Kadang kala pengurus saya berbalah dengan pengurus-pengurus daripada kedua-dua jabatan tersebut kerana isu-isu yang mereka utarakan adalah terlalu remeh dan boleh diselesaikan dengan mudah. Moral yang boleh diambil daripada pengalaman saya ini ialah janganlah kita terlalu mengharapkan orang lain menyelesaikan masalah kita. Ada kalanya masalah tersebut mampu kita selesaikan jika kita punya kemahuan. Hakikatnya inilah yang berlaku dalam masyarakat muslim Melayu di zaman ini.

Sebagai seorang muslim, adalah menjadi kewajipan kita untuk mendalami ilmu-ilmu fardhu ain sebagai panduan hidup kita. Namun begitu, ramai antara kita meletakkan tanggungjawab tersebut kepada para ustaz dan ustazah supaya mudah untuk kita jadikan rujukan. Kita merasakan untuk mempelajari dan memahami ilmu-ilmu fardhu ain adalah suatu yang membebankan. Hinggakan bagaimana hendak bertayammum pun dirujuk kepada ustaz dan ustazah. Walhal kaifiat bagaimana untuk bertayammum boleh didapati di kedai-kedai buku agama di seluruh pelusuk negara. Inilah dua penyakit umat zaman kini; MALAS dan TIDAK KEBERSAMAAN. Maksud saya dengan TIDAK KEBERSAMAAN ialah tidak merasakan menuntut ilmu diniah itu adalah tanggungjawab kita juga.

Asalkan ada masalah agama sahaja, terus kita tolak ke tepi.

"Aku tak layak nak ulas benda ni lah."

"Biarlah ustaz-ustaz tu yang jawab. Bukan bidang kita ni"

Pelbagai alasan yang kita berikan untuk mengelakkan diri daripada bebanan tersebut. Sedar atau tidak, kita lah yang rugi sebenarnya jika kita merasa berat untuk menambah ilmu diniah. Mengapa? Kerana di sana terselit ilmu yang banyak untuk kita gali. Ilmu seerah, ilmu lughah (Bahasa Arab), ilmu mustolah hadis, ilmu tafsir Al Quran, ilmu balaghah dan banyak lagi. Sampai bila kita akan cuba mengelak diri daripada menuntut ilmu diniah? Adakah adil kita membebankan tanggungjawab kita pada orang lain? Sama-sama fikir dan sama-sama jawab. Bak kata Upin dan Ipin...

"betul...betul...betul"

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Wednesday, January 5, 2011

Cinta di Rumah Hassan Al Banna (part 2)



sumber: http://gallery.hd.org



Aku mula membaca dari ayat ini...

Jika Hassan Al Banna pulang ke rumah seketika dan berehat sebentar, beliau akan bangun beberapa ketika sebelum masuk waktu Maghrib. Hal ini lazim dilakukan oleh as syahid pada bulan Ramadhan. Hassan Al Banna akan memanggil Tsana dan Wafa untuk mendengarkan bacaan Al Quran beliau. Mereka berdua akan memegang Al Quran dan menyemak bacaan as syahid. Beliau sebenarnya cuba menegur bacaan anak-anaknya yang salah dengan cara tidak langsung. Mereka berdua akhirnya dapat mengagak mesej yang cuba disampaikan oleh si ayah.


Berinteraksi sewajarnya dengan masyarakat

Tsana bercerita,

"Ayah mengizinkan kami mengikuti lawatan sekolah. Ayah juga mengizinkan kami berinteraksi sewajarnya dengan jiran tetangga dan masyarakat setempat. Pada masa itu, kami saling mengenali jiran tetangga. Ayah juga tidak melarang kami bermain dengan teman-teman kami di waktu-waktu tertentu, juga untuk hadir dalam pelbagai pertemuan di ibu pejabat Ikhwanul Muslimin. Mereka menyediakan meja untuk kami. Teman-teman kami dan mereka yang kami cintai adalah tetangga kami dan anak-anak di persekitaran kami."


Keterlibatan yang bijaksana

Tsana bercerita lagi,

"Saya masih ingat suatu peristiwa yang terjadi antara saya dengan kakak saya, Wafa. Ketika itu dia mulai memakai tudung di sekolah. Seorang guru sekolah yang mengajar etika keperempuanan menyatakan bahawa pakaian muslimah yang dipakainya tidak selari dengan peraturan sekolah. Walau bagaimanapun, guru tersebut adalah seorang yang baik pekertinya. Cuma beliau agak sedikit jahil dalam bab cara hidup Islam. Apabila mengetahui hal tersebut, ayah telah menghubungi guru tersebut melalui telefon dan cuba meyakinkan guru itu tentang kewajipan menutup aurat dan memakai tudung. Hasilnya positif kerana guru tersebut menjadi terbuka fikirannya dan bahkan mengubah laluan bas sekolah. Jika sebelum ini bas sekolah hanya menghantar dan menjemput kami tidak di kawasan rumah masing-masing, tapi kini bas itu menghantar kami ke perhentian yang berdekatan dengan rumah kami. Setelah guru itu berbicara dengan ayah, dia meminta kami dihantar hingga ke depan rumah masing-masing."


Setiausaha peribadi ayah

Sebagai anak perempuan yang sulong, Wafa telah diamanahkan oleh Hassan Al Banna menjadi setiausahanya yang akan hadir bersama-sama beliau dalam pertemuan tidak rasmi bersama para akhawat untuk merungkai sebarang masalah. Ditanya mengapa Wafa yang dipilih, beliau menjawab,
  1. Wafa anak yang paling tua


  2. Wafa lebih banyak berada di rumah. Berbeza dengan Saiful Islam yang jarang ada di rumah sepanjang hari, Wafa lah yang paling banyak berinteraksi dengan akhawat yang bertandang ke rumah.

Menurut Saiful Islam, "Kakak saya, Wafa adalah seorang yang sangat peka dengan pengurusan bahan-bahan dan keperluan ayah. Ini adalah satu metod yang baik dalam menyiapkan anak perempuan supaya boleh menjalani kehidupannya sebagai perempuan (mengurus rumah tangga)".

Rak-rak buku yang menjadi saksi

Hassan Al Banna sangat menitik beratkan pendidikan dari segi wawasan ilmu anak-anaknya. Hal ini dapat dilihat melalui coretan yang berikut:

  1. Pemberian tempat perpustakaan khusus untuk semua anak yang mengandungi buku-buku yang mereka inginkan.

  2. Memberikan wang bulanan untuk membeli buku-buku yang diinginkan sendiri oleh anak-anaknya, sesuai dengan kecenderungan mereka.

Saiful Islam menjelaskan,

"Saya ingat pada suatu ketika ada sebahagian buku-buku di perpustakaan rumah yang dimasukkan ke pejabat majalah As Shihab. Kemudian ayah membeli sejumlah buku lainnya untuk diletakkan di rumah. Ayah memberikan kepada saya perpustakaan yang sederhana. Ayah juga memberikan wang tambahan setiap bulan sebanyak 50 qirsy sebagai dana membeli buku agar boleh memenuhi perpustakaan saya itu."

Ayah menemankan kami ketika bermain

Tsana telah mengongsikan pengalamannya bersama as syahid,

"Ayah membawakan kami selipar untuk bermain dan kasut untuk pergi ke sekolah. Ketika musim panas, ayah selalu mengajak kami berjalan ke daerah As Sha'id. Jika ayah mengajak kami, kami tidak lepas daripada pemerhatiannya. Ayah juga mengajak kami ke rumah nenek dan bapa saudara di Ismailiyah agar kami dapat menghabiskan cuti di rumah mereka. Kami menikmati kebun-kebun hijau dan taman-taman yang indah. Saiful Islam akan bermain olahraga dan menunggang kuda."

"Kami menghabiskan hari yang sangat membahagiakan zaman kanak-kanak kami di tempat yang indah ini. Ada ladang yang subur, ada terusan Suez, ada kapal-kapal nelayan. Setelah selesai tahun pengajian, kami terus berangkat ke Ismailiyah. Ayah tinggal bersama-sama kami beberapa hari. Kemudian ayah akan memulakan perjalanan musim panasnya ke pelbagai tempat yang jauh di Mesir. Ayah mengunjungi setiap kampung dan desa. Cuti musim panas pada ketika itu lebih kurang empat bulan lamanya. Setelah itu, ayah kembali semula ke Ismailiyah menghabiskan cuti bersama-sama kami sehingga tiba waktunya kami kembali ke Kaherah saat menjelang sesi persekolahan yang baru."


Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesiapa menyakiti Fatimah bererti dia menyakitiku"

Hassan Al Banna selalu berusaha menyenangkan hati anak-anaknya, menenangkan mereka, mencerahkan fikiran mereka, serta menyisipkan kebahagiaan dalam hati mereka. Itulah sebahagian daripada kewajipan seorang murabbi yang berjaya. Zaman kanak-kanak adalah zaman yang kesedihan tidak boleh singgah di jiwa mereka. Ayah yang berjaya adalah ayah yang selalu menghapuskan air mata anak-anaknya dan mengusir kesedihan dalam hati mereka. As Syahid sangat memelihara jangan sampai ada salah seorang anaknya yang mengalami kesedihan dan jiwanya rasa disakiti. Dan inilah yang tertanam dengan baik dalam jiwa anak-anaknya sehingga meledakkan kecintaan dan komitmen yang kuat kepada ayah mereka. Ini mendorong anak-anak untuk benar-benar mengikut jejak langkah si ayah. Berbeza dengan ibu bapa yang memunculkan kesedihan dan rasa sakit dalam jiwa anak-anaknya yang mana kesannya akan membuahkan perasaan keras yang juga mengakibatkan jurang jauh antara mereka.

Tsana bercerita,

"Ayah sangat mengambil berat dan tidak mahu melihat perasaan kami terluka. Suatu hari datuk telah berkunjung ke kota kami dan menghadiri majlis jamuan perkahwinan. Saya, Saif dan Wafa mendapat tahu semasa dalam perjalanan bahawa datuk sudah menyiapkan kotak yang penuh dengan hadiah. Lalu datuk memutuskan hanya mahu ditemani oleh Saif dan Wafa sahaja. Ketika itu ayah mengajak dan mendokong saya lalu berkata,

"Tidak mengapa wahai Tsana..."

Lalu ayah memberikan kepada saya wang sebanyak 25 qirsy yang pada waktu itu sangat banyak nilainya. Tetapi meskipun demikian saya tetap sedih. Sedangkan di tangan saya ada beg berisi pakaian yang kemudian dibawa oleh ayah."


Ayah membiarkan saya menghabiskan bacaan buku komik

Terjadi kesalahan di rumah yang apabila ditangani akan menimbulkan kesalahan yang lebih besar. Ini boleh terjadi ketika ibu bapa terlalu memperbesarkan kesalahan yang tidak perlu. Ibu bapa bertindak balas ke atas kesalahan kecil dengan sangat keras dan kasar. Ini akan membentuk tekanan jiwa dan fikiran pada anak-anak. Melatih anak untuk berdiskusi dan berdialog adalah salah satu teknik yang perlu diaplikasikan di rumah. Salah satu kebiasaan Hassan Al Banna ialah berdialog dengan tenang untuk memperbaiki kekeliruan yang dilakukan anak-anaknya. Saiful Islam berkata,

"Setelah beberapa tahun, saya mula sedar ayah memperhatikan tingkah laku saya dengan teliti. Saya masih ingat semasa kecil saya pernah membeli buku cerita James. Dalam buku itu ada beberapa kisah percintaan. Suatu hari, ayah pulang lewat malam dan melihat saya masih belum tidur. Ketika itu saya sedang asyik membaca komik dan ayah berlalu begitu sahaja. Keesokan harinya, ayah mengajak saya untuk berbicara setelah saya tamat membaca komik tersebut. Ayah memberitahu yang beliau telah membelikan suatu buku yang lebih baik daripada komik tersebut. Buku-buku tersebut antaranya ialah cerita mengenai pemimpin Islam seperti Antarah bin Syadad, Saif bin Dzi Yazin, Umar Abdul Aziz dan banyak lagi. Ketika itu barulah saya menyedari yang ayah sangat memerhatikan tingkah laku saya dan bahan bacaan saya meskipun beliau sangat sibuk dengan aktiviti dakwahnya."

Saif, bagaimana jika ayah yang memuliakan tetamumu?

Saiful Islam pernah ditanya mengenai masalah sikap yang dialaminya ketika di zaman kanak-kanak dan bagaimana ayahandanya menangani masalah tersebut. Saiful Islam bercerita,

"Suatu ketika datang sekumpulan Ikhwan untuk menziarahi ayah. Saya menyambut mereka di pintu rumah dan bertanya,

"Apakah kamu datang untuk mengunjungiku ataupun untuk mengunjungi ayahku?"

Mereka menjawab mereka datang untuk menziarahi ayah. Lalu saya berkata,

"Baiklah, kalau begitu biarlah ayahku sahaja yang membukakan pintu untuk kamu semua."

Lalu saya menutup semula pintu dan membiarkan mereka menunggu di luar rumah. Setelah mereka menceritakan hal tersebut kepada ayah, ayah datang kepada saya dan bertanya mengapa saya bertindak demikian. Ayah tidak marah dengan jawapan saya dan tidak pula menghukum saya. Ayah berkata,

"Saif, bagaimana jika ayah yang memuliakan tetamumu? Ayah yang menyambut mereka dan ayah mempersilakan mereka masuk dan melayan mereka seperti tetamu-tetamu yang lain. Jika ada tetamu datang ingin menemui ayah pula, kamu pula yang sambut kedatangan mereka dan mempersilakan mereka masuk serta melayan mereka sebagaimana ayah melayan tetamu kamu."

Bermula dari saat itu, as syahid mengotakan janjinya pada Saiful Islam dan begitulah sebaliknya. Ketika ditanya bilakah peristiwa ini terjadi. Saiful Islam menjawab ketika beliau berumur antara 10 dan 11 tahun.

bersambung...


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Friday, December 24, 2010

Nu'man kini berusia 2 tahun























Alhamdulillah, pada 4 Disember yang lepas umur Nu'man sudah pun menginjak kepada 2 tahun. Dikongsikan gambar-gambar yang diambil sehari selepas hari lahir Nu'man. Mohon doa daripada para pembaca supaya Nu'man membesar menjadi insan yang soleh dan musleh. Jazakumullahu khairan katheera.


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Thursday, December 16, 2010

Tersebutlah al kisah...

Arakian adapun sebuah negara yang aman tenteram dan ramah penduduknya bernama Malas Sia. Syahadat negeri ini amat cantik dan kaya hasil mahsulnya. Negara Malas Sia ini diperintah oleh seorang raja bernama Raja Pekan. Kebanyakan rakyat jelata rasa bahagia berada di bawah pemerintahannya. Biarpun harga beberapa barang keperluan naik, rakyat tetap bersatu padu menyokong pemerintahan Raja Pekan.

Namun begitu, terdapat juga segelintir rakyat yang tidak menyukai pemerintahan Raja Pekan. Golongan ini diketuai oleh Hang Pauh. Walaupun mereka tidak menyukai pemerintahan Raja Pekan, tindakan mereka tidak melebihi daripada berhimpun secara aman dan berceramah sahaja. Tiada aktiviti yang boleh menggugat ketenteraman negara. Mereka tidak menyukai Raja Pekan kerana pada hemat mereka Raja Pekan seorang pemerintah yang tidak amanah. Ketika menjawat jawatan sebagai Laksamana, Raja Pekan telah menggunakan wang rakyat untuk membeli kelengkapan perang dengan harga yang mahal. Dipendekkan cerita, kelengkapan tersebut gagal berfungsi dan terbazirlah wang rakyat dengan begitu banyaknya. Perasaan meluat mereka semakin membuak apabila isteri Raja Pekan, Ros Mewah mula masuk campur dalam urusan hal ehwal negara. Ros Mewah telah menggunakan kedudukannya sebagai isteri pemerintah untuk menghabiskan wang rakyat dengan sewenang-wenangnya. Kesempatan yang ada telah digunakan untuk melancong dan memulakan projek merosakkan akhlak remaja. Entah mengapa, masih ramai rakyat yang menyayangi Ros Mewah, si korup tua. Mungkin kerana rakyat tidak begitu mengetahui apakah tindakan Ros Mewah yang telah merosakkan khazanah negara.

Semakin lama penyokong Hang Pauh semakin ramai. Raja Pekan merasakan kedudukannya semakin tergugat. Majoriti rakyat di empat buah negeri di bawah pemerintahan Raja Pekan iaitu Negeri Selangok, Negeri Ke Belum, Negeri Pulau Tiang dan Negeri Ke Lantang sudah menyebelahi Hang Pauh. Raja Pekan mula merancang sesuatu untuk mengurangkan pengaruh Hang Pauh. Setelah berbincang dengan para menterinya, maka terhasillah satu rancangan durjana yang boleh mencalarkan imej Hang Pauh. Rancangan tersebut ialah mengupah seorang lelaki belia untuk mengaku pernah mengadakan hubungan sejenis dengan Hang Pauh. Sungguh jijik rancangan mereka. Tidak pernah sejarah dunia mencatatkan fitnah yang sejelek demikian.

Dalam diam-diam, Raja Pekan rupa-rupanya adalah seorang kaki perempuan. Beliau telah menjalin hubungan dengan seorang wanita dari negara sebelah timur, Magnolia. Wajah wanita tersebut mirip warga China dan namanya ialah Altaktanya. Mereka telah menjalin hubungan sehingga ke tahap bercuti bersama di sebuah negara sebelah barat, Parangcis. Perhubungan sulit ini akhirnya sampai juga ke pengetahuan Ros Mewah. Ros Mewah berasa sangat murka dan mengarahkan pasukan keselamatan negara membunuh Altaktanya secara rahsia. Maka berakhirlah riwayat Altaktanya yang telah dibunuh dengan kejam oleh pasukan keselamatan negara Malas Sia. Biarpun pembunuhan ini dirahsiakan, plot pembunuhan tersebut akhirnya diketahui jua oleh rakyat jelata. Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Ketidak stabilan politik negara Malas Sia telah diambil kesempatan oleh sebuah media tabloid, Wakaliks untuk menyebarkan fitnah berkenaan salah laku Hang Pauh dan pembunuhan Altaktanya. Raja Pekan telah mengambil kesempatan ini dengan menghebahkan kepada rakyat jelata bahawa kisah sumbang Hang Pauh ini bukan sahaja sensasi di dalam negara, malahan telah disebarkan ke seluruh dunia oleh Wakaliks. Anehnya, Raja Pekan hanya mensensasikan kisah salah laku Hang Pauh sahaja dan didiamkan langsung kisah pembunuhan Altaktanya yang digembar gemburkan oleh Wakaliks. Namun demikian, Hang Pauh tidak berdiam diri. Beliau seorang yang bijak. Hang Pauh dan konco-konconya mula menyebarkan maklumat berkaitan pendedahan Wakaliks ke atas pembunuhan Altaktanya kepada rakyat negara Malas Sia.

Hasilnya amat berbaloi. Rakyat mula termakan dengan pendedahan Wakaliks berkenaan pembunuhan Altaktanya. Raja Pekan mula berasa tidak senang. Beliau mengarahkan konco-konconya membuat liputan akhbar bahawa kesemua laporan Wakaliks adalah tidak berasas sama sekali, termasuk kes salah laku Hang Pauh. Raja Pekan menambah lagi laporan Wakaliks tidak mempunyai sebarang fakta untuk menyokong pendedahan mereka. Hang Pauh tertawa sendirian kerana Raja Pekan ibarat menjilat ludahnya sendiri.

Saya ingin mengajak para pembaca berfikir tentang beberapa pengajaran yang dapat diambil daripada kisah ini.
  1. Jika anda seorang pemerintah, adakah anda akan berasa maruah negara anda tercalar dengan pendedahan kes sumbang salah seorang rakyat anda yang belum tentu kesahihannya?
  2. Jika anda seorang pemerintah, apakah anda akan mempertahankan maruah rakyat anda yang difitnah dengan begitu jijik sekali?
  3. Jika anda seorang pemerintah, tergamakkah anda menjatuhkan maruah rakyat anda sendiri? Dan soalan terakhir...
  4. Jika anda berada dalam situasi Hang Pauh, APAKAH PERASAAN ANDA???

Wallahu a'lam bis showaab...


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Wednesday, December 15, 2010

Cinta di Rumah Hassan Al Banna (part 1)

Nu'man ketika berusia 6 bulan di Genting Highlands

Seperti yang dijanjikan terdahulu, saya akan kongsikan beberapa kisah indah perihal rumahtangga As Syahid Hassan Al Banna yang boleh dijadikan teladan dan panduan. Kisah ini saya cedok daripada sebuah buku bertajuk Cinta di Rumah Hassan Al Banna tulisan Muhammad Lili Nur Aulia. Semoga dengan kisah-kisah ini akan menjadikan kita seorang murabbi yang tugasnya cemerlang bukan sahaja di kalangan masyarakat, tetapi juga di kalangan anak-anak kita sendiri.


Makan bersama menjadi keutamaan

Umum mengetahui jadual harian Hassan Al Banna sangat padat. Dalam masa 15 tahun selepas penubuhan Ikhwanul Muslimin, beliau telah berjaya melebarkan sayap jamaah tersebut di 20 buah negara. Di Kaherah sendiri, beliau berjaya menubuhkan 2000 cawangan ikhwan. Pun begitu, beliau masih sempat meluangkan masa untuk makan bersama-sama dengan anak-anaknya di rumah. Seorang puteri beliau, Tsana menceritakan Hassan Al Banna hanya tidur 4 jam sehari. Namun begitu, beliau tetap berusaha untuk makan bersama ahli keluarganya biarpun ada tetamu yang mengunjung.

Tiada kekerasan suara

Tsana bercerita, "Kami tidak pernah merasakan adanya beban kegiatan yang dirasakan ayah selama beliau di rumah. Misalnya, kami tidak melihatnya seperti kebanyakan orang yang kerap berteriak ataupun bersuara keras di dalam rumah kerana ingin melepaskan tekanan mental dan fizikalnya setelah banyak melakukan aktiviti di luar rumah. Bahkan yang paling penting dalam kehidupan ayah adalah soal menguruskan keluarga. Jika saudara baca bagaimana peri kehidupan ayah, saudara akan lihat semuanya berlaku sesuai seperti apa yang dicontohkan oleh Rasulullah."

Bangunkan aku tujuh minit lagi

Biarpun sibuk dengan urusan dakwah, Hassan Al Banna tetap akan meluangkan masa untuk bercuti bersama anak-anaknya. Bagaimana caranya? Wafa, puteri sulong Hassan Al Banna (yang juga isteri kepada Syeikh Ramadhan al Bouti yang masyhur dengan karangan Fiqh Sirahnya) bercerita,

"Misalnya pada musim panas, ayah akan mengatur perjalanan (urusan dakwah) ke arah utara dan pada musim sejuk ke arah selatan. Itu dilakukan supaya ayah boleh memanfaatkan waktu cuti di musim panas untuk pergi dan singgah dari satu kampung ke satu kampung."

"Ayah lebih suka pergi ke arah selatan ketika musim dingin kerana dia boleh pergi dan pulang pada hari yang sama. Ayah pergi pada waktu pagi dan pulang ke rumah untuk makan tengah hari bersama-sama kami. Kadang-kadang dia berehat sebentar di rumah."

Sampai satu ketika, Wafa bercerita Hassan Al Banna telah memintanya untuk dikejutkan selepas tidur selama 7 minit. Wafa mengatakan,

"Saya menyiapkan minuman untuknya. Tetapi ketika selesai membuat minuman, saya sudah melihat ayah di samping saya dan bertanya, 'Sedang membancuh minuman ya, Wafa?' Ayah sangat mampu mengurus dirinya dan selalu disiplin terhadap dirinya."

Saiful Islam, satu-satunya putera Hassan Al Banna pula bercerita,

"Ayah akan menggantikan waktu yang dikhususkan untuk kami dengan waktu lain apabila dia harus bermusafir. Tetapi dalam hal ini, ayah mempunyai keistimewaan. Kamu boleh sahaja duduk bersamanya selama dua jam, dan ternyata itu sudah mampu memuaskan hatimu."


Ingin tahu tentang masa kecilku?

Hassan Al Banna sentiasa mengemaskini rekod kesihatan dan pelajaran anak-anaknya. Beliau telah mengkhususkan fail untuk setiap anak-anaknya. Fail tersebut mengandungi,

  • Tarikh dan sejarah kelahiran
  • Nombor kelahiran
  • Jadual pemberian ubat dan makanan
  • Surat keterangan doktor
  • Keterangan ataupun catatan mengenai keadaan penyakit secara terperinci
  • Ijazah anak-anak
  • Catatan prestasi anak-anak di sekolah
Setiap laporan kesihatan disertakan dengan catatan kecil mengenai keadaan si anak. Antaranya keterangan mengenai berapa lama si anak mengambil ubat, berapa dos ubat yang perlu diambil dan apakah semua ubat yang diberikan sudah diminum semuanya.

Tsana bercerita dalam fail tersebut tersimpan rapi semua ijazah dan laporan anak-anaknya.

"Ayah meletakkan di bahagian paling utama, dengan beberapa catatan yang ditulisnya sendiri. Misalnya, tulisan ayah mengenai laporan dan ijazah Saiful Islam, ditulisnya, 'Saif perlu peningkatan dalam hal itu dan ini...Wafa perlu dibantu dalam mata pelajaran ini...'. Demikian catatan demi catatan itu ditulis oleh Hassan Al Banna untuk satu persatu anak-anaknya."

"Ayah juga telah menghantar seorang ikhwah untuk menemani kami membeli beberapa keperluan persekolahan."


Ayah membawa bekal ke sekolah

Seorang lagi puteri Hassan Al Banna, Ir. Roja bercerita,

"Saya masih ingat, ayah biasa membawakan makanan pagi ke taman didikan kanak-kanak, ketika usiaku masih lima tahun. Hal ini kerana perhatiannya kepadaku begitu besar agar saya dapat makan pagi. Ketika itu saya memang sering lupa membawa roti untuk makan pagi ke sekolah, ataupun makanan saya diambil oleh teman-teman di sekolah. Ayah berusaha membawakan makan pagi itu setiap hari ke sekolah, meskipun saya tahu kesibukannya yang luar biasa. Tetapi ayah tetap tidak melupakan kami.."


Apakah keperluan rumah bulan ini?

Saiful Islam berkata,

"Ayah menulis sendiri keperluan yang diperlukan keluarga setiap bulan. Ayah membayar keperluan itu setiap awal bulan kepada salah seorang ikhwah, iaitu al Haj Sayed Syihabudin, seorang pemilik kedai yang menyediakan keperluan rumah."


Ada wang saku harian, mingguan dan bulanan


Salah satu cara yang diterapkan oleh Hassan Al Banna untuk mendidik dan mendisiplinkan anak-anaknya adalah dengan memberikan tiga kategori wang belanja kepada anak-anaknya:

  • wang harian 3 qirsy
  • wang mingguan 10 ma'adin
  • wang bulanan 50 qirsy
Maksud pembahagian wang ini adalah untuk memberikan kecukupan kepada anak-anaknya. Saiful Islam bercerita,

"Saya masih ingat setiap orang daripada kami mendapat wang setiap hari pada tahun 1942 dan 1943 sebanyak 3 qirsy. Ini jumlah yang besar ketika itu. Kerana teman-teman sekolah saya pada ketika itu umumnya mendapat wang hanya satu per empat qirsy ataupun setengah qirsy sahaja."

Ketika ditanya mengapa Hassan Al Banna memberikan wang saku yang banyak kepada anak-anaknya, Saiful Islam menjawab,

"Dia hanya ingin memberikan kepuasan kepada kami, kerana perasaan seorang anak yang tidak mendapat sesuatu itu baginya sangat sulit."

Saiful Islam juga ditanya apakah wang belanja yang banyak itu akan merosakkan anak-anak? Ini kerana ramai orang khuatir untuk memberikan wang kepada anak dalam jumlah yang besar agar mereka tidak menyalahgunakan wang pemberian itu. Saiful Islam menjawab,

"Pendidikan dan tarbiah dihasilkan daripada berbagai-bagai cara. Seperti masakan yang menggunakan sejumlah adunan dengan bahan-bahan yang baik. Itu akan memberikan hasil yang bersih. Yang penting bukan pada jumlah wang belanja itu besar ataupun kecil, tapi yang penting adalah pola pendidikan dan pembinaan yang dilakukan di rumah."


Ayah mengutuskan pengintip

Anak-anak Hassan Al Banna dibiasakan untuk selalu berinfaq. Dengan demikian, anak-anaknya akan menjadi seorang pemberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain, untuk bangkit dan maju bersama-sama dengan umatnya. Saiful Islam berkata mengenai hal ini,

"Ayah memberikan kami 10 ma'adin untuk kami infaqkan semuanya pada setiap hari Jumaat, selepas solat Jumaat. Ayah tidak pernah lupa dengan kebiasaan ini. Saya mengerti juga akhirnya, ternyata ayah mengutuskan seorang ikhwan untuk mengintip bagaimana saya menginfaqkan wang pemberian itu, sehingga ayah merasa tenang dengan penggunaan wang yang diamanahkan kepada saya."


Nilai hidup ini ada pada keimanan

Saiful Islam masih ingat kata-kata Hassan Al Banna yang didengarnya,

"Jika kamu melihat seorang mukmin yang betul orientasi hidupnya, pasti dia juga memiliki banyak faktor kejayaan dalam hidupnya."

"Saya masih ingat ketika di bangku sekolah rendah, ayah berkata, 'Setiap orang harus menguasai sesuatu bidang. Dahulu, datuk berjaya menguasai ilmu pembaikian jam'. "

"Lalu suatu ketika di musim cuti panas, saya diajak pergi ke sebuah syarikat percetakan milik Ikhwanul Muslimin. Ayah meminta seorang temannya, al akh Sayyid Thaha untuk mengajar saya proses percetakan. Saya tahu itu dilakukan ayah kerana ayah ingin menerapkan sunnah Rasulullah,

"Sesungguhnya Allah SWT mencintai seorang mukmin yang kreatif."


Menasihati secara tidak langsung

Tsana menceritakan,

"Saya masih ingat ketika Saiful Islam masih suka membaca komik. Tetapi ayah telah memberikan kepadanya buku-buku berkaitan kisah-kisah kemuliaan Islam seperti Salahuddin Al Ayyubi dan Antarah bin Syadad. Selepas beberapa lama, dia sendiri meninggalkan buku Arsin Lobin dan sebaliknya lebih banyak dan gemar membaca buku-buku pemberian ayah. Ayah suka mengarahkan kami secara tidak langsung agar apa yang kami lakukan itu terbit daripada diri sendiri, bukan daripada perintah ataupun tekanan sesiapa."

bersambung...

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)