Tuesday, July 27, 2010

Positive Parenting (siri akhir)

Entry kali ini saya akan kongsikan beberapa tips dalam mendidik anak-anak. Tips ini dinamakan Prinsip Mengadun Anak. Mari kita lihat apakah tips-tips tersebut.

1. Berlawanan Positif

Berlawanan positif bermakna kita memfokuskan tabiat baik yang ada pada anak kita. Digalakkan memberi pujian ketika mereka mengamalkan tabiat tersebut. Contohnya,

"Abah tengok Ahmad selalu menabung duit belanja sekolah. Abah suka anak Abah menyimpan. Nanti boleh lah beli baju raya dengan duit tu."

Jika boleh, biarlah pujian tersebut dari hati yang ikhlas dan jujur. Bukan terbit dari rasa terpaksa. Anak-anak sebenarnya mampu menilai tindakan kita. Kita sering memfokuskan kesalahan anak-anak dalam mendidik mereka. Walhal banyak perkara baik yang mereka amalkan tidak pernah langsung kita puji. Pujian yang diberikan akan melonjakkan mereka untuk terus beramal dengan tabiat yang baik tersebut.

2. Pengukuhan Positif

Pengukuhan positif bermakna memberi pujian atau hadiah secara serta merta apabila mereka mengamalkan tabiat yang baik. Sebagai contoh,

"Wah rajin betul anak ayah sorang ni solat. Malam nanti abah belanja makan kat Ayamas ye"

Kadang kala pujian sahaja tidak memadai sebagai pendorong anak-anak. Hadiah atau ganjaran boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk menaikkan semangat untuk terus beramal. Ini akan menjadikan mereka merasa seronok untuk beramal. Lambat laun mereka akan mengamalkan tabiat tersebut dengan rasa ikhlas dan ihsan.

3. Latihan Pengukuhan

Hadiah atau ganjaran tidak boleh diberikan selama-lamanya sebagai pendorong anak-anak. Setelah beberapa ketika, kita perlu membimbing mereka untuk meneruskan amal tanpa pantauan. Inilah masanya kita menerangkan kepada anak-anak apakah kepentingan amal tersebut. Contohnya,

"Ahmad, solat ni sebenarnya wajib kita buat. Kalau tak solat, kita akan dimasukkan ke dalam api neraka".

Penjelasan yang diberi kepada anak-anak tidak perlu terlalu detail. Dikhuatiri anak-anak akan menjadi lebih tidak faham dan lama-kelamaan mereka tidak mengerti mengapa amal tersebut penting. Bayangkan jika kita terangkan kepada anak kita yang berumur 5 tahun bahawa solat adalah sebagai tanda pengabdian kepada Allah. Solat sebagai tiang agama. Semestinya mereka akan terpinga-pinga. Sebaiknya penerangan diberi dalam bentuk yang mudah mereka fahami seperti ganjaran syurga bagi mereka yang mendirikan solat dan balasan neraka bagi mereka yang meninggalkan solat.

4. Aduni Anak-anak

Mengaduni anak-anak bermaksud memberi perhatian semasa anak-anak mengamalkan tabiat yang baik. Konsep ini tidak jauh berbeza dengan konsep yang pertama iaitu, Berlawanan Positif. Namun ada sedikit tambahan iaitu mengabaikan tabiat buruk yang diamalkan oleh anak-anak. Jika mereka mengamalkan sebarang tabiat buruk seperti enggan menggosok gigi, sebaiknya kita diam dan pulaukan mereka. Lama kelamaan mereka akan sedar yang tindakan mereka tidak menyenangkan kedua ibu bapa mereka. Seterusnya mereka akan meninggalkan tabiat buruk tersebut dengan sendirinya. Tindakan sebegini hanya sesuai diamalkan pada anak-anak yang masih belum bersekolah sahaja.

5. Elakkan

Ibu bapa hendaklah memastikan tiada sebarang peralatan, suasana dan hubungan yang boleh menyebabkan anak-anak kembali kepada tabiat buruk semula. Contohnya jika tabiat buruk anak yang telah ditinggalkan ialah minat bermain video game, maka ibu bapa hendaklah memastikan permainan video game tersebut disimpan dengan rapi dan jauh daripada pandangan si anak. Jika boleh, pastikan anak-anak tidak bergaul rapat dengan kawan-kawan yang gemar bermain video game.

Disini juga saya ingin kongsikan beberapa jenis hukuman yang akan menyebabkan anak-anak hilang hormatnya kepada ibu bapa.

1. Hukuman dengan pelbagai motif.

Hukuman sebegini bukanlah satu tindakan untuk mendidik atau mengajar anak-anak. Malah anak akan menjadi keliru mengapa mereka dihukum dengan hukuman yang terlalu berat. Sebagai contoh, kita memarahi anak kerana menyepahkan barang permainannya. Tidak cukup dengan marah kita sebat anak kita dengan penyangkut baju atau tali pinggang. Anak akan menjadi keliru kerana dengan kesalahan yang sama, kawan-kawan mereka hanya dihukum dengan bebelan ibu atau ayah sahaja. Sedangkan anak kita dihukum dengan belasahan yang teruk. Mungkin pada waktu tersebut, kita baru sahaja dimarahi oleh pihak atasan di pejabat ataupun baru disaman oleh polis kerana melanggar lampu isyarat. Justeru kita melepaskan geram kita kepada anak kita. Oleh itu amat penting sebelum menghukum anak, kita betulkan niat dan berfikir dengan waras.

2. Hukuman untuk menyatakan 'Aku lebih berkuasa di rumah ini'

Hukuman sebegini lebih berbentuk untuk menakutkan anak-anak. Hukuman dianggap berjaya jika anak-anak merasa takut untuk menyatakan sesuatu kepada kita biarpun untuk meminta izin tidur di rumah kawan. Tindakan sebegini boleh menyebabkan anak mahir menipu demi mahu memenuhi kemahuan mereka.

3. Hukuman untuk menegakkan 'keadilan'

Hukuman sebegini lebih berbentuk untuk menunjukkan keadilan kita sebagai ibu bapa. Contohnya jika dua orang anak kita bergaduh, kita menghukum kedua-duanya tanpa sebarang usul periksa. Sebaiknya kita siasat dahulu punca pergaduhan dan kemudian barulah menjatuhkan hukuman.

4. Silap memahami anak semasa menghukum

Hukuman sebegini juga sering diamalkan oleh ibu bapa. Amat penting kita mengetahui mengapa anak-anak kita melakukan kesalahan ataupun kesilapan. Sebagai contoh, kita menghukum anak kerana pulang ke rumah ketika azan maghrib sudah pun berkumandang. Boleh jadi anak kita pulang lewat kerana membantu makcik tua mengangkat barang dapur di pertengahan jalan atau boleh jadi juga lewat kerana mengalami masalah tayar yang pancit. Kita dengan tidak semena-mena terus menghukum mereka. Pastinya hati mereka terluka dan akan ingat sampai bila-bila.

5. Hukum semasa sedang marah

Menjatuhkan hukuman ke atas anak ketika marah adalah sangat merbahaya. Ini kerana ketika kita marah, syaitan yang menguasai segala tindakan dan fikiran kita. Khuatir jika kesalahan anak adalah kecil, tetapi hukuman yang dijatuhkan amat berat. Anak-anak tidak akan lupa kesalahan yang ibu bapa lakukan. Berhati-hatilah ketika menjatuhkan hukuman. Sebarang hukuman akan dipersoalkan oleh Allah kelak.

6. Jatuhkan hukuman sahaja, tiada pujian

Keseimbangan amat penting dalam mendidik anak-anak. Tidak salah jika kita menghukum anak jika mereka melakukan kesalahan. Namun, janganlah diabaikan perkara-perkara baik yang telah mereka lakukan kepada kita. Oleh itu, pujian juga amat penting dalam mendidik anak-anak. Nisbah terbaik antara hukum:pujian ialah 1:5. Dengan ini, anak akan merasa yang sebenarnya mak dan ayah mereka menghukum mereka dengan bersebab. Kerana selama ini segala tindakan baik mereka lakukan diberikan pujian oleh kedua orang tua mereka. Selain itu, mereka juga diri mereka amat disayangi oleh kedua ibu bapa.

Pesanan kepada ibu bapa di luar sana, amat penting juga kita mendengar apa yang cuba disampaikan oleh anak-anak kepada kita. Biarpun apa yang mereka ucapkan itu tidaklah penting seperti menceritakan peristiwa di dalam kelas dan sebagainya, namun perhatian kita terhadap mereka akan menyebabkan mereka semakin rapat dan akrab dengan kita. Insya Allah, mereka tidak akan mengutamakan orang lain selain kita. Cubalah serapat mungkin dengan anak-anak sehingga mereka sanggup meluahkan perasaan kepada kita. Jika ini berjaya kita lakukan, insya Allah masa depan anak-anak kita cerah. Untuk pengetahuan semua, anak lelaki akan mengambil ayah dan ibu sebagai contoh ketika berumur 7 tahun dan ke bawah. Amat penting kita memantau sahabat dan kawan anak-anak lelaki apabila mereka mencecah umur 7 tahun kerana itulah role model mereka nanti. Selamat berjaya mendidik anak-anak kalian (termasuk saya).

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Monday, July 26, 2010

Positive Parenting (siri 3)

Di peringkat awal kelahiran manusia, Allah telah menciptakan sedikit perbezaan antara kaum Adam dan Hawa. Mari kita lihat apakah perbezaan tersebut,

1. Pendengaran

Bagi bayi perempuan, kedua-dua telinganya dapat mendengar dengan jelas. Walau bagaimanapun, bagi bayi lelaki, hanya telinga kanan sahaja yang berfungsi dengan jelas. Disebabkan hal tersebut, Rasulullah menggalakkan kita untuk mengiring ke kanan sambil telinga ditekup dengan telapak tangan ketika tidur. Apabila telinga kanan ditutup ketika tidur, mudah untuk kita mendapat tidur yang berkualiti. Oleh itu, jika kita ingin memberi arahan kepada anak lelaki, arahan mestilah diberi satu per satu. Kita tidak digalakkan memberi kesemua arahan dalam satu masa kepada anak lelaki. Khuatir mereka gagal menangkap apa yang kita ucapkan. Satu kajian telah dilakukan ke atas seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa. Kedua-dua mereka dipasangkan headphone dan dipasangkan bunyi-bunyian untuk mereka dengar. Mereka dikehendaki meniru bunyi yang dibunyikan sejurus mendengar bunyi tersebut. Dalam eksperimen ini wanita dewasa tersebut berjaya mengesan berbagai jenis bunyi dalam satu masa. Lelaki dewasa pula hanya dapat mengesan satu bunyi sahaja.

2. Penglihatan

Kedua belah mata bayi perempuan juga berfungsi dengan jelas di awal kelahiran. Bayi lelaki pula mengalami rabun pada mata kiri dan hanya mata kanan yang berfungsi dengan jelas. Justeru itu, lelaki hanya dapat melihat dengan jelas apabila ia memfokuskan pandangannya. Lelaki menggunakan pandangan zoom (jauh) berbanding wanita yang menggunakan wide angle (dekat). Di sinilah hikmah hadis Rasulullah yang membenarkan pandangan pertama. Ini adalah kerana lelaki hanya dapat mengenali objek yang dilihat apabila ia memfokuskan pandangannya. Berbeza dengan kaum wanita yang melihat secara rawak dan rambang, namun dapat menangkap objek-objek yang telah dilihatnya dengan tepat sekali.

6% daripada lelaki mengalami buta warna. Ini kerana kromosom lelaki ialah XY yang hanya dapat mengenal satu warna jelas sahaja. Contoh warna yang sangat sinonim dengan lelaki ialah hitam, merah, hijau, kelabu, putih, kuning, coklat dan biru. Berbanding dengan kromosom wanita XX yang dapat mengenal berbagai campuran warna daripada warna yang terhasil. Contohnya warna maroon; campuran warna merah dan ungu. Warna turquoise, peach dan jingga merupakan contoh warna lain yang digemari oleh kaum wanita.

Ini boleh dilihat daripada kejadian ayam betina dan ayam jantan. Jika diteliti ayam jantan mempunyai bulu yang berbagai warna untuk menarik perhatian sang ayam betina. Berbanding ayam betina yang hanya mempunyai satu atau dua warna sahaja pada bulunya. Jelas ayam jantan nampak lebih menarik dengan warna yang pelbagai berbanding ayam betina. Justeru itu, adalah digalakkan si isteri yang memilih pakaian untuk si suami dan anak-anaknya kerana mereka kaum yang pandai menilai kecantikan warna-warna tertentu.

3. Corpus Callosum

Corpus callosum ialah penghubung antara otak kanan dan otak kiri manusia. Semakin besar ruang pemisah antara otak kanan dan kiri semakin meluas tugasan yang mampu otak laksanakan. Jika ruang pemisah bersaiz kecil, ia umpama otak kiri dan otak kanan tidak terpisah dan hanya mampu melaksanakan tugas yang hampir sama sahaja. Saiz corpus callosum menghampiri 20% daripada saiz otak bagi perempuan. Ini bermakna kaum perempuan adalah makhluk multi tracking, iaitu mampu melaksanakan banyak tugas dalam satu-satu masa. Manakala saiz corpus callosum bagi lelaki pula kurang daripada 20% daripada saiz otak. Ini pula bermakna kaum lelaki adalah makhluk mono tracking, iaitu hanya mampu melaksanakan satu jenis kerja sahaja pada satu-satu masa. Kesimpulannya, kaum lelaki hanya mampu melihat satu isu sahaja dalam perbincangan berbanding kaum perempuan yang mampu mengaitkan setiap isu yang dibincangkan menjadi satu.

bersambung

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Saturday, July 17, 2010

Positive Parenting (siri 2)

Sedar tidak sedar, rupanya lelaki dan wanita saling memerlukan. Lelaki memerlukan sesuatu daripada wanita dan wanita memerlukan sesuatu daripada lelaki. Apakah keperluan lelaki terhadap wanita?




  1. Ingin dihormati

  2. Ingin rasa diperlukan

  3. Ingin dipenuhi kehendaknya

Apakah keperluan wanita terhadap lelaki pula?



  1. Ingin dibelai

  2. Berkomunikasi secara jujur

  3. Komitmen dalam membina keluarga

Apakah kesimpulan yang dapat dibuat daripada keperluan lelaki terhadap wanita?



  1. Lelaki gemar menjadi ketua

  2. Lelaki bersifat panas baran

  3. Lelaki gemar bergaduh

  4. Lelaki suka dipuji

  5. Lelaki suka mengawal (possessive)

Bagaimana pula dengan kesimpulan yang dapat dibuat daripada senarai keperluan wanita terhadap lelaki tadi?



  1. Perempuan gemarkan kecantikan diri

  2. Perempuan mampu taat pada perintah

  3. Perempuan bersifat empati

  4. Perempuan suka dimanja

  5. Perempuan suka bersembang/berkomunikasi

Sifat-sifat yang dinyatakan di atas ada disebut oleh Allah SWT dalam Surah An Nisa' ayat 34,

"Lelaki (suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri), kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan). Dan kerana mereka (lelaki) telah memberikan nafkah dan hartanya. Maka perempuan-perempuan yang solehah, adalah mereka yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak ada kerana Allah telah menjaga (mereka)...hingga akhir ayat.


Boleh disimpulkan dari ayat di atas yang lelaki adalah,



  1. Lelaki adalah calon pemimpin yang sesuai

  2. Lelaki berfungsi sebagai pengawal atau pelindung kepada wanita

  3. Lelaki suka membelanjakan hartanya

Sifat wanita yang dapat disimpulkan dari surah An Nisa' tadi pula ialah,



  1. Perempuan mudah mentaati perintah

  2. Perempuan sangat menjaga kehormatan diri

  3. Perempuan bijak mengawal pengaliran wang

Ayat 34 daripada surah An Nisa' tadi disokong oleh surah Ali Imran ayat 43,

"Wahai Maryam, taatilah Tuhanmu. Sujud dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk."

Ayat di atas jelas menunjukkan Allah memerintahkan Maryam supaya mentaatiNya. Ayat disampaikan secara terus kerana sifat wanita yang mudah mentaati perintah

dan juga surah Ali Imran ayat 39

Kemudian para malaikat memanggilnya, ketika dia berdiri melaksanakan salat di mihrab, "Allah menyampaikan khabar gembira kepadamu dengan (kelahiran) Yahya, yang membenarkan sebuah kalimat (firman) dari Allah, panutan, berkemampuan menahan diri (dari hawa nafsu) dan seorang nabi di antara orang-orang soleh"

Allah telah memberitahu kepada Nabi Zakaria bahawa anak lelakinya, Nabi Yahya akan menjadi seorang Nabi yang juga seorang ketua di kalangan orang-orang soleh. Ketua sangat sesuai disandarkan pada kaum lelaki dan ayat di atas merangkumi orang-orang soleh daripada golongan lelaki dan perempuan.

Mari kita lihat perbezaan anak lelaki dan anak perempuan dari sudut proses kejadiannya di dalam rahim ibu.


6 minggu yang pertama


- semua janin kelihatan sama bentuk fizikalnya


6-8 minggu


- jantina ditentukan dan roh ditiup ke dalamnya


- pada ketika ini, janin lelaki akan merembes testosterone. Kepala janin lelaki 10% lebih besar daripada janin perempuan


- darah bergerak lebih laju dalam otak janin perempuan berbanding janin lelaki. Ini menjadikan golongan wanita lebih cepat berfikir berbanding golongan lelaki.


Mengikut kajian sains, otak kiri berfungsi untuk menggerakkan kerja-kerja mekanikal seperti membaca, mengira dan menulis. Otak kanan pula berfungsi menggerakkan kerja-kerja yang melibatkan emosi seperti tonasi muka dan ekspresi muka. Kajian juga menunjukkan otak kanan akan lebih cepat matang berbanding otak kiri. Walau bagaimanapun, otak kiri wanita lebih cepat matang berbanding otak kiri lelaki. Hasilnya, perempuan lebih cepat matang berbanding kaum lelaki. Ini juga bermakna pencapaian akademik anak lelaki pada peringkat awalnya agak perlahan berbanding anak perempuan.


bersambung...


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Wednesday, July 7, 2010

Positive Parenting (siri 1)

Tanggal 4 Julai 2010 yang lepas, jawatankuasa Surau Taman Cengal Utama telah menganjurkan kursus pendek berkaitan keibu bapaan yang bertajuk Positive Parenting. Kursus ini telah dikendalikan oleh Ahmad Shafiai Uda Jaafar atau lebih dikenali sebagai Pak Utih di kalangan ikhwah IKRAM. Beliau juga merupakan salah seorang daripada ahli lembaga pengarah Aqsa Syarif. Saya berasa agak kecewa kerana tidak ramai pasangan muda yang menghadirkan diri untuk menuntut ilmu yang sangat berguna ini. Apakah anak-anak sudah membesar dan mula menimbulkan masalah baru hendak menuntut ilmu keibu bapaan?

Kursus dimulai dengan statistik daripada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) berkenaan kes remaja yang melarikan diri dari rumah bermula tahun 2004 hingga Mei 2007.

  1. Remaja 14-17 tahun --- 5251 kes
  2. Kanak-kanak 10-13 tahun --- 697 kes
  3. Kanak-kanak di bawah umur 9 tahun --- 322 kes
  4. Remaja perempuan --- 4620 kes
  5. Remaja lelaki --- 1650 kes

Kesimpulan yang dapat dibuat ialah bilangan kes lari dari rumah amat tinggi dan pastinya berpunca daripada ketidak stabilan emosi dan suasana di dalam rumah.

Al Quran ada menyentuh tentang pendidikan anak-anak melalui Surah Maryam ayat 12 hingga 15,

12. Wahai Yahya! Ambillah (pelajarilah) kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh. Dan Kami berikan hikmah kepadanya (Yahya) selagi dia masih kanak-kanak.

13. Dan (Kami jadikan) rasa kasih sayang (kepada sesama) dari Kami dan bersih (dari dosa). Dan dia pun seorang yang bertakwa.

14. Dan sangat berbakti kepada kedua orang tuanya, dan dia bukan orang yang sombong (bukan pula) orang yang derhaka.

15. Dan kesejahteraan bagi dirinya pada hari lahirnya, pada hari wafatnya, dan pada hari dia dibangkitkan hidup kembali.

Ayat 12 menceritakan Nabi Zakaria memerintahkan Nabi Yahya mempelajari kitab Taurat. Pengajarannya ialah ajari anak kita cara membaca dan isi kandungan Al Quran.

Ayat 13 pula meminta kita mendidik anak menjadi seorang yang bertakwa kepada Allah.

Ayat 14 pula mengajar kita supaya sentiasa mengingatkan anak-anak akan peri pentingnya berbakti kepada kita. Juga mendidik anak kita supaya tidak menjadi seorang yang sombong kepada masyarakat dan derhaka kepada sebarang perintah.

Ayat 15 pula mengajar kita menyambut kelahiran anak kita dengan penuh kesyukuran kepada Allah dan menganggapnya sebagai nikmat dari Allah. Bukannya dengan membuang janin tersebut di merata tempat.

Selain itu, Allah juga ada menyebut tentang bidang kependidikan anak-anak dalam Surah Luqman dari ayat 12 hingga 13.

12. Dan sungguh telah Kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu "Bersyukurlah kepada Allah! Dan barang siapa bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri. Dan barang siapa tidak bersyukur (kufur), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, Maha Terpuji".

13. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya, "Wahai anakku! Janganlah engkau menyekutukan Allah, sesungguhnya menyekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar."

Ayat ke 12 cuba menunjukkan kepada kita bahawa hikmah atau kebijaksanaan amat penting untuk mendidik anak-anak. Dalam ayat tersebut Allah telah mengurniakan kebijaksanaan kepada Luqman untuk mendidik anak-anaknya. Hikmah boleh diperolehi dengan cara menuntut ilmu dan juga melalui ilham daripada Allah SWT. Oleh itu kita hendaklah sentiasa mencari peluang untuk menuntut ilmu bagaimana mendidik anak dan juga selalu berdoa supaya diberikan hikmah dalam menjalankan amanah tersebut.

Ayat ke 13 pula cuba menunjukkan kita supaya memanggil anak dengan panggilan yang baik. Dalam sesetengah terjemahan ditulis Luqman memanggil anak-anaknya dengan panggilan yang cukup manja dan penuh kasih sayang. Juga ilmu pertama yang mesti diberikan kepada anak-anak ialah ilmu mentauhidkan Allah SWT. Inilah ilmu asas yang wajib diajari sebelum apa-apa ilmu baik bersifat duniawi mahupun ukhrawi.

Mari kita lihat apakah hikmah dalam mendidik anak-anak melalui surah Ali Imran ayat 36,

Maka ketika melahirkannya (Maryam), dia berkata, "Ya Tuhanku, aku telah melahirkan anak perempuan". Padahal Allah lebih tahu apa yang dia lahirkan. Dan tidak sama lelaki dengan perempuan. "Dan aku memberinya nama Maryam, dan aku mohon perlindunganMu untuknya dan anak cucunya dari (gangguan) syaitan yang terkutuk.

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa anak lelaki tidak sama dengan anak perempuan. Bukan sahaja dari segi sifat seksual dan rupa fizikal, tetapi juga dari segi emosi dan mental. Satu kajian telah dibuat ke atas seorang bayi lelaki dan seorang bayi perempuan yang baru 2 jam dilahirkan. Apabila pengkaji tersebut mendekati bayi perempuan, didapati bayi tersebut merenung tajam ke arahnya. Apabila pengkaji tersebut mendekati bayi lelaki pula, bayi tersebut langsung tidak menghiraukannya. Apabila pengkaji tersebut membawa mainan kepada bayi lelaki ini, bayi tersebut mula tertarik kepada mainan tersebut - tetapi masih tidak memandang kepada si pengkaji.

Kesimpulan yang boleh diambil, perempuan lebih suka kepada perkara yang bersifat manusiawi dan lelaki lebih cenderung kepada perkara selain manusiawi seperti mesin dan jentera. Kajian di atas dikukuhkan lagi dengan satu eksperimen yang dilakukan ke atas beberapa orang dewasa lelaki dan perempuan. Kajian tersebut bertujuan untuk melihat adakah sifat-sifat berkenaan hanya relevan ketika di usia bayi ataupun berterusan hingga dewasa.

Dalam eksperimen tersebut, beberapa orang dewasa lelaki dan perempuan telah dibawa menaiki teksi menuju ke bangunan di mana sesi temuramah dengan seorang profesor psikologi akan berlangsung. Ketika sesi temuramah dengan profesor tersebut, beberapa soalan telah dikemukan kepada setiap daripada mereka. Antaranya ialah apakah yang mereka perhatikan ketika dalam perjalanan dan apakah yang telah dibualkan antara mereka dan pemandu teksi terbabit.

Jawapan bagi golongan dewasa lelaki ialah:

Apakah yang diperhatikan ketika dalam perjalanan
- pemegang pintu teksi yang diperbuat dari krom perak
-teksi jenis Mercedes
-bangunan yang ekstatik

Apakah yang dibualkan antara mereka dan pemandu teksi
- keadaan ekonomi negara yang tidak menentu

Jawapan bagi golongan dewasa wanita ialah:

Apakah yang diperhatikan ketika dalam perjalanan
- pemandangan persekitaran yang cantik seperti bunga-bungaan

Apakah yang dibualkan antara mereka dan pemandu teksi
-Masalah keluarga yang dihadapi oleh pemandu teksi tersebut.

Kesimpulannya, sifat-sifat semula jadi yang ada pada mereka ketika baru dilahirkan tetap berterusan hingga ke alam dewasa. Penceramah menyimpulkan,

Perempuan = LAWA

Lelaki = LAWAN

Perempuan sukakan hal-hal kecantikan baik pada diri mereka mahupun pada persekitaran. Jiwa mereka dihiasi dengan kelembutan yang juga menampakkan sifat-sifat lawa pada akhlak. Lelaki pula telah Allah jadikan dengan sifat-sifat keras dan jauh daripada sentimental kemanusiaan. Mereka lebih cenderung kepada benda-benda yang ada di sekitar berbanding manusia di sekeliling mereka. Justeru itu, mereka amat sesuai untuk keluar berjihad. Jika mereka dijadikan Allah dengan kelembutan, nescaya mereka akan teragak-agak untuk mengangkat senjata membunuh musuh.

Bersambung...

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)