Wednesday, November 30, 2011

Perginya nenek...

"Kong kong kong", batukku masih belum menampakkan tanda-tanda akan kebah. Sudah 3 minggu ianya berlarutan. Bermula dengan demam, disusuli dengan selsema dan diikuti dengan batuk. Namun yang menghilang hanya demam dan selsema. Batuk masih kekal setia. Dua botol ubat batuk sudah habis ditelan. Saya bertanya kepada isteri sama ada perlu saya ke hospital pakar untuk mendapatkan rawatan lanjutan. Isteri saya bersetuju kerana batuk saya semakin teruk. Malah sakitnya sudah merebak ke dada dan pinggang. Tidak pernah saya rasakan batuk yang seazab ini.

Waktu masih awal lagi. Rancangan saya ialah ke hospital KPJ pada waktu pagi. Jangkaan saya rawatan akan selesai sementelah waktu tengahari. Justeru, saya boleh terus menuju ke Kolej Matrikulasi N.Sembilan di Kuala Pilah untuk bertemu anak usrah di sana. Sudah 3 minggu tidak bertemu mereka gara-gara minggu peperiksaan dan cuti semester. Rindu benar rasanya hendak bertemu mereka. Saya terus memandu ke KPJ sekitar jam 9 pagi. Tiba di pintu kecemasan pada jam 9.30 pagi dan terus diberikan rawatan. Beberapa soalan diajukan untuk mengetahui susur galur batuk saya. Sudah berapa lama? Berkahak atau tidak? Apa warna kahak? Malah, kaki saya juga diperiksa. Mungkin untuk melihat tanda-tanda tibi agaknya. Aneh.

Setelah soalan habis ditanya, darah saya pula diambil untuk dihantar ke makmal. Seterusnya, saya diberikan 'nebulizer' untuk melancarkan pernafasan saya. Berbentuk cecair dan dialirkan melalui tong gas oksigen. Saya perlu menyedutnya dengan menggunakan 'topeng' mirip seperti penyelam skuba. Sedikit rasa lega saya rasai pada dada yang awalnya terasa sempit.

"Ting"...Saya mengerling ke arah Blackberry yang saya letakkan di atas meja. Bunyi tersebut memang khas saya letakkan sebagai mesej daripada isteri saya sahaja.

"Nenek sdg tenat kat spital. BP 50/20"

Serta merta anak mata saya membuntang. Saya perlu segera keluar dari KPJ menuju ke Hospital Tuanku Jaafar. BP 50/20 terlalu rendah dan boleh hilang sedar pada bila-bila masa.

"Nurse...nurse...", saya mula menjerit tak tentu hala.

"Saya kena keluar sekarang. Nenek saya sedang tenat".

Jururawat kelihatan serba salah. Terus dia menuju ke arah doktor meminta pandangan. Doktor hanya mengangguk tanda setuju.

"Nanti encik datang sini semula bila dah selesai".

"OK, insya Allah", tanpa memandang ke arah jururawat, saya terus menghantar SMS kepada isteri supaya tunggu di rumah kerana saya akan menjemputnya. Isteri saya membalas dia sudah pun dalam perjalanan untuk menjemput saya. Sambil menunggu ketibaan isteri, saya menghantar SMS kepada anak usrah yang perjumpaan tengahari tersebut terpaksa dibatalkan. Diri saya mula dibelenggu rasa bersalah. Malam tadi ada terlintas di hati ingin melawat nenek di rumah makcik saya. Melihat isteri yang keletihan dan anak-anak yang sudah termanggu mengantuk, saya membatalkan niat saya. Tambahan pula, pakcik saya ada memaklumkan yang kesihatan nenek semakin pulih. Sebelum ini, nenek telah dimasukkan ke hospital kerana pendarahan usus.

Sejurus kereta isteri tiba di pintu masuk hospital, saya terus melompat masuk. Hati tidak tenteram dan dada semakin sesak. Saya menghantar SMS kepada sepupu saya bertanyakan wad nenek. Jawapan yang diterima, nenek ditempatkan di zon kecemasan. Tiba di hospital, saya terus turun dari kereta sementara isteri saya mencari parkir yang berdekatan. Kelihatan makcik dan pakcik saya sedang menunggu di luar zon merah sambil membaca surah yasin. Mak kelihatan sedang berbual dengan sepupu perempuan saya. Abah pula ke surau bersolat hajat. Saya bertanya kepada mak di mana nenek. Mak hanya memberitahu nenek di dalam zon merah dan kami tidak dibenarkan masuk. Saya mula tidak keruan. Ini bukan petanda baik.

Saya bertanya kepada sepupu lelaki saya apa yang terjadi kepada nenek. Katanya, ketika waktu Subuh, makcik yang menjaga nenek saya masuk ke bilik nenek untuk membantunya mengambil wudhuk. Nenek sudah tidak berdaya untuk berjalan kerana faktor usia yang sudah mencecah 80 tahun. Apabila suis lampu ditekan, makcik saya terkejut tak terkata. Darah mengalir dengan banyaknya dari kain nenek memenuhi bilik. Malah menembusi tilam. Makcik saya segera menelefon anaknya yang sulong untuk menghantar nenek ke hospital. Oleh kerana jaraknya agak jauh, makcik saya juga menelefon hospital untuk mendapatkan khidmat ambulans. Dari situ, nenek ditempatkan di zon merah hinggalah sekarang.

"Cik Adam dah tahu?" saya bertanya kepada mak. Mak menjawab yang sepupu lelaki saya telah menelefon pakcik saya bernama Adam di Australia tentang keadaan nenek. Kira-kira seminggu sebelum itu, pakcik saya bernama Baharudin telah menawarkan tiket penerbangan kepada adik beradik ibu saya untuk bercuti di Perth, Australia. Antara yang bersetuju menerima pelawaan tersebut adalah adik ibu saya yang bernama Adam dan empat orang lagi adik beradik. Ibu saya mempunyai 10 orang adik beradik. Yang masih hidup hanya 9 orang. Ketika nenek nazak, hanya ada ibu saya, 2 orang kakaknya (salah seorangnya sempat pulang dari Australia beberapa hari lebih awal) dan seorang abangnya sahaja yang berada di sisi nenek. Saya bertanya kepada ibu saya adakah Pakcik Adam mengetahui hal ini kerana itulah anak kesayangan nenek saya.



Kira-kira sejam kemudian, keluar seorang doktor ingin berjumpa dengan anak-anak nenek. Masing-masing kelihatan pucat lesi. Apakah nenek sudah tiada? Doktor memberitahu keadaan nenek mula menampakkan perubahan yang baik. BP telah meningkat kepada 90/60. Terdapat sedikit kuning pada mata nenek. Doktor sendiri tidak pasti mengapa nenek boleh terkena jangkitan kuning. Doktor mula membenarkan waris untuk menziarahi nenek di zon merah. Namun terhad seorang setiap masa. Saya sempat bersendirian dengan nenek. Itulah kali terakhir saya menatap wajah nenek dalam keadaan beliau masih sedar. Itulah kali terakhir nenek bersuara pada saya. Namun perkataannya tidak jelas kerana beliau tidak mampu membuka mulut. Saya hanya mengangguk sahaja. Oleh kerana masih ramai sepupu dan menantu nenek yang ingin menatap nenek, saya membataskan masa hanya selama 3 minit sahaja. Sebelum meninggalkan nenek, salah seorang doktor bertanya adakah saya anak nenek. Saya menjawab saya adalah cucu nenek. Namun, saya boleh mengagak yang doktor perlukan waris yang mempunyai latar belakang bidang perubatan. Dengan pantas saya menyambut yang isteri saya adalah seorang doktor jika perlukan bantuannya. Doktor tersebut tersenyum lega mendengar kata-kata saya.



"Ya boleh juga"


Saya segera menuju ke arah isteri saya dan memintanya masuk ke dalam zon merah. Kira-kira hampir seminit doktor tersebut menyoal isteri saya, isteri saya segera keluar mencari makcik saya mengetahui sejarah kesihatan nenek saya. Isteri saya dan makcik berjalan pantas menuju ke zon merah. Kesemua waris yang hadir kelihatan cemas. Jam sudah menunjukkan pukul 2.45 petang. Nenek sudah berada di dalam zon merah sejak jam 7 pagi tadi. Lebih 7 jam beliau bersabung nyawa. Tidak lama kemudian isteri saya dan makcik keluar dari zon merah dengan wajah yang sugul. Doktor memberitahu isteri saya ahli keluarga mempunyai pilihan sama ada nenek diberi bantuan pernafasan melalui mesin atau membiarkan beliau meninggal secara perlahan-lahan. Kesemua adik beradik ibu saya tidak mampu untuk berfikir ketika itu. Semuanya menyerahkan kepada isteri saya untuk membuat keputusan kerana dia lebih arif dalam bidang perubatan. Isteri saya membuat keputusan untuk membantu nenek berjuang melawan maut. Bantuan mesin pernafasan. Itulah jawapan isteri saya kepada doktor dengan yakin. Isteri saya dan makcik menyusul doktor untuk masuk menjenguk nenek. Tidak sampai seminit, isteri saya dan makcik keluar semula.



Isteri saya kelihatan cemas, manakala makcik saya pula sudah mula menangis. Nenek sudah tidak sedarkan diri. Doktor yang merawat nenek keluar bertemu kami sekeluarga. Katanya nenek sudah tidak sedarkan diri dan CPR akan diberi selama 30 minit. Isteri saya terus memandang ke arah saya. Dengan wajah yang sedih, isteri saya menggelengkan kepala. Saya faham maksudnya. Mengikut pengalamannya, jika tidak sedarkan diri dan CPR dilakukan selama 30 minit, peluang untuk hidup amat tipis. Terus kami sekeluarga mengalirkan air mata. Kelihatan beberapa orang doktor bergilir-gilir melakukan CPR kepada nenek. Kami pasrah dan hanya menunggu masa doktor mengumumkan kematian nenek. Ketika itu, saya masih belum menunaikan solat Zohor lagi. Saya segera menuju ke surau berdekatan untuk menunaikan tanggungjawab. Dalam keadaan sayu dan penuh pengharapan, saya berdoa kepada Allah supaya dipanjangkan umur nenek. Lumrah alam menunjukkan nenek sudah tiada harapan lagi. Tetapi saya tetap ingat yang menjayakan harapan adalah Pencipta alam.



Selesai menunaikan solat, saya menuju ke zon merah semula. Isteri saya memberitahu yang ahli keluarga telah sepakat untuk meminta doktor memberhentikan CPR selepas 15 minit mencuba. Kali ini kami benar-benar menunggu pengumuman daripada doktor sahaja. Kami semua dibenarkan untuk menziarahi nenek buat kali terakhir. Ternyata nenek sudah tidak sedarkan diri dan denyutan jantungnya sangat perlahan. Kira-kira jam 3.15 petang, doktor mengisytiharkan nenek sudah meninggal dunia. Kami pasrah dan telah pun bersedia menerima berita tersebut. Nenek memang seorang pejuang. 8 jam lamanya nenek bertarung nyawa sebelum tewas.



Pada saya, nenek seorang individu yang sangat baik. Sepanjang 29 tahun hidup bersamanya, saya tidak pernah mendengar nenek meninggikan suara kepada anak mahupun cucunya. Kerana itulah pemergiannya amat kami rasai. Nenek punya keluarga yang besar. Beliau mendirikan rumah tangga seawal usia 17 tahun. Punya 10 orang anak. Anak keduanya meninggal ketika berusia 22 tahun kerana leukimia. Ditambah lagi dengan 15 cucu lelaki dan 13 cucu perempuan. Cicitnya pula seramai 13 orang. Memang meriah tak terkata tatkala menyambut hari raya. Terus terang saya katakan saya bukanlah cucu yang paling rapat dengan nenek. Tetapi saya sangat menyayangi nenek. Saya bukan jenis individu yang suka meraih perhatian. Ada antara sepupu saya yang memiliki keistimewaan tersendiri. Ini menyebabkan nenek menyayangi mereka lebih sedikit daripada yang lain. Dan saya tidak pernah kisah dengan hal tersebut kerana saya tahu nenek tetap menyayangi kesemua cucunya. Ada antara sepupu saya merupakan anak kacuk dengan warga Australia. Wajah mereka yang cantik dan menarik menjadi tarikan kepada nenek. Jarang pulang ke tanah air juga menjadi punca mengapa nenek melebihkan mereka. Ada juga cucu-cucu yang sangat rajin berbanding kami semua. Anak Mak Tam dididik rajin berkemas dan menjaga kebersihan, termasuklah anak-anak lelaki. Setiap kali kenduri, merekalah yang paling rajin membantu. Ini juga menyebabkan nenek kasihkan mereka.

Kini nenek sudah tenang di alam barzakh. Rumahnya di kampung sunyi tak berpenghuni. Saya hanya sempat merenung rumah lama itu sebelum pulang ke Seremban. Terlalu banyak kenangan di zaman kanak-kanak di sini. Sebuah lagi rumah kampung yang unik akan menyembah ke bumi. Alangkah sedihnya rasa di hati.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

An Nu'man bin Muqarrin Al Muzani

Kabilah Muzainah membuat penempatan mereka berhampiran Yathrib. Kampung mereka berada di pertengahan jalan Madinah dan Makkah. Pada suatu malam, ketua kaum itu, An Nu'man bin Muqarrin berhimpun bersama adik beradiknya dan juga syuyukh kabilah di tempat perkumpulan mereka.

"Wahai kaumku, Demi Allah! Kita tidak mengetahui mengenai Muhammad melainkan yang baik belaka. Kita juga tidak dengar mengenai seruannya melainkan seruan rahmat, kebaikan dan keadilan. Kenapalah kita masih berlengah sedangkan orang lain bersegera menemuinya?"

Ketika itu kaum Muzainah baru mendapat berita tentang penghijrahan Rasulullah ke Madinah.

"Saya telah berazam untuk pergi menemuinya pada pagi esok. Sesiapa yang ingin bersama saya, hendaklah dia membuat persiapan".

Kata-kata Nu'man itu tepat menyentuh lubuk hati kaumnya. Menjelang waktu pagi, beliau dapat 10 saudaranya dan 400 pahlawan Muzainah telah pun siap untuk bersama beliau menuju ke Yathrib. Tujuan mereka adalah untuk bertemu Rasulullah dan memeluk agama Islam. Cuma Nu'man berasa malu untuk berangkat tanpa membawa hadiah untuk diberikan kepada baginda. Kemarau yang mereka hadapi telah memusnahkan tanaman dan ternakan. Beliau hanya dapat mengumpulkan beberapa anak kambing dan dipersembahkan kepada baginda.

Yathrib gempar dan bergegar dengan kegembiraan keislaman Bani Muzainah. Tidak pernah berlaku dalam mana-mana rumah Arab sebelum itu, 11 bersaudara daripada seorang ayah dan 400 pahlawan memeluk Islam secara serentak. Rasulullah terlalu gembira dengan keislaman Nu'man. Allah SWT telah menerima pemberiannya yang sedikit itu dan menurunkan ayat mengenainya.

"Dan sebahagian dari orang-orang Arab itu ada yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan memandang apa yang mereka dermakan (pada jalan Allah itu) sebagai amal-amal bakti (yang mendampingkan) di sisi Allah dan sebagai (satu jalan untuk mendapat) doa daripada Rasulullah (yang membawa rahmat kepada mereka). Ketahuilah, sesungguhnya apa yang mereka dermakan itu adalah menjadi amal bakti bagi mereka (yang mendampingkan mereka kepada Allah). Allah akan masukkan mereka ke dalam rahmatNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampung, lagi Maha Mengasihani" (At Taubah: 99)

Sebelum peperangan al Qadisiyyah meletus, Sa'ad bin Abi Waqqas telah menghantar utusan kepada Kisra Yazdajurd yang diketuai oleh An Nu'man bin Muqarrin. Kisra bertanya kepada rombongan tersebut mengapa mereka datang dan mahu menyerang Parsi. Kisra menyangka tentera Islam mahu menyerang Parsi kerana selama ini Parsi tidak menunjukkan kekuatannya yang sebenar. Kisra dengan angkuhnya menyatakan Parsi tidak mahu menggunakan kekerasan ke atas tentera Islam. Nu'man menjawab setelah dimulai dengan kata-kata memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah,

"Allah telah merahmati kami dengan mengutuskan kepada kami seorang Rasul. Baginda telah menunjuk dan memerintahkan kami melakukan kebaikan. Baginda juga mengajar kami mengenali kejahatan dan melarangnya. Baginda juga telah berjanji kepada kami, jika kami menerima seruannya, Allah akan memberi kebaikan di dunia dan di akhirat kepada kami. Dalam masa sekejap sahaja, Allah telah menukarkan kesempitan kami menjadi luas, kehinaan menjadi mulia, permusuhan menjadi persaudaraan dan kasih sayang. Baginda memerintahkan kami supaya mengajak manusia kepada agama yang membawa kebaikan kepada mereka. Dan agar kami memulakannya dengan mereka yang berdekatan. Oleh itu, kami mengajak kamu masuk ke dalam agama kami. Ia sebuah agama yang menghukum baik kesemua perkara baik dan menggalakkannya. Ia juga menghukum buruk kesemua perkara buruk dan menegahnya.

Agama ini mengeluarkan penganutnya dari kegelapan dan kezaliman kufur kepada cahaya dan keadilan iman. Jika kamu menerima seruan kami kepada Islam, kami akan tinggalkan kitab Allah kepada kamu. Kemudian kami tugaskan kamu melaksanakannya dengan kamu berhukum dengan hukum hakamnya. Setelah itu, kami pulang meninggalkan kamu dengan urusan kamu. Jika kamu enggan memeluk Islam, kami akan mengambil jizyah daripada kamu dan melindungi kamu. Jika kamu enggan membayar jizyah, maka kami akan memerangi kamu."

Mendengar kata-kata An Nu'man, kemarahan Yazdajurd menjadi menyala-nyala. Beliau lantas menengking,

"Sesungguhnya beta tidak mengetahui suatu bangsa pun di muka bumi ini yang lebih sengsara dan sedikit bilangannya daripada kamu. Tiada bangsa yang sangat kuat berpecah dan teruk keadaannya berbanding kamu. Kami dulunya menyerahkan urusan kamu kepada para pegawai tadbir di perbatasan. Mereka mendapatkan kepatuhan kamu untuk kami."

Kemudian beliau mengendurkan sedikit suaranya yang keras,

"Jika kamu datang ke sini kerana keperluan hidup, kami akan bekalkan makanan asasi kepada kamu sehinggalah negeri kamu kembali subur. Kami berikan juga pakaian kepada pemimpin dan pemuka kaum kamu. Dan seterusnya kami lantik seorang raja mewakili pihak kami yang bersikap lembut kepada kamu."

Namun utusan Islam tetap berkeras dengan ajakan Islam kepada bangsa Parsi. Yazdajurd semakin marah,

"Jika bukan kerana para utusan tidak dibenarkan untuk dibunuh, nescaya beta telah bunuh kamu"

"Bangun semua. Tiada habuan untuk kamu di sisiku. Beritahu panglima kamu, beta akan utuskan Rustum kepadanya. Dia akan menguburkan kamu semua di dalam parit al Qadisiyyah", ujarnya lagi.

Kemudian Kisra bertitah untuk dibawakan sebeban tanah. Beliau dengan angkuhnya mengarahkan tanah tersebut dipikul oleh orang yang paling mulia di kalangan utusan tentera Islam tersebut. 'Asim bin Umar telah memikul beban tanah tersebut keluar dari kota Parsi tersebut dengan penuh keyakinan yang kota itu akan jatuh ke tangan kekuasaan Islam. Maka berlakulah Perang Qadisiyah dan parit tersebut dipenuhi dengan bangkai mayat tentera Parsi.

Pun begitu, tentera Parsi tidak berdiam diri dan telah menghantar seramai 150 ribu tentera untuk membalas dendam atas kekalahan dalam Perang Qadisiyah. Saidina Umar al Khattab maklum akan bilangan tentera Parsi yang akan menggempur pasukan Islam. Beliau berhajat untuk turut serta dalam peperangan kali ini. Walau bagaimanapun, para sahabat tidak bersetuju beliau turut serta demi menjaga kepimpinan di Madinah. Lalu Saidina Umar mengutuskan orang yang lebih tangkas daripada tombak untuk memimpin bala tentera, iaitu An Nu'man bin Muqarrin.

"Daripada hamba Allah, Umar bin al Khattab kepada An Nu'man bin Muqarrin.
Amma ba'du!

Sampai kepada saya berita, tentera a'jam (Parsi) yang ramai telah berkumpul di bandar Nahawand untuk menyerang kamu. Oleh itu, apabila surat saya ini sampai kepadamu, bertolaklah bersama tentera Islam untuk menentang mereka dengan perintah Allah, pertolongan dan kemenangan daripadaNya. Janganlah kamu menempatkan tentera Islam di kawasan yang kasar dan tidak rata. Kamu akan menyakiti mereka. Sesungguhnya seorang lelaki Islam lebih saya kasihi daripada 100 ribu dinar. Salam sejahtera ke atas kamu."

Nu'man telah menghantar pasukan pengintip untuk meninjau keadaan jalan yang akan dilalui. Apabila menghampiri Nahawand, kuda mereka terhenti. Mereka cuba mendorong kuda mereka untuk maju, tetapi tidak berhasil. Mereka turun dari kuda dan mendapati serpihan besi seperti kepala paku terpacak di tapak kaki kuda mereka. Rupa-rupanya tentera Parsi telah menabur duri-duri besi di semua jalan yang menuju ke Nahawand. Mereka mahu menghalang tentera Islam daripada sampai ke bandar tersebut.

Nu'man mengarahkan tentera Islam supaya tidak berganjak. Mereka diarahkan menyalakan api pada waktu malam supaya dapat dilihat musuh. Pada masa yang sama mereka juga diarahkan supaya nampak takut dan gerun kepada musuh. Ini bertujuan supaya tentera Parsi merasa yakin dan menyerang tentera Islam terlebih dahulu. Apabila musuh menyerang tentera Islam terlebih dahulu, paku-paku yang ditabur akan dibersihkan. Ini akan memudahkan tentera Islam berperang tanpa sebarang gangguan. Umpanannya menjadi dan sekali lagi tentera Islam mencapai kejayaan.

Sebelum peperangan meletus, Nu'man berpesan kepada tenteranya yang beliau akan bertakbir sebanyak 3 kali sebagai tanda peperangan akan bermula. Apabila laungan takbir pertama berkumandang, tentera Islam hendaklah bersiap sedia. Laungan takbir kedua menandakan tentera Islam hendaklah memegang senjata masing-masing. Laungan takbir terakhir bermakna serangan ke atas musuh bermula. Ramai jiwa yang terkorban. Darah membasahi medan peperangan. Ini menyebabkan kuda An Nu'man bin Muqarrin tergelincir lalu mati. Nu'man juga jatuh serta cedera parah dan akhirnya syahid. Saudaranya yang melihat tragedi itu terus mencapai panji dari jenazah Nu'man dan menutup jasadnya dengan kain supaya tidak diketahui oleh tentera Islam yang lain.

Kemenangan ini dinamakan Fathu al Futuh, iaitu ketua segala pembukaan (negara). Tatkala itu, tentera Islam tercari-cari di mana ketua panglima mereka. Maka tampillah saudara Nu'man dan menyingkap kain yang menutup satu jasad.

"Inilah ketua kamu, Allah telah menggembirakannya dengan kemenangan dan menyudahkan usianya dengan mati syahid".

Kisah ini dipetik dari buku bertajuk "Suwar min Hayaatis Sahaabah " - Gambaran Kehidupan Sahabat, tulisan Dr. Abdul Rahman Ra'fat al Basha


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Thursday, November 24, 2011

Tahniah semua...

Alhamdulillah, setelah lama tidak menulis, kini saya dianugerahkan Allah masa yang terluang sedikit untuk mencoret sedikit cetusan minda untuk dikongsi bersama. Tidak dinafikan juga perasaan malas yang sering melanda membuatkan jari saya terlalu berat untuk menaip di papan keyboard. Namun bagi saya, kepuasan menulis adalah satu nikmat yang pastinya saya syukuri. Jika tidak menulis dalam sebulan, hati saya akan merasa gelisah kerana tidak punya apa-apa untuk dikongsi bersama masyarakat di luar. Jika tidak berkongsi ilmu, sekurang-kurangnya saya dapat berkongsi perasaan saya. Salah satu perkara yang boleh menggembirakan saya adalah kejayaan pasukan bola sepak yang saya sanjungi. Sejak bulan lepas, hampir kesemua pasukan kegemaran saya mempamerkan aksi yang begitu cemerlang.

Bermula dengan kejayaan N.Sembilan menjulang Piala Malaysia buat kali ketiga dalam sejarah bola sepak, dituruti kejayaan Liverpool menewaskan Chelsea di Stamford Bridge dan akhir sekali kalungan pingat emas yang berjaya dituai oleh skuad Harimau Muda. Saya, juga seperti rata-rata pemerhati sukan bola sepak tanah air tidak meletak harapan yang tinggi kepada pasukan N.Sembilan untuk menjuarai piala kegilaan ramai tersebut. Semuanya adalah kerana prestasi yang kurang memberansangkan pasukan N.Sembilan dalam Liga Super serta rekod yang tidak begitu baik sepanjang pertemuan dengan pasukan Terengganu. Terengganu yang berbekalkan kemenangan ke atas Kelantan dan Selangor nyata nampak lebih yakin dan bersemangat untuk menjadi juara yang baru setelah tewas dalam aksi akhir Piala Malaysia sedekad yang lalu. Namun, beberapa hari sebelum perlawanan akhir berlangsung, mula kedengaran suara-suara sumbang yang merendah-rendahkan kemampuan pasukan N.Sembilan. Penyokong N.Sembilan juga ada yang berbuat demikian, namun bilangannya tidak ramai. Rata-rata penyokong N.Sembilan lebih suka menyebutkan keyakinan mereka untuk menang pada aksi final daripada mengutuk pasukan lawan. Mungkin orang pantai timur terlalu ghairah dengan kejayaan pasukan mereka layak ke final menyebabkan ada segelintir daripada mereka yang melampaui batas. Sejak dari itu, saya semakin yakin yang N.Sembilan pasti menang dalam perlawanan akhir nanti. Prinsip saya, sesiapa yang menganiaya pasti akan dianiaya akhirnya.

Saya hanya menyaksikan perlawanan final di kaca televisyen. Pada saya, mengapa dibazirkan bayaran bulanan pada Astro jika tidak menggunakannya? Namun, tiada salahnya bagi mereka yang menyaksikan perlawanan di stadium. Saya pasti mereka ke sana kerana sayangkan pasukan mereka dan tidak kurang juga untuk membantu kewangan persatuan bola sepak supaya sukan ini lebih maju setapak lagi. Babak separuh masa pertama bermula dengan baik. N.Sembilan kelihatan lebih mendominasi perlawanan dan beberapa cubaan hampir menerjah gawang gol. Babak separuh masa kedua pula berlangsung dengan hampir keseluruhan perlawanan dikuasai oleh Terengganu. Akhirnya gol yang ditunggu-tunggu muncul jua. Bezanya cuma gol tersebut dijaringkan oleh pemain Terengganu dan pemain N.Sembilan terkasima seketika. Hanya 3 pemain sahaja diperlukan untuk merobek gawang skuad Rusa.

Tiba ke minit 80, harapan semakin tipis. Terengganu menggandakan asakan dan serangan N.Sembilan nampak kurang menyengat. Tetapi, serangan yang kurang menyengat itulah yang menghangatkan suasana. Pemain sayap N.Sembilan yang cuba melorongkan bola kepada penyerang gagal disambar sesiapa dan menyebabkan penjaga gol Terengganu terkeliru sehingga membiarkan bola membolos gawang. Suasana di stadium kembali riuh dan penyokong N.Sembilan kembali bersemangat. Penyokong Terengganu mula menghangatkan keadaan. Ada yang memancarkan laser ke arah pemain N.Sembilan. Tidak kurang juga ada antara mereka yang membaling mercun. Lewat permainan, N.Sembilan menyumbat satu lagi gol yang bagi saya penuh dengan skil dan seni sukan bola sepak. Ketua pasukan N.Sembilan menyilang bola ke tengah kotak D dan disambut dengan sepakan gunting oleh penyerang N.Sembilan yang berasal dari Terengganu. Itulah pengakhirannya. Jelas pemain Terengganu kelihatan murung dan sedih. 10 tahun lamanya menunggu untuk beraksi di final dan akhirnya mereka pulang dengan pingat naib juara sahaja.

Ulasan saya, jelas kelihatan pemain Terengganu telah mengubah corak permainan mereka pada separuh masa kedua. Pada separuh masa pertama mereka lebih banyak menggunakan sayap untuk membawa bola masuk ke tengah kotak D. Menyedari hal ini, pemain tengah N.Sembilan turut turun membantu pertahanan bagi menutup ruang bola daripada sampai ke tengah kotak D. Malah dalam separuh masa pertama, pemain sayap N.Sembilan telah diturunkan sebagai wing back untuk menyekat kemaraan pemain sayap Terengganu. Jentera N.Sembilan pula banyak digerakkan oleh pemain tengah juga. Sejurus mendapat bola, pemain tengah akan menyimpan bola sebelum melorongkannya kepada wing back dan disilangkan ke tengah kotak D. Ini kerana kelebihan serangan N.Sembilan ialah menguasai bola tinggi. Penyerang N.Sembilan sangat mahir dengan tandukan untuk menjaringkan gol.

Babak separuh masa kedua melihatkan Terengganu mengubah taktik daripada menggunakan kelajuan pemain sayap kepada kelajuan penyerang. Taktik ini berhasil sehingga jaringan pertama tiba sekitar 15 minit babak kedua bermula. Bola banyak dilorongkan (thru pass) daripada tengah kepada penyerang. Hanya satu dua sentuhan dan terus dilorongkan kepada penyerang. Belum sempat N.Sembilan menyusun pertahanan mereka, serangan Terengganu sudah pun sampai ke hujung padang. Pun begitu, N.Sembilan tetap meneruskan taktik dan strategi mereka. Jurulatih seolah-olah merasa strateginya pasti akan menjadi biarpun tidak nampak langsung serangan N.Sembilan yang boleh menggugat penjaga gawang. Ternyata kesabaran membuahkan hasil. Terengganu leka menyerang sehingga pertahanan mereka pun ghairah naik ke atas. Kelalaian jelas menjadi sumbangan besar untuk N.Sembilan menjaringkan gol dan seterusnya mencipta kejayaan.

Itulah kegembiraan sementara bagi penyokong dan peminat pasukan N.Sembilan. Biarpun berjaya menggondol Piala Malaysia, ia belum cukup untuk menghalang bintang-bintang mereka daripada berhijrah ke pasukan lain untuk musim depan. N.Sembilan terpaksa bermula sekali lagi dengan pemain baru yang memerlukan masa untuk serasi sebelum menjadi gah semula. Kebijaksanaan jurulatih diharap mampu mencatur strategi yang ringkas namun boleh dilaksanakan dengan jayanya.



"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Monday, October 31, 2011

Ghazwah Bani Quraizah

Berlaku pada tahun kelima hijrah, tidak lama selepas berakhirnya Ghazwah Ahzab. Ketika saat-saat genting perang Ahzab berlaku, mereka membatalkan perjanjian bersama Rasulullah. Setelah berakhirnya perang Ahzab, Rasulullah merasakan kota Madinah mesti dibersihkan daripada anasir-anasir yang boleh membahayakan masa depan Islam. Al Bukhari meriwayatkan daripada Aisyah R.A bahawa apabila Rasulullah pulang dari Ghazwah Ahzab, baginda telah meletakkan senjata untuk mandi. Tatkala itu, datang Jibril menemui baginda dan berkata,





"Kamu telah meletakkan senjata? Demi Allah aku belum meletakkannya."





Baginda bertanya, "Di mana?"





Jibril menjawab, "Di sana". Seraya menunjuk ke arah Bani Quraizah.





Aishah berkata, "Maka Rasulullah keluar memerangi mereka."





Rasulullah mengarahkan seorang sahabat menyeru kepada para tentera supaya tidak menunaikan solat Asar kecuali setelah sampai di perkampungan Bani Quraizah. Kemudian baginda keluar bersama mereka. Panji-panji telah dibawa oleh Ali R.A. Tentera Islam yang menuju ke medan jihad berjumlah 3000 orang berserta 36 ekor kuda. Ketika Ali R.A. menghampiri kubu Bani Quraizah, dia telah mendengar mereka mengutuk Rasulullah dan isteri-isteri baginda. Beliau telah memberitahu kepada Rasulullah tentang hal tersebut dan melarang baginda daripada mendekati Bani Quraizah. Baginda menjawab, apabila Bani Quraizah melihat baginda, mereka tidak akan memperkata sesuatu yang buruk kerana sikap pura-pura dan mengampu mereka. Ternyata benar, apabila baginda mendekati mereka, mereka akan berpura-pura baik dengan Rasulullah.





Tentera Islam telah mengepung mereka selama 25 malam dan akhirnya mereka menyerah. Rasulullah telah memberikan amanah kepada Sa'ad bin Muaz, penghulu kaum Aus untuk mengadili mereka. Bani Quraizah merupakan sekutu kepada kaum Aus. Sa'ad telah menghukum pejuang-pejuang Bani Quraizah dibunuh, zuriat mereka dijadikan tawanan dan harta mereka dibahagi-bahagikan sesama tentera Islam. Dalam peperangan ini, turun ayat-ayat Al Quran yang menjelaskan pembelotan kaum Yahudi ke atas perjanjian dan sikap mereka yang tidak menolong orang Islam dalam perang Khandaq.





"Dan juga masa itu ialah masa segolongan di antara mereka berkata: "Wahai penduduk Yathrib, tempat ini bukan tempat bagi kamu (untuk berjuang di sini), oleh itu baliklah". Dan sebahagian daripada mereka pula meminta izin kepada Nabi (hendak balik) sambil berkata: "Sesungguhnya rumah-rumah kami memerlukan perlindungan", padahal ia tidak memerlukan perlindungan. Mereka hanya bertujuan hendak melarikan diri (dari berjuang menegakkan Islam). Dan kalaulah tempat-tempat kediaman mereka itu diserang oleh musuh dari segala penjurunya, kemudian mereka diajak berpaling tadah menentang Islam, sudah tentu mereka akan melakukannya, dan mereka tidak bertangguh lagi tentang itu melainkan sebentar sahaja. Padahal sesungguhnya mereka telah pun mengikat janji dengan Allah sebelum itu, iaitu mereka tidak akan berpaling undur (dari medan perang yang mereka hadiri). Dan (ingatlah) janji setia dengan Allah itu akan ditanya kelak (tentang penyempurnaannya). Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas sekalipun, maka kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup melainkan sedikit masa sahaja" (Al Ahzah: 13-16)





"Dan Dia menurunkan golongan Ahli Kitab (kaum Yahudi) yang membantu tentera musuh itu, dari benteng-benteng mereka (menyerah diri), setelah diisikanNya hati mereka dengan perasaan gerun. Lalu mereka diadili dan dijatuhkan (hukuman); sebahagian di antaranya kamu bunuh, dan sebahagian lagi kamu tawan. Dan Dia menjadikan kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta benda mereka, dan juga tanah-tanah (di negeri-negeri lain) yang belum kamu menjejaknya. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Al Ahzab: 26-27)











"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Ghazwah Bani Nadhir

Bani Nadhir merupakan salah satu ras Yahudi yang tinggal berjiran dengan kota Madinah. Mereka juga adalah sekutu Khazraj. Mereka telah melanggar perjanjian Piagam Madinah yang telah dimeterai setelah Rasulullah diangkat menjadi pemimpin Madinah. Ketika Rasulullah berada di perkampungan Bani Nadhir, baginda telah bersandar ke dinding rumah kaum itu. Bani Nadhir telah merancang suatu pakatan jahat dengan cubaan melontar batu dari atas rumah tersebut ke arah baginda. Namun baginda menyedari rancangan tersebut, lantas baginda bingkas bangun seolah-olah baginda teringat akan suatu keperluan yang mesti dilaksanakan dengan segera. Baginda segera menuju ke Madinah dan mengutuskan Muhammad bin Maslamah kepada Bani Nadhir:

"Kamu hendaklah keluar dari negaraku. Jangan kamu tinggal bersama-samaku di sini. Kamu telah cuba belot."

Baginda memberi mereka tempoh selama 10 hari untuk meninggalkan kampung tersebut. Bani Nadhir bersiap untuk meninggalkan kampung tersebut sehinggalah datang utusan Abdullah bin Ubai. Abdullah bin Ubai melarang mereka meninggalkan kampung tersebut dan menawarkan 2000 orang pengikutnya untuk mempertahankan mereka. Lantas mereka mengubah fikiran mereka dan bertahan di dalam kubu mereka. Mereka menghantar utusan kepada Rasulullah menyatakan yang mereka enggan keluar daripada kampung tersebut dan akan bertahan di dalamnya.

Rasulullah menugaskan Ali bin Abi Talib untuk membawa panji Islam. Malangnya, bantuan kaum munafik tidak tiba seperti yang dijanjikan. Tentera Islam telah mengepung kampung tersebut tetapi mereka tetap bertahan dengan penuh sabar. Akhirnya Rasulullah menebang pohon-pohon kurma di keliling kampung tersebut. Ketika itulah mereka mula menyerah kalah dan berjanji untuk keluar dari kampung tersebut. Rasulullah mengizinkan mereka meninggalkan kampung tersebut dengan beberapa syarat. Syarat-syarat tersebut ialah mereka hendaklah keluar tanpa senjata dan hanya dibenarkan membawa harta yang mampu dibawa oleh seekor unta sahaja. Bani Nadhir telah merobohkan rumah mereka sebelum meninggalkan kampung tersebut kerana tidak mahu tentera Islam mengambil harta mereka. Rasulullah telah menjamin darah mereka terpelihara dan tidak akan tertumpah walau setitik. Sebahagian mereka menetap di Khaibar, 100 batu dari Madinah. Ada juga yang menetap di Jarsh, selatan Syam. Namun hanya dua orang sahaja yang terselamat.

Surah Al Hasyr diwahyukan berkenaan dengan peperangan tersebut. Antaranya firman Allah Ta'ala:

"Dialah yang telah mengeluarkan orang-orang kafir di antara Ahli Kitab - dari kampung halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi Rasulullah. Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab) Allah. Maka Allah menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka, serta dilemparkanNya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri (dari dalam) sambil tangan orang-orang yang beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka insaflah dan ambillah pelajaran (daripada peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya. Dan kalaulah tidak kerana Allah telah menetapkan pengusiran (yang demikian buruknya) terhadap mereka, tentulah Dia akan menyeksa mereka di dunia; dan mereka pula akan beroleh azab seksa neraka pada hari akhirat kelak. (Mereka ditimpakan azab) yang demikian, kerana mereka menentang (perintah) Allah dan RasulNya. Dan (ingatlah), sesiapa yang menentang (perintah) Allah, maka sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya." (Al Hasyr: 2-4)

Seerah ini diambil daripada buku bertajuk "As seerah An Nabawiyyah: Duruus wa 'Ibr", tulisan Dr. Mustafa as Syibaie


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Thursday, October 27, 2011

Site visit di Sungai Karang

Di jeti Kampung Sungai Karang, Pontian, Johor


"Muhannad, awak tgk emel yg saya fwd dan arrange site visit"

"Baik bos", saya menjawab.


Lama rasanya saya tidak keluar out station. Asyik terperap dalam pejabat menyebabkan minda saya tidak berkembang. Di pejabat saya hanya menyemak design dan drawing sahaja. Jika di tapak, saya boleh melihat dan memahami kondisi projek dengan lebih realistik. Saya terus membalas emel daripada Jabatan Senggaraan Aset Johor Bahru dan meminta mereka menetapkan tarikh dan masa untuk site visit. Terus terang saya katakan, saya tidak pernah sampai ke kawasan yang dimaksudkan, Kampung Sungai Karang, Pontian. Paling hampir saya pernah sampai pun cuma di Bandar Pontian Kechil sahaja.


Keladak air parit yang bercampur dengan air sungai


Saya bertanya kepada rakan-rakan sepejabat yang berasal dari Johor berkenaan Kampung Sungai Karang. Jawab mereka, kawasan tersebut adalah berpaya dan perlu menaiki bot untuk ke menara talian atas. Yang lebih menggerunkan saya apabila mereka memberitahu saya pihak kontraktor pernah terjumpa bekas tapak kaki buaya. Seram sejuk saya mendengarnya. Seminggu kemudian saya berangkat ke Johor Bahru bersama seorang teman pejabat. Kami ke Johor Bahru dahulu kerana site visit hanya boleh dilakukan setelah mesyuarat kick off terlaksana. Saya bertolak dari Seremban jam 7 petang dan tiba di Johor Bahru sekitar jam 11 malam. Perjalanan menjadi 4 jam kerana kami singgah di Restoran Jejantas Ayer Keroh untuk menunaikan solat dan makan malam (termasuk window shopping di al Ikhsan hehe). Kami bercadang untuk bermalam di New York Hotel. Malangnya, hotel sudah pun penuh kerana terdapat pelancong luar negara yang bermalam di situ. Kami berpindah ke hotel yang lain (saya tidak ingat kerana sudah terlalu mengantuk) dan kesemua bilik juga sudah penuh ditempah. Akhirnya kami terpaksa bermalam di Thistle Hotel berhampiran Danga Bay. Tanpa mandi saya terus terbaring di atas katil dan tertidur sehingga masuk waktu subuh.


Menakutkan tak?


Keesokannya kami terus menuju ke pejabat TNB di Jalan Yahya Awal yang sekitar 5 minit sahaja daripada hotel tempat kami menginap. Kami diberi penerangan apa yang berlaku pada tapak menara di kampung tersebut. Didapati ada sebuah menara yang kakinya sudah tenggelam hampir 30 cm. Jabatan saya dikehendaki hadir untuk menilai sama ada keadaan menara tersebut kritikal ataupun tidak. Untuk ke lokasi, kami terpaksa ke Kampung Sungai Karang yang mengambil masa lebih sejam untuk tiba. Setelah itu kami perlu menaiki bot seawal jam 2 petang kerana itulah masa air pasang dan terus menuju ke menara tersebut. Pada awalnya bot kami mengalami masalah untuk dihidupkan. Bingung juga saya dibuatnya kerana saya perlu pulang ke Seremban pada malam itu juga. Alhamdulillah setelah 15 minit mencuba, enjin motobot berjaya dihidupkan. Ketika saya hendak turun dari jeti ke dalam bot, saya rasakan seolah saya sedang menggelongsor walhal saya tidak bergerak langsung. Rupa-rupanya papan di mana saya berpijak terjongket kerana pakunya sudah tercabut. Mujur rakan-rakan TNB sempat berpijak di atas papan yang berjongket tersebut. Kalau tidak, basah lencun bercampur bau air parit saya jadinya.


Air mula kelihatan bersih...semakin mendekati laut

Inilah kali pertama saya menaiki bot melalui kawasan hutan paya bakau. Sebelum ini saya hanya menaiki bot menyusuri sungai, tasik dan laut sahaja. Agak menyeramkan kerana hutan bakau yang tebal menyebabkan keadaan sekeliling nampak gelak. Tidak ubah seperti rancangan dokumentari National Geographic. Lebih kurang 15 minit kemudian barulah kami tiba di menara penghantaran yang mendap sebelah kakinya tersebut. Mendapan tersebut amat jelas kelihatan dan apabila diukur hampir mencecah 21 cm pergerakan tanah. Saya terus merakam gambar menara tersebut dan kawasan persekitaran sebagai rekod untuk saya sediakan laporan. Besar kemungkinan menara ini terpaksa diganti dengan menara yang baru di lokasi yang berhampiran


Setelah lebih sejam memeriksa keadaan menara, kami pulang semula ke jeti. Sepanjang sejam di menara tersebut kami cuba mencari mana-mana bahagian menara yang kelihatan bengkok. Terdapat 2-3 steel members yang kelihatan kritikal. Ketika dalam perjalanan pulang kami sempat memeriksa sebuah menara lain yang mengalami masalah tie beam patah. Kebanyakan tie beam yang masih elok terdapat kesan-kesan karat dari dalam. Ada kemungkinan air telah menyerap masuk ke dalam tie beam ini. Gambar diambil untuk direkodkan dan kami menyambung semula perjalanan pulang. Kami tiba di jeti sekitar pukul 4 petang. Kami terus ke pekan berdekatan untuk menikmati makan tengahari. Selesai makan tengahari, hujan turun dengan lebatnya. Ini menambahkan kebimbangan saya terhadap menara yang mendap tersebut. Khuatir juga hujan lebat boleh menyebabkan arus menjadi deras. Ini boleh merosakkan tie beam jika ianya sudah berkarat. Kami berhenti sebentar di RnR Machap untuk solat jamak Zohor dan Asar. Sementara menunggu hujan reda kami rehat sebentar sehinggalah masuk waktu Maghrib. Masuk sahaja waktu Maghrib, kami terus menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara jamak. Hujan masih belum reda. Namun, saya terpaksa balik ke Seremban malam ini juga. Kami meneruskan perjalanan dengan berhati-hati. Alhamdulillah kami tiba di Seremban sekitar 9.30 malam

Mendapan yang jelas kelihatan pada kaki kiri hadapan menara










Tie beam yang patah

Kesan karat jelas kelihatan dari dalam tie beam

Pulang ke jeti


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Monday, October 17, 2011

Terkenang la pulak...




Di belakang jejantas tersebut ialah Masjid Sultan Sulaiman. Asrama pelajar lelaki di sebelah kiri dan KISAS di sebelah kanan. Untuk ke sekolah, kami terpaksa menaiki jejantas. Gambar ini diambil setelah pulang daripada temuduga biasiswa Petronas ke universiti luar negara di KLCC (tahun 1999). Saya hanya berjaya mendapat biasiswa Petronas ke Universiti Teknologi Petronas sahaja.





Awal bulan ini saya telah diberi kesempatan untuk menghadiri kursus di Klang selama 2 hari. Apabila perkataan 'Klang' muncul, pastinya Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) adalah perkara pertama yang timbul di benak fikiran saya. Lazimnya apabila sesebuah tempat disebut, saya lebih mengingati fakta geografi dan sejarah berkenaan tempat tersebut. Namun begitu, hal ini berbeza dengan Klang, biarpun saya hanya sempat bermastautin di sana selama 2 tahun sahaja (1998-1999).




Seusai kursus, saya terus mengaktifkan GPS untuk mencari jalan menuju ke KISAS. Maklumlah, keadaan di Klang 12 tahun dahulu amat berbeza dengan sekarang. Sudah banyak bangunan baru dibina di sekitar bandar tersebut. Saat tiba di KISAS, saya terus membelok kenderaan ke Masjid Sultan Sulaiman yang terletak bersebelahan dengan asrama pelajar lelaki untuk menunaikan solat Zohor. Selesai menunaikan solat, saya mengambil masa sebentar untuk mengimbau kembali kenangan di masjid ini. KISAS merupakan sekolah angkat Sultan Selangor. Masjid Sultan Sulaiman pula merupakan masjid di raja Selangor. Di dalam kawasan masjid ini terdapat banyak makam sultan-sultan Selangor yang terdahulu beserta kaum kerabat mereka. Oleh itu, pelajar-pelajar KISAS sering diberi perhatian dan keistimewaan oleh pihak pentadbiran masjid. Kebiasaannya jika kami ingin bermalam di masjid, pihak pentadbiran tidak mempunyai sebarang halangan. Berbeza dengan orang awam yang terpaksa menulis surat untuk mendapatkan kebenaran terlebih dahulu. Saya masih ingat ketika berada di tingkatan 5, saya sering tidur di masjid kerana suasananya yang sunyi dan tenteram. Ini memudahkan saya untuk mengulang kaji pelajaran. Jika di asrama, agak sukar untuk saya menumpukan pelajaran kerana gangguan rakan-rakan yang biasanya tidur lebih lewat. Malah ketika hujung minggu di siang hari juga saya lebih gemar mengulang kaji pelajaran di masjid berbanding di kelas atau di asrama. Lazimnya saya hanya mengulang kaji dalam 2 jam dan selebihnya saya tertidur sehinggalah masuk waktu zohor. Maklumlah, kawasan yang senyap sunyi memang menggamit mata supaya dilelapkan.



Apa yang membuatkan KISAS begitu istimewa di hati saya berbanding sekolah-sekolah saya yang lain adalah disebabkan inilah tempat pertama saya mengenal tarbiah. Di sinilah juga saya mula mengenali usrah dan jamaah Ikhwanul Muslimin dengan lebih dekat. KISAS istimewa di sanubari saya bukan kerana status sekolah tersebut. Sebab itu, jika saya berjumpa dengan rakan-rakan dari KISAS yang tidak mendapat tarbiah, agak sukar bagi saya mengikut rentak mereka. Memang tidak dinafikan saya berasa seronok dapat berjumpa dengan mereka. Namun keseronokan tersebut hanya bertahan seketika sahaja kerana subjek yang memautkan hati kami hanyalah kenangan selama 2 tahun di KISAS. KISAS telah menjadi 'kilang' bagi melahirkan pendakwah sejak dekad 70an lagi (ketika itu dipanggil Kolej Islam Klang - KIK).


Setelah itu saya meninggalkan masjid menuju ke arah sekolah dan asrama. Namun keadaan tidak mengizinkan kerana terdapat majlis perkahwinan yang sedang berlangsung di dewan sekolah. Keadaan terlalu sesak dan saya mengambil keputusan untuk meninjau dari luar sahaja. Saya juga agak keberatan untuk memasuki kawasan asrama pelajar lelaki kerana kawalan keselamatan yang agak ketat. Ketika saya di KISAS dahulu, asrama kami tidak mempunyai pengawal keselamatan. Malah, tiada pagar yang mengelilingi asrama pun. Oleh itu, saya bebas ke masjid pada bila-bila masa yang saya sukai.





Saya mula mengenali tarbiah apabila guru fizik saya, Cikgu Wan Abdul Rahim yang juga merupakan sahabat ayah saya ketika menuntut di UK mengajak saya untuk bersama-sama dalam sof usrah yang beliau bawa. Ustaz Najib yang mengajar tingkatan enam juga sering membimbing kami. Pada hujung minggu, biasanya Cikgu Wan Abdul Rahim dan rakan-rakannya akan membawa kami ke bandar Klang untuk tujuan berusrah ataupun berdaurah bersama-sama pelajar Sekolah Menengah Islam Hira' dan abang-abang yang menuntut di IPT. Semestinya program-program seperti ini meluaskan ufuk pemikiran dan fikrah saya. Pergaulan dengan abang-abang IPT mematangkan saya dalam membuat keputusan.





Saya tidak menunggu lama untuk pulang ke Seremban. Cukuplah merenung ke arah sekolah dan asrama selama 5 minit untuk mengubat rindu yang lara. Tambahan pula saya juga amat merindukan isteri dan anak-anak yang sedang menunggu kepulangan saya. Wallahu a'lam.




"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)